09 May

Semangat Perjuangan Harmoni

Assalamualaikum dan salam sayang untuk semua. Semoga kehadiran pagi Jumaat yang agak mendung ni menenangkan kita semua.

Tadi masa husband nak pergi kerja, dia sempat bawa kain yang dah basuh ke luar. Dan saya dah siap jemur pun. Tapi tak senang duduk la jugak… Kemungkinan hujan turun membuatkan saya sering terhendap-hendap ke luar jendela. Kemungkinan dan kepastian…teringat lak kat lagu XPDC :)

Dah 3 hari Sofea demam. Merengek manja. Semalam saya tak sempat siapkan apa pun kerja rumah. Dari sapu sampah, basuh kain sampaila ke memasak. Makan tengahari Abang Yie pun just goreng telur dan dia makan dengan kicap bersama ikan bilis. Kesian jugak.

Tapi terpaksa, sebab Sofea tak leh berenggang langsung. Nak dukung jer. Letak kejap pun dah mula nangis. Tapi nangis, tak kuar air mata pun. Nangis manja dan nak perhatian la tu…

Yang paling saya terharu, saya tinggalkan dia kejap dengan Abang Yie. Melekit tubuh dari pagi sampai tengahari tak mandi. Dari tingkap kecil toilet saya dengar suara dia makin dekat jer. Saya jerit suruhAbang Yie tengokkan. Bila saya keluar, Ya Allah, Sofea dah berada dekat dengan grill. Dah la nak ke grill tu ada seputung anak tangga. Agak tinggi juga la bagi si kenit macam dia. Macam mana dia boleh turun, Allah saja yang tau.

Malam tadi dia merengek lagi. Tidur buai tak kena, tidur pangku nangis, tidur sambil baring pun tak nak…serba salah hati ibu ni. Serba tak kena. Dia nangis merengek…macam tak nak berjauhan dari saya. Timbul satu gambaran lain dalam kepala ni… Tapi cepat-cepat saya doakan…”Ya Allah panjangkanlah umurku, anak-anakku masih memerlukan aku.”

Dan, sejak semalam saya pun turut kena selsema dan batuk. Syukur Sofea hanya demam saja. Kalau kena selsema dan batuk, kesian la sangat. Dan naluri ibu akan berkata “Ya Allah, sembuhkanlah anakku dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan kesan. Janganlah kerana dosa dan kelalaianku, anak kecil ini turut merasa kesannya”

Malam tadi masa borak dengan suami saya, dia kaitkan sakit demam ni dengan semangat. Semangat dalaman yang lemah membuatkan tubuh kita tidak bermaya dan membawa kepada demam. Saya ambil berat kata-kata dia. Dan saya fikirkan…sampai sekarang ia masih berlegar dalam kepala ni.

Tak dinafikan, untuk lakukan sesuatu kita perlukan semangat yang membara, keazaman yang kuat dan kemahuan yang tinggi. Itu dah jadi satu resepi dalam perjuangan. Semangat perjuangan harmoni.

Dan ada satu lagi, saya kerap kali dengar, kalau kita sakit ni, tandanya Allah sayang pada kita. Itu adalah satu cara dan kaedah untuk DIA menyedarkan kita andai kita ada melakukan sesuatu dosa tanpa kita sedari. Kesakitan yang kita tanggung akan membuatkan kita berfikir. Semakin berfikir minda kita akan terbuka luas. Semakin kita menyedari hakikat hidup dan berusaha untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam. Kita akan merasa terbeban dengan dosa yang kita tanggung. lantas keampunan dan pengertian dariNYA adalah jalan terbaik untuk membebaskan kita dari semua ini.

Semasa sakit, kita ada banyak masa untuk berehat. Masa inilah yang kita akan gunakan untuk berfikir. Berbanding masa sihat. Otak kita hanya bergerak untuk berfikirkan perkara yang berkaitan dengan kerjaya dan rutin seharian kita. Tapi bila sakit dan perlu berehat, kita akan merasa sunyi dan seakan sepi seketika. Masa ni la akal kita mula menerawang memikirkan apa yang telah kita lakuakan sepanjang hidup ini. Daripada sinilah akan tercetusnya perasaan berdosa andai ada yang melanggari sunnahNYA tanpa kita sedari.

Kesakitan juga adalah ujian untuk Allah melihat tahap kesabaran dan kecekalan hambaNYA. Adakah kita cepat naik angin atau bertahan dengan penuh kesabaran? Adakah kita cepat mengeluh…”Hai la badan, demam la pulak…dah la aku banyak kerja ni, kacau betulla”. keluhan yang seperti itu, kita nak salahkan siapa? Salahkan badan? Badan itu dari siapa? Salahkan pencipta badan? Sedarkah kita siapa pencipta itu? Bukankah itu dah membawa maksud kita salahkan Pencipta? Sedang apa hak kita sehingga selantang itu?

Sebaiknya, kesyukuran tetap kita panjatkan. Allah masih panjangkan umur untuk kita bertaubat dan berubah. Lebih baik dari semalam. itulah nikmat Allah yang Maha Luas. Lantas, nikmat manakah lagi yang nak kita dustai. Seberdosa dan seteruk mana hambaNYA, nikmat Allah tetap meluas. Maha SuciMU yang Maha Pengasih dan Penyayang…

Sofea dan Abang Yie sedang lena dalam buai. Bolehla saya ngadap pc ni dengan tenang. Kekadang ada gak dengar rengekan manja Sofea minta dibuaikan.

Sesungguhnya, ujian Allah itu tidak pernah berhenti. Hanya berbekalkan akal dan pertimbangan yang waras, kesabaran, kecekalan, ketabahan, Insaya Allah kita tidak akan tersadung. Langkah kita akan teratur.. Dan hidup kita akan sentiasa tenang dan damai.

Bila terasa resah, pujuklah hati sendiri dengan dekat padaNYA. Itulah ubat hati yang paling mujarab…CintaNYA membawa kita ke syurga abadi. Tenang dan damai memiliki cintaNYA…

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
08 May

Destinasi Satu Arah

Saat resah kau ku hampiri
Kau ceritakan hatimu yang pilu
Tak sampai hati ku mendengar
Kepahitan kita serupa

Seakan sama kita lalui
Perjalanan meniti hidup
Walaupun titian tak sama
Tuhan beri aku mengerti

Pedih sedih semalam
Masa lantas terbuang
Indah kenangan cinta
Terbukam di dalam dada

Segala masa yang terbuang
Tiada dapat berulang
Andai itu dikenang
Kita tidak akan ke mana

Cinta kita sama
Destinasi satu arah
Andai tidak sehaluan
Tak sampai satu tujuan

Masa kian berlalu
Terus mengajar kita
Erti titian hakiki
Untuk kenali semuanya

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
08 May

Pintu Perjuangan

Harapan telah menggunung tinggi
Ikatan hati telah bersemi
TaliMu ku pegang dengan teguh
Antara kemungkinan atau kepastian
Membawa seribu pengertian

Ikhtiarku mengejar matlamat
Tawakalku dalam perjuangan
UntukMu ku berserah diri

Marilah kita memperindahkan Islam
Emaskanlah masa mengingatiNya
Nikmat yang diberi dilupa jangan
Allah Maha Mengetahui segalanya
Wang ringgit bukan tujuan
Akal yang tinggi perlu dibangunkan
Nilai akhlak mulia harus diserlahkan

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
07 May

Samarkand (Bloodshed)

Dia antara debu, angin bersama
Pasir-pasir bertaburan di sana
Bersemadi langkah perjuangan
Bersaksikan kebenaran

Samarkand, kau tak terasing
Tindasan berlaku
Jiwamu satria

Walaupun getir di tempoh jua
Dilaluan sutera
Mengalir ketenangan

Titis darah, mensua kekufuran
Mengerat rasa kasih padanya

Samarkand, kaulah pentas perjuangan
Indera alam, tertumpu padamu

Demikian kesetiaanmu
Perjuangan murni
Keagungan jiwa

Samarkand sebahagian dari kebangkitan

Samarkand, kau tak terasing
Tindasan berlaku
Jiwamu satria

Tak hiraukan kekejaman
Semakin tertekan
Iman makin terbukti

Samarkand sebahagian dari kebangkitan

Samarkand adalah sebuah tempat di Asia Tengah iaitu ibukota negara Uzbekistan ketika ini. Kisah pengislaman negeri ini berlaku di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau adalah mujaddid kurun pertama Hijrah. Pemerintahannya penuh dengan ketaqwaan, kasih sayang dan keadilan. Suatu peristiwa yang menarik ketika penaklukan Samarkand, ia tidak berlaku dengan pertumpahan darah sebaliknya dengan rasa kasih sayang.

Mulanya Samarkand dicerobohi oleh pasukan muslim pimpinan panglima Qutaibah di waktu malam ketika penduduk Samarkand tidak bersedia. Keadaan ini menyebabkan penduduk kota ini menyuarakan rasa tidak puas hati cara penyerbuan kota ini yang tidak mengikut sunnah Rasulullah. Kerana mengikut ajaran Islam, sebelum sesuatu tempat ditawan oleh tentera Islam, mereka akan membuat tawaran kepada penduduk tempat tersebut sama ada mahu menerima Islam atau tidak.

Maka seorang utusan dikirim oleh penduduk Samarkand untuk memberitahu perihal penyerbuan ini kepada Khalifah. Setelah diadili, penyerbuan ini tidak sah mengikut Islam. Sebagai hukuman, tentera Islam yang terlibat dengan penyerbuan ini kena memohon maaf kepada setiap penduduk kota tersebut. Keadaan ini memeranjatkan penduduk kota itu melihat betapa mulianya akhlak tentera Islam, kerana tentera Islam sebenarnya bukan seorang pembengis dan pemarah, tetapi seorang yang bersemangat tinggi lagi merendah diri.

Kemudian tentera Islam itu pun berundur dari kota tersebut. Beberapa waktu selepas itu, tentara Islam datang kembali untuk menawan Samarkand. Namun kali ini mereka membuat tawaran terlebih dahulu. Walau bagaimana pun, penduduk Samarkand tidak menjawab tawaran yang diajukan. Maka, tentera Islam pun terus menggempur bumi Samarkand.

Kali ini tentera Islam pula yang terperanjat, kerana penduduk Samarkand menanti mereka bukan dengan senjata tetapi dengan hidangan dan makanan kerana mereka sebenarnya telah tertarik untuk menerima Islam setelah melihat keadilan Islam yang ada pada Khalifah ketika itu dan akhlak mulia tentera Islam.

Begitulah bila perjuangan murni yang disertai keagungan jiwa akan membuahkan hasil yang cemerlang. Ketaatan para tentera terhadap keputusan Khalifah dibalasi dengan penawan kali kedua yang mudah dengan penuh rasa kasih sayang.

Begitu juga dengan penduduk Samarkand, walaupun mulanya rasa ditindas dan tertekan oleh penyerbuan pertama, tetapi mereka membuktikan keimanan mereka untuk menerima Islam tanpa paksaan. Sesungguhnya amat beruntunglah orang yang tunduk dan berserah diri kepada Allah Tuhan Maha Agung lagi Maha Menguasai setiap jiwa manusia.

Islam boleh digemilangkan kembali jika kita mempunyai semangat perjuangan yang tinggi untuk mengalahkan syaitan-syaitan yang menguasai diri agar terpancarlah akhlak yang mulia. Utamakan pembentukan akhlak yang mulia bermula dengan mempertingkatkan akal fikiran. Bukan beragama secara menurut membuta-tuli, tetapi menggunakan rasional akal yang waras. Kita adalah insan bukannya binatang ternakan. Hanya orang-orang yang mempunyai akal akan memahaminya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 May

Melakukan perubahan diri

Manusia menjadi lalai dalam hidupnya apabila mata hatinya tertutup. Dengan kata yang lain, akalnya tidak ditingkatkan agar mampu berfikir secara waras. Kerana itu jika kita kaji pengajaran Quran dari mula Nabi Muhammad mendapat wahyu, ia berkait rapat dengan pembangunan minda.

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai. (Ar Ruum: 7)

Bila minda manusia itu rendah dan tertutup, manusia itu hanya melihat secara zahir sahaja. Apa yang Allah tunjuk buruk, manusia itu anggap ia buruk. Begitu juga sebaliknya. Sedangkan tidak semestinya sesuatu keburukan yang kita terima ini membawa natijah yang buruk. Mungkin bila kita berfikir panjang mengikut logik yang nyata, ia mengandungi hikmah dan kebaikan untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Untuk mengasah ketajaman minda agar tidak memandang secara zahir, kita kena selalu berfikir secara logik di sebalik perkara zahir tersebut. Seperti kita bermain catur, kita perlu berfikir beberapa langkah kehadapan yang logik untuk kita menguasai permainan. Dan lawan yang lemah daya fikirnya, pasti akan terperangkap dengan umpanan-umpanan yang kita lakukan.

Lemahnya kita umat Islam sekarang kerana kita mudah terperangkap dengan umpanan-umpanan syaitan. Syaitan sengaja meragu-ragukan kita terhadap sesuatu perkara yang kita sendiri yakini benar. Bila orang Barat membuat provokasi seolah-olah menghina Islam dan Nabi Muhammad, kita jadi marah dan melenting, sedangkan pada amarah itu adanya syaitan. Nampak macam kita bagus nak membersihkan nama Islam dengan cara marah-marah itu, tetapi cara kita itu hanya mengundang ke arah hidup yang panas hati lagi tertekan. Seterusnya kita jadi membenci orang-orang Barat itu walhal Nabi Muhammad sendiri boleh bersabar ketika diejek-ejek dan dihina oleh golongan yang menentang baginda. Baginda tidak membenci mana-mana manusia, sebaliknya orang-orang kafir itulah membenci baginda dan sengaja membuat perancangan untuk mengalahkan Islam. Mampukah orang-orang kafir itu mengalah baginda dan orang-orang yang beriman kerana Allah bersama-sama orang-oang yang sabar?

Kelemahan kita juga ada kaitan dengan lemahnya tahap kesabaran kita menghadapi sesuatu dugaan Allah, kerana semakin manusia itu rendah akalnya, semakin tinggi tahap bangga diri dan semakin tinggi tahap kebaranannya. Bila kita rasa tertekan akibat perbuatan orang lain, kita suka menyalahkan orang itu daripada menyalahkan diri sendiri. Sedangkan segala keburukan yang kita terima itu akan daripada perbuatan kita sendiri, walaupun keburukan itu Allah sampaikan melalui orang lain.

Kita nampak orang Yahudi di Palestin itu jahat dan zalim, tetapi apakah kita sanggup mengaku yang dalam diri kita ada kejahatan dan kezaliman? Kita lalai meletakkan akal kita pada tempatnya, bukankah itu zalim namanya? Akal yang Allah beri ini untuk diletakkan pada manusia, bukannya pada binatang ternak. Oleh kerana akal manusia boleh berkembang, adakah patut kita menghentikan pengkajian dan penerokaan Quran atas alasan ia sudah dikaji oleh imam-imam terdahulu? Anggapan-anggapan sebeginilah menyebabkan kita umat Islam jadi malas hendak kaji Quran. Bila kitab pegangan pun tidak dikaji mengikut keupayaan akal sendiri agar kita tahu berfikir secara hikmah dan nyata (logik), maka jadilah kita umat Islam yang sekadar tahu menurut membuta-tuli. Segala perkataan atas nama Nabi atau imam-imam terdahulu hanya difahami secara zahir tanpa memerhati dari segi pengajarannya.

Kerana itulah kita kena perbetulkan semula cara kita belajar Quran. Bukan belajar Quran dengan hanya menekankan bacaan Arab dan tajwidnya sahaja, seolah-olah Quran itu adalah bahasa Arabnya, tanpa berfikir pengertian maksudnya. Sedangkan berapa ramai Rasul-rasul telah Allah bangkitkan dari kalangan berbagai bangsa manusia yang mempunyai bahasa yang berlainan? Tidakkah kita mahu berfikir secara logik?

Kajilah dan berfikirlah memahami pengajaran Quran dengan niat untuk melakukan perubahan diri ke arah kebaikan, bukannya untuk mencari hukum-hukum untuk menyalahkan orang lain. InsyaAllah, Dia akan memandu kita secara beransur-ansur ke jalanNya seperti mana Nabi Muhammad mendapat wahyu ini secara beransur-ansur.

Bagaimana hendak mulakan perubahan diri? Apakah kita perlu tunggu saat hendak mati baru ada kesedaran ke arah keinsafan? Tidak cukupkah masa yang Allah telah beri dengan dikurniakan pelbagai kenikmatan hidup untuk kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur? Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali jika kita bersegera melakukan perubahan ke arah kebaikan. Jadilah kita orang-orang yang beruntung.

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya. (Ar Ruum: 8 )

Untuk mula lakukan perubahan diri, renungkanlah bagaimana asal kejadikan kita (kembali kepada fitrah). Ketika kita diciptakan, di dalam perut ibu, kita berseorang diri. Begitu juga bila kita dikuburkan nanti. Seperti mana kita dihidupkan dengan berseorangan itu, begitulah juga kita perlukan masa bersendirian bagi menghidupkan hati yang telah lama lalai mengingati Allah. Banyakkan masa bersendirian agar kita mudah menumpu untuk berfikir pasal Allah. Bila kita selalu sendirian, segala anasir-anasir yang kita nampak logik boleh membawa kita kembali kepada keburukan akan mudah kita jauhi.

Bergantunglah hidup sepenuhnya kepada Allah dengan berfikir mencari ilham-ilham ke arah kesempurnaan diri. Sesungguhnya Allah mengilhamkan kita kepada jalan kebaikan atau jalan kefasikan. Dengan berfikir panjang dan waras, kita akan mudah memahami beza kebaikan dan kefasikan dan akhirnya kita berjaya menjauhi kefasikan. Begitulah cara yang para Rasul-rasul dan anbiya’ terdahulu lakukan. Mereka tidak dilahirkan terus jadi baik (kecuali Nabi Isa yang diajar hikmah dan kitabNya sejak dalam perut ibunya). Nabi Ibrahim sendiri tercari-cari siapa Allah ketika mula-mula memperbaiki diri.

Seperti ketika di dalam alam janin, kita hanya bergantung kepada tali pusat untuk melangsungkan kehidupan kita, begitulah di alam dunia ini kita kena bergantung kepada tali Allah. Tali Allah ini adalah pertimbangan akal yang waras dan kukuh. Sebab itulah hujah para Rasul itu bernas, jelas dan kukuh sehingga orang-orang kafir tidak mampu menidakkannya. Bila orang-orang kafir itu sedar kebenaran Rasul-Nya tetapi sengaja menolaknya, hati mereka menjadi resah dan gelisah seterusnya panas hati. Bagi melepaskan kemarahan mereka terhadap para Rasul, orang-oang kafir itu hanya mampu mengejek-ejek. Itulah ketinggian akal yang boleh orang-orang kafir tersebut capai akibat lalai membangunkan pemikiran.

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri. (Ar Ruum: 9)

Sejarah yang terjadi pada orang-orang terdahulu sebenarnya banyak memberikan pengajaran berguna untuk kita melakukan perubahan. Kerana dengan membandingkan sejarah dan apa yang berlaku pada masa kini, kita akan nampak bahawa janji-janji Allah adalah benar.

Contohnya, jika umat terdahulu yang lalai membangunkan minda sehingga jadi taksub dan tidak boleh berfikir dengan sendiri walhal pada mulanya mereka begitu bijak memakmurkan bumi, mereka tidak boleh lari daripada azab Allah. Dan bila kita lihat nasib kita umat Islam sekarang, biarpun pahit untuk diakui, hakikatnya kita umat yang diazab dengan pelbagai kelemahan. Tekanan ekonomi dirasai oleh kita kerana kita tidak bijak menggunakan sumber-sumber alam untuk kemudahan hidup kita sendiri. Kita terpaksa bergantung banyak dengan teknologi luar.

Semua kelemahan ini kerana kita sendiri membuat-buat dakwaan yang menyebabkan umat jadi malas berfikir seperti, “belajar tanpa guru itu sesat” atau “Quran tidak perlu dikaji lagi kerana imam-imam terdahulu sudah mengkajinya” sedangkan kalau kita fikir ikut logik yang ada disebut dalam Quran, Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan Nabi Isa sendiri diajar oleh Allah melalui malaikat-malaikat yang taat menyampaikan ilham berupaya wahyu ketika mereka berfikir. Sesungguhnya Allah Maha Menguasai kerajaan yang luas.

Jadi, sudah sampai masanya kita melakukan perubahan diri agar ia akan mendorong kepada perubahan umat Islam. Itulah cara halus untuk kita membantu umat-umat Islam yang tertindas. Biarpun cara ini nampak seperti tidak zahir, tetapi seperti yang pernah dicapai oleh Nabi Muhammad, perubahan seperti inilah yang berjaya memperbetulkan umat manusia. Bukan dengan cara berebut kekuasaan duniawi atas alasan Islam hanya boleh ditegakkan jika dapat kuasa. Berapa ramai manusia telah ditipu syaitan sehingga kini kita menjadi umat Islam yang berpecah-belah.

Tambahan pula di zaman internet yang komunikasi antara manusia adalah mudah, seruan-seruan ke arah memperbetulkan diri sendiri ini mudah disebarkan. Terpulanglah kepada manusia itu mahu berubah atau terus lalai. Dan orang-orang yang zalim itu tidak akan tenang hatinya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 May

Bantulah agama Allah

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)

Jika kita termasuk dalam golongan manusia yang percaya kepada kehidupan akhirat, sudah pasti kita akan berkeinginan membantu agama Allah. Kita akan berfikir untuk melakukan perubahan setelah melihat agama kita dijadikan bahan ejek-ejekan. Tidaklah ejek-ejekan itu terjadi melainkan daripada kesilapan kita sendiri.

Bila kita masukkan semangat perjuangan dalam hidup, barulah terasa hidup kita penuh ertinya. Bukan setakat cari duit, kejar harta duniawi, berebut kekuasaan dan sebagainya, tetapi dengan semangat itu kita akan menghargai setiap masa yang diberi untuk Allah. Dalam diri terasa bersamaNya.

Bagaimana hendak merasai hidup yang penuh semangat lagi bermakna ini? Ya, kita perlukan peperangan. Dengan adanya peperangan, kita bersemangat memajukan diri sendiri.

Perangilah mereka, niscaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman. (At Taubah: 14)

Oppss! Tapi, jangan menafsir ayat di atas untuk mengajak sesama manusia berperang dan berbunuh-bunuhan pula. Jika itu yang ada dalam hati kita, ia menunjukkan hati kita yang berpenyakit. Hidup kita bukannya hendak berperang sesama manusia, tetapi memerangi iblis dan tentera-tenteranya. Bukankah itu yang telah diperingatkan di dalam Quran dengan jelas dan nyata?

Tetapi malang bagi kita umat Islam sekarang bila baca ayat-ayat perihal peperangan, mulalah kita mahu mencari musuh sesama manusia. Sama-sama orang Islam pun kita hidup berpuak-puak atas alasan berbeza pendapat. Bila satu puak pegang pendapat seseorang imam yang diagung-agungkan dan satu puak lagi pegang pendapat imam lain yang berbeza pendapat, mulalah nak bertelagah dan berbangga-bangga yang puaknya betul ikut Quran dan Sunnah, padahal perasaan berbangga itu telah menyebabkan manusia itu jauh daripada Allah. Kerana itu kita kita menjadi umat yang lemah.

yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Ar Ruum: 32)

Oleh itu sudah tiba masanya kita memerangi syaitan yang tersembunyi dalam hati kita sendiri. Sikap suka menghukum moral orang lain akan menyebabkan syaitan yang ada dalam diri akan bersorak kegirangan. Syaitan ini akan meniup perasaan berbangga yang diri kita ini lebih mulia daripada orang lain, sedangkan urusan kemuliaan dan darjat itu adalah urusan Allah. Tidak layak kita mencampurinya. Adakah kita mahu mengadakan “berhala” iaitu rasa diri hebat sebagai Tuhan selain Allah untuk menghukum moral orang lain? Inilah musuh nombor satu yang menyebabkan ramai manusia tertipu.

Untuk melawan syaitan yang menipu itu, sibukkan diri kita berfikir tentang kelemahan dan kekurangan diri kita sendiri agar mata zahir kita tidak melihat keburukan orang lain. Jika ada keburukan yang Allah tunjukkan pada orang lain, latihlah diri untuk menganggap semua itu adalah cermin untuk kita muhasabah diri. InsyaAllah, suatu hari nanti hati kita akan menjadi semakin suci.

Kejayaan kita menjaga kesucian hati akan menyebabkan hati kita semakin tenang kerana syaitan yang selama ini melemahkan jantung kita sehingga kita selalu berdebar dan tertekan telah lari. Ketika itu hati kita terasa damai dan puas. Apatah lagi semasa kita berfikir, bermacam-macam ilham Allah beri untuk kita mencipta hidup yang bahagia. Dan mata hati kita akan terbuka sedikit demi sedikit seperti terbitnya mentari menerangi alam. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat), (yaitu) hari yang tidak berguna bagi orang-orang zalim permintaan maafnya dan bagi merekalah la’nat dan bagi merekalah tempat tinggal yang buruk. (Al Mu’min: 51 - 52)

Ketika kita memerangi syaitan dalam diri kita sendiri, sebenarnya kita sedang menolong agama Allah. Setelah kita berjaya memerangi syaitan dalam diri, Allah akan satukan hati kita bersama-sama hamba-hambaNya yang lain yang turut memerangi syaitan dalam diri mereka sendiri. Itulah silaturrahim yang teguh kerana diikat atas rasa cinta yang suci. Sesungguhnya Allah Maha Mulia lagi Maha Suci.

Namun bagi manusia yang telah melihat syaitan yang tersembunyi dalam dirinya sendiri yang selama ini telah melalaikannya daripada membantu agama Allah, apabila dia sengaja menolak untuk memerangi syaitannya sendiri, termasukkan dia dalam golongan yang zalim. Ini kerana akalnya telah waras untuk mengenal erti baik dan buruk, tetapi dia sengaja memilih keburukan atas alasan yang batil. Akibatnya, terlaknat manusia itu dan hidup dalam jiwa yang buruk. Hilang ketenteraman jiwa dalam dirinya. Dan untuk menghilangkan keresahan jiwa, terus meneruslah manusia itu melakukan keburukan walaupun hatinya sendiri tahu dia telah melakukan keburukan.

Lihat nasib umat Islam sekarang yang dihimpit dan dihina di atas bumi sendiri. Kita diperkulikan oleh bangsa-bangsa asing kerana rasa berbangga hingga hidup berpuak-puak. Sesungguhnya apa yang Allah tunjukkan depan mata kita itu adalah keterangan yang nyata yang tidak mampu kita sangkalkan lagi. Itulah hakikat kita umat Islam sekarang, seumpama hidup kita dilaknati Allah. Tidakkah kita mahu menginsafi diri?

Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum kamu beberapa orang rasul kepada kaumnya, mereka datang kepadanya dengan membawa keterangan-keterangan (yang cukup), lalu Kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang berdosa. Dan Kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman. (Ar Ruum: 47)

Allah berkewajiban membantu golongan beriman sedangkan orang-orang yang berdosa pasti akan merasai azabNya. Tekanan dan kegelisahan yang kita rasai itu adalah sebahagian azabNya untuk kita menginsafi diri sebelum tiba hari yang segala permohonan maaf tidak bererti lagi.

Marilah kita bersama-sama membantu agama Allah dengan mengeluarkan diri kita dari belenggu pemikiran yang dicipta dalam agama kita sehingga Islam itu dilihat sempit, jumud, taksub dan lapuk. Perindahkanlah Islam dengan memperindahkan akhlak kita. Nabi Muhammad telah menutup segala nabi-nabi. Atas usaha kita yang yakin dengan ajaran yang baginda sampaikan inilah yang akan menunjukkan contoh akhlak yang pernah baginda perlihatkan. Akhlak akan nampak mulia jika akal kita bijaksana. Kita adalah insan bukannya haiwan untuk dibelenggu.

Hidup kita bukan sekadar untuk tahu Nabi Muhammad memiliki sifat-sifat mulia, tetapi bagaimana untuk kita praktikkan sifat-sifat mulia dalam diri kita sendiri. Jika dengan menjaga kesucian itu adalah caranya untuk menentukan kehidupan yang bahagia, patutkan kita memilih jalan hidup selain jalan hidup yang telah Allah dan Rasul-Nya menetapkan? Jika Rasul-Nya memulakan perubahan diri dengan membangunkan akal fikiran sehingga mengenali diri dan tunduk kepada Pencipta, apakah kita melakukan perubahan dengan berbangga-bangga diri?

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. (Al Ahzab: 36)

Jika kita menolong agama Allah, Dia akan menolong kita balik dengan pertolongan yang tidak disangka-sangka. Ada tuhan selain Allah ke yang boleh menolong kita jika Allah mengazab kita atas kelalaian kita sendiri?

Karena pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. (Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janjiNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar Ruum: 5 - 6)

Ingatlah bahawa janji Allah ini adalah benar. Biarpun satu dunia mengengkari Allah, Dia tidak memerlukan kepada manusia, sebaliknya kitalah yang sentiasa memerlukanNya. Sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 May

Nisan Kasihnya

Mendung berarak melindungi sinar
Bagai petanda hati gelora
Palang rintangi diberi nilai
Mencarilah aku sebuah persinggahan

Dengan telunjuk mengasing diri
Dibawa naik ke puncak aqli
Dalam pelombongan mengenal hati
Menantilah aku dengan kepasrahan

Kau bagai bulan purnama
Gerakmu di orbit ketentuan Ilahi
Sepuluh pintu jadi matlamat
Dua bingkai beri keputusan

Menjauhnya engkau dari diriku
Tawakal dan doa aku panjatkan
Redahmu itu menundukkan tujuan
Tinggallah dua nisan penanda

Jika aku diberi pilihan
Mampukah aku miliki keduanya
Biarpun bagai tiada harapan
Selagi bernyawa aku mencuba

Perkiraan itu telah dinyatakan
Tetaplah aku ada di hadapanmu
Sebagai tanda sebuah keikhlasan
Biar di mana jasadku dikuburkan

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
01 May

Apa Nak Dikata (XPDC)

Satu hari aku berjumpa
Cik mek molek jual bunga
Senyuman manis menarik hati
Gugur bagaikan jantung ini
Siapa hati tak tertawan
Manis umpama bulan

Lain hari aku kembali
Ingin beli bunga lagi
Namun kini hanya yang ada
Tinggal dua nisan saja
Lesu aku menggeletar
Rakus jiwa ku terbenam

Engkaulah emas engkau permata
Aku cuma macam ni saja
Aku mahu bertemankan hidup
Dengan hati ikhlas mulia
Jangan melihatkan gaya
Nanti kitakan berdamai

c/o:
Ukuran baju badan sendiri
Kita tepuk dada ini
Jika dah nasib kita jodoh
Gunung tak lari ke mana
Apa nak kisah mahu hidup
Asal hati baik mulia
Kalau dah memang jadi mungkin
Apa lagi nak dikata

Di kata… aaa… aaa…

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
01 May

Persiapan untuk menemuiNya

Suatu ketika dahulu, apabila mendengar perkataan mati, terasa suatu kengerian dan menakutkan. Kerana ketika itu diri ini masih jauh dariNya. Ketika itu, kalau boleh tidak mahu bertembung dengan perkara-perkara yang berkaitan mati. Namun setelah menghadapi peristiwa kehilangan orang yang disayangi, barulah hati ini terpaksa berhadapan juga dengan panggilan kubur. Setiap jiwa pasti akan merasai mati. Adalah tidak patut diri ini menolak kebenaran tersebut?

Jadi bagaimanakah aku perlu bersedia saat-saat yang semua manusia tidak tahu akan waktunya (kecuali banduan “akhir” yang menunggu hukuman matinya - itu pun atas Kekuasaan Allah). Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia mahu semua manusia masuk syurgaNya yang tenang dan damai. Namun Allah telah membuat ketetapan bahawa atas pilihan manusia itu sendirilah yang menentukan kelak setelah mati, dia akan ke syurga atau ke neraka. Ketika di alam sana, penyesalan sudah tiada gunanya.

 

Oleh kerana itu, agar tidak menyesal di kemudian hari, aku berusaha mengorak langkah ke arah perubahan diri. Yakin dengan janji Allah kepada orang-orang yang percaya kepada hari akhirat. Hari akhirat ini tidak nampak gambaran kasarnya. Sebab itu manusia yang hanya guna mata zahir sahaja, susah hendak percaya. Mungkin dia sekadar tahu wujud negeri akhirat itu, tetapi imannya tidak mantap sebab ia belum bersedia untuk diuji oleh Allah. Sebab itu manusia itu membuat sikap acuh tidak acuh berkenaan negeri akhirat ini. Tetapi jika kita menggunakan mata hati, kita akan bertambah yakin dengan kelogikan wujudnya negeri akhirat ini. Ia akan difahami apabila kita sedar diri bahawa kita ini hanyalah jiwa yang diberikan pilihan sahaja sedangkan jasad dan segala kekayaan harta adalah pinjaman Allah.

Untuk membuka mata hati, kita kena tingkatkan akal agar sentiasa berfikir secara waras dan seimbang. Selagi kita tidak tahu membezakan di antara benar atau buruk, selagi itu kita tidak layak untuk menilai. Jadi kita kena bangunkan akal kita setinggi yang mungkin agar pertimbangan kita menggunakan neraca yang adil. Umpamanya sebagai rakyat, adalah tidak patut kita mengutuk dan mengatakan pemimpin kita membuat kezaliman (tidak adil) sedangkan kita belum lagi merasai tugas sebagai seorang pemimpin. Layakkah seorang anak mengutuk bapanya (pemimpin) atas alasan dari segi penilaian anak itu bapanya seorang yang tidak betul? Walhal hakikatnya bapanya itu lebih dahulu berpengalaman dalam hidup.

Jika kita nampak orang yang lebih tinggi kekuasaannya daripada kita membuat sesuatu yang tidak betul, tegurlah mereka dengan cara berhikmah iaitu dengan bermula dengan memperbaiki diri kita sendiri, bukannya dengan cara mengutuk dan mencaci orang tersebut. Tunjukkan contoh yang baik pada diri kita dahulu sebelum nak suruh orang lain buat baik. Itulah sunnah yang digunakan oleh Rasulullah yang diabaikan oleh umat Islam sekarang. Ajaklah manusia itu berfikir dengan waras dengan memberikan hujah-hujah yang masuk akal. Jika dia berfikir, pasti dia akan menerima teguran halus kita itu. Tapi jika dia engkar, tinggalkan dia agar Allah uruskan kerana urusan kita untuk menyampaikan itu telah selesai. Kerana apabila manusia itu nampak sesuatu kelogikan setelah berfikir, tetapi dia sengaja menolaknya, pasti hatinya tidak akan tenteram sehingga dia mati melainkan dia sempat berubah untuk tunduk berserah diri kepada Allah. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar walaupun ramai manusia mengengkarinya.

Semakin akal kita dipertingkatkan, semakin mudah kita membezakan sesuatu perkara itu baik atau buruk. Kita akan merasakan bahawa hidup ini sebenarnya mudah, kerana Allah yang melakukan semuaNya dalam hidup kita. Allah kurniakan rezeki yang terbaik untuk kita agar hidup dengan penuh ketenangan. Dia yang tentukan jodoh yang baik untuk kita walaupun dari segi pandangan kasar mungkin calon yang Allah berikan itu tidak memenuhi insan “perfect” yang kita cari. Sebab kita menilai mengikut pandangan cetek dan jangka masa pendek, tetapi Allah Maha Mengetahui perkara yang nyata mahupun yang ghaib (masa akan datang).

Bila kita bijak dan berhikmah dalam hidup, hati kita akan menjadi semakin tenang dan sabar. Tiada lagi debaran kerana ilmuNya telah menjadi seperti gunung-gunung sebagai pasak bumi agar tidak bergoncang. Seperti Allah selamatkan Malaysia daripada bahaya gempa bumi kerana kita memiliki banjaran-banjaran gunung yang panjang dan tinggi. Oleh kerana itu gunakan kurnia Allah yang melindungi kita daripada bahaya gempa bumi untuk mempertingkatkan keupayaan akal bukannya hidup bertelagah berebut kekuasaan duniawi.

Setelah hati yang dibukiti ilmu yang tinggi, semakin teguh dan kukuh pendirian kita. Lemahnya umat Islam kerana belajar Quran bukan untuk jadi orang berilmu, tetapi sekadar tahu. Sudahlah yang kita tahu itu sekadar bacaan Arab dan tajwidnya sahaja, bukannya intipati atau pengajarannya, maka makin bertambah ragu-ragu kita terhadap agama dan kitab sendiri.

Jadi sudah sampai masanya kita sama-sama melakukan perubahan bermula pada diri kita sendiri. Bereksperimenlah untuk mengkaji dan memahami Quran sehingga hati kita menjadi tenang dan tenteram. Kelak kita semakin berani menghadapi hari kematian kita. Benar seperti yang dikatakan bahawa lemahnya umat Islam akhir zaman ini kerana penyakit cinta dunia (akibat guna mata zahir sahaja) dan takut mati (akibat tertutup mata hati).

 

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
30 Apr

Setelah setahun Shahdila.com beroperasi

Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Kerana atas keizinanNya, Shahdila.com terus beroperasi di alam siber. Setelah setahun blog ini dilahirkan, pelbagai perubahan telah dilakukan baik dari segi theme dan isi kandungannya. Bermula dengan keazaman untuk mencari pendapatan sampingan secara online, kini blog ini telah beralih kepada mencari sinar cintaNya.

Syukur juga dalam perjalanan mendekatiNya ini, Allah murahkan rezeki baik yang didapati melalui blog ini mahu pun secara tidak langsung. Dengan keyword “CyberBiz” yang Allah ilhamkan rupa-rupanya bukan setakat untuk melaksanakan bisnes di alam siber, tetapi juga bisnes dengan Allah. Masa yang diperuntukkan kepada kita yang sama banyak ini adalah emas yang digunakan dalam urusan bisnes ini. Hasil daripada bisnes ini bukannya mengharapkan ganjaran wang berlipat ganda, tetapi ganjaran pahala iaitu rasa kenikmatan dan kebahagian hidup. Ganjaran itu adalah pasti bagi manusia yang yakin dengan hari pertemuan denganNya.

Jika ketika di awal kemunculan blog ini terasa sukar hendak mencari idea untuk membuat posting, kini setelah menjalankan urusan bisnes dengan Allah, idea-idea untuk menulis turun laksana hujan. Sekali kita menceburi bisnes dengan Allah ini, tidak mungkin kita akan kerugian kerana Dia tidak menzalimi manusia, sebaliknya manusia itulah yang selalu menzalimi dirinya sendiri.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking