13 Feb

Mencari cahaya yang hakiki

 

Al Quran telah disempurnakan penurunannya lebih 1400 tahun dahulu. Namun, sebagai generasi yang terkemudian dari zaman Rasulullah, kita selalu melihat pengajaran Quran dari sudut masyarakat yang sempurna. Bila kita melihat Quran sempurna penurunannya tanpa memikirkan pengajarannya, kita selalu mengharapkan masyarakat kita seperti masyarakat zaman Rasulullah ketika di Madinah. Kita harapkan negara kita ada hukum hudud, ada masjid yang penuh berjemaah dan sebagainya seperti cerita-cerita yang kita selalu dengar berkenaan zaman Rasulullah.

Perasaan Quran sudah sempurna inilah yang ada diriwayatkan bagaimana Saidina Abu Bakar risau bila Rasulullah telah menyampaikan wahyu terakhir. Ketika itu para sahabat yang lain bergembira setelah Nabi menyampaikan wahyu terakhir yang ada menyebut Allah telah sempurnakan agama Islam ini. Namun Abu Bakar terdiam dan sedih. Satu, sedihnya beliau kerana wahyu terakhir itu menandakan tamatnya tugas Nabi Muhammad untuk bersama mereka (begitulah tajamnya mata sahabat Nabi yang mendapat gelaran As Siddiq). Kedua, kerana sikap manusia suka melihat sesuatu kesempurnaan sebagai penghujung perjuangan. Bila sudah capai sempurna, maka bolehlah duduk releks-releks yang akhirnya menjadi leka.

Releks yang dimaksudkan di sini adalah berehatnya umat Islam daripada budaya mengkaji dan bereksperimen dengan Quran tidak seperti zaman cendikiawan-cendikiawan Islam terdahulu. Atas rasa Quran sudah lengkap, kita mempelajari Quran lebih untuk menghukum orang lain yang kita rasa tidak Islamik. Kita telah menyempitkan maksud Islam supaya ia hanya berunsur kearaban semata-mata. Perangai ini yang menyamai perangai golongan Yahudi dan Nasrani di zaman Nabi bahawa kebenaran hanya bersama dengan orang yang berketurunan dan berbudaya seperti mereka sahaja. Nampak tak bagaimana sedikit demi sedikit kita telah mencontohi perangai Yahudi dan Nasrani dahulu?

Ironinya, golongan Yahudi dan Nasrani masa kini telah mengambil pengajaran Quran sehingga mereka menjadi masyarakat yang suka mengkaji dan menyelidik dan mencipta pelbagai teknolgi tinggi sedangkan umat Islam hanya tunduk dan lemah. Terus menerus dibuli kerana perangai kebudak-budakan kita sendiri. Quran dalam tangan kita bukan hendak dikaji lagi, tetapi untuk menghukum orang yang kita benci. Sedangkan bisikan benci itulah senjata syaitan yang boleh merosakkan jantung kita. Mangsa yang selalu kena “hukuman Quran” kita adalah golongan Ulil Amri.

Kalau kita renung dalam-dalam kenapa, Allah suruh kita taat kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri (orang yg berkuasa) di kalangan kita? Kenapa jika kita berbeza pendapat, Allah suruh kita kembali kepada Quran? Yang merosakkan persaudaraan, bila maksud kembali merujuk Quran, bukannya hendak jadikan Quran sebagai wadah untuk melahirkan generasi ulul albab dengan mencari formula2 penyelesaian terhadap segala pertikaian, tetapi dicari-carinya dalil untuk menghukum sesuatu golongan itu tidak Islamik umpama. Kita tertipu dengan syaitan yang menanam kebencian dalam hati kita supaya mencari ayat Quran untuk melepaskan amarah kita dan memuaskan nafsu kita bahawa kita sahaja Islamik dan orang lain semuanya tidak Islamik. Begitulah, berapa ramai yang tertipu dengan syaitan.

Jangan tengok pada zahir untuk terus menghukum orang lain. Keburukan yang kita nampak pada orang lain menunjukkan hati kita ada perasaan jahat. Segala pandangan mata kita dan tafsiran kita terhadap orang lain datangnya dari hati kita sendiri. Hati kita sendirilah yang menghukum orang lain itu buruk berdasarkan apa yang kita nampak. Sedangkan urusan hati dalam Kekuasaan Allah. Adakah kita hendak menjadi Tuhan sehingga kita boleh nampak perkara-perkara ghaib?

Mengkaji Quran adalah sebuah pendakian ilmu. Ilmu ini akan dipelihara selagi kita tidak memasukkan perasaan benci dan bangga diri seolah-olah kita sahaja Islam dan orang lain tidak Islam. Penyakit perasan begini telah melekakan umat Islam untuk membudayakan R&D menggunakan Quran. Kita lebih mengutamakan PHD (perasaan hasad dengki) untuk berpecah belah. Mencari hal-hal peribadi orang lain untuk diburuk-burukkan. Bukankah itu suatu yang jauh dari ajaran Quran yang sebenar?

Atas alasan merebut kuasa, segala larangan Allah habis dilanggarnya kerana rasa “aku pejuang Quran dan Sunnah” sedangkan sikap itulah yang menyebabkan umat menjadi lemah. Hentikanlah budaya suka menghukum orang lain. Segala keburukan yang kita nampak pada orang lain sebenarnya Allah hendak sedarkan diri kita sendiri yang kita telah lalai, leka dan memasuki alam kegelapan.

Sinarilah hati kita kembali dengan pengajaran asas Quran. Bukankah pada surah sependek Al Falaq sendiri peringatkan kita perihal kedengkian manusia bila ada dengki? Kerana merasakan Quran sudah sempurna, hanya hukum hudud sahaja yang diheboh-hebohkan sebagai menanda ia adalah mengikut Quran dan Sunnah. Kerana sikap melihat Quran sudah sempurna, maka hukum hudud sahaja adalah Quran. Bukankah melawan syaitan yang mengdengki itu adalah tuntuan yang lebih utama?

Adakah kita telah menjadi golongan dajal bermata satu, di mana mata hati kita buta dan hanya bergantung pada mata zahir untuk menghukum orang lain? Dajal adalah nabi palsu. Menghukum orang lain dengan menggunakan mata zahir melayakkan kita menjadi Dajal, kerana perasan kita ini mulia seperti nabi dan hanya tahu menghukum orang lain tak sama fikrah dengan kita adalah tidak betul. Sedangkan dalam hati penuh penyakit hasad dengki, dendam-mendendami lagi benci-membenci. Semua penyakit hati ini akan membawa kepada azab kematian yang menyakitkan bila jantung gagal berfungsi. Itu azab di dunia, ketika di akhirat tidak tahu lagi bagaimana rasanya.

Jadilah kita golongan beriman yang hidup dengan aman, damai, tenang, harmoni, kasih-sayang dan jauh dari persangkaan buruk. Syaitan yang suka membisikan persangkaan buruk ini supaya kita menjadi umat yang berbalah-balah. Kita suka menghukum Yahudi atau Kristian sekarang seolah-olah mereka yang merosakkan umat Islam dengan ideologi moden mereka. Tetapi sebenarnya syaitan-syaitan yang ada dalam hati kita sendirilah yang telah merosakkan persaudaraan kita sesama manusia dan memalaskan diri kita untuk mengkaji Quran sebagai penyelesaian permasalahan semasa.

Adakah ada jalan umat Islam mencari sinarNya lagi? Apakah bencana tsunami yang menghancurkan daerah yang terkenal dengan serambi Mekkah di nusantara beberapa tahun dahulu tidak boleh menginsafkan kita?Adakah kerana sikap umat Islam yang hanya melihat Islam itu adalah unsur-unsur kearaban sahaja? Bermegah-megah atas nama serambi Mekkah iaitu kota yang suci, sedangkan hati kita tidak disucikan dari sifat-sifat was-was, dengki dan batu api. Memang layaklah manusia itu diazab dengan azab yang memanaskan hati.

Bila kita rasa panas hati mendengar nasihat, itulah tandanya syaitan sedang terbakar. :)

 

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply