06 Feb

Jauhnya hati untuk menghayati Quran

Benarkah umat Islam sekarang umpama buih? Harapkan kuantiti sahaja ramai tetapi kualitinya tiada? Kenapa fenomena ini berlaku sedangkan umat Islam dibekalkan dengan Quran yang dijamin terjaga sehingga akhir zaman? Apakah ini kerana umat sudah jauh daripada menghayati Quran?

Apakah kita menganggap Quran sekadar membaca dalam nahu Arab tanpa perlu dikaji dan difahami? Mampukah kita memahami ilmu sains yang terkandung dalam buku-buku bahasa Inggeris yang mana kita hanya tahu mengeja sebutan bahasa Inggeris tanpa memahami maknanya? Begitulah perumpamaan jika kita membaca Quran dalam sebutan Arab sedangkan kita tidak mahu mengerti apa maksudnya.

Jika kita tiada pengetahuan bahasa Arab, apakah membaca terjemahan Quran tidak mampu membantu kita memahami Quran? Kenapa masyarakat Eropah dahulu menterjemahkan ilmu-ilmu Quran dan mereka mampu mencapai kegemilangan teknologi sekarang? Jelas, kelemahan umat Islam sekarang kerana tidak memahami pengajaran Quran, walaupun dari kalangan orang yang berpengetahuan bahasa Arab. Maka Quran jadi kitab yang terbiar sepi di hati umat Islam sekarang.

Selalu terdengar kata-kata manusia bahawa hendak pelajari Quran kena melalui guru. Memang ada benar kata-kata ini. Tetapi sekadar meletakkan pergantungan kepada guru semata-mata untuk memahami Quran akan membawa musibah besar kepada manusia. Guru yg bernama manusia hanya mampu menunjuk jalan bagaimana hendak fahami Quran, tetapi untuk hati itu sendiri yang faham dan rasa nikmat Quran, hati itulah yang perlu mengkaji, bereksperimen dan membuat pertimbangan yang waras apa yang dipelajarinya.

Jadi, siapa sebenarnya yang boleh mengajar manusia ilmu Quran? Jawapannya adalah Allah. Daripada Allah Quran itu datang, atas pertanggungjawab Allah-lah untuk mengajar manusia itu memahami ilmuNya sendiri. Manusia tiada kuasa untuk menyebabkan manusia lain fahami Quran. Semuanya atas Kekuasaan Allah. Mengatakan manusia berkuasa menyebabkan manusia lain faham Quran, akan membawa kepada syirik. Tiada sekutu bagi Allah dalam KekuasaanNya.

Syarikat Proton adalah pembuat kereta Persona. Pembeli hanya pengguna kereta sahaja dan tidak tahu dengan lengkap apa rahsia disebalik kereta Persona tersebut. Kalau kita hendak memahami keseluruhan fungsi kereta tersebut, kita kena tanya Proton sendiri. Begitulah juga dengan Quran. Allah yang menurunkan Quran. Manusia terdahulu hanyalah pengguna Quran yang faham sebahagian kecil daripada ilmuNya mengikut perjalanan hidup mereka. Oleh kerana setiap manusia mempunyai jalan hidup masing-masing, maka kepada Allah sendirilah kita belajar memahami Quran agar sesuai dengan jalan hidup kita sendiri.

Oleh itu, untuk kita fahami Quran, kita tidak boleh taksub dengan manusia semata-mata. Berapa banyak kisah kumpulan ajaran sesat yang berlaku di negara kita, semuanya kerana taksub pada seorang guru bernama manusia. Silapnya kita sekarang diajar ilmu Islam dengan menonjolkan Nabi Muhammad secara berlebihan. Kita lupa, dakwah Nabi Muhammad dahulu disokong oleh ramai para sahabat. Para sahabat inilah yang mengimbangi usaha Nabi Muhammad. Nabi Muhammad sebagai rasul hanyalah pencetus, tetapi Islam itu tidak naik atas diri baginda semata-mata.

Sikap taksub pada seseorang individu manusia menyebabkan berlakunya gejala ajaran sesat. Kerana itu Quran menyebut perihal Rasul-rasul dan golongan beriman terdahulu supaya kita tidak hanya melihat Islam itu hanya pada Nabi Muhammad sahaja. Sesiapa sahaja yang menyampaikan kebenaran Quran, samalah dia seperti Nabi Muhammad dan para utusanNya yang terdahulu. Tidak perlu melebih-lebihkan seseorang manusia untuk mengelakkan budaya taksub membuta tuli.

Quran umpama matahari, sesiapa yang menyampaikan Quran umpama bulan. Bulan berfungsi untuk memantulkan cahaya matahari sahaja, bukan mengeluarkan cahaya daripada dirinya sendiri. Oleh itu, adalah tidak bijak jika kita menganggap Quran hanya mampu dipelajari dari manusia. Kita belajar Quran sebenarnya daripada Allah. Dia-lah yang Berkuasa memahamkan hati manusia dengan ilmuNya. Apakah ada sekutu bagi Allah yang boleh mengajar Quran? Gunakanlah penglihatan dan pendengaran untuk menangkap semua maklumat yang ada dalam alam semesta ini, bukan hanya yang keluar dari mulut seseorang manusia.

Mana-mana manusia mendakwa dari dirinya sahaja boleh menyebabkan manusia lain fahami Quran, samalah dia mendakwa dirinya Tuhan. Sebab itu dalam Quran sendiri ada sebut bahawa Allah yang bertanggungjawab memasukkan ilmuNya kepada mana-mana hati manusia yang disucikan. Dengan kata lain, Nabi Muhammad sendiri tidak mengaku yang baginda berkuasa memasukkan ilmu Quran kepada hati manusia. Baginda hanya penyampai dan pemberi ingatan sahaja. Tetap, atas diri manusia masing-masinglah mahu hatinya difahami Quran (dengan redha Allah yang mengajarnya) atau engkar kebenaran Quran.

Kenapa seorang budak bernama Adi Putra memiliki keupayaan ilmu matematik tahap tertinggi sedangkan dia tidak dikhabarkan belajar dari mana-mana profesor? Bukankah itu tanda-tanda KekuasaanNya mengajar terus manusia menjadi pandai? Adakah Allah hendak buka mata umat Islam sekarang supaya yakin pada diri sendiri bahawa kita mampu mengkaji dan memahami Quran dengan belajar terus kepada Allah?

Kesimpulannya, untuk membawa umat Islam kembali kepada Quran, setiap diri individu muslim yang ada kesedaran betapa pentingnya kita memahami dan menghayati Quran, kena yakin bahawa Allah sahaja yang mengajar kita, bukan ada sekutu bagiNya. Lakukanlah usaha yang boleh kita mengetahui sesuatu makna ayat Quran dan bertawakallah kepada Allah dalam mempelajari ilmuNya. Jika kita berniat ikhlas untuk fahami Quran dan memohon perlindungan Allah daripada syaitan, apakah syaitan berkuasa mengalahkan perlindungan Allah itu?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply