Bahaya percaya kepada khabar angin. Sayangilah jantung anda.
Bila bahang pilihanraya sudah semakin terasa, macam-macamlah berita keluar. Tidak lupa juga khabar angin turut meniup sama. Untuk melatih diri menjadi ulul albab, bila kita dengar sesuatu berita, janganlah terus percaya bulat-bulat. Selidikinya terlebih dahulu. Allah sudah kurnia kepada kita akal yang waras untuk menimbang dan menilai. Tetapi jika dalam hati ada prejudis, tentu sesuatu berita yang kita dengar, kita akan percaya atau tolak mentah-mentah. Kerana itu kita kena jaga hati dari kekotoran supaya otak kita boleh bekerja dengan lancar.
Mungkin itulah pengajaran yang boleh kita dapat dari desas-desus berkenaan pembubaran Parlimen hari ini. Memang, sesuatu khabar angin itu sesuatu yang seronok kita dengar. Lebih-lebih lagi melibatkan cerita keburukan orang-orang yang kita benci. Islam tidak mengajar kita benci-membenci. Kerana kebencian akan menyebabkan hati jadi panas, resah dan gelisah. Kegelisahan ini akan menyebabkan komplikasi penyakit jantung yang sudah menjadi pembunuh utama di negara kita.
Sebab apa para Ambiya’ tidak dikhabarkan mendapat penyakit jantung ini malah pada zaman nenek-moyang kita pun penyakit ini tidak popular lagi? Adakah kerana mereka mengatakan dan mempercayai sesuatu yang benar, haq, jelas, nyata dan logik yang mudah diterima oleh akal yang waras? Jika manusia itu berpegang kepada sesuatu yang tidak kukuh dan tiada bukti yang nyata, bila dia diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dia pegang, dia akan rasa takut, berdebar-debar dan gementar. Itulah tanda-tanda manusia yang banyak berdusta. Bila selalu sangat berdusta, maka jantung jadi lemah akibat tekanan perasaan dan kegentaran ini.
Tentu ada sebab mengapa rakyat negara kita ramai yang kena sakit jantung. Malah muda-muda pun sudah diserang oleh penyakit ini. Selama ini kita hanya melihat penyakit jantung berpunca daripada pemakanan dan malas bersukan sahaja. Perihal rohani jarang disebutkan, sedangkan dalam diri kita ada unsur jasmani dan rohani. Adakah Allah hendak menyedarkan kita bahawa kita sebenarnya telah jauh daripada ajaran Islam yang tenang, selamat dan harmoni? Oleh itu, kita kena kembali kepada Quran yang sebenar iaitu menjadi generasi pemikir Quran untuk menyebarkan rasa kasih sayang dan keharmonian, bukannya belajar Quran untuk menghukum orang lain yang tidak sekutu dengan kita.
Bila kita menjadi golongan mengkaji Quran untuk menghuraikan kelogikan yang ada dalam Quran, hati kita menjadi seronok. Idea kita melimpah-limpah. Setiap kali mendapat idea-idea baru yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini, kita akan menjadi bersemangat untuk terus mengkaji dan mengkaji. Barulah kita boleh capai sikap suka mengkaji macam masyarakat Barat lakukan. Setiap hari Quran menjadi peneman hidup. Kajilah Quran dalam bahasa yang mudah kita fahami kerana Islam itu mudah. Apa hak kita untuk menyusahkan sesuatu golongan manusia yang ingin memahami Quran?
Bila Quran sentiasa menemani diri barulah hati menjadi sejahtera dan jantung berfungsi dengan normal. Kita semua akan merasai mati. Tetapi adakah kita mahu mati dalam keadaaan sentapan kesakitan jantung? Biarlah kita mati dengan tenang, damai dan tiada ketakutan. Itulah mati golongan yang beriman.

























Posted
on
Wednesday, February 13th, 2008 at 6:34 am under

