12 Feb

Memelihara jantung kita

Berkaitan dengan seruan PM kita

Perasaan prejudis adalah termasuk dalam kategori perasaan buruk. Oleh kerana Allah cipta alam ini berpasang-pasangan, begitu juga dengan perasaan kita, ada perasaan baik dan perasaan buruk. Perasaan buruk dikawal oleh hawa nafsu (bisikan syaitan) manakala perasaan baik dikawal oleh pertimbangan akal yang waras (logik). Manusia yang menolak akalnya sendiri akan memilih hawa nafsunya.

Sebab itulah pentingnya kita menjadikan akal fikiran kita bebas seperti camar-camar yang berterbangan, bukan seperti lembu yang dicucuk hidung untuk dibawa ke sana ke sini. Seperti burung-burung yang terbang mengikut petunjuk Allah, begitulah juga bila akal fikiran kita bebas berfikir mengikut petunjuk Allah. Selagi kita berfikir dengan waras dan logik, selagi itulah kita mengikut jalan yang lurus. Tetapi jika manusia itu jenis malas berfikir dan hanya tahu mengikut sesuatu pendapat manusia lain, maka kebarangkalian untuk ia taksub dan tersesat adalah besar. Jadilah mereka seperti pengikut ajaran sesat yang biasa kita dengar. Taksub membawa kepada pendewaan manusia. Sesuatu individu diagung-agungkan seolah-olah wujudnya sekutu bagi Allah.

Perasaan prejudis ini bermula daripada bisikan syak wasangka di dada manusia. Kerana itu dalam Quran sendiri mengingatkan kita tentang hasutan jahat yang datang dari jin dan manusia (Surah An Naas). Rosaknya hubungan sesama manusia bila kuatnya mereka taksub kepada bisikan jahat dalam hati mereka sendiri. Tanpa sebarang bukti dan hanya dengar khabar angin, mereka terikut dengan perasaan jahat yang membawa mereka berprejudis sesama sendiri. Inilah pemulaan iblis ingin melaga-lagakan manusia.

Bila hati itu penuh perasaan prejudis, mulalah iblis meniup rasa dengki, dendam dan khianat. Peringkat ini sudah hampir teruk hati itu. Hati jadi cepat panas, marah atau melenting. Perasaan ini akan membawa kepada perbuatan-perbuatan yang merosakkan seperti memfitnah dan batu api dan akhirnya bunuh-berbunuhan. Nampak orang lain lebih daripadanya, mulalah hendak mendengki. Kerana itu Quran menyediakan surah Al Falaq untuk melawan dan berlindung daripada penyakit hati ini.

Sebagai umat Islam yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum, kitalah yang patut menunjukkan contoh orang yang jauh daripada sifat prejudis. Jangan kerana atas nama Quran dan Sunnah, kita yang menyebarkan fitnah, kerana tertipu dengan prejudis ini. Umat Islam adalah umat yang banyak tersenyum dan mengawal marah. Kalau asyik marah, membenci dan memprotes (akibat bisikan syaitan yang memanaskan hati) bila masa kita hendak belajar mengenali diri?

Hormat-menghormatilah sesama kita walaupun kita hidup berbilang bangsa dan kaum. Sama-sama kita jadi rakyat yang rajin berfikir dan mengkaji macam masyarakat Barat suka lakukan. Itulah Sunnah para Nabi yang umat Islam sekarang lalai atau leka hendak buat. Quran hanya disempitkan dengan melancarkan bacaan dan tajwid yang betul walhal pengajarannya yang mengajak kita menjadi manusia yang suka mengkaji alam (sains) diabaikan. Akibat kelekaan umat Islam sendiri, tugas mengkaji alam berdasarkan Quran telah diambil alih orang-orang Barat.

Adakah benar bagai dikata bahawa tanda-tanda Kiamat adalah munculnya matahari dari Barat? Iaitu bermaksud dunia sudah terbalik? Yang zahirnya nampak baik tetapi dalam hati rupanya pembelit? Yang berwajah sengkek, tetapi hatinya baik? Memang hairan bin ajaib, jika umat yang dibekalkan Quran menjadi umat yang berfikiran sempit.

Kembalilah kepada Quran dan Sunnah dengan menjadikan pemikiran kita bebas, bukannya terbelenggu. Kata-kata yang membelenggu pemikiran manusia itu tidak lain daripada bisikan jahat yang mengandungi was-was dan hasad dengki. Itulah syaitan iaitu musuh yang ada dalam setiap diri manusia, yang suka manusia berfikiran lemah dan lembab. Bila lembabnya fikiran manusia, mudahlah perasaan prejudis ditiupkan ke dalam hati manusia sehingga hidup manusia itu tidak tenang. Bila hati tidak tenang, jantung pun berdegup kencang yang akhirnya boleh membawa penyakit lemah jantung dan stroke. Mungkin kerana itu kadar penyakit jantung di negara kita sekarang tinggi. Bukan setakat tabiat permakanan semata-mata, tetapi kerana gagalnya kita mengawal penyakit hati.

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al Hujuraat, ayat 13)

Jadilah umat Islam yang mengharmonikan alam semesta ini. Bukannya membuak-buakkan perasaan kebencian dan prejudis. Sesungguhnya Allah merencanakan yang terbaik untuk kita di Malaysia kerana hidup dalam masyarakat majmuk. Ini boleh melatih kita mengawal hati dari perasaan taksub kepada bangsa sendiri. Setiap bangsa ada kelebihan dan kelemahan sendiri. Gunakanlah kelebihan bangsa lain untuk membetulkan kelemahan sendiri. Sikap perasan keturunannya semuanya bagus itulah yang membawa kepada sikap tidak boleh bertoleransi.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

2 Responses to “Memelihara jantung kita”

  1. mrozaidi Says:

    Sama²Lah Kita Mengerjakannya

  2. halyda_6 Says:

    InsyaAllah…kita sama2 milik Allah

Leave a Reply