Special Thanks To…
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua…
Moga kehadiran pagi yang indah ini bakal menghadiahkan sesuatu yang indah dalam hidup kita. Walaupun sekarang ni cuaca sangat panas dan kering…
Dan ucapan terima kasih tak terkira kepada Kerasma yang telah meluangkan masa menulis panjang di blog saya sementara saya menumpukan perhatian kepada kerja lain. Juga sayang yang tak terhingga kepada anak-anak ibu yang mengerti dan asyik tidur je bila dibuai. Kalian memang menyenangkan kerja ibu
Tak ketinggalan kepada suami tercinta yang sentiasa memberi dorongan dan mengejutkan saya seawal mungkin untuk bekerja (ambil kesempatan masa anak tidur).
Dan saya dah dapat menarik nafas lega…berkesempatan melayan anak dengan layanan yang tip-top. Ada masa nak melayari internet macam dulu…walaupun masih ada beberapa projek dan perancangan yang beratur menunggu turn…
Last 2 weeks saya ada terima emel dari seorang pembaca blog, seorang student. Bertanyakan tentang VB. Saya jangka dia ada baca posting saya dan husband yang terdahulu. Dan saya amat bersyukur sebab blog ni dah berjaya memberikan sesuatu kepada pembaca. Setelah berjanji untuk bertemu, student tersebut minta tolong husband saya siapkan satu projek. Berkenaan dengan VB excell. Tumpang seronok untuk husband. Rezeki tak terjangka…
Sabtu lepas ada kenduri adik saya belah lelaki. Kat Cheras. Sekarang ni diorang tengah honeymoon di Langkawi. Tadi dia sms saya, katanya nak gi snorkling…wah tentu seronok. Dan saya tak lepaskan peluang untuk pesan coklat banyak-banyak…
Kat sana coklat murah-murah.
Sofea sekarang dah mula makan. Mulanya husband tak bagi saya suap makan lagi. Tapi bila tengok dia dah macam tak sabar-sabar nak makan, saya cuba suap. Punya la berselera. Sekarang ni pantang tengok makanan. Pantang tengok Abang Yie dia makan.
Dia dah pandai meniarap. Dah pandai menggerakkan kaki dan mengangkat dada untuk ke depan. Semalam saya masukkan dalam walker. Seronok dia. Dan yang terlebih seronok, tak lain tak bukan abang dia la…ditolaknya walker tu ke sana ke sini. Merengek minta nak naik. Nasib baik pujukan saya menjadi…Abang Yie dah pandai layan adik dia. Sekarang ni nama Sofea pun dia dah tukar. Sofea dah jadi Copi-Copi. Panggilan manja yang di create oleh abang Yie untuk adiknya. Bila dah lama sebut, terasa sedap pulak…
Malam tadi saya tersedar dari lena. Sebab Abang Yie bangun. Dalam kesamaran lampu saya tengok Abang Yie bangun dan datang tidur dekat dengan Sofea. Dia genggam tangan adiknya dan dekatkan hidungnya pada Sofea. Masya Allah…kasih sayang yang tiada pernah saya bayangkan. Budak tiga tahun pun tau rasa kasih yang mendalam. Ini kan pula kita yang dah dewasa dan tahu berfikir.Cuma, bagaimana pula dengan rasa kasih pada insan yang sanggup memperlakukan sesuatu yang tidak elok pada kanak-kanak? Adakah Allah telah melenyapkan rasa kasih itu, atau mereka sendiri terleka kerana hasutan syaitan yang bermaharajalele. Dan kepala saya mula membayangkan Adik Sharlinie. Kehilangan tanpa jejak. Sama-sama kita mendoakan sesuatu yang baik untuk dia.
Bagi saya perasaan sayang dan saling mengasihi bertitik tolak daripada persekitaran yang saling menyayangi. Persekitaran yang saling bertengkaran dan berbalahan akan melahirkan insan yang sering memberontak dan sering berasa tidak puas hati. Bila ibu bapa sering bertengkar dan menggunakan bahasa yang kasar, secara tidak langsung anak-anak juga akan terdidik dengan cara yang sama. Dan ibu bapa pula tidak boleh salahkan anak-anak kalau berlaku biadap dan sebagainya. Juga tak boleh salahkan remaja yang bermasalah kalau puncanya bermula dari rumah….
Begitu juga dengan seorang suami untuk isterinya. Suami yang baik dan penuh bertimbang rasa akan melahirkan isteri yang sentiasa ingin memberikan yang terbaik. Seorang isteri akan sentiasa berusaha untuk memberi kebahagiaan kepada suami dan keluarganya bila dia merasakan dirinya sentiasa disayangi dan dihargai. Apa lagi kalau suami tu ringan tulang membantu meringankan kerja isteri. Bukan senang dan bukan ringan tanggungjawab seorang isteri. Dia perlu membereskan segala hal dari pakaian suami, pakaian anak-anak, pakaian sendiri, makan minum keluarga, memastikan rumah sentiasa bersih dan tersusun. Agar bila suami pulang dari kerja, matanya sentiasa damai dan tak berserabut dengan keadaan rumah yang bagaikan kapal pecah.
Tak habis kat situ, isteri juga perlu jadi guru. Mengajar dan membimbing anak-anak. Mendoakan…
Dan seorang suami, hargailah perasaan dan pengorbanan isteri. Berlemah lembut dalam bicara dan perlakuan. Tunjukkanlah betapa anda menyintai dan menyayanginya. Jangan pulak minta nak kawin lagi satu
Sebut pasal poligami, Islam tak melarang. Malah jadi senjata utama seorang lelaki kerana ikut sunnah. Sebagai seorang wanita, kita tidak boleh menidakkan hukum ini. Cuma, persekitaran dan pengalaman orang terdahulu menjadikan para isteri terlalu fobia dan teramat la takut dengan perkataan POLIGAMI tu…
Kalau suami mampu berlaku adil, dari segi zahir dan batin…tentu si isteri tidak menolak. Kalau ada contoh depan mata yang memperlihatkan betapa manisnya bermadu, tentu tiada yang menentang. Memang kita ada mendengar dari kisah Nabi yang sentiasa berlaku adil…tapi persekitaran sekarang berjaya mengaburi…Kita disajikan dengan kes isteri yang terabai dan anak-anak ditinggalkan bila si ayah kahwin lagi…kita didedahkan dengan perlakuan suami yang semakin menjadi-jadi sejak berkahwin lagi. Buka cawangan merata-rata tapi tak pernah nak ambil kisah. Perkara-perkara seperti ini lah yang memburukkan erti dan pengertian sebenar poligami…
Dari satu topik ke satu topik…bila kita berfikir, macam -macam benda nak dikupas…erk..saya terasa seronok pulak membincangkan bab poligami ni…mungkin nanti ada posting yang berkaitan dengannya. Dan para suami di luar sana, sudah pasti tersenyum riang bila membincangkan bab poligami nih. Sengeh sampai ke telinga. dan dalam kepala mesti dah tergambar…bestnya kalau kawin lagi satu…Kan?? Ala, jangan kelentong la…Bukan ke itu idaman tiap insan bernama lelaki…
Semoga tulisan saya hari ini memberi sesuatu yang bermakna dan bermanfaat untuk kita semua…sesungguhnya yang baik tu datang dari Allah, dan yang buruk tu adalah dari kelemahan dan kedhaifan diri saya…jumpa lagi

























Posted
on
Wednesday, February 20th, 2008 at 10:06 am under


Berpoligami? Memang seronok apabila didengar oleh kaum Lelaki. Tidak dapat dinafikan ada kemungkinan segelintir lelaki yang berlaku adil apabila berpoligami. Tetapi kadang…kadang bak kata P.Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang. Jangan disebabkan berpoligami mereka kaum lelaki terkendala di makhamah akhirat sana. Dek sikap tidak dapat berlaku adil.
Yang ketara sekali mereka bukanlah Rasulullah SAW yang akhlaknya sudah terjamin sempurna baiknya. Sedangkan Sayidina Ali dilarang oleh Rasulullah SAW untuk berpoligami. Ini kerana dikhuatiri bakal isterinya yang kedua tidak setanding Sayidatina Fatimah Az-Zahara. Dirinya sanggup berkorban apa sahaja demi suaminya yang tercinta. Tidak mungkin isterinya yang kedua boleh bersikap sedemikian rupa. Sedangkan Sayidatina Fatimah Az-Zahara sanggup bersabar menempuh dugaan. Dengan mengambil air berbatu-batu jauhnya dan mengayak gandum sehingga tangannya menjadi kasar.
Dalam isu berpoligami, tanggungjawab itu bukan sahaja terletak atas bahu si suami. Namun isteri-isterinya turut memainkan peranan yang penting dalam rumahtangga. Jika tidak sanggup, cukuplah satu!
Teringat akan pesanan arwah makcik saya. Beliau pernah melarang sepupu saya kerana ingin mencari isteri kedua untuk suaminya. Hanya kerana inginkan payung emas di akhirat sana. Suaminya adalah seorang Tabligh. Kadang-kala suaminya berada di sisinya dan kadang-kala terpaksa pergi meninggalkannya selama 6 bulan berturut-turut dengan nafkah yang diberi tidak mencukupi selama 6 bulan untuk keempat-empat puterinya. Sedangkan sepupu saya bersabar dengan menjual kuih-muih untuk menyara hidup. Sepupu saya memiliki 3 helai jubah sahaja. 1 untuk pergi jemputan. 2 untuk pakaian harian. Semuanya berwarna hitam. Memang niatnya ikhlas dari wajahnya yang senantiasa dibasahi air wudhu. Sungguh jernih melambangkan seorang wanita soleha. Namun apabila arwah makcik saya menegurnya, “Anak siapa dan wanita daripada keturunan manakah untuk dijadikan isteri kedua buat suamimu?” Dia menjawab, “Tidak kira siapa. Yang penting dia sanggup bermadu.” Arwah makcik saya terus menegur, “Jika dirimu sendiri sebagai seorang isteri telah bersusah payah mencari rezeki. Bagaimana mungkin ada isteri yang kedua sepertimu? Tidak akan sanggup dia memiliki baju sebanyak 3 helai sahaja. Dan tidak akan sanggup ditinggalkan suami berbulan-bulan lamanya kerana melakukan Tabligh. Jika dirimu sudah dapat merasakan kesusahannya. Cukuplah dirimu sahaja yang merasakannya bersama suamimu. Janganlah pula mengundang kesusahan pada wanita lain pula. Dikhuatiri isteri yang kedua akan menghalang suamimu untuk ke Syurga-Nya.” Dia hanya tersenyum malu tanpa kata apa-apa. Sepupu saya itu adalah wanita al-arqam.
Wallahu ‘alam bishowob…
Ini hanyalah sedikit ulasan daripada saya. Jika terkasar tutur bicara, mohon maaf.
February 20th, 2008 at 7:03 pmTerima kasih kerana sudi berkongsi pendapat pasal isu poligami ini. Rasanya inilah komen terpanjang yang pernah diposting sejak blog ini wujud. Teruskan menulis
February 20th, 2008 at 9:54 pmPoligami adalah suatu yang suci yang dibenarkan oleh kitab yang suci yang datang dari Allah Maha Suci.
Sedangkan Quran yang suci pun manusia boleh gunakan dengan cara yang tidak betul untuk menghalalkan permusuhan dan berpecah belah, begitulah juga nasib poligami yang diburukkan gambarannya.
Jika akal dipertingkatkan dan hati dijernihkan, segala urusan hidup akan dipermudahkan, tidak terkecuali dengan poligami juga. Islam itu mudah.
February 20th, 2008 at 10:12 pmYang…betul la poligami tu senjata…tp bkn utk lelaki je…utk org pompuan gak…senjata terbaik utk kita lawan syaitan…
Syaitan tu la yg duk ragu2kan kebaikan poligami…diburuk2 sesuatu yg yg baik dgn cerita2 yg menakutkan org pompuan sendiri…bukannya sama2 nak diperindahkan suruhan Quran tu…hehe
Bak kata sdr Muslimat, poligami adalah tanggungjawab bersama…so dua2 pihak ada tanggungjawab utk memperbetul persepsi buruk masyarakat skrg terhadap ajaran Quran ini…bukankah satu pahala yg besar jika kita berjaya perbetulkan sesuatu yg tidak betul?..yg halal asalnya tetapi telah dipandang bagaikan suatu yg haram…betul tak Kerasma??
February 21st, 2008 at 5:42 amSenjata dua fungsinya. Sama ada untuk keselamatan atau untuk mengundang sesuatu musibah sama ada kepada diri sendiri atau orang lain.
Jadi, banyak tanggung jawab terletak pada pemegang senjata…orang yang akan ditembak atau yang akan terjaga keselamatannya hanya berusaha berdoa dan lakukan yang terbaik…di samping membantu dan menyokong apa-apa yang patut…
February 21st, 2008 at 9:04 amSetiap org ade senjata masing2 iaitu akal. Jika guna akal, kita boleh tewaskan syaitan. Dengan akal, kita pertahankan diri drp tipu-daya syaitan yg tersembunyi dlm diri…
Syaitan2 inilah yg suka memberi gambaran buruk, was-was dan persangkaan yg menakutkan terhadap kita…cthnya dlm kes poligami ni, org pompuan mula sangka yg bukan2 bila dgr laki dia nak kahwin lain…
Kalau betul poligami ni buruk, awal lagi Allah sudah haramkan dlm Quran. Tapi yg jadikan poligami tu buruk adalah diri kita sendiri yg suka buruk sangka dgn takdir Allah.
Kalau dgn Allah pun kita sudah sangka macam2 persangkaan buruk, bagaimana tempat kita di sisiNya?
Betul tak wahai cik adila?
February 21st, 2008 at 11:32 amBila suami dan isteri berbicara tentang poligami
Gunakanlah kewarasan bila berbincang. Melalui perbincangan kita boleh belajar mengawal perasaan amarah.
Amarah itu senjata syaitan. Kalau berbincang guna amarah, bagaimana akal hendak digunakan untuk mewaraskan diri. Berbincanglah dengan menggunakan logik akal, bukannya sekadar bisikan persangkaan yang menakutkan diri kita sendiri.
Kita sendirilah yang mampu mengubah segala persepsi buruk yang hadir dalam diri kita. Jangan biarkan pemikiran kita ditaksubi oleh syaitan yang meragukan. Gunakan kelebihan perkahwinan untuk melawan syaitan-syaitan yang tersembunyi baik dalam diri suami dan isteri. Bagi yang berpoligami, para isteri boleh berkerjasama untuk melawan syaitan yang membisikkan kedengkian, benci dan marah dalam hati masing-masing.
February 21st, 2008 at 12:00 pmNtoh le en ujang…dalam bab poligami ni, seterbuka mana pompuan pun, pasti ada tertutupnya…
hanya pertimbangan dan akal yang sihat dapat mengimbanginya…
Saya sendiri sebagai isteri, ada sedikit goyah bila diutarakan pasal ni..walaupun pada mulanya hati ni seakan dah terbuka membincangkan soal ni…
Dan untuk elakkan pertengkaran dan bermasam muka, saya lebih suka mendengar buat masa lonih..
erk..orang laki kata nak ikut sunnah…boleh…tapi ikutla sunnah nabi. nabi kawin lain pun selepas Siti Khadijah meninggal
Dan untuk suamiku tercinta, kalau isteri abang ni dah meninggal, abang kawinla. Kesian anak-anak kita yang comel ni tanpa kasih sayang ibu…
Memang Kerasma menggunakan logik akal dalam bab ni…saya tak boleh menidakkan apa yang betul
Pernah tengok jelli?Cuba amik jelli dan masukkan dalam satu bekas kaca yang cantik. Pasti kita lihat ia bertambah cantik kan…apa akan jadi kalau jeli tu tercucuk dengan pin?Nampak sedikit lubang…lubang tu kita boleh tutup dengan meratakan kembali jeli tu…walaupun tertutup, tapi bila diteliti tetap ada kesannya…
Begitulah hati isteri…dia memang menerima hakikat suami nak kawin lain, dengan janji nak berlaku adil dan sebagainya. Dia redha. Hanya Allah tempat dia mengadu dan merintih. Dan seorang isteri pasti akan mendoakan kegembiraan dan kebahagiaan suaminya dalam apa jua keadaan…
Kalau pun isteri tu marah, mungkin dia marahkan setan yang bertebaran yang mengipas api kemarahannya…tapi sedarkah para suami…macam mana isteri itu…kalaupun dia marah seklipun, suami tetap dihati. Dilayan makan minumnya macam biasa dan mungkin si isteri pula yang berusaha membaiki keadaan tadi…
erk..panjang la pulak. Nanti saya buat posting pasal ni pulak. Kerasma, Uajng dan Muslimah mesti ada idea yang bernas untuk dikongsi bersama.
February 21st, 2008 at 12:35 pmWow! Cik adila dah byk idea skrg yea…bleh tulis panjang2…mari kita berkongsi pendapat lagi…bak kata Kerasma, berkongsi pendapat bleh menajamkan otak…sebab kita diajak berfikir ikut logik dlm memberi pendapat…
Kalo ikut logik, kita beriman semua Nabi, bukan Nabi Muhammad saje kan? Dan Nabi Ibrahim umpamanya berpoligami tanpa perlu isteri pertamanya mati…Nabi Yaakob juga berpoligami dgn adik-beradik (masa tu syariat membenarkan)…so adalah tidak wajar kita kata kena tunggu isteri pertama takde baru poligami dihalalkan utk kita…jgn kita mengharamkan apa yg halal…mengubah2 hukum kan tak baik kan cik adila?
Kenapa hati kita sakit, marah, panas bila dengar sesuatu yg kita tak suka, umpamanya kes poligami ni? Kan syaitan tu diciptakan dari api. Kalo ikut logik, kita pegang api akan menyakitkan. So yg menyebabkan hati kita pedih tu kerana adanya syaitan tersembunyi dlm hati kita.
Dengan kita melawan syaitan ini, kita boleh berlapang dada dgn poligami. Tiada gambaran2 buruk terhadap perkara yg Allah sendiri halalkan.
Cuba kita tanya diri, kenapa kita kedekut atau tamak berkongsi kasih dgn org lain? Adakah suami itu milik kita seorang atau milik Allah? Kalau kita guna syaitan utk bersangka buruk dgn poligami, maknanya kita rasa suami kita itu milik kita seorang. Sedangkan suami itu milik Allah yg Dia boleh menjodohkan si suami kpd mana2 perempuan yg layak utknya.
Cuba cik adila kenang balik, siapa yg menjodohkan cik adila dgn suami ini? Bukankah jodoh pertemuan dlm Kekuasaan Allah? Betapa manusia dipalingkan dari memikirkan KekuasaanNya. Adakah kerana rasa iri hati, dengki, marah dan dendam itu yg menyebabkan syaitan menghasut si isteri supaya takut dgn poligami?
InsyaAllah, jika cik adila berfikir dgn mendlm akan nampak maksud kebaikan di sebalik poligami…tetapi kerana lemahnya penggantungan manusia tu kpd Allah, maka terus meneruslah poligami ditakuti bagaikan mati itu lebih selamat drp poligami…bagaimana kalau mati dlm keadaan tidak kuat keyakinan kpd Allah? Bagaimana taman syurga hendak dimiliki bak kata Kerasma?
Jgn marah..itu semua hasutan syaitan yg meragukan kebenaran Quran…Nabi kita bukan Muhammad semata2…semua Nabi adalah ikutan kita…sbb tu Quran sendiri cerita pasal Nabi2 yg lain…
February 21st, 2008 at 2:55 pmSudah tertulis dalam Al-Quran bahawasanya lelaki memang dibenarkan berpoligami. Lelaki yang bagaimanakah sifatnya yang dibenarkan berpoligami?
Lelaki yang mempunyai 1 nafsu tetapi 1 nafsunya ini mampu melayani lebih daripada 2 isteri, atau 3 atau mungkin sahaja 4. Ini adalah fitrah lelaki. Ini kerana Allah swt Maha Mengetahui kemampuan lelaki yang diciptakan-Nya walaupun lelaki itu dalam keadaan miskin dari segi zahiriahnya.
Namun, masih lagi ada lelaki yang kaya raya. Sekiranya dia ingin berpoligami, 4 isteri pun dia mampu. Dari segi zahiriah. Tetapi dari segi batiniahnya, hanya 1 isteri sudah mencukupi buat dirinya itu. Cubalah memaksa dirinya untuk berkahwin lagi. Dia akan menggelengkan kepala dan menjawab, “Cukup satu sahaja. Sudah membahagiakan aku.”
Tidak semua lelaki yang serupa. Tidak juga semua lelaki yang inginkan isteri kedua, ketiga mahupun keempat. Masih ramai lagi yang cukup setia dengan isterinya yang satu. Mungkin isterinya ingin suaminya berpoligami. Namun, si suami menolak kerana dari segi batiniah dirinya cukup untuk 1 isteri.
Tidak semua wanita sering bersyak-wasangka tentang berpoligami. Namun, kenyataannya terlalu ramai yang tidak dapat berlaku adil. Disengajakan mahupun tidak sengaja. Wallahu ‘alam bishowob. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa isteri-isterinya turut memainkan peranan apabila si suami sudah berpoligami. Lebih-lebih lagi bila si suami alpa. Maklum sajalah isteri kedua lebih cantik, lebih muda. Jadi giliran isteri kedua pun telah melebihi hari. Seharusnyalah isteri yang cantik dan lebih muda itu menegur agar suaminya dapat bersikap adil.
Bukan setakat adil dari segi giliran sahaja. Itu memang ‘bisa diatur’ bak kata orang Indonesia. Tetapi dari segi keadilan yang lainnya. Jika si suami memuji isteri keduanya cantik. Isteri pertama pun si suami tetap harus memuji yang sama. Begitu juga dengan sikap keadilan keatas anak-anaknya. Anak isteri pertama belikan beg baru, begitu juga dengan anak isteri kedua. Harus bagi sama rata.
Memang benar, isteri pertama sering mengalah dan redha walaupun dia tahu bahawa suaminya tidak bersikap adil keatas dirinya. Mungkin sahaja isteri pertama tidak kuasa untuk membincangkan hal ini. Akibatnya isteri pertama memakan hati. Ibarat api dalam sekam, dipendamnya. Tidakkah jatuh berdosa pada si suami? Kerana ketidak adilan tanpa disedari?
Biasanya suami-suami yang mencari isteri kedua dek jatuh cinta. Jarang yang saya lihat suami yang ingin kahwin isteri kedua, ketiga mahupun keempat mengikut sebenar-benar sunnah Rasulullah SAW dengan mengahwini anak-anak yatim, janda-janda yang tua daripadanya yang mempunyai anak-anak yang terbiar dengan niatnya untuk membela kaum wanita seperti ini. Memang kaum wanita merasa takut dengan bermadu. Kebanyakkan daripadanya isteri pertama terabai. Dibiarkan dan ditinggalkan hanya kerana isteri pertamanya redha. Bayangkan isterinya ditinggalkan dengan tangisan yang teresak-esak menjaga anaknya yang 8 itu. Dipukul, dibantai. Sedih saya mendengar keluhan isteri pertama ini. Walhal masa berkahwin suka duka mereka bersama. Isteri pertama tidak kurang berkorban berkerja membantu suami meneruskan pelajarannya hingga ke menara gading. Tetapi apakah balasannya sesudah suami itu berkahwin lain?
Poligami inilah yang sering kita dengarkan. Yang sering terpapar di mata masyarakat. Jadi, isteri manakah yang tidak takut jika suaminya inginkan isterinya bermadu? Tidak kurang juga isteri kedua ditinggalkan selepas berkahwin.
Kepada suami-suami, janganlah mengambil kesempatan atas kejujuran dan kebaikan si isteri. Hargailah setiap perngorbanannya. Tanggungjawabmu adalah untuk membimbing mereka ke jalan yang diredhai, iaitu Syurga-Nya jua. Janganlah dipersia-siakan kepercayaan mereka terhadap dirimu.
Itu sahajalah sedikit sebanyak ulasan daripada saya. Andai ada yang tersinggung atau saya ada terkasar tutur bicara, mohon maaf lahir dan batin. Saya membuat komen bukan atas dasar emosi. Semua adalah atas kenyataan yang sebenar yang sering terjadi dalam masyarakat kita ini. Walauapapun kita ambillah kisah ini sebagai ikhtibar buat semua.
February 21st, 2008 at 3:09 pmMemang benar bahawa Nabi-Nabi yang lain turut berpoligami. Untuk memperkecilkan hati isteri-isterinya jauh sekali. Apa lagi mempersia-siakannya.
February 21st, 2008 at 3:18 pmTerima kasih Muslimah…
ulasan yang bermakna dan menggambarkan poligami negara kita…
Dan saya..tidak pernah mengharamkan yang halal…dan tidak sesekali mengubah hukum…cuma saya sampaikan realiti kisah Nabi Muhammad…yang berkahwin setelah ketiadaan Saidatina Khadijah…
Juga bukan kes kedekut dan kes tamak…pepatah…orang tamak selalu rugi…bukan suami saja milik Allah, malah seluruh dunia dan segala apa yang bertebaran dan berkeliaran didalam bumi ini adalah milikNya…tubuh badan kita milikNya…hanya pinjaman…
kalau si suami yakin dapat berlaku adil, dari segenap hal…dan sememngnya dia akan adil, Al-Hamdulillah. Sudah pasti semua perempuan di dunia ini mencaari seorang isteri untuk suaminya…kekadang seronok gak…bila dah tua-tua mungkin ada rasa malas sikit
dan tak kisah kalau suami nak lepak kat umah isteri muda…(erk…ye ke?)
Saya ada terbaca satu problem isteri…suaminya nak kahwin lain, Dia redha dan izinkan…dengan syarat, jika dia rasa dia tidak betah atau tidak berupaya menjalani kehidupan bermadu, dia minta suaminya lepaskan dengan cara yang baik. Dia tak mahu suaminya mendapat balasan dari Allah lantaran janji yang tak tertunai…bagi saya bukan isteri ini tak berusaha memahami suaminya…dia dah berusaha…dan bukan pula dia mengaku kalah dengan ujian Allah…tapi inilah cara dia…tanda sayang dan kasih yang tak pernah berkurang…
Semoga satu hari nanti…akan ada golongan yang betul-betul memperjuangkan sunnah nabi ni…bukan sekadar alasan…dan masa tu…si isteri akan tersenyum riang keranan telah berjaya memberikan sesuatu yang indah kepada suaminya…hadiah atas kasih sayang selama ini…
M, saya pun dah terikut-ikut dengan Kerasma…dia kan selalu dok ajak kita berfikir…cuma mungkin belum setara denagn tahap pemikirannya yang dah mampu menulis sedemikian hebat…Segalanya dari Allah.
February 21st, 2008 at 3:36 pmJika kita berkongsi pendapat dlm keadaan yg tenang, takde sape perlu rasa tersinggung…kalo kita kuat tersinggung, nanti syaitan akan ambil kesempatan meniupkan apa kemarahan dan kebencian. So siapa yg rugi? Manusia jugak…
Jika ada logiknya wujud lelaki seperti para Nabi, kenapa kita tidak membantu mewujudkan suami kita supaya mencontohi akhlak Nabi? Kita mahu Islam kembali gemilang, tetapi dlm satu segi (poligami), jauh di sudut hati kita seolah2 membenci. Allah Maha Melihat dlm hati. Kita boleh tipu manusia, tetapi bolehkah kita tipu Allah.
Yg menyebabkan pompuan tu rasa resah, risau, gelisah bila dgr pasal poligami kerana mereka sendirilah yg mencipta gambaran2 buruk dlm diri sendiri. Memang benar wujud poligami yg gagal, tetapi apa itu alasan poligami dibantah bagaikan suatu maksiat yg besar.
Masing2 memainkan peranan. Suami yg adil dibantu dgn isteri yg berlapang dada dan redha dgn ketentuan Allah.
Sama juga dgn kemunduran umat Islam. Kita suka salahkan Barat seolah2 mereka yg meruntuhkan moral umat Islam, sedangkan kita sendiri yg leka menyediakan generasi yg rajin berfikir yg mereka sendiri tahu menilai buruk baik sesuatu perkara. Sikap suka menyalahkan org lain patut kita elakkan dlm menjaga hati bak kata Kerasma.
Jika si suami boleh praktis adil dlm keluarga, akan adalah pemimpin masyarakat dan negara yg adil. Ini tak bagi suami praktis lelaki berlaku adil, lepas tu marah pemimpin negara tak adil kepada kita. Allah Maha Membalas segala perbuatan buruk kita terhadap Quran.
Sepatutnya gambaran buruk yg kita nampak pada sesuatu ajaran Quran, kita2lah yg kena perbetulkan kembali… Takkan nak suruh si Yahudi yg dibenci ole umat Islam utk perbetulkan ajaran Quran?
Lagi satu, ada Quran kata lelaki berpoligami itu tidak setia? Adakah erti setia tu hanya kahwin satu? Bukankah dengan berlaku adil terhadap semua isteri itu, ertinya kesetiaan yg jitu. Kena jaga 4 org isteri, tapi masih bersabar sbg pemimpin keluarga. Kan setia juga tu?
Selagi org perempuan anggap tiada Kekuasaan Allah dlm menjodohkan suami yg berpoligami, selagi itu mereka akan ditakut2kan oleh iblis. Jika Allah takdir utk kita dimadukan, maknanya adalah rahmat Allah nak beri. Apa kita anggap Allah itu zalim? Manusia sendirilah yg selalu berlaku zalim.
February 21st, 2008 at 3:39 pmSaya adalah salah seorang yang telah jatuh cinta dengan suami orang. Orang yang saya anggap kawan biasa sejak 7 tahun dulu akhirnya meluahkan rasa sayang pada saya dan jika ditakdirkan ada jodoh dia memang akan jadikan saya sebagai isterinya. Saya faham perasaan isterinya yang mungkin rasa tercabar jika suaminya mempunyai orang lain selain dia. Isteri dia telah mengetahui hubungan saya dan suaminya. Isteri dia pernah berjumpa saya dan pernah berkata dia bukan tamak ingin memiliki suami dia seorang tapi marah sebab suami tipu dia.Suami dia pernah bagitau saya kalau dia teruskan hubungan dengan saya isterinya minta berpisah.Saya bukan nak mereka berpisah tapi saya hanya ingin berkongsi sedikit kasih dengannya. Seperti mana dia mencintai suami dia, begitu juga hati saya sebagai seorang perempuan memang hanya boleh mencintai seorang saja lelaki dalam hidup dia.Cuma bezanya saya dianugerahkan kasih sayang tu untuk lelaki yang sudah beristeri tapi itu semua kan anugerah Dia.Tapi saya akui memang susah orang nak terima. Saya tak mampu mengubah hati orang untuk menerima ketentuan yang diberi tapi saya hanya mampu berdoa jika dia jodoh saya permudahkan dan tunjukkan jalan.
June 3rd, 2008 at 3:03 pmJauhnya Isra membaca…posting tu berbulan-bulan yang lepas. Terima kasih bebanyak…
Posting ni saya tulis semasa saya dalam keadaan kelam pasal poligami…Tapi Al-Hamdulillah setelah saya kaji balik dan muhasabah diri, saya nampak sesuatu yang baru dengan poligami ni.
Dan saya semakin yakin, Allah tidak akan ciptakan sesuatu tu dengan sia-sia. Semuanya ada hikmah.
Dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayangnya itu, Allah telah berikan sekelumit rasa cinta dan kasih sayang dari sifatnya kepada kita. Dengan rasa itulah kita berada di dunia ini. Kasih sayang dan cinta, akan membuatkan hidup kita lebih ceria dan bersemangat. Jika kita fikir logik pun, kerana itulah perjuangan Rasulullah diperkuatkan dengan ramai isteri. Perjuangan yang besar memerlukan semangat yang besar. Semangat dan sokongan daripada isteri-isteri Baginda membakar semangat untuk berjuang.
Wanita mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah. Adam yang kesunyian, diperkuatkan dengan Hawa. Muhammad yang ketakutan ketika mula mendapt wahyu diperkuatkan dengan Siti Khadijah sebagi penguat semangat. Mungkin sebab itulah, tak lama selepas Khadijah meninggal, Allah gantikan dalam masa yang singkat, agar semangat yang mengobar perjuangan Rasulullah tidak terpadam.
Bukan ke di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya wanita di belakangnya? Jika ada seorang isteri, ini adalah keadaan biasa masyarakat kita. Jika ada yang beristeri dua pun, bukan suatu yang luar biasa kerana kedua-dua isteri dipisahkan dengan rumah yang berbeza. Masih wujud ketidaksefahaman yang boleh mendorong pertengkaran dan perkelahian. Masih ada hasad dengki dan iri hati. Sedangkan Islam melarang kepada penyakit-penyakit hati ini.
Inilah sebenarnya yang kita nak ubah dalam masyarakat kita. Jika kita dah lihat suasana seperti itu tidak aman dan tak tenteram, kenapa tidak kita switch kepada satu keadaan yang aman dan penuh dengan berkasih sayang.
Segala pujian untuk rasa cinta dan kasih sayang ini, hanya DIA yang berhak menerimanya. Kita hanyalah hamba yang diberi pinjam rasa indah ini. Sebagai hamba yang sedar hakikat kehambaan, kita akan rasa terpanggil untuk bersama dan berkongsi rasa yang indah ini andai tiba waktunya. Islam itu disebarkan dengan cara berkasih sayang. Bukan hanya dengan perang semata-mata.
Dengan sifat kemurahan dan penyayangNYA, Allah telah berikan izin kepada para suami untuk berpoligami. mempunyai ramai isteri. Jika perkara ini sesuatu yang membebankan para isteri, Allah tak akan nyatakan dalam KalamNYA. Bila suami diciptakan dengan keinginan untuk berpoligami, Allah dah create sifat isteri dengan ketebukaan dalam penerimaan untuk berpoligami. Itulah fitrah. Allah itu Maha Bijaksana. Sesuatu yang DIA dihalalkan, tiada reason yang kukuh untuk menyokong kita andai kita pertikaikan ketetapan Allah ini. Bukan ke untuk berfikir pun kita perlukan ilham dariNYA? Segala hidup kita, alam semesta ini dalam genggamanNYA.
Jika kita anggap suami untuk kita seorang, bukan ke kita sudah melampau sifat Allah Yang Maha Berkuasa menentukan jodoh? Sedangkan Dia Maha Memberi, dan penuh dengan sifat-sifat indah dan terpuji. Dan nyata, segala yang kita anggap yang bertentangan dari sifat Allah itu adalah dari kelemahan diri kita sendiri lantaran bisikan jahat.
Jika poligami itu diterima dengan terbuka dan tiada resah yang menghantui, bersama rasa kehambaan dan dipenuhi dengan rasa saling cinta mencintai dan berkasih sayang keranaNYA, tidak mustahil suatu hari nanti poligami yang berlaku dalam zaman Rasulullah dapat kita lihat kembali di zaman kita ini. Kerana cinta pada manusia, bila-bila masa pun akan beralih dan bertukar arah andai sudah timbul rasa bosan. Tapi cinta kerana Allah, cinta itu tak akan hilang dan pudar kerana jika cinta itu pudar bermakna cinta kita terhadapNYA sudah pudar dan berkubur. Sedangkan cinta keranaNYA itu akan kita bawa sampai mati.
Buat baik dibalas baik. Allah dah berikan kita dua jalan. Buat baik atau jahat. Kita yang merasai setiap balasan daripada perbuatan kita itu. Kat dunia ini kita akan merasainya, tak perlu tunggu di akhirat. Kalau kita menentang poligami hanya kerana sifat mazmumah yang ada dalam diri kita, kita tidak akan tenang. Nampak zahir, kita telah berjaya menundukkan suami untuk tidak berpoligami, tapi di sebaliknya, kita akan dihantui rasa bersalah kerana telah menidakkan fitrah yang Allah tentukan ini.
Poligami adalah satu ujian untuk kita semua. Ujian bagi suami dan isteri. Untuk melihat sifat adil dalam seorang suami. Untuk melihat sifat kasih sayang dalam diri seorang isteri sebagai penyokong perjuangan suami. Allah pinjamkan kita dengan sifatNYA, sudah pasti DIA akan suka kalau dapat melihat sifatNYA daripada kita. Walau pada hakikat, apa yang dimilikiNYA adalah berganda daripada apa yang dipinjamkan ini.
Allah dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. mana mungkin DIA sukakan perpecahan dan perceraian. Malah talak adalah satu perkara halal tetapi dibenci olehNYA. Seorang suami yang bijak, dia akan menggunakan sifat ini sebaik mungkin. Jika isteri di ibaratkan seperti mutiara, perlukah seorang suami itu membuang mutiara yang dia dah ada untuk mengejar mutiara yang satu lagi? Sudah pasti dia nak kan ke dua-duanya sekali. Sebaliknya, suami tadi akan berusaha untuk menggilapkan mutiara yang ke dua sepertimana dia gilapkan mutiara yang pertama. Agar kilauan yang memancar tiada beza dan sama-sama mempunyai nilai yang tersendiri.
Allah akan tunjukkan kita jalan yang betul andai kita mengikut segala jalanNYA. Yang penting niat kita hanya untuk mengagungkan Allah. Memang kita tak berkuasa untuk mengubah hati orang. Segala kuasa hanya ada padaNYA.
Andai pasangan Cik Isra ni bersungguh-sungguh untuk mengambil Cik Isra sebagai isterinya, mintalah dia didik isterinya terlebih dahulu. Agar isterinya faham tujuan sebenarnya perkahwinan ini. Agar persetujuan yang timbul bukan kerana terpaksa, tapi kerana rasa seorang insan dan keikhlasan. Bagilah logik-logik yang boleh diterima oleh isterinya. Kerana wanita, mudah menerima sesuatu perkara kalau beriringan dengan logiknya.
Bila isterinya sudah faham hakikat sebenar, maka akan timbul rasa keinsafan dan kehambaan dalam dirinya. Dari situ akan terbit niatnya untuk mengenali Cik Isra dan tak mustahil nanti kalau isterinya yang akan datang kepada Cik Isra sebagai wakil dari suaminya.
Dan mintalah juga kawan Cik Isra memperbaiki dirinya agar selari dan seiring dengan niatnya. Lengkapkan diri dalam persediaan untuk berpoligami. Kerana hidup kita bukan sahaja terletak pada semasa perkahwinan, tetapi hari-hari selepas itu.
Dengan poligami, bukan sahaja kita membesarkan keluarga atau meramaikan zuriat, tetapi ada sesuatu yang tersembunyi di dalamnya yang ramai orang kita tak nampak. Sebenarnya poligami ini adalah satu cara untuk menunnjukkan keindahan dan kehebatan Islam. menunjukkan kesatuan hati antara isteri-isteri di bawah seorang suami. Kalau kita tengok sekarang, mana ada agama lain yang membenarkan poligami. Hanya Islam sahaja. Tiada nikmat Allah yang dapat kita dustai.
Bila isteri-isteri telah satu pemikiran dan menggunakan logik akal yang sama, dengan sendirinya mereka akan bersatu hati. Samalah seperti manusia disatukan dengan logik 1+1=2. Semua manusia setuju dengan logik ini.
Dan bila kesatuan hati sudah tercapai, para suami pun boleh la menjalani kehidupan dengan tenang dan damai bersama rasa kehambaan dan kecintaan yang mendalam kepada Allah. Kerana dia sedar, Allah yang memegang cintanya dan hanya DIA yang Maha Berkuasa untuk setiap benda yang terjadi.
June 6th, 2008 at 8:14 am