Hak terjamin jika yakin dengan Allah
Kita hidup di bawah Kekuasaan Allah. Segala hak yang Allah berikan sebagai pinjaman untuk kita sementara hidup di dunia akan terjamin jika kita menjaminkan keimanan yang mantap kepada Allah. Selagi kita ragu-ragu dengan KekuasaanNya, selagi itu kita akan dibayangi ketakutan dan rasa lemah semangat.
Hak orang-orang Melayu dan bumiputera akan terjamin selagi pemimpinnya di kalangan Melayu sendiri. Dan Allah telah mengangkat ulil amri kita dari bangsa kita sendiri. Itu satu jaminan daripada Allah. Dan ulil amri kita ini di kalangan orang yang membangunkan minda. Mereka menyediakan peluang-peluang untuk orang Melayu belajar dan memajukan pemikiran agar rasa takut dengan bayang-bayang sendiri boleh dibuang. Orang Melayu telah lama hidup dalam zon selesa. Diberikan subsidi dan biasiswa dalam pelajaran. Namun amat menyedihkan, ramai yang tidak sedar diri dan bersyukur atas nikmat Ilahi. Dengan kesenangan hidup yang Allah berikan, mereka melawan ulil amri dengan cara menghasut ke arah kebencian, memburuk-burukkan individu dan budaya cepat marah dan melenting.
Walaupun kita sudah 50 tahun merdeka, mentaliti orang Melayu sudah mundur kebelakang akibat dibiasakan dengan budaya subsidi. Orang Melayu jadi leka dengan kepentingan membangunkan minda dan hidup hanya tahu bersenang-lenang dalam kebodohan sendiri. Orang Melayu jadi kurang berdaya saing dengan kaum-kaum lain kerana merasa selesa kerajaan melindungi hak-hak kita. Akibat generasi terdahulu yang mengkhianati kepercayaan pemerintah, generasi baru menerima kesannya umpamanya pemberian biasiswa sudah tidak semudah dahulu. Ada sebabnya pemerintah terpaksa berbuat begitu bila kita kaji dan berfikir secara matang. Semuanya kesalahan kita sendiri.
Sepatutnya dengan kemudahan yang diberikan oleh pemerintah dalam bidang pelajaran, kita mengambil kesempatan itu dengan membangunkan minda kita agar menjadi generasi ulul albab. Generasi pemikir yang rajin mencipta teknologi-teknologi baru yang menyenangkan manusia agar dunia boleh hidup dengan aman dan harmoni. Adalah sesuatu yang memalukan, sudahlah orang Melayu hidup bertunjangkan akidah Islam, tetapi menunjukkan contoh yang buruk kepada bangsa lain yang orang Melayu ini malas berfikir, mahu hidup senang-lenang dibawah “ketiak” kerajaan dan tidak yakin dengan keupayaan diri sendiri. Bila ditakdirkan sedikit tekanan dalam hidup (kenaikan harga barangan), orang Melayu inilah yang kuat melenting akibat dihasut syaitan yang memanaskan. Hilang iman dan Islam yang diperjuangkan. Itulah gambaran buruk bangsa kita sendiri. Hanya tahu mencari cerita sensasi keburukan dan kesalahan orang lain. Sampai ada yang membenarkan perbuatan mengumpat semata-mata hendak menjatuhkan pemerintah.
Inilah akibat syaitan telah menguasai diri. Hilang pertimbangan akal yang waras. Mudah termakan cerita-cerita fitnah dan cerita keburukan peribadi orang lain yang semua itu merosakkan hati sendiri. Bagaimana hendak masuk syurga yang tenang dan damai, jika hidup di dunia hanya tahu menyebarkan kebencian dan permusuhan? Tidak mustahil nanti ada yang jadi seperti golongan yang disebutkan dalam Quran iaitu mereka sangka sudah buat kebaikan (memperjuangkan Islam), tetapi usaha mereka itu sia-sia belaka kerana perjuangan mereka ditipu-daya syaitan yang suka kepada permusuhan, kebencian, buruk-memburuk dan fitnah-memfitnah yang merosakkan hati dan memundurkan minda manusia itu sendiri.

























Posted
on
Sunday, March 2nd, 2008 at 6:17 am under

