Bila Kita Lupakan Allah…
Tadi semasa klik sana sini, fokus saya tertumpu pada kisah Kaum Aad dan Nabi Nuh. Bila saya go through, ternyata ada banyak perkaitan dengan hidup kita sekarang. Bila kita semakin lupa padaNYA, balasan Allah tidak kenal darjat.
Sudah menjadi Sunnatullah, jika ada yang tidak tahu, terlupa, terpesong; pasti akan ada yang sudi menunjukkan jalan untuk kembali padaNYA.
Apa yang penting, penerimaan secara terbuka dengan berlapang dada dan meluaskan fikiran. Sebab tanpanya, kita akan merasakan teguran atau peringatan yang datang itu seumpama ejekan dan hinaan buat kita. Lebih-lebih lagi jika peringatan itu datang dari kalangan orang biasa yang tidak menonjol ilmu agamanya, tidak berkopiah kepalanya, tidak berjubah bajunya dan tidak ada tittle ustaz pada namanya.
Begitu juga sejak diturunkannya Nabi Adam a.s. ke bumi, jika hamba-hambaNya sudah berada dalam kehidupan yang sesat, jauh menyimpang dari ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh Nabi-nabiNya, Allah akan utuskan seorang Nabi atau Rasul. Tugasnya untuk menyegarkan kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang sebelumnya dan juga mengembalikan masyarakat yang tersesat ke jalan lurus dan benar. Juga bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia dari segala tahyul dan syirik dan menggantinya dengan iman tauhid dan aqidah yang sesuai dengan fitrah.
Inilah yang terjadi kepada Kaum Aad. Nikmat kesenangan dan kemewahan yang melimpah ruah telah membuatkan mereka alpa. Kaum ini terlalu mewah dengan kesenangan dan kesejahteraan hidup dan menyebabkan mereka semakin lupa diri dan tidak mengenal Tuhan.
Kaum Nabi Nuh terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka dikurniakan oleh Allah tanah yang subur dengan sumber airnya yang mengalir dari segala penjuru. Memudahkan mereka bercucuk tanam. Mereka juga turut memperindah tempat tinggal mereka dengan kebun-kebun bunga yang indah-indah. Berkat kurnian Allah, hidup menjadi makmur, sejahtera dan bahagia serta dalam waktu yang singkat mereka berkembang biak dan menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang hidup di sekelilingnya.
Tapi manusia, cepat lupa diri dan kufur dengan nikmat yang banyak. Saban hari kaum Aad hidup dengan rohaninya semakin tidak mengenal Allah Yang Maha Kuasa Pencipta alam semesta. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama Shamud dan Alhattar, lalu disembah. Menurut kepercayaan mereka tuhan buatan itu dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala musibah. Ajaran dan agama Nabi Idris a.s. dan Nabi Nuh a.s. sudah tidak membawa makna dalam kehidupan seharian mereka.
Mereka tenggelam dalam kenikmatan tanah yang subur dan hasil yang melimpah ruah. Dan menganggap itu adalah kurniaan dan pemberian berhala mereka yang mereka sembah. Lalu, mereka tidak putus-putus sujud kepada kedua berhala itu sebagai tanda syukur dan memohon perlindungan dari segala bahaya dan mushibah.
Akibat dari aqidah yang sesat, hidup mereka dikuasai oleh nafsu yang dikudakan oleh syaitan. Mereka semakin memandang ringan pada tuntutan akhlak. Mereka terlalu memandang kebendaan dan zahiriah. Sehingga timbul masalah yang soaial yang berleluasa. Yang kuat menindas yang lemah, yang besar memperkosa yang kecil dan yang berkuasa memeras yang di bawahnya. Sifat-sifat sombong, bongkak, iri hati, dengki, hasut dan benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu menguasai hidup mereka. Sehingga mereka lupa pada sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayang, jujur, amanat dan rendah hati. Demikianlah gambaran masyarakat suku Aad tatkala Allah mengutuskan Nabi Hud sebagai nabi dan rasul kepada mereka.
Nabi Hud adalah daripada suku mereka sendiri ,dari keluarga yang mulia dan berpengaruh. Terkenal sejak kecilnya dengan kelakuan yang baik budi pekerti yang luhur dan sangat bijaksana. Nabi Hud memulakan dakwahnya dengan menarik perhatian kaumnya kepada tanda-tanda wujudnya Allah iaitu alam sekeliling mereka. Baginda menekankan bahawa Allah lah yang mencipta mereka semua dan mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa tanah yang subur, air yang mengalir serta tumbuh-tumbuhan yang tegak dan kuat. DIAlah yang seharusnya mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka buat sendiri. Mereka adalah makhluk Tuhan paling mulia, dan tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah batu-batu yang dapat mereka hancurkan sendiri dan musnahkannya dari pandangan.
Diterangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah yang diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar. Menyeru mereka beriman kepada Allah yang berkuasa menghidup dan mematikan mereka, memberi rezeki atau menariknya semula daripada mereka.
Nabi Hud tidak mengharapkan upah atas usahanya memimpin mereka ke jalan yang benar. Ia hanya menjalankan perintah Allah. Dan jika mereka tetap menutup telinga dan mata mereka terhadap ajakan dan dakwahnya, azab Allah akan sampai seperti yang terjadi atas kaum Nuh. Kaum ini telah binasa kerana tenggelam dalam air bah akibat kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh serta berpegang pada kepercayaan mereka berhala dan patung-patung yang mereka sembah dan puja itu.
Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan sesuatu yang pelik dan mereka tidak duga. Mereka melihat bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud itu akan mengubah sama sekali cara hidup mereka dan peraturan warisan nenek moyang mereka. Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa seorang dari suku mereka sendiri telah berani berusaha merombak tatacara hidup mereka dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan sesuatu yang baru yang mereka tidak kenal dan tidak dapat diterima oleh akal fikiran mereka. Dakwah Nabi Hud ditolaklah oleh mereka berbagai alasan dan tuduhan, serta ejekan-ejekan dan hinaan . Tapi baginda terima dengan tenang dan penuh kesabaran.
Setelah Kaum Aad tidak berganjak dari keercayaan mereka, Nabi Hud berkata:
“ Jika kamu meragukan kebenaran kata-kataku dan tetap berkeras kepala tidak menghiraukan dakwahku dan meninggalkan persembahanmu kepada berhala-berhala itu maka tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari bencananya. Allah menjadi saksiku bahwa aku telah menyampaikan risalah-Nya dengan sepenuh tenagaku kepada mu dan akan tetap berusaha sepanjang hayat kandung badanku memberi penerangan dan tuntunan kepada jalan yang baik yang telah digariskan oleh Allah bagi hamba-hamba-Nya.”
Pembalasan ini turun dalam dua peringkat.
Peringkat pertamanya Allah datangkan kemarau sehinggakan tanaman mereka menjadi kering. Mereka mula gelisah dan keluh kesah. Dalam masa ini, Nabi Hud tetap berusaha untuk membawa kaumnya ke jalan yang betul dengan meyakinkan mereka bahawa itu adalah permulaan seksaan yang Allah janjikan.
Allah masih lagi memberi kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dan kembali beriman kepada Allah. Mereka masih lagi berpeluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kemudian berdoa kepada Allah agar diturunkan segera hujan agar mereka terhindar dari musibah kemarau.
Tetapi mereka masih engkar. Mereka enggan mengikut ajakan dan dakwah Nabi Nuh. Malah pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari musibah yang mereka hadapi.
Balasan ke dua dari Allah mula tiba.
Kelihatan gumpalan awan dan mega hitam yang tebal di atas kepala mereka. Mereka sambut dengan sorak-sorai gembira, kerana menyangkakan hujan akan segera turun membasahi ladang-ladang dan menyirami kebun-kebun mereka yang sedang mengalami kemarau.
Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu berkatalah Nabi Hud:
“Mega hitam itu bukanlah mega hitam dan awam rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kepadamu sebagai pembalasan Allah yang telah ku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan kamu dusta”.
Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang dikatakan oleh Nabi Hud itu. Bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi angin taufan yang dahsyat dan kencang disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan. Ia merosakkan dan menerbangkan rumah, perabot-perabot , harta benda dan binatang-binatang ternak. Kaum Aad menjadi panik. Mereka berlari ke sana sini mencari perlindungan. Bencana angin taufan itu berlaku selama lapan hari tujuh malam sehingga menyapu bersih kaum Aad yang bongkak itu dan menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang menyedihkan untuk menjadi pengajaran kepada umat yang akan datang.
Nabi Hud bersama pengikutnya yang beriman mendapat perlindungan dari Allah. Setelah suasana kembali tenang, baginda bersama pengikutnya berhijrah ke Hadralmaut. Baginda tinggal di situ sehinggalah kembali ke Rahmatullah.
Banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah ini.
Dalam Allah mendatangkan sesuatu musibah, DIA masih memberi kesempatan untuk kita bertaubat. Masih memberi masa kita berfikir. Masa yang diberikan itu perlu kita gunakan untuk berfikir tentang nikmat yang telah lama kita dustai. Masa yang diberikan itu perlu kita gunakan untuk mengenali diri. Mengenali Pencipta kita. Merenung kembali perjalanan hidup kita selama ini.
Bila diri semakin jauh dariNYA, sedikit demi sedikit Allah akan tarik nikmat hidup daripada kita. Sama ada kita sedar atau tidak, itu semua sedikit sebanyak mengganggu rutin harian kita. Kalau selama ini kita bebas riang ke mana sahaja, tetapi Allah datangkan satu musibah yang membuatkan kita terpaksa diam untuk seketika. Sebaiknya kita gunakan peluang keemasan ini untuk berfikir. Berfikir tentang apa yang kita cari dalam hidup ini? Apa yang kita kejar dalam hayat ini?
Berfikir. Kenapa musibah ini menimpa kita. Adakah kerana kita terlalu leka dengan keindahan hidup ini? Riang ria ke sana ke sini sehingga melupakanNYA yang sentiasa memandang dan memerhatikan kita. Gunakan masa yang Allah bagi untuk berfikir.
Andai ada peringatan yang datang, fikirkanlah dengan pertimbangan akal yang waras. Jangan ditolak segala peringatan itu hanya kerana terlalu mengikut bisikan syaitan. Syaitan itu tidak pernah suka kalau kita berhajatkan perkara yang baik. Malah dia akan berusaha menarik kita kembali kepadanya. Gunakanlah logik akal. Tanya diri kenapa perlu ditolak sesuatu yang baik, sedangkan selama ini kita juga yang berdoa agar Allah datangkan sesuatu yang baik dalam hidup kita. Apabila Allah datangkan, kenapa dudustai RahmatNYA ini?
Andai musibah yang menimpa membawa kita kepadaNYA, bermakna kita telah beroleh petunjuk dan hidayah daripadanya. Musibah yang menimpa adalah satu kejutan untuk kita. Itulah cara Allah mengejutkan hambaNYA dari terus terleka dengan arus dunia. Kerana hanya DIA lah yang berkuasa mengurniakan hidayah kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki. Jika diberi peringatan berkali-kali, tetapi tidak akan berkesan jika Allah tidak membukakan pintu hidayah…
Berdoalah kita agar sentiasa mendapat taufiq dan hidayah daripadaNYA. Agar kita selalu dalam Rahmat dan Kasih SayangNYA. Amin…jadikanlah kisah terdahulu sebagai panduan untuk kita.

























Posted
on
Wednesday, April 30th, 2008 at 2:57 pm under


Biasa terjadi, apabila Allah kurniakan nikmat, manusia jadi lupa kepadaNya. Dan apabila Dia menurunkan kesusahan, menyebabkan manusia berfikir kenapa itu semua terjadi pada dirinya. Bila manusia itu mula berfikir panjang, itulah permulaan jalan ke arah perubahan kepada kebaikan.
Namun jika kebaikan itu ditolak walaupun akalnya sendiri membenarkan, manusia itu akan merasai kegelisahan. Hidupnya jadi serba tak kena.
Semua itu Allah laksanakan krana kasih dan sayang Allah terhadap kita agar tidak terus dilalaikan oleh syaitan.
April 30th, 2008 at 4:19 pm