In Your Heart…
Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan (dalam dada) mereka dan apa yang mereka nyatakan ( Al Qashash, 69)
Dalam KalamNYA, Allah selalu dan sentiasa menekankan tentang DIA mengetahui apa yang tersembunyi dalam dada hambanya.
Terfikirkah kita kenapa? Kenapa tidak Allah katakan bahawa Dia Maha Mengetahui segala yang anggota (kaki, tangan, mata, telinga dan lain-lain) kita lakukan?
Kalau kita fikirkan dengan akal yang Allah kurniakan ini, kita akan dapat sebabnya. Logik akal akan menyokong apa yang kita fikirkan dengan pertimbangan akal yang waras.
Pada hambaNYA, hatilah aset penting yang jadi nilaian dan ukuran. Kerana semua perbuatan yang memerlukan gerakan kaki tangan dan seluruh anggota tidak akan bermula tanpa ada niat di hati. Bila hati terdetik untuk melakukan sesuatu, akal atau nafsu akan mengolah, dan anggota badan akan melaksanakannya.
Dalam hati tersembunyi segalanya. Kita memang boleh menafikan dengan kata-kata, tapi kebenaran yang tersembunyi tetap diketahuiNYA. Hasad dan dengki serta segala penyakit hati bersarang di situ. Dan jika hati berpenyakit, di situ jugalah syaitan akan bertenggek dan beranak pinak. Membisikkan segala kejahatan yang berlawanan dengan keinginan akal yang bersandarkan Al-Quran.
Bila hati sudah dikawal oleh nafsu, maka segala apa yang tersirat dalam hati ni akan diperlihatkan oleh pemiliknya. Dari situlah datangnya sifat ria’, sombong, bangga diri, cemburu, prasangka, tidak puas hati dan sebagainya. Dan penyakit hati inilah juga yang akan membawa kepada sesuatu perkara yang tidak kita ingini seperti perasaan syak wasangka antara suami isteri sehingga membawa kepada satu keadaan yang tidak diingini. Bermacam-macam lagi akibat yang dapat kita tengok daripada penyakit hati ini.
Dan biarlah segala detikan hati itu sentiasa diolah oleh akal yang waras. Dan hasilnya perlakuan yang baik dan elok akan terbit dan dipaparkan pada si pemiliknya. Kerana akal yang waras dan bersandarkan Al-Quran hanya memilih yang terbaik untuk pemiliknya.
Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata (Al Balad, 8 )
Allah kurniakan kita dua mata. Bukan bermaksud sepasang mata yang ada dua biji mata. tetapi ia lebih kepada mata zahir dan mata batin (hati).
Mata zahir yang sentiasa diiringi mata hati seumpama hati yang bersaudarakan akal. Bermakna bila kita lihat sesuatu yang tidak menyenangkan, kita tidak cepat menghukum. Kita tidak cepat mengata atau mengutuk. Kita tidak boleh pandai-pandai menghakimi seseorang di atas perbuatannya. Kerana Allah dan si pembuat sahaja yang faham apa sebenarnya yang tersirat dalam hatinya. Siapalah kita…hanya seorang makhluk, tak ubah macam mereka…
Untuk mencapai kesucian hati dan cintaNYA, kita terpaksa dan perlu berperang dengan tentera syaitan yang menghuni hati. Inilah jihad dan peperangan yang terbesar dalam diri kita. Kita berperang dan berjuang melawan syaitan, sebelum kita berjuang secara nyata.
Memang susah dan tidak siapa pun sanggup bertahan kalau tak ada kesungguhan dan kesabaran. Sebab dalam memerangi syaitan dan mensucikan hati ini, kita akan diuji dengan pelbagai ujian yang menyesakkan. Tanpa ketabahan dan kesungguhan, kita akan tersadung di tengah jalan. Hanya padaNYA kita bermohon agar sentiasa tabah dan cekal dalam segala ujian. Dari DIA ujian datang, dan padaNYA jugalah kita memohon.
Tapi kemanisan sebenar selepas mendapat cintaNYA beserta kesucian hati…hanya kita saja yang tahu. Ketenangan dan kedamian dalam hidup. Sentiasa berusaha memperbaiki diri, dan hidup terasa bahagia tanpa tekanan kerana kita telah menukar setiap masalah yang datang kepada ujian.
Ujian yang perlu kita tempuhi kerana kita hambaNYA dan kita sentiasa berbaik sangka padaNYA. Ujian itu kita tempuhi, dalam masa sama tidak leka dari mendekatkan diri padaNYA. Kerana kita yakin setiap kesulitan, pasti ada kesenangan.
Setiap sesuatu masalah yang datang, kita anggap kerana ada sesuatu yang tidak kena dalam diri kita. Dari sini, kita akan sentiasa berusaha memperbaiki diri dan lebih dekat padaNYA.
Dan sudahnya…hidup ini terasa bagaikan dalam syurga. Kita hanya berbicara bahasa Tuhan…yang penuh dengan keagungan. Memuji segala ciptaanNya. Mengagumi kehebatanNya. Segala cemuhan, kejian dan tohmahan kita terima tanpa ada bekas di hati. Mengenangkan Rasulullah yang lebih berat ujiannya.
Kerana dunia ini hanya singgahan dan carian bekalan untuk kita ke alam yang kekal abadi.

























Posted
on
Thursday, April 17th, 2008 at 11:33 am under

