Kemenangan bagi orang-orang beriman
Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al Baqarah: 153)
Perjuangan Islam tidak terlepas dari sifat sabar. Tidaklah manusia itu termasuk dalam perjuangan Islam selagi tiada sifat sabar. Kerana lawan bagi sabar adalah marah. Pada amarah adanya syaitan. Jadi secara mantiknya, jika orang itu mengaku memperjuangkan Islam tetapi suka marah, mencaci-maki, mengutuk dan mencela, tidaklah yang diperjuangkan melainkan mereka berjuang kerana syaitan. Amat rugilah mereka ini. Kerana rasa berbangga mereka adalah lebih Islamik dari orang lain, hidup mereka dihabiskan untuk mencari kesalahan orang lain berbanding mengkaji kelemahan diri yang menyebabkan umat Islam jadi lemah.
Kelemahan umat Islam kerana kesalahan diri kita sendiri. Kita tidak beragama, melainkan dengan cara taksub dan menurut. Taksub mengikut apa yang dicakapkan oleh orang yang nampak zahirnya warak, tanpa mempertimbangkan terlebih dahulu apa yang dicakapkan. Bila orang yang nampak alim itu suruh berpecah-belah, mencari keburukan orang lain, mencaci-maki pemimpin sendiri, maka orang-orang yang taksub ini menurut membuta-tuli. Bila Allah uji mereka dengan tekanan ekonomi akibat kemalasan mereka sendiri untuk menjadi generasi yang bijak, mereka marah, melenting, panas hati dan hilang sifat kesabaran. Bila tiada kesabaran, hilanglah kewarasan. Kata-kata mereka jadi lemah walaupun nampak macam berpengetahuan Quran. Ini kerana mereka telah menolak rasional akal demi membenarkan tindakan-tindakan yang salah dan bertentangan dengan Quran sendiri. Walaupun merekalah kononnya puak yang berbangga memperjuangkan Quran dan Sunnah. Adakah sifat panas baran dan berbangga diri itu ciri-ciri golongan beriman?
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Luqman: 18)
Kemenangan bagi orang-orang yang beriman adalah dia menjadi semakin bersabar. Dengan kesabaran itu hatinya semakin tenang dan bahagia. Dia semakin tunduk berserah diri kepada Penciptanya. Kekalahan bagi orang-orang yang menolak Allah adalah menjadi semakin marah, sombong dan berbangga diri. Namun walau sesombong mana manusia itu, hidupnya menjadi semakin tidak tenang. Kemuraman dan kesengsaraan melanda diri bagai mentari tiada sinarnya lagi. Bagaimana orang-orang yang berbangga diri itu boleh lepas dari azab Allah sedangkan dirinya berasal dari setitis mani yang hina? Dan tidaklah disempurnakan kejadian manusia itu melainkan dengan pertolongan Allah.
Bagaimana hendak menjadi seorang yang kuat kesabarannya?
Islam tidak akan gemilang kembali jika kita termasuk dalam golongan yang kuat marah. Jika Allah uji dengan tekanan ekonomi, kita melepaskan kemarahan kepada pemimpin sendiri, cuba kita fikir, kita marah itu kepada pemimpin tersebut atau kepada Allah yang menakdirkan sesuatu yang menyebabkan kita sendiri rasa tertekan? Dan tidaklah kebanyakan marah itu dihamburkan melainkan kerana manusia itu tidak kenal Kekuasaan Allah. Mereka tidak fikir, Allah-lah yang melaksanakan segala sesuatu di atas muka bumi ini. Walaupun mulut mereka mengaku beriman kepada Allah, hakikatnya hati mereka jauh daripada mengenali Kekuasaan Allah. Jika manusia itu faham erti Kekuasaan Allah dalam segenap hidupnya, dia menjadi semakin sabar dan tenang.
Untuk fahami erti Kekuasaan Allah, kita perlukan guna logik akal dan rasional sebab Allah perlihatkan tanda-tanda KekuasaanNya dengan sesuatu yang logik dan mudah diterima akal. Allah tidak suruh kita membayang-bayang sesuatu yang kita tidak nampak dan susah otak kita hendak menerimanya. Bila Allah tunjukkan sesuatu keburukan di hadapan mata, jangan cepat marah dan melenting, tetapi berfikirlah dengan waras dan sabar. Kelak kita akan nampak hikmah disebalik keburukan yang melanda diri kita itu yang menenangkan hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Apabila kita rajin berfikir panjang, ilham-ilham yang kita perolehi itu akan mendamaikan hati. Hati yang damai akan meninggalkan emosi panas hati. Kerana yang panas di dalam dada kita itu adalah syaitan yang diciptakan daripada api. Bukankah api itu panas sifatnya?
Semakin kita berfikir secara logik, hati kita mudah memahaminya. Seperti logik 1+1=2, semua manusia mudah menerimanya. Tetapi jika dikatakan 1+1=253, bukankah dakwaan tersebut akan memeningkan kepala dan tidak masuk akal?
Oleh kerana itu, untuk membentuk generasi Islam yang sabar, kita kena mula berfikir secara logik mengkaji kitab pegangan kita (Quran). Lemahnya akal kita hendak menunjukkan kelogikan Quran kepada orang bukan Islam menyebabkan mereka tidak yakin kebenaran Islam. Sedangkan ramai di antara mereka lagi tinggi tahap pemikiran mereka daripada kita. Setelah kita sampaikan sesuatu yang logik dan mudah diterima akal sesuatu manusia itu, sehingga ke mati manusia itu akan ingat (kecuali jika Allah melupakannya). Kerana sesuatu yang haq itu milik Allah. Manusia tidak akan mampu melarikan diri dari yang haq. Biarpun sejauh mana dia lari, kebenaran itu akan menghantui diri jika manusia itu menolaknya kerana kebenaran itu telah meletak dalam otaknya sendiri. Manusia itu akan jadi berdebar dan tidak tenteram. Itulah sebahagian azab Allah yang dirasakan sejak di dunia. Kelak di akhirat tidak terperi azabNya.
Dan tinggalkan lah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka, karena perbuatannya sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak pula pemberi syafa’at selain daripada Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusanpun, niscaya tidak akan diterima itu daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka. Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekafiran mereka dahulu. (Al An’aam: 70)
Tetapi jika manusia itu berserah diri dengan kebenaran yang dicapai oleh akalnya sendiri, jiwanya jadi tenang dan bahagia. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

























Posted
on
Wednesday, April 30th, 2008 at 9:26 am under

