Bahalol (XPDC)
Bingai lagi hidup ini
Nak cari makan susah sangat
Mahu ronda kota raya
Lepak kejap pasar budaya
Apabila manusia itu lalai membangunkan akalnya, Allah akan menyempitkan jalan ia mencari rezeki. Manusia itu akan rasa tertekan dengan kehidupannya sendiri. Rasa hidupnya tidak mempunyai erti sedangkan tidaklah diciptakan manusia itu melainkan untuk menghambakan diri kepada Allah. Bila kita terasa diri kita adalah hamba kepada Allah, kita akan berserah diri kepada ketentuan Allah.
Bagaimana hendak mencapai rasa berserah diri ini? Adakah dengan hidup bermalas-malasan meronda-ronda di kota raya dan mengharapkan rezeki datang bergolek? Adakah dengan cara melepak di pasar budaya dengan membiarkan masa berlalu pergi? Tidak, tetapi dengan jalan membangunkan pemikiran kerana akal adalah mahkota bagi manusia. Ketinggian akal yang membezakan kita dengan binatang ternak.
Nak meronda, rondalah. Nak melepak, lepaklah. Tapi gunakan pandangan mata kita itu untuk berfikir apa hikmah disebalik yang terjadi dalam hidup kita dan apa yang Allah nampakkan untuk kita. Semuanya mempunyai mesej yang tersembunyi yang hanya mampu difahami oleh manusia yang suci hatinya.
Jadi sebagai manusia, tugas kita sebenarnya adalah membangunkan akal agar petunjuk Tuhan mudah kita fahami. Tugas ini tidak ada pengakhirannya selagi nyawa dikandung badan dan selagi masa terus berjalan. Akal mudah dibangunkan apabila kita mengkaji Quran menggunakan logik kerana logik akan memudahkan akal kita menerimanya. Bila sesuatu itu mudah masuk akal, hati kita akan rasa suatu ketenangan. Itulah ketenangan bagai di syurga.
Lemahnya umat Islam sekarang ini kerana tidak berani meneroka Quran dengan akal sendiri atas alasan nanti sesat. Walhal yang menentukan sesat atau tidak itu atas niat kita sendiri. Jika kita berniat ikhlas hendak kaji Quran kerana Allah, adakah Tuhan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan membiarkan kita sesat? Bukankah atas kewajipan Allah membawa kita ke jalan yang lurus? Dan bukankah kita memulakan kaji Quran dengan kalimah “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang”? Sebenarnya manusia yang membuat-buat alasan bahawa belajar Quran menggunakan akal sendiri akan tersesat itu adalah manusia yang tidak kenal Kekuasaan Tuhan dan meragui dirinya sendiri. Dia tidak fikir bahawa setiap degupan jantungnya itu dalam kawalan Allah. Dan Allah tidak leka itu semua.
Dan toleh kanan toleh kiri
Nampak batang hidung sendiri
Jika manusia itu hidup dalam keadaan tertekan, matanya hanya mahu mencari kesalahan orang lain. Toleh ke kanan kutuk orang itu tak betul. Toleh kiri kutuk orang itu tidak Islamik. Macamlah Islam itu hak milik dia sahaja. Dia lupa bahawa perbuatan mencela dan mengutuk orang itu akan menyebabkan kerosakan pada hati sendiri. Dan Allah akan campak segala cacian dan kutukannya itu tepat ke batang hidung sendiri.
Sepatutnya kita menoleh ke kanan dengan melihat masyarakat Jepun yang bermentaliti tinggi dan suka mengkaji ilmu-ilmu baru. Bermacam-macam teknologi berjaya mereka cipta untuk kesenangan bangsa mereka. Dan tengok ke kiri bagai mana bangsa Arab berpecah-belah sekarang ini. Bercakaran sesama sendiri sehingga Allah datangkan kaum yang lebih kuat teknologinya untuk memerangi syaitan-syaitan yang suka membisikan hasutan untuk berbalah-balah itu.
Berdasarkan dua keadaan baik dan buruk yang kita nampak itu, lihat pada diri kita sendiri, sifat-sifat apa yang ada dalam diri. Adakah kita ini mahu jadi orang yang bermentaliti tinggi yang diberikan ketenangan dan kesenangan hidup untuk mencari idea-idea baru atau mahu jadi orang yang rendah mentaliti yang suka bercakaran sesama sendiri? Jika selama ini kita suka kutuk-mengutuk orang lain, ada baiknya kita henti tabiat buruk itu agar azab Allah (tekanan hidup) tidak terus diberikan, sebelum azab neraka yang kekal disediakan bagi kita.
Banyak susah cari makan
Semuanya ada halangan
Orang buncit makan daging
Yang kurus makan ikan masin
Jika kita fikir hidup di dunia ini hanya untuk cari makan dan mengejar kemewahan dunia, kita akan rasa susah. Kemudian bila melihat orang lain lebih kaya daripada kita, hati kita jadi resah dan gelisah. Mulalah keluar kata-kata seperti “kenapalah aku tak sekaya dia tu”. Jiwa kita tidak tenang. Mula rasa nak berlumba-lumba nak jadi kaya sehingga keadaan keluarga terutama anak-anak terbiar. Budak-budak mula bebas keluar malam merempit dari yang berbasikal sampai ke motorsikal. Walhal waktu malam itu sepatutnya digunakan untuk berfikir tentang Keagungan Allah. Budak-budak itu tidak salah, yang salahnya kita sebagai ibubapa yang leka mengejar perhiasan dunia.
Bila Allah lebihkan rezeki, kita makan bagai nak rak. Bermewah-mewah dalam makan sehingga tidak sedar perut sudah membuncit. Tanda-tanda kemalasan berfikir bagi manusia itu adalah perutnya buncit. Banyaknya lemak dalam darah dan tubuh badan akan melembabkan otak kita. Lihat umat Islam sekarang, rata-rata jika kita sudah berkeluarga, perut akan ke depan dahulu (yang lelaki). Sedangkan Rasulullah itu rata perutnya. Ini menunjukkan baginda seorang yang kuat berfikir. Sebab itu jika kita fikirkan, apa hikmah di sebalik kita meletakkan tangan di atas perut ketika solat (qiam), ia adalah untuk menekan perut kita agar tidak membuncit. Tidak payah pergi pusat gymn, dengan cara bersolat (sambil berfikir) dan pengawalan makanan pun sudah boleh mengawal berat badan.
Hendak kuruskan badan, makan sahaja ikan masin. Ikan umpama akal yang menerokai luatan Quran. Dan garam yang memasinkan itu baik untuk darah agar darah kita menjadi seperti lautan. Dengan itu akal kita mudah bergerak lautan darah kita yang telah menjadi lautan Quran. Kita itu terpancarlah akhlak Quran dari diri kita.
Apa punya bahalol dia
Kasi orang pijak kepala
Cuba kita cermin nasib kita umat Islam di serata dunia. Bangsa mana yang memijak dan menguasai kita? Bukankah itu telah jelas dan terang mentaliti kita umat Islam sudah jauh rendahnya. Adakah kita masih hendak berpecah-belah lagi setelah melihat kesan buruk perangai kita sendiri ini? Masih nak mengikut nafsu kononnya puak kita sahaja mengikut Quran dan orang lain tidak Islamik? Carilah titik persamaan di antara kita agar dari persamaan itu kita ikatkan persaudaraan. Rasa kasih-sayang akan menenangkan jiwa dan memudahkan otak berfikir panjang dan waras. Menjauhi rasa panas hati dan hasad dengki, tetapi kita akan berlapang dada sesama kita. Kita akan berlumba-lumba membangunkan akal bersama dan harmoni.
Orang putih sudah balik
Kini tinggal yang hitam putih
Biar papa asal bergaya
Bukan musim bukan action
Kita sudah 50 tahun merdeka. British sudah pun serahkan amanah menjaga negara kita sendiri kepada anak bangsa kita. Sepatutnya waktu keamanan inilah waktu yang sesuai kita sama-sama mengharmonikan negara dengan saling berlumba-lumba meningkatkan tahap mentaliti. Bila rakyat bermentaliti tinggi, segala attitude baik akan diserap dalam diri kerana kita sudah pandai berfikir dengan waras.
Namun realiti yang berlaku di negara kita, ada yang hitam hatinya (yang suka berhasad dengki) dan ada yang putih hatinya (yang merendah diri). Allah melihat kita bukan pada zahir, tetapi apa yang tersembunyi dalam dada. Kotor hati ini, rosaklah akhlak kita.
Oleh itu bersederhanalah kita dalam memperlihatkan yang zahir. Biar kita papa harta benda, tetapi tetap bergaya. Seperti Rasulullah bukannya seorang yang kaya-raya, tetapi baginda bukan seorang yang selekeh dan kusut-masai. Tetap menjaga kejernihan wajah (kesan kesucian hati) dan gaya. Bergaya bukan kerana musim atau untuk menunjuk lagak, tetapi bagi memperindahkan akhlak sebagai seorang Islam. Bergaya untuk memperlihatkan semangat perjuangan nusa dan bangsa. Walaupun baginda sudah berumur, tetapi kerana hidup dengan hati yang tenang, sabar dan suka tersenyum, wajah baginda sentiasa kelihatan muda. Bukankah ahli-ahli syurga itu muda-muda belaka?
Tetapi kita umat Islam sekarang, akibat suka bermusuhan dan berdengki sesama sendiri, wajah kita cepat nampak tua. Tekanan perasaan telah merosakkan urat jantung sehingga ramai di kalangan kita mati akibat penyakit jantung dan serangan stroke. Bukankah itu semua gara-gara kita gagal mengawal perasaan amarah? Dan pada amarah (panas hati) itu ada syaitan yang diciptakan dari api. Sebab itu orang-orang dulu selalu kata kalau marah nanti muka cepat tua. Maksudnya kita kena banyak bersabarlah. Jangan cepat melihat keburukan orang lain sebelum melihat keburukan diri sendiri dahulu. Jagalah kebun kita sendiri, bukannya sibuk mencaci-maki keburukan orang lain seolah-olah diri kita ini baik sangat. Takutilah Allah yang akan bongkarkan keburukan hati kita akibat suka mencela dan mengutuk orang lain. Dan kutukan Allah itu amat pedih bila dirasai.
Tak tahu bertanya
Sesat jalan nanti meraba
Tepuk dada tanya selera
Tutup mata pekak telinga
Sudah sampai masanya kita kembali kepada nilai-nilai akhlak mulia. Hati akan mulia bila kita mengenali diri. Kita mampu mengenali diri bila rajin berfikir dengan logik dan bukti yang nyata. Kajilah Quran agar segala ayat-ayatNya dapat dibuktikan dengan logik akal. Bukan dengan cara membayang-bayang tanpa bukti dan asas. Mana-mana ayat yang kita tidak nampak logiknya, itu bermakna tahap mentaliti kita tidak tercapai lagi, bukannya kerana akal kita terbatas. Yang terhad akalnya adalah binatang ternak. Sedangkan manusia itu sentiasa berkembang otaknya. Sebab itulah dunia ini berubah keadaaannya kerana setiap saat Allah sampaikan ilham-ilham kepada manusia yang berfikir untuk mencipta sesuatu yang menyenangkan kehidupan manusia. Begitulah luasnya rahmat dan kasih-sayang Tuhan.
Tapi apa sumbangan umat Islam sekarang dalam menghasilkan ciptaan-ciptaan yang menyenangkan hidup manusia? Kita banyak habiskan tenaga, masa, nyawa dan harta untuk bercakaran sesama sendiri berebut kerusi kekuasaan duniawi. Baik yang berserban dan berketayap mahupun tidak, kita sama-sama lalai membangunkan fikiran kerana agama diajar secara taksub dan menurut sahaja, bukannya dengan cara mencetuskan pendapat-pendapat baru yang rasional mengikut kesesuaian zaman. Akibatnya Quran nampak seperti kitab lapuk sahaja, walhal jika kita betul-betul kaji dengan akal yang waras, kita akan nampak Quran adalah ilmu yang membawa manusia berfikiran jauh ke hadapan.
Umat Islam sekarang sudah sesat dan teraba-raba dalam kegelapan. Mata hati sudah tertutup rapat kerana akal tidak dibuka. Tidak terbuka menerima pembaharuan. Masih melihat Islam ditakuk lama. Kita sudah menjadi Dajal yang bermata satu. Hanya guna pandangan zahir. Nampak orang buat sesuatu yang kita rasa buruk, terus kita kutuk orang itu, walhal yang Allah tunjukkan keburukan pada orang lain itu supaya kita cermin diri bahawa dalam hati kita ada keburukan. Keburukan suka mencari keburukan orang lain. Semakin banyak kita nampak keburukan pada orang lain, semakin banyak kita kena kaji diri. Sampai suatu masa nanti mata zahir tidak lagi nampak keburukan orang lain, tetapi mata hati kita dicelikkan untuk melihat apa yang tersembunyi dalam diri.
Untuk buka mata hati, kita kena ada keikhlasan. Tepuk dada kita, tanya sama ada kita benar-benar mahu berubah. Adakah peluang untuk berubah itu kita mahu merebutnya atau membiarkan masa berlalu pergi sehingga Allah tutupkan pintu hati kita untuk berubah lagi? Hidup hanya sekali. Pergunakanlah ia sebelum kubur kata mari.
Tanya apa selera dan citarasa kita. Setiap minat yang ada dalam diri kita mampu membawa kita mengenali diri seterusnya menuju kepada hidup yang dirahmati Allah. Jika minat muzik rock sekali pun, tidaklah citarasa kita menghalang kita mendapat ilmu Allah asalkan kita ada niat suci untuk membangunkan mentaliti. Berubah untuk menjadi insan yang baik bukannya dimulakan dengan yang zahir. Bukannya kena pakai jubah dan serban untuk membuktikan kita ikut sunnah Rasulullah. Nabi Muhammad sendiri tidak tiru pakaian Nabi Isa untuk membuktikan baginda berpegang pada tauhid. Baginda mulakan perubahan diri dengan membangunkan pemikiran dengan membuangkan budaya ikut-ikutan tanpa mengetahui hikmah dan logik disebaliknya.
Sesuatu pengajaran kisah terdahulu yang ada logiknya yang senang hati kita menerima setelah difikirkan dengan waras, bolehlah kita turuti. Tetapi sekadar menggunakan kata-kata atas nama-nama imam terdahulu tanpa difahami erti dan hikmah disebaliknya akan menyebabkan manusia itu menurut membuta-tuli. Apa bezanya kita dengan binatang ternak jika beragama seperti itu? Janganlah kita meniru seperti perangai orang kafir di zaman Rasulullah yang ditulikan kerana mereka telah diberikan mata, tetapi ditutup matanya untuk melihat pengajaran dan tanda-tanda Kekuasaan Allah serta ada telinga, tetapi mereka tetap memekakkannya daripada mendengar seruan-seruan kebenaran.
Apakah kita umat Islam mahu membahalolkan diri lagi setelah melihat nasib umat yang tersepit, diperhambakan, hidup tertekan, berpecah-belah dan bermusuh-musuhan? Bangunlah dari lena yang panjang. Sekarang bukan zaman kita bermimpi sebagai umat terbaik. Kita kena berpijak di bumi yang nyata dengan berpegang pada logik akal, bukannya bayangan-bayangan kosong yang diada-adakan atas nama orang-orang terdahulu. Syaitan tidak lalai menyesatkan manusia yang merendahkan keupayaan otaknya sendiri setaraf binatang ternak atau lebih hina lagi.

























Posted
on
Tuesday, April 22nd, 2008 at 9:22 am under


Di akhir zaman ni, memang ramai yg semakin bahalol tapi berlagak pandai. Kalau dia bahalol sorang2 takpe, tapi dia turut sama membahalolkan orang lain agar sama2 bahalol macam dia.
ramai yang anggap kebanyakan lagu rock merapu, tapi banyak lirik yang tersirat jika dihayati dan dikupas macam ni, banyak unsur2 perjuangan, kemanusiaan dan juga ketuhanan.
Hidup ROCK!
April 22nd, 2008 at 12:22 pmYea betul tu bro.
Pejuangan-pejuang rock akan buktikan yang ramai rockers telah Allah bukakan mata hati melihat semua ini.
Di akhir zaman Islam akan ditegakkan oleh pemuda-pemuda yang memegang panji-panji hitam. Rockerskan berpakaian hitam.

April 22nd, 2008 at 4:18 pm