24 Apr

Hairan bin Ajaib (XPDC)

Satu pejam satu celik
Depan manis belakang rasa pahit
Kata ibu buat baik
Biarpun rupamu tak menarik

Di akhir zaman kegemilangan Islam, umatnya sudah tertutup satu mata (Dajal). Umat hanya guna mata zahir untuk menilai. Sedangkan mata hatinya tertutup rapat. Mata hati tertutup bila akal tidak dibangunkan. Tidak tahu berfikir secara rasional dan waras.

Ada pula yang merasai dirinya berpengetahuan agama lebih dari orang lain dengan mengatakan Quran tidak boleh difahami guna rasional akal. Kena turut membuta-tuli. Walhal jika kita berfikir panjang, menolak penggunaan rasional akal ini menyebabkan umat Islam jadi lemah dan lembab berfikir. Belajar agama dengan cara disuapkan atau subsidi. Tanpa tok guru, sudah pening kepala nak kaji Quran secara sendiri.

Bagaimana umat Islam hendak jadi bijak jika rasional akal ditolak dalam mengkaji dan menerokai Quran? Bukankah Allah mencipta segala yang ada di alam semesta ini dengan Kebijaksaannya?

Cuba bayangkan, jika Allah takdirkan kita terperangkap di sebuah pulau terpencil, dengan hanya dibekalkan sebuah Quran, di manakah tok guru hendak kita cari bagi memahami ajaran Quran itu? Kita sudah nampak ada manusia mengada-adakan pergantungan selain daripada Allah dalam hidupnya. Bukankah bergantung selain daripada Allah itu syirik? Adakah kelemahan umat Islam sekarang ada kaitan dengan syirik yang telah kita lakukan tanpa disedari?

Akibat tertutup mata hati, umat Islam hidup dalam berdusta dan pura-pura. Mulut sahaja mengaku beriman kepada Allah, tetapi hati hakikatnya bergantung kepada syaitan. Allah berikan akal sebagai amanah agar dengan akal itu kita mampu menimbang (neraca) dan membeza (furqaan) yang mana benar dan yang mana salah. Bukan main turut ikut rasa hati sahaja. Bak kata pepatah, ikut rasa badan binasa.

Bila suka berdusta, hati jadi resah dan gelisah. Hidup tertekan dan suram. Wajah nampak muram. Hilang seri yang selama ini menawan hati. Muka umat jadi cepat tua. Sesama umat bila berdepan, muka manis bagai gula. Tetapi bila di belakang, mulalah mengumpat sana-sini, mencaci-maki, mengutuk orang, menyebarkan fitnah dan segala perangai syaitan yang menyebabkan perpecahan umat.

Dengarlah nasihat ibubapa atau orang-orang terdahulu agar berbuat baik dalam hidup kita. Hidup akan terasa indah bila kita berbuat baik sesama manusia. Kebaikan bermula dalam hati. Hati yang baik adalah hati yang tenang dan sabar. Hati yang rasa kehambaan kepada Allah dengan mendalam. Sentiasa berbaik sangka sesama manusia. Biarpun wajah kita tidak menarik mana, tapi hati kena mau baik. Ini kerana Allah tengok kita bukan pada zahir, tetapi apa yang tersembunyi di dalam dada. Hati yang baik, Allah berikan ketenangan jiwa. Hati yang kotor, Allah akan seksa dengan azab tekanan jiwa tanpa kesudahan selagi kita tidak tunduk berserah diri kepadaNya.

Janganlah kerana wajah kita menarik dan mendapat perhatian ramai, kita mula melupai Allah yang telah berikan nikmat yang banyak kepada kita. Kerana semua nikmat itu adalah pinjaman sementara untuk menguji kita sama ada kita ini manusia yang sedar diri atau yang berbangga diri. Orang yang berbangga diri akan dibenci oleh Allah. Bila Allah membenci dan tidak memandang kita lagi, apakah ada ketenangan dalah hidup? Bukankah segala debaran yang Allah beri sehingga terasa sesak dan seksa jiwa kita kerana perbuatan kita sendiri? Ego dengan amanahnya kerana lebih menyayangi syaitan yang suka kepada kedengkian berbanding sayang kepada Allah Yang Maha Pemurah.

Rupa yang sengkek
Bukannya pembelit
Wajah menarik
Belum pastinya baik

Sesengkek mana wajah yang Allah berikan kepada kita, itu bukan alasan untuk kita rasa tidak dikasihi Allah. Tetapi jadikan kekurangan yang kita rasa itu untuk lebih berendah diri dengan Allah. Kita semakin tunduk berserah kepada Allah dengan redha dan sabar. Untuk mencapai tahap redha dan sabar, kekuatan akal fikiran adalah perlu untuk membaca petunjuk-petunjuk Allah. Kerana dengan memahami kelogikan yang ada pada petunjuk Allah, hati kita akan jadi tenang dan tenteram. Biarpun kita diuji dengan pelbagai dugaan, kekuatan akal akan mengawal emosi supaya kita sentiasa bertenang. Bila hati tenang, akal kita waras dan kita tidak berdusta dan tidak menjadi pembelit.

Orang yang suka berdusta dan membelit sana sini pasti akan tersepit. Kerana Allah memerhatikan gerak geri kita setiap masa yang berlalu. Dia tidak lalai daripada kita walaupun sekuat mana kelalaian kita menolak amanahNya. Akibat berdusta dan menolak amanah Allah, hidup kita jadi tertekan. Jiwa merana dan sengsara. Wajah yang menarik menjadi hilang indahnya biar duit beribu habis untuk buat facial. Hilang kebaikan hati tetapi bertukar menjadi benci. Walhal Allah juga membencinya kerana menolak amanah yang Allah beri.

Apakah kita hidup ini untuk bermegah-megah dengan nikmat wajah yang dikurniakan? Kelak semua itu akan membakar diri. Hati kita akan terseksa dan panas bila nikmat yang Allah beri tidak digunakan untuk mengajak manusia kepada jalan Allah. Bukankah hidup kita ini untuk menghambakan diri kepadaNya?

Jangan pandang pada zahir
Hang Tuah bukan macam hang pembelit
Penat perit cari duit
Bukan malas tapi tak punya certificate

Janganlah kita terpesona dengan pandangan zahir. Syaitan selalu bergayut pada mata zahir. Syaitan menipu daya manusia dengan mata kasar agar manusia berpusu-pusu berebut kekayaan, kekuasaan, perhiasaan dan kemegahan dunia. Semua itu untuk berbangga-banga sesama manusia. Walhal Quran telah peringatkan perangai begitu akan menyebabkan jiwa manusia jadi panas hati. Itulah azab neraka ketika di dunia. Kelak setelah tamat tempoh diberi, azab neraka akhirat itu kekal selamanya.

Sematkanlah semangat Hang Tuah dalam diri. Itulah icon kepahlawanan Melayu yang kita ada. Jadikan sifat kesetiaan, kejujuran, amanah, bijaksana dan bersabar yang ada pada Hang Tuah untuk kita mengecapi tuah hidup dengan tenang dan damai di atas dunia. Dunia adalah tempat bereksperimen sebelum kita diberikan balasan di akhirat. Jika di atas dunia kita berjaya mengecapi hati yang tenang dan damai, insyaAllah kita akan ke syurga kerana Allah sebaik-baik pemberi balasan. Begitu juga sebaliknya.

Biar pun kita kerja dengan gaji tak seberapa, itu bukan alasan untuk kita semakin lalai daripada Allah. Carilah rezeki dengan keupayaan akal sendiri, bukannya dengan mengampu dan mengadu-domba agar cepat naik pangkat. Kurangkan nafsu kita mengejar duit, tetapi tukarkan nafsu dengan akal yang waras untuk mengejar cinta Allah. Cinta Allah adalah cinta yang suci. Hanya manusia yang suci hati akan menikmatinya. Yang suka bergantung pada syaitan tidak mungkin akan mendapat cinta yang suci, sebaliknya mereka akan mendapat cinta yang berapi. Hati sentiasa panas, gelisah dan tidak tenteram. Dan janji Allah ini adalah benar.

Jangan disebabkan kita tidak memiliki certificate, kita jadi berputus asa dalam hidup. Allah beri rezeki bukan tengok pada certificate. Rahmat Allah itu luas. Berapa ramai yang menjadi boleh berjaya dalam perniagaan walaupun tiada apa-apa ijazah. Asalkan kita mahu membangunkan fikiran supaya matang menilai beza intan dan kaca, adalah jalan ke arah kejayaan. Kaca akan menyebabkan kita sendiri luka dan pedih. Itulah balasan kepada manusia yang menolak amanah Allah. Manusia itu lupa asalnya adalah setitis mani yang hina. Allah jadikan kita manusia kerana kita berjanji untuk menjaga amanah sebagai khalifah di atas muka bumi. Tetapi setelah dewasa, kita jadi lalai dan leka atas nikmat-nikmat yang Allah berikan. Kita sengaja menjauhi kebenaran yang ditawarkan kerana mengikut desakan syaitan yang suka manusia lalai mengingati Tuhan.

Begitu juga dengan Quran. Adakah Allah memandang certificate dari mana-mana universiti untuk membuktikan kita adalah orang yang layak bercakap mengenai Quran? Adakah Quran ini milik Allah atau mana-mana universiti? Kenapa ada yang bergantung selain daripada Allah untuk memahami Quran yang datang daripadaNya? Kenapa begitu sekali manusia dilalaikan? Ke mana perginya imbangan akal yang waras dalam membuat penilaian yang sempurna? Apakah kerana berebut kekuasaan duniawi, agama dipergunakan untuk mengutuk sesama sendiri dan hidup berpecah-belah? Berapa ramai yang telah ditipu-daya oleh syaitan? Kelak yang menyayangi syaitan dalam hatinya itu akan merasai debaran dan kepanasan yang membara. Sesungguhnya Allah Maha Hebat perancanganNya.

Bukan nak complain fikir dulu
Kan lebih baik
Kita yang letih
Dia yang pakai mobil

Apa yang disampaikan ini bukannya complain tetapi untuk mengajak kita berfikir ke mana arah tujuan hidup kita hendak kita bawa. Adakah mengikut tipu-daya syaitan yang suka kita memandang kemegahan dan perhiasan lahiriah berbanding kita memantapkan akhla mulia yang bermula dari hati? Itukan lebih baik jika kita benar-benar beriman kepadaNya?

Lihatlah nasib anak bangsa kita yang diperunta di atas tanahair sendiri gara-gara lalai membangunkan minda. Bangsa-bangsa lain sudah mewah mencipta dan menggunakan kenderaan berteknologi tinggi, kita sekadar melihat dengan lelehan air liur sahaja. Tak tahu mencipta kerana lemahnya akal setaraf binatang ternak yang tidak boleh mereka-cipta. Kita hanya mampu mereka-reka cerita gosip, keburukan orang lain dan fitnah untuk memuaskan nafsu sendiri. Hidup bermusuh-musuhan sesama sendiri.

Akibat nusa bangsa beragama secara taksub dan menurut membuta-tuli, imbangan akal telah lemah sehingga tidak tahu untuk hidup tanpa bergantung atas orang lain. Kerajaan terpaksa memberi subsidi yang banyak untuk memajukan diri anak bangsa, tetapi ramai yang guna subsidi itu untuk bercakaran sesama sendiri. Ada yang bermegah-megah mengejar duniawi. Seronok disanjungi ramai walhal itu semua akan melalaikan diri dari tunduk merendah diri kepada Allah. Maka ditolaknyalah amanah untuk bersama-sama mengejar cinta Ilahi. Kelak si pendusta akan merasa debaran jantung sendiri kerana dia tidak berkuasa terhadap jantungnya itu. Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Yang ada awek jaga baik
Jangan jadi hamba duit
Biar pakai kain batik
Daripada dia pakai skirt pendek

Keruntuhan akhlak ummah boleh dilihat dari akhlak muda-mudinya. Ini kerana kelalaian yang sudah dewasa dan tua bangka untuk menunjukkan contoh akhlak yang mulia. Sibuk berpolitik dan bercakaran sesama sendiri, si anak-anak tidak memahami agama dengan cara yang sebenar dan waras. Agama dipaksa dituruti dengan hukum itu dan ini tanpa si anak memahami kenapa logik hukum itu ditetapkan begitu. Akhirnya si anak memberontak dan melakukan perkara-perkara yang rosak. Akalnya tidak cukup sempurna walaupun umur sudah banyak terbuang. Terbuang untuk bersama-sama berfikir melakukan perubahan. Syaitan kuat dalam hati untuk membisik-bisikan pesona hidup dalam kemegahan sehingga tidak nampak seruan Tuhan. Ditolaknya seruan dengan keraguan. Bukankah keraguan itu bisikan syaitan seperti yang diperingatkan di dalam surah An Naas?

Bila muda-mudi tidak diajar beragama dengan cara membangunkan minda, mereka mengejar hidup untuk menjadi hamba duit. Bukannya hamba kepada Allah yang memberikan rezeki kepada kita. Akibat terlalu taksub kepada duit, bila Allah sempitkan rezeki kerana kelalaian sendiri, mulalah melenting dan marah. Minyak naik harga, ramai yang muda-mudi naik minyak. Mengutuk dan mencaci pemerintah sendiri. Itulah keadaan yang berlaku di zaman sekarang. Jelas dan nyata apa yang pernah terjadi di zaman lampau yang ada dikisahkan dalam Quran. Kita sudah jadi seperti umat Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah yang hidup terawang-awangan.

Akibat akal yang singkat berapa ramai muda-mudi berkain singkat? Sehingga ada yang nampak pusat. Adakah menjadi suatu keseronokan dan kemegahan menayang segala pinjaman yang Allah berikan itu? Kenapa tidak digunakan segala nikmat Allah dengan cara bersyukur? Tanda-tanda manusia itu bersyukur kepada Allah adalah dengan cara membangunkan akal sehingga dia nampak kelogikan kenapa perlu merendahkan diri kepada Allah. Barulah muda-mudi sedar dengan sendiri untuk berubah. Bukannya dipaksa muda-mudi ikut hukum itu dan ini secara membuta-tuli.

Jiwa muda mempunyai semangat meneroka dan mengkaji yang tinggi kerana ketika itu baru merasai kenikmatan hidup di dunia setelah ketika di zaman kanak-kanaknya dikawal ibubapa. Jika yang sudah tua dan dewasa tidak menunjukkan contoh yang matang untuk mengajak yang muda-muda berfikir, macam mana tidak runtuh akhlak mereka. Yang tua adalah contoh kepada yang muda. Jika yang tua malas berfikir dan sibuk mengejar dunia, maka lalailah yang muda-muda.

Oh! Aku pelik
Dunia dah nak terbalik
Budak under-age dah pandai
Ke kelab joget
Kan lebih baik kita bawa dia
Ke masjid

Inilah realiti yang boleh kita lihat dalam masyarakat kita dan kehidupan umat Islam umumnya. Umat Islam bukan lagi umat terbaik tetapi sudah jadi umat yang tersepit. Bila bangsa lain hendak tolong sedarkan umat Islam, maka umat Islam kutuk mereka kafir walhal yang kuat bergantung selain daripada Allah adalah umat Islam sekarang ini. Seperti perumapamaan melepas anjing tersepit. Sebab itu Allah bagi balasan kita sebagai umat yang lemah. Masih kita tidak sedar-sedar diri dan hendak bermusuh-musuhan lagi? Sesungguhnya syaitan tidak berputus asa menipu manusia sehingga kita kembali ke dalam tanah.

Budak-budak bawah umur sudah pandai berhibur tidak ingat Allah di kelab-kelab joget mahupun konsert. Kenapa mereka mencari hiburan dengan cara begitu? Semuanya disebabkan Islam diajar dengan cara lapuk dan taksub. Disempitkan agama dengan hukum-hukum yang diada-adakan sedangkan Quran tidak menetapkan. Bagaimana mereka menetapkan sesuatu hukum? Mereka menggunakan nama-nama imam terdahulu menetapkan hukum sebegitu dan sebegini. Adakah mereka mendengar apa yang diucapkan oleh imam-imam terdahulu untuk dipercayai dan dituruti tanpa menggunakan akal yang waras?

Ada pula menetap muzik yang mengikut Islam hanya irama-irama tertentu. Sedangkan semua ilham itu datang daripada Allah. Tidak kira apa irama pun jika kita mampu menyedarkan diri kita untuk mendekati Allah, Islamlah namanya. Begitulah sempitnya pemikiran manusia sedangkan Islam membuatkan jiwa merdeka dan akal terbang bebas laksana burung-burung berkicau riang. Lagu-lagu diilhamkan Allah untuk manusia merasai ketenangan jiwa. Tetapi bila dicipta-cipta hukum menghadkan manusia berlagu, maka jiwa muda ramai memberontak.

Bagaimana yang muda hendak mengimarahkan masjid, jika masjid digunakan untuk mengutuk pemimpin dan mengajar dengan taksub. Walhal Rasulullah mengajar sahabat dengan cara bermuzakarah. Dengan bermuzakarah, masing-masing berani memberikan pendapat mengikut perspektif hidup masing-masing. Setiap akal ada imbangannya. Selagi apa yang diperkatakan itu tetap logik dan mudah diterima akal, tetaplah ia benar biarpun berbeza pandangan. Ketidakterbukaan umat Islam menerima perbezaan pendapat menyebabkan kita hidup berpuak-puak.

Cuba renung dalam diri
apa yang kau cari
Yang hidup pasti mati
(sedarlah)

Sudah sampai masanya kita memikirkan untuk melakukan perubahan. Adakah kita masih sayangkan syaitan yang melekakan kita dalam hidup ini? Apakah perasaan bangga mendapat perhatian ramai dan sanjungan menyebabkan kita menolak tawaran Allah untuk bangkitkan umat? Apakah yang kita cari dalam hidup ini? Janganlah perhiasan zahir kita itu menyebabkan kita semakin jauh daripadaNya. Urat jantung kita dalam KekuasaanNya. Semakin kita menjauhi Allah, semakin kita tertekan dan berwajah muram. Itulah kenyataan yang berlaku kepada setiap jiwa yang menolak seruan Tuhannya. Manusia lalai memikirkan asal kejadiannya iaitu dari selemah-lemah kejadian dan diperkuatkan secara beransur-ansur oleh Allah. Kenapa tidak lembut hati kita untuk bersyukur kepada Dia Yang Amat Baik lagi Maha Penyayang?

Sesombong mana manusia itu dengan seruan kebenaran yang disampaikan oleh hamba-hambaNya yang disucikan, kelak manusia itu akan menemui mati. Jika semakin kita sombong, kita boleh hidup kekal dalam kemudaan, takpelah juga hendak sombong dengan Allah. Tetapi apakah logik berlaku sebegitu? Yang nyatanya berapa ramai umat-umat terdahulu yang sombong telah dihancurkan sekelip mata. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa. Bangkit dan sedarlah kita. Sampai bila kita hendak hidup dalam umat yang lalai membangunkan minda?

Kenal diri suci hati
Dengki khianat jauh sekali
Baru diri dihormati
Rezeki dari peluh sendiri

Sudah sampai masanya kita berubah memperbaiki diri. Apakah masa yang diberi masih tidak cukup-cukup lagi untuk mengejar keseronokan duniawi yang sementara? Memanglah secara zahir nampak seronok, tetapi dalam hati penuh debaran sehingga wajah berkerut yang mempercepatkan penuaan. Siapa kita hendak lawan Kuasa Allah? Janganlah begitu sekali kita sombong menolak Rahmat dan KasihNya untuk membawa kita kepada hidup yang tenang dan ceria seperti yang digambarkan dalam lagu Hijau Bumi Tuhan.

Untuk mula berubah, kenalilah apa yang tersembunyi. Kenal beza perasaan buruk dan perasaan baik. Perasaan buruk menyebabkan jiwa tertekan dan perasaan baik menyebabkan ketenangan dan kebahagian. Apakah kita hendak gadaikan kebahagian jiwa dengan memilih syaitan yang menipu-daya kita dengan perhiasan duniawi? Sebongkak-bongkak mana manusia itu, bila Allah tidak sudi memandangnya lagi, hilanglah rasa bahagia dan ketenteraman jiwa. Itulah balasan yang Allah berikan sejak di dunia lagi. Sesungguhnya Allah Maha Cepat balasannya. Dialah Tuhan Yang Agung supaya setiap jiwa menunduk dan berserah diri.

Apabila kita sucikan hati dengan membuangkan perasaan buruk, akhlak akan jadi mulia. Tiada dengki dan khianat lagi, tetapi kita tunduk dan merendah diri kepada Allah. Kedengkian melihat kekayaan pemimpin sendiri menyebabkan jiwa tidak rasa tenang. Ini kerana matlamat hidup kita hanya hendak berlumba-lumba mengejar kekayaan dunia. Kita kafir kepada kehidupan akhirat yang dijanjikan syurga. Dan syurga itu untuk manusia yang termasuk dalam golongan menggunakan akal.

Manusia yang mempertingkatkan akal sendiri, Allah akan angkat tinggi namanya seperti para Nabi dan Rasul. Nama mereka tetap disebut-sebut biarpun jasad sudah tiada. Dan jiwanya tetap tenang dalam rahmat Allah menemui hari akhirat setelah tamat tempoh berbakti di atas dunia. Itulah kejayaan orang-orang yang tetap melakukan kebaikan yang semuanya bermula dengan meningkatkan tahap mentaliti. Tiada dikhabarkan bahawa para Nabi dan Rasul itu di kalangan orang yang malas berfikir lagi akalnya setaraf binatang ternak. Mereka memilik hikmah dan kebijaksanaan kerana beragama secara rasional bukannya secara taksub membuta-tuli. Akal yang tinggi mendamaikan hati. Mencari rezeki dari titik peluh sendiri, bukannya mengharapkan subsidi. Bersyukur rezeki yang ada, bukan untuk bermegah-megah mengumpul harta.

Oh! Aku pelik
Bagai dunia dah nak terbalik
Rupa yang sengkek punyai jiwa yang baik
Bukan nak komplen fikir dulu kan lebih baik

Bila kita fikir dalam-dalam nampak pelik macam mana umat Islam yang dikatakan umat terpilih ini boleh jadi lemah sebegitu sekali. Setelah dikaji dan dilihat cara beragama kita, memang jelas menunjukkan agama Islam sekarang sekadar diajar dengan cara menurut dan taksub sahaja. Sudah tidak ada konsep berlapang dada untuk menerima perbezaan pandangan. Berbalah-balah sesama sendiri untuk menunjukkan puak mana yang benar-benar menegakkan Quran dan Sunnah. Kenapa tidak ditegakkan neraca imbangan dalam diri agar akal boleh berfikir dengan matang dan rasional?

Dan janji Allah adalah benar. Seperti yang berlaku kepada umat-umat terdahulu, sampai suatu masa nanti manusia itu akan lalai daripada membangunkan akalnya sediri kerana bermegah-megah mengejar kebanggaan duniawi. Berpecah-belah dan berbalah sehingga penyakit hati menjadi barah. Barah itu merosakkan akhlak umat. Dari yang membuang anak sehingga kepada yang setaraf binatang ternak. Siapa yang boleh lawan ketetapan Allah ini?

Janganlah hidup kita hanya memandang guna pandangan zahir. Akibat kelekaan dengan perhiasan zahir sehingga mendapat perhatian ramai, hati merasa bangga sehingga sanggup menolak amanah Allah. Akal tidak berfikir secara waras untuk menggadai kebahagian yang dijanjikan. Terkejar-kejar bayangan yang tidak pasti sedangkan itu semua menyebabkan debaran dalam diri. Urat jantung terasa sempit bagai dikepit.

Apa yang disampaikan ini bukan suatu complain, tetapi untuk kita sama-sama fikirkan apakah yang kita telah perlakukan dalam hidup kita selama ini. Adakah kita masih mahu sombong dengan Allah? Tidak mahukah kita berlembut hati denganNya? Kenangilah nikmat-nikmat yang diberikanNya supaya kita tidak lalai sedemikian rupa. Allah Maha Berkuasa menyempitkan hidup manusia yang bermegah-megah itu.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

One Response to “Hairan bin Ajaib (XPDC)”

  1. Adila Says:

    Berpegang pada Allah yang menguasai manusia, hanya Dia yang disembah. Dan hanya DIA jugalah yang mengetahui tiap apa yang ada dalam dada kita.

    Bila ini yang dipegang, tiap bisikan yang membisik di dada kita dapat kenali mana yang baik dan buruk. Bersama akal yang sentiasa menilai dengan waras…

Leave a Reply