Hijau Bumi Tuhan (XPDC)
Sekali ku memandang kehijauan saujana mata
Semusim yang benderang hati riang nikmatnya tuhan
Kita belalah bersama-sama
Kita jagalah harmoninya
Lagu ini menggambarkan ketenangan dan kebahagian yang dirasakan oleh orang yang terbuka mata hatinya untuk melihat luas semesta alam ini. Hatinya kehijauan saujana terbentang. Hati yang ditumbuhi cita-cita untuk memakmurkan dunia. Dia berlapang dada menerima takdir Tuhan. Tiadalah yang bernilai dalam hidup ini bila hatinya telah Allah tukar dari musim gelap kepada musim yang benderang. Terang hati melihat tanda-tanda Kekuasaan Allah. Terasa hidup riang kerana Allah sentiasa memujuknya. Itulah sebahagian nikmat Tuhan kepada insan-insan tunduk berserah diri kepada Yang Esa. Mereka rela dibentukkan hatinya untuk membawa mesej Tuhan untuk serata alam.
Marilah kita bela bersama-sama amanah Allah ini. Kita diamanahkan untuk menjadi khalifah di atas muka bumi bagi mengharmonikannya. Kita bukan dihidupkan untuk berpuak-puak dan berpecah belah berebut kekuasaan duniawi. Bukan untuk hidup dengan berbangga-bangga yang kita di pihak yang benar dan mengutuk mencaci orang lain tidak betul. Kalau kita nampak orang lain tidak betul, itu adalah cermin untuk kita bahawa yang tersembunyi dalam hati kita banyak penyakit. Supaya kita sedar hidup kita bukan untuk mencari kesalahan orang lain, tetapi memperbaiki diri sendiri.
Semusim ia datang keindahan ciptaan tuhan
Hijau yang terbentangan makhluk tuhan bermesra-mesra
Kita belalah bersama-sama
Kita jagalah harmoninya
Berusahalah untuk menjadikan musim yang ada dalam hati kita ini penuh dengan keindahan. Sehingga kita mati dalam rasa keindahan ini melihat hikmah dan Kebijaksanaan Allah mencipta dan mentakdirkan sesuatu. Kita akan rasa kagum dan memujiNya dengan sepenuh jiwa. Selepas kita lepaskan rasa memuji itu, jiwa kita akan jadi tenang dan damai. Terasa seronok sahaja hidup ini. Kita akan lebih mesra sesama manusia tidak kira agama mahupun bangsa. Baik lawan mahu pun kawan. Baik yang menolak mahu pun yang menerima. Kerana kita semua adalah makhlukNya, kita dijadikan.
Marilah kita bergandingan dengan membela amanah Allah untuk memakmurkan bumi. Bumi akan makmur bila hati kita masing-masing makmur. Tiada hasad dengki dan iri hati. Bila kita menerima amanah Allah, hati akan ditenteramkan. Tetapi yang menolak amanah Allah, tetaplah merasai debarannya. Debaran akan menyebabkan jantung cepat jadi lemah. Akibatnya ramai manusia kena penyakit jantung. Itulah amaran Allah kepada manusia yang lalai membangunkan akalnya untuk waras dalam kehidupan. Allah Maha Menguasai setiap jiwa. Dialah Tuhan Yang Agung, tempat kita bergantung harap. Harapan untuk bersama-sama mengharmonikan alam semesta.
Damai terperi kicau bernyanyi
Burung berkicauan riang terbang
Ombak menghempas pantai menanti
Indah biru laut ini pasti
Sekali manusia itu mendapat nur Ilahi, damai di hati tiada terperi. Tidak mungkin berpaling lagi untuk memilih hidup yang penuh sengsara. Kedamaian hati dipancarkan dengan berlagu riang bagai burung berkicauan. Seperti Nabi Daud berlagu girang sehingga burung-burung dan gunung-gunung turut menyanyi sama. Jiwa insan sebegini terbang bebas di dalam akalnya seluas angkasa dengan imbangan (neraca) sayap.
Kerana ketenangan hati, dia semakin yakin menghadapi dugaan ombak seperti pantai tetap menanti. Pernahkah kita lihat pantai cabut lari bila melihat ombak datang menghampiri? Tidak, sebesar mana ombak yang datang, tetap tenang pantai menghadapinya. Kerana pantai sedar dirinya diciptakan sebegitu tugasnya. Samalah dengan manusia yang sedar diri tugasnya untuk menghadapi ujian Allah. Semakin diuji, semakin seronok dirasai. Sebab ujian Allah itu adalah mudah bagi manusia yang memahami kenapa dia diuji. Semuanya kerana Allah hendak bentukkan hati kita agar seindah kristal. Keras menghadapi tipu-daya syaitan yang suka meragu-ragukan manusia agar menolak perjuangan agamaNya. Sayang sekali manusia yang melepaskan peluang menikmati cintaNya semata-mata kerana mengejar perhiasan duniawi.
Hadapilah ujian Allah dengan rajin mengkaji Quran. Quran itu seluas lautan membiru. Malah jika seluruh lautan ini menjadi dakwatnya dan ditambah lagi lautan yang sama banyaknya, masih tidak mampu menulis pengajarannya. Kerana ilmu Allah itu luas. Tidak layak kita mengatakan otak kita ini terbatas atas alasan malas hendak kaji Quran lagi. Kita adalah insan, bukannya haiwan. Akal kita berkembang sepertinya berkembangnya ilmu-ilmu yang ada di dunia ini. Bagaimana kita hendak keluarkan umat Islam dari kesempitan hidup jika kita mengatakan akal manusia terhad? Bagaimana kita hendak sedarkan umat Islam jika amanah yang Allah berikan kita tolak dengan keraguan syaitan? Adakah syaitan itu lebih tinggi nilainya dari rahmat Allah yang telah mengurniakan kita pelbagai kenikmatan selama ini? Tidak bolehkah kita menjadi manusia yang bersyukur untuk tunduk patuh kepada seruanNya?
Salam diberi insan di bumi
Itu nikmat hari hari ini
Tegur dan sapa senyum ketawa
Itu tanda kita riang-ria
Abadikan keindahan ini
Kepada manusia yang bersifat insan, sudah pasti Allah akan sampaikan salam sejahtera hidup di bumi ini. Nikmat ketenangan ini tidak ternilai. Jika kekayaan seluas dunia, tetapi tiada ketenangan, pasti hidup kita tidak bermakna. Seperti orang kaya yang terlantar sakit di hospital. Adalah lebih baik kita hidup bersederhana tetapi hati dalam keriangan mengharungi hidup penuh berlagu semangat kedamaian. Namun kepada yang memilih syaitan, janji debaran hati itu pasti. Hilang kecerian dan keharmonian hati. Digantikan kesuraman hidup bagai gerhana yang meruangi.
Nikmat kebahagiaan ini diserlahkan dengan senyuman dan ketawa bersama yang menegur sapa. Tiada dendam kesumat biarpun dirinya dihambat jauh. Biar sekuat mana dirinya dibenci, tetap dia berlapang dada, kerana yang penting Allah tidak membencinya. Apa guna hidup dalam kemewahan dan sanjungan manusia, tetapi Allah seperti tidak mahu melihat dirinya. Bila Allah sendiri bagaikan tidak sudi, bagaimana hidup mahu senang dengan keriangan hati?
Sudah sampai masanya kita abadikan keindahan alam ini kerana itulah amanah kita diciptakan sebagai khalifah. Untuk mengindahkan alam, mulakan dengan perindahkan dalaman diri kita. Bangunkan akal dengan membuang segala keraguan. Buang sengala penyakit hasad dengki. Dapat rezeki dari titik peluh sendiri, bukannya dengan mengadu-domba. Terbuka menerima pandangan orang lain, bukannya hanya pertahankan puak sendiri sahaja yang benar. Biarkanlah kita serahkan kebenaran itu mengikut imbangan akal yang waras bukannya atas menurut sesuatu label. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa.

























Posted
on
Saturday, April 26th, 2008 at 3:34 pm under

