19 Apr

Segar Dalam Ingatan (XPDC - Rockunion)

Aku yang masih segar dalam ingatan
Mengiringi hidupku yang kesepian
Lama mungkin akan aku turutkan
Jika perlu terus aku perjuangkan
Bila larut malam yang menjadi saksinya

Untuk melatih diri kita menjadi orang yang rajin berfikir agar dibukakan mata hati kita untuk mengenali Allah, ingatlah saat-saat indah zaman membesar kita kerana di situ ada fitrah diri kita. Terutamanya saat kita menempuh alam remaja. Remaja mempunyai kecenderungan meneroka perkara-perkara baru.

Kenangan indah yang tidak boleh dilupakan ketika remaja adalah saat aku mula bermain muzik. Belajar jamming dengan kawan-kawan sekolah kerana pada waktu itu irama Rock megah dipersada seni tanahair. Lagu-lagu Rock banyak menyelitkan unsur-unsur Ketuhanan dan keagamaan walaupun pada zahir rock selalu dilabelkan dengan gelaran-gelaran buruk. Tapi bak kata XPDC dalam lagu Hairan Bin Ajaib;

“Jangan pandang pada zahir, Hang Tuah bukan macam hang pembelit!”

Orang sekarang suka menilai menggunakan mata zahir. Allah pertontonkan sesuatu yang buruk di mata zahirnya terus dia cop orang lain itu buruk. Walhal dalam hati dia sendiri buruk sebab buat penilaian perihal hati orang lain yang dia sendiri tidak tahu. Adakah dia merasakan dirinya tuhan selain Allah? Kerana itu, peliharalah pandangan zahir kita jangan sampai memandang buruk perihal orang lain. Jaga hati kita sendiri agar dijauhkan oleh azab api neraka.

Memencilkan diri dari memandang kehidupan orang lain adalah satu cara melatih diri dari suka mencari keburukan orang. Rasulullah juga melakukan cara ini dengan mengasingkan diri pergi bertapa di gua Hira’. Dengan mengelakkan kita memandang perihal orang lain, hidup kita akan terasa sepi. Kesepian ini akan menyebabkan kita rasa makin memerlukan Tuhan. Kesepian akan menambah pergantungan kita kepada Allah. Kita semakin menghargai anugerah akal yang Allah beri untuk berfikir mencari idea-idea memudahkan hidup kita. Jika selama ini kita hidup dengan mengharapkan subsidi dan ehsan orang lain, buangkan perasaan malas itu. Kita ada tulang empat kerat untuk digunakan dalam menyara kehidupan kita.

Begitu juga dalam beragama dan memahami Quran. Jika selama ini kita beragama dengan cara ikut-ikutan dan belajar Quran secara menurut sahaja, bukakan akal fikiran kita agar kita yakin bahawa yang boleh ajar kita itu semua adalah Allah. Allah ajar kita melalui ilham atau idea-idea yang kita perolehi dari berfikir secara waras. Sebenarnya Quran itu mudah sahaja kita fahami jika yakin pada diri sendiri dan keupayaan akal yang waras. Kita bukannya binatang ternak yang mengikut telunjuk orang lain. Dan jangan guna Quran untuk mencari kesalahan orang lain macam biasa kita nampak sekarang. Tapi guna Quran untuk mencari kesalahan diri sendiri dan sampaikan pengajaran yang kita telah rasa dan amalkan kepada manusia yang menghargai akalnya sendiri.

Biarpun apa yang kita sampaikan itu adakalanya pelik di mata masyarakat yang sudah tidak yakin dengan agama sendiri, teruskan perjuangan kita itu kerana siapa lagi hendak diharapkan untuk menyedarkan umat Islam atau bangsa sendiri jika bukan insan-insan yang Allah telah bukakan mata hatinya? Biarpun ada yang menuduh kita gila, bathil dan segala kata-kata celaan yang menunjukkan manusia itu yang berfikiran pendek, biarkan larut malam menjadi saksi siapa yang gila dunia dan siapa yang ditelah diberikan cahayaNya. Kerana ada orang sibuk mengutuk dan menghina pemimpin sendiri kononnya pemimpinnya tidak ikut Quran, sedangkan si pengutuk itu di waktu malam hanya tidur lena. Dia tidak tahu mungkin pemimpin yang dikutuk itu suka bersolat malam untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Oh demikian halus ciptaan ini
Makin terang di dalam satu rasa
Kita yang masih berlari tanpa beriringan
Lama mungkin aku dipertuankan
Lamanya mungkin akan ditentukan
Mmmm yeyeye

Begitulah halus atau seninya kita sebagai ciptaan Allah. Kerana itu orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah memiliki jiwa yang halus. Suka kepada kesenian. Suka mendengar lagu dan menyanyi. Itulah tandanya jiwa yang riang dan damai. Hati terhibur dengan tanda-tanda Kekuasaan Allah. Seperti Nabi Daud yang suka menyanyi sehingga burung-burung dan gunung turut bersama menyanyi lagu yang memuji Allah. Hati makin terang dalam satu rasa. Rasa cinta suci kepada Allah. Biarpun hidupnya diuji, tetapi Allah sahaja yang dicari. Allah peneman diri. Petunjuk Allah menjadi pedoman menempuh hari-hari yang mendatang.

Umat Islam sekarang jadi bangsa yang lemah dan suram kerana hidup berpecah-belah. Tidak beriringan dalam pelaksanaan. Setiap puak mengatakan dia benar ikut Quran. Kemudian mengutuk puak lagi satu tidak Islamik dan sebagainya. Kalau begitu, bila masa umat nak bersatu? Tidak boleh ke belajar bertoleransi sikit? Buanglah perasaan ekstrimis bahawa kita sahaja ikut Quran dan orang lain tidak. Cari titik persamaan di antara kita, bukannya perbezaan pendapat yang menjarakkan kita.

Berlapang dada mendengar pendapat orang lain. Ini akan melatih kita suci hati dari perasan kita sahaja betul. Bangunkan akal fikiran agar bangsa lain nampak umat Islam ini adalah umat yang kreatif dengan idea-idea baru untuk kesenangan manusia. Setiap idea-idea baru yang logik mengikut keadaan semasa kita terima. Bukannya berpegang pada kata-kata ulamak silam untuk menunjukkan kita ikut Islam. Jika kita bergantung pada nama orang terdahulu yang kita sendiri tidak faham apa maksudnya, samalah kita bergantung selain daripada Allah. Tidakkah itu telah menyebabkan kita jadi syirik? Duduk sibuk kutuk orang itu atau orang ini tidak ikut Islam, rupa-rupanya diri sendiri sudah berada dalam jurang kekafiran. Macam mana umat Islam tidak lemah dan dipertuankan oleh bangsa asing di negara sendiri? Berapa lama lagi mungkin akan ditentukan kita hidup seperti binatang ternak yang dicucuk hidungnya?

Tak perlu takut kemungkinan yang datang
Jika ribut pasti juga ada tenang
Lama mungkin hidup di persimpangan
Lambat laun nanti aku ketahuan
Telah ku lalu mata yang jadi kerdipan
Yeyeye yeye…

Apabila hati kita mula bergantung hanya kepada Allah, kita akan merasa tenang untuk menghadapi kemungkinan yang datang. Walaupun mungkin kita menerima sesuatu perkara yang negatif, tetapi jangan cepat merasa lemah dan berputus asa, kerana jika kita tetap mendekati Allah, Dia akan bagi tahu apa disebalik perkara zahir yang kita nampak buruk itu. Setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Sekuat mana ribut yang datang, jika kita bersabar sambil terus mendekati Allah, ketenangan akan dikurniakan kepada kita. Dekatilah Allah dengan mempertingkatkan imbangan akal fikiran kita dari masa ke semasa. Setiap hari lebih baik daripada hari yang sebelumnya.

Sampai bila kita hendak hidup dalam keraguan bagaikan berada di persimpangan jalan? Keraguan akan menyebabkan hati jadi gelisah dan takut. Bila hati takut, mulalah beragama secara pak turut kerana takut tersalah hukum itu dan ini. Walhal selagi kita mengikut pertimbangan akal yang waras, selagi itulah kita berada di jalan yang lurus. Bangunkanlah akal itu, barulah hati jadi tenteram dan rasa selamat. Bukankah Islam itu selamat? Apa guna berbangga kononnya kita ini umat Islam, tetapi nak mengkaji Quran dengan akal sendiri pun sudah rasa takut? Bukankah Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Atas Kekuasaan Allah-lah yang menjadikan kita memahami pengajaran Quran, bukannya kata-kata tok guru semata-mata. Tok guru itu hanyalah manusia biasa seperti kita juga. Kenapa didewa-dewakan mereka sampai kalau tidak belajar dengan mana-mana tok guru, kita tidak mampu faham Quran. Quran itu milik tok guru ke milik Allah? Lambat laun nanti kita akan tahu siapa dia orang-orang yang benar-benar Islam atau orang yang pembelit yang mempergunakan agama untuk berebut kemegahan duniawi. Inilah yang telah ku lalui dengan kerdipan mata ini menjadi saksi. Sesungguhnya Allah Maha melihat lagi Maha Bijaksana.

Setiap insan punya nyawa yang tersendiri
Terokai hidup dengan nyata ada
Kita yang masih terapung bagai di awangan
Penantian tetap ada dalam tangan
Kepastian… kemungkinan…
Yeyeye eee…

Setiap insan itu memiliki jiwanya yang tersendiri. Di dalam kubur mana pun jasad ditanam, kita tetaplah kita. Kita dianugerahkan otak yang mampu berkembang yang membezakan kita daripada binatang ternak yang terhad otaknya. Gunakan akal yang waras dengan meneroka rahsia alam sehingga kita nampak tanda-tanda Kekuasaan Allah. Berfikir secara logik dan nyata, bukannya membayang-bayangkan sesuatu yang tiada asas kebenarannya. Bila kita berfikir secara logik, hati kita menjadi teguh seperti keteguhan hati kita percaya bahawa 1+1=2. Ada sesiapa yang meragui 1+1=2?

Ada manusia kata Quran tidak boleh difahami guna rasional akal kerana akal itu terhad. Secara tidak langsung manusia itu mengakui otaknya setaraf binatang ternak. Kita makin nampak jelas kenapa umat Islam jadi umat yang lembab dan malas berfikir. Semuanya gara-gara agama diajar secara menghadkan keupayaan akal. Jika agama atau akidah diajar secara menurut membuta-tuli, samalah kita macam orang-orang kafir yang disebutkan dalam Quran:

171. Dan perumpamaan (menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka (orang-orang kafir itu) tuli, bisu dan buta, maka mereka tidak mengerti. (Al-Baqarah)

Lihatlah nasib umat Islam serata dunia. Bandingkan dengan bangsa-bangsa yang memiliki kemajuan tamadun dan teknologi. Nampak betapa jauhnya kita dari mereka. Semuanya kerana kita masih terapung di awangan bahawa kita ini adalah umat terbaik. Gelaran umat terbaik yang pernah Allah berikan kepada umat Islam terdahulu telah melalaikan generasi kemudian sehingga Quran dijadikan alat pemecah-belah dan permusuhan. Sebab itu orang Barat kata umat Islam ini terrorist. Sudah secara realitinya kita tunjukkan perangai buruk suka berpecah-belah seperti Yahudi-yahudi di zaman Rasulullah. Sekarang ini orang Yahudi pun ramai yang dah maju pemikiran dan mampu menguasai ekonomi dunia. Sehingga umat Islam terpaksa bergantung hidup dengan mereka pula. Dunia dah terbalik!

Salah siapa terjadi semua ini? Salah tangan-tangan kita sendirilah yang sibuk berebut kerusi dan kekuasaan dunia. Kononnya Islam hanya mampu ditegakkan dengan berebut kuasa pemerintahan. Rasulullah pun tidak guna cara ini. Baginda menegakkan Islam dengan memperlihatkan keindahan akhlak sehingga akhlak baginda sama seperti Quran. Sebab itu selepas Firaun tenggelam di lautan, Nabi Musa tidak kembali ke Mesir untuk ambil kuasa pemerintahan tetapi baginda tinggalkan Mesir kepada orang-orang yang nampak pengajaran dari kekalahan Firaun itu.

Kita hidup ini untuk mencari hikmah dan kebijaksanaan. Itu lebih tinggi nilainya dari dunia dan seisinya. Kerana tanpa hikmah dan kebijaksanaan, walau sekaya mana pun kita dengan harta benda, tetaplah ia tidak mampu menjamin kita dari tipu-daya syaitan. Bila manusia itu tuli, hidupnya hanya menyondol dan merempuh seperti kerbau mengamuk. Mungkin kerana itu orang Melayu atau umat Islam sekarang kuat mengamuk. Harga barangan naik sahaja, terus mengamuk. Dan kebanyakan yang melenting bila harga barangan naik itu bukannya dari kalangan orang miskin pun, tetapi dari kalangan orang yang Allah murahkan rezeki, tetapi rezeki itu dipergunakan untuk bermegah-megah sesama sendiri. Akibat boros berbelanja, mulalah mengalami kesempitan wang. Tekanan hidup kerana tiada wang menyebabkan hati jadi panas.

Jadi sudah sampai masanya kita kembali kepada fitrah diri kita. Kenangilah saat-saat kita di zaman persekolahan yang penuh keriangan kerana waktu itu hati kita tidak dikotori penyakit lagi. Ketika itu perasaan benci, dendam dan dengki-khianat tidak ada lagi sebab kita belum diberikan amanah memegang duit yang banyak. Namun setelah sibuk bekerja, kita semakin alpa. Alpa dari Allah yang hanya mampu didekati oleh orang yang berakal. Dan Quran itu adalah kitab untuk orang-orang yang menggunakan akal. Memahami Quran dengan menggunakan logik akal akan menyebabkan hati kita tenang bagaikan di syurga.

Penantian kita hendak mengecapi syurga tetap ada dalam tangan jika kita berusaha. Sudah pasti kita akan diuji untuk mencapai kenikmatan syurga itu kerana nilai yang tinggi Allah telah letak padanya. Manusia akan diuji dalam perjalanan memiliki syurga. Agar manusia itu sentiasa berharap-harap hanya kepada Allah dan takut jika Allah tidak mengizinkan. Bila kita rasa berharap kepada Allah, kita semakin rajin berfikir dan mengkaji Quran kerana Quran adalah penawar segala penyakit dan penenang jiwa. Kepastian dan kemungkinan untuk memiliki syurga itu tetap ada. Dan Allah tidak mempersia-siakan doa hamba-hambaNya yang yakin dan berharap padaNya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply