17 Apr

Semangat Yang Hilang (XPDC)

Tidak engkau seorang
Juang hingga titisan
Rempuh tak berharapan

Perjuangan yang suci memerlukan persepakatan dan perpaduan. Kerana Adam tidak berjuang berseorangan di atas muka bumi. Kehadiran Hawa penguat hati dan pemberi semangat. Nabi Muhammad ketika mula berdakwah diperkuatkan oleh Siti Khadijah. Siti Khadijahlah yang menenangkan baginda ketika mula-mula menerima wahyu.

Nanti aku di sana
Di ufuk pemikiran
Lalu menghayatinya

Nantikan diriku dalam perjuangan suci ini. Kita sama-sama membangunkan pemikiran dengan menghayati ajaran Quran. Hikmah dan pengajaran hanya boleh difahami oleh insan yang rajin berfikir. Kita dianugerahi akal yang mampu berkembang. Kita bukannya binatang ternak yang terhad keupayaan akalnya.

Di dalam kubur mana pun
Jasad aku ditanam
Aku akulah jua

Jiwaku ditiup ke dalam jasad ini sendirian tanpa ada ruh lain. Dan bila mati kelak, aku tetap sendirian di dalam kubur. Apa jua keputusan yang aku buat selama aku hidup ini akan dipertanggungjawab terhadap diriku sendiri. Sebab itu aku tidak perlu bergantung pada telunjuk orang lain, kerana Allah anugerah akal kepada setiap manusia. Aku bukannya menumpang nama orang terdahulu untuk hidup. Sebaliknya apa jua pendapat orang terdahulu yang ada kebenaran logiknya mengikut pertimbangan akalku, akan aku menerimanya.

Kita laksanakan
Mata hati yang damai
Di sana kejujuran

Setiap insan adalah jiwa sahaja. Jasad hanyalah tumpangan. Jika jiwa insan itu baik, baiklah perlakuan jasadnya. Setiap jiwa mempunyai mata seperti jasad juga ada mata zahir. Mata bagi hati kita adalah akal. Orang yang tinggi akalnya, akan hiduplah hatinya untuk mencari kedamaian. Bukannya hidup untuk berpecah-belah atau berpuak-puak. Dalam hati inilah terletaknya kejujuran. Kerana itu aku mencari kejujuran dalam perjuangan agar segala halangan dapat di atasi.

Semarak impian segunung harap dipulang
Usahlah diragukan keupayaan sendiri
Hati yang membara mengikutkan kata-kata
Jawapannya di sini
Semangat kita yang hilang
Oh kita cari pulang

Bila akal dibangunkan, impian akan menggunung tinggi. Macam-macam perancangan terbit agar impian dapat direalisasikan. Kejayaan merealisasikan impian akan menghasilkan kepuasan. Setiap kepuasan akan memantapkan keyakinan diri dan memadamkan keraguan terhadap keupayaan sendiri. Ketika itu hati mula rasa tenang dan tenteram.

Namun bagi yang suka mengikut kata hati berlandaskan emosi, hati akan terasa panas membara. Hati penuh keraguan. Semuanya kerana semangat untuk memajukan pemikiran telah diabaikan. Bila hati cepat panas, akal tidak menjadi seimbang dan waras. Mengikut fikiran yang pendek. Itulah manusia yang gelap hatinya.

Oleh itu marilah kita sama-sama jadi pengkaji atau pemikir Quran agar mendapat semangat untuk memajukan diri sendiri dan diberikan kekuatan mengawal emosi agar kita semakin kuat kesabaran dan ketabahan. Setiap dugaan Allah kita redha dengan rasa rendah diri. Siapalah kita tanpa diriNya. Kita hanya mampu berhasrat, namun Dia yang memberikan keizinan agar hasrat dapat dicapai.

Malu bertanya kawan
Sesat cari jalan pulang
Biar ia berkesan
Di lubuk hati terbenam

Jika kita tersedar bahawa diri kita sudah jauh dari menjadikan Quran sebagai wadah membangunkan akal fikiran, kembalilah ke pangkal jalan dengan muhasabah diri sendiri. Kenali diri apa yang tersembunyi dalam hati kerana ia cara yang paling berkesan. Di sanalah terbenamnya segala perasaan baik atau jahat. Jika hati penuh kedengkian dan amarah, cepat-cepatlah memperbaiki diri sebelum Kiamat menerpa diri.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

3 Responses to “Semangat Yang Hilang (XPDC)”

  1. Adila Says:

    Berjuang berseorangan, sakit ditanggung sendirian. Tertekan atau terpilu, hanya diri sendiri yang tahu.

    Tapi perjuangan dengan sokongan, sakit, pedih, ada yang turut merasai. jatuh terluka, ada yang tolong membawa naik dan menyapu segala luka.

    Sokongan itu ibarat tiupan semangat yang membara. Saling bercerita, memberi peransang, bertukar pendapat…semuanya penting untuk perjuagan.

    Jika tersalah langkah, ada yang menegur. Jika alpa ada yang ingatkan. Itulah teman seperjuangan…

    Seiring selangkah…bersatu hati memperjuangkan perjuangan agar Islam gemilang kembali.

  2. Kerasma Says:

    Nabi Muhammad dapat teman seperjuangan bermula dari Abu Bakar. Bila ramai teman seperjuangan, idea-idea baru semakin banyak kerana gabungan banyak akal.

    Hanya teman yang ikhlas yang dicari. Yang sanggup sehidup-semati memperjuangan kebenaran Quran dan memperindahkannya.

    Semoga Allah akan bukakan hati yang bersatu fikiran. Sama-sama membangunkan akal dengan mencungkil segala rahsia alam untuk mengenali diri.

  3. Adila Says:

    Kita mecari keikhlasan…bersama kesabaran, ketenangan dan ketabahan, kita redahi segalanya…

    3 zalzalah telah kita alami bersama…

    Kita menunggu keputusan dariNYA…

Leave a Reply