Menongkah Arus…Jangan Bilang Tidak…
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Al-Imran, 139)
Sekali lagi ayat ini jadi pilihan saya…
Dalam hidup ini, pelbagai cara ujian yang harus kita tempuhi selagi hayat dikandung badan. Dan ujian Allah ini tidak akan berhenti sampai kita pergi mengadapNYA.
Allah akan terus menguji dan menguji untuk menilai sekuat mana dan seteguh mana hati kita. Adakah seiring dengan apa yang sering kita gembar-gemburkan? Sabar, tenang, tabah, yakin, bergantung hanya padaNYA…
Bila Allah sampaikan ujian tak kiralah dalam bentuk mana pun, elemen tadilah yang akan menjadi perhitungan dan ukuran Allah. Adakah kita ini hanya pandai bercakap, tetapi kosong dari segi tindakan? Atau kita ini mempraktikkan apa yang kita cakapkan?
Sedih dengan sesuatu yang diharapkan seakan tidak menjadi nyata…sedih itu adalah rasa hati dan perasaan manusia biasa. Semua kita ada rasa ini. Tapi terpulang pada kita untuk mengawal keadaan. Adakah kesedihan itu membuat kita menangis seharian dan seakan melupakan tanggungjawab sebagai hambaNYA?
Atau kita gunakan kesedihan ini untuk mendekatkan diri lagi kepadaNYA. Kita mengadu, merayu, merintih padaNYA. Bercerita masalah kita kepadaNYA. Maha Pengasih dan Pengayang tak akan melepaskan pandanganNYA dari kita. Malah DIA sentiasa memandang kita dengan penuh kasih sayang, tiap masa dan tiap saat. Cuma kita yang tidak menyedarinya. Yakin dengan ketentuanNYA. Segalanya daripadaNYA dan pada DIA jualah segala penawar bagi setiap kesulitan ini.
Adakah kesedihan tadi akan membuatkan kita berputua asa dari Rahmat Allah? Fikirkanlah tentang Rahmat lain yang meluas. Jangan hanya kerana satu kegagalan, kita dustakan segala Rahmat yang Allah berikan selama ini. Setiap masa dan saat hidup kita adalah berdasarkan dari sifat Maha PemurahNYA. Kita diberikan akal untuk berfikir, anggota badan yang sempurna untuk bergerak ke sana kemari. Maka Rahmat mana lagi yang kita nak dustai? Tiada layak kita mendustainya…Kerana kita adalah hamba yang berharap dan akan terus berharap padaNYA untuk selama-lamanya…
Bila kita merasakan jalan untuk mendapatkan sesuatu seakan tertutup, kita kembalilah kepada diri. Kaji diri dan kenali lagi diri kita sendiri. Adakah dosa kita sendiri yang menghalang kita dari mencapai kemahuan kita sendiri? Tanya diri sendiri. Panjatkan keampunan daripadaNYA. Ikhlaskan diri kepadaNYA.
Dan syaitan itu, tidak akan berdiam diri dari terus mencari celah untuk tipu dayanya. Masa kita bersedih ni, adalah masa terbaik untuk syaitan memainkan peranan. Dipujuk kita agar terus melayani rasa kesedihan. Dibisikkan kata-kata sedih sehingga kita merasakan Tuhan tidak sayang lagi pada kita, hidup ini tidak bermakna dan seterusnya sampai ke satu tahap untuk membunuh diri.
Tetapi semua ini tidak akan terjadi jika kita bijak mengawal kesedihan kita. Bagi masa untuk diri sendiri. Berfikir. Sebab dengan berfikir dan mendepankan akal fikiranlah kita dapat melihat sesuatu kegagalan itu bukan satu jalan akhir untuk kita. Jangan pandang sesutu yang bertentangan kemahuan kita seperti jalan terakhir untuk kita. Tapi jadikan itu satu jalan untuk kita terus mengorak langkah. Allah berikan situasi yang sedemikian supaya kita terus kenali diri, berfikir dan mempertingkatkan daya pemikiran kita sendiri. Di samping sentiasa dan terus mendekatkan diri dan hanya bergantung harap kepadaNYA.
Allah itu Maha Mendengar setiap rintihan hati hambaNYA…setiap doa yang diiringi kesunggguhan dan keikhlasan, tidak akan Allah biarkan begitu sahaja. Ada bahagianNYA untuk keikhlasan dan kesungguhan kita itu. Apa yang perlu, kita terus berusaha, berdoa dan redha dengan segala ketetapanNYA.
Jangan Bilang Tidak pada ketentuanNYA. Kita perlu Monongkah Arus…negatif kepada positif. Baru Semangat Perjuangan Harmoni sebati dalam diri bersama Hijau Bumi Tuhan. Agar Semangat Yang Hilang bukan lagi milik kita. Biarlah jiwa kita Ketat Dan Sendat dengan kasih sayang sesama kita keranaNYA

























Posted
on
Monday, April 21st, 2008 at 10:03 am under


Setiap ujian Allah itu walaupun seperit mana dirasakan akan memberi kesan yang mendalam bila kita berfikir panjang. Sebab melalui jalan berfikir, kita akan didekatkan kepada Tuhan. Bila kita semakin hampir dengan Tuhan, hati jadi tenang. Ketenangan hati memudahkan kita berfikir seterusnya mendapat pelbagai idea-idea baru yang mendamaikan jiwa. Kita semakin suka berpuisi kerana cara itu kita meluahkan perasaan kita kepada Allah. Dia Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Kegagalan lalu jadikan penguat semangat untuk membina hidup yang lebih bahagia di masa depan. Bersangka baiklah kepada Allah atas apa yang diberikan. Sesungguhnya keputusan akhir tetap ada dalam Kekuasaan Allah. Kita hanya mampu merancang, tetapi rancangan Allah tetap yang terbaik.
Semoga kedukaan akan disapu dengan ilham-ilham yang mengagungkan Tuhan. Bukankah itu matlamat kita diciptakan? Untuk berbakti pada Yang Esa. Kerana kita ini hanyalah insan.
April 21st, 2008 at 12:13 pmBila kegagalan mendekatkan kita padaNYA, tiada lagi rasa putus asa atas RahmatNYA.
Apa yang timbul adalah semangat untuk terus mencuba selagi Allah berikan ruang waktu.
Mengharap dan bergantung hanya pada Allah akan membuatkan kita redha dengan setiap keputusanNYA…
April 22nd, 2008 at 4:03 am