Kawalan Alam Semesta
Pernah atau tidak kita berfikir, bagaimana Allah mampu mengawal alam semesta ini dalam satu-satu masa. Setiap degupan jantung kita dalam kawalanNya, dan ada berapa bilion manusia yang berdegup jantungnya dalam satu-satu masa? Sebab itu ada satu agama yang menggambarkan Tuhan ada banyak tangan, bagi menunjukkan Tuhan boleh lakukan sesuatu dalam masa serentak.
Namun bagi manusia yang berfikiran waras, kita tidak memerlukan gambaran Tuhan dalam bentuk zahir, cukuplah hati kita melihat Keagungan Kekuasaan Allah. Kerana Kehebatan Tuhan itu tidak mampu digambarkan dalam bentuk zahir, seperti mana keupayaan otak kita berfikir. Ada sesiapa mampu gambarkan kehebatan akal dalam bentuk zahir? Jika akal kita pun tidak mampu dizahirkan bagaimana rupa sebenarnya, apakah layak Tuhan itu dizahirkan dalam bentuk patung dan sebagainya? Walaupun akal kita tidak mampu zahirkan, tetapi kita tetap meyakini kewujudan akal. Begitulah dengan Allah, biarpun tidak nampak dengan mata kasar, tetapi mata hati kita mampu merasainya kewujudanNya iaitu apabila kita termasuk dalam golongan yang menggunakan akal. Oleh itu, golongan yang menolak kewujudan Tuhan (atheis) sebenarnya umpama manusia yang menolak kewujudan akalnya sendiri. Maka, jadilah mereka golongan yang sombong, bongkak dan tuli.
Berbalik kepada Kekuasaan Allah tadi, jika berfikir ikut logik, jika sesuatu perkara itu boleh dilakukan serentak, apa guna masa yang diciptakan? Yang menjadikan kita nampak sesuatu perkara itu berlaku serentak kerana kita menggunakan skala masa yang besar. Namun Allah Maha Halus lagi Maha Terpuji. Kekuasaan Allah umpama cahaya, yang mana cahaya itu boleh bergerak pantas. Kekuasaan Allah mengawal sesuatu di dalam semesta ini menggunakan kepantasan. Sesungguhnya Allah Maha Pantas daripada halaju cahaya.
Cuba kita renungkan penciptaan komputer. Tidaklah Allah izinkan terciptanya komputer ini melainkan untuk memberi pelajaran berguna kepada manusia. Namun berapa ramai yang mahu memikirkan? Komputer yang mempunyai prosessor yang pantas mampu melaksanakan tugasan dengan serentak. Hakikatnya tidaklah ini terjadi serentak, tetapi kerana kepantasan prosessor tersebut memproses jujukan data dengan cepat, mata kita nampak ia berlaku serentak. Jika kerdipan mata memerlukan lebih kurang satu saat, kepantasan komputer sehingga kita nampak ia melakukan kerja dengan serentak mestilah berkerja lebih cepat dari satu saat. Jadi Kekuasaan Allah melaksanakan sesuatu perkara adalah Dia Maha Pantas berbanding segala yang pantas di semesta ini.
Bayangkan jika Allah berkehendak mencabut nyawa kita. Sempat lagikan kita ingin memperbaiki diri jika begitu cepat sekali Dia melakukan sesuatu perkara? Apakah masih ada alasan-alasan untuk kita lalai membantu agamaNya? Atau adakah kita telah menjadi manusia yang tidak mempercayai akhirat sehingga seruan para Rasul itu dijadikan ejek-ejekan? Sesungguhnya Allah tidak memerlukan kita. Apalah sangat nilai diri kita berbanding penciptaan alam semesta yang lebih luas ini? Jadi kenapa kita masih sombong dengan Pencipta kita sendiri?

























Posted
on
Thursday, May 22nd, 2008 at 6:28 am under

