Kobarkan Semangat
Maka berperanglah kamu pada jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajiban kamu sendiri. Kobarkanlah semangat para mukmin (untuk berperang). Mudah-mudahan Allah menolak serangan orang-orang yang kafir itu. Allah amat besar kekuatan dan amat keras siksaan(Nya). (An Nisaa’: 84)
Hidup adalah perjuangan. Perjuangan melawan syaitan yang tersembunyi dalam hati sendiri. Itulah kewajiban pada diri kita sendiri. Kejayaan kita melawan syaitan ini akan memberikan kepuasan dalam hidup. Namun untuk melawan syaitan ini, kita perlukan semangat yang tinggi. Syaitan hanya guna tipu-daya sahaja. Kerana itu, kita perlu pertingkatkan akal agar tidak mudah diperbodohkan oleh syaitan. Kelalaian kita sehingga merasakan hati sudah suci tiada syaitan, sebenar itulah tipu-daya syaitan.
Bila kita merasakan hati sudah suci, syaitan akan menerbitkan rasa bangga diri. Ketika itu mata kita mulalah ingin mencari kesalahan orang lain. Mula hendak menghukum orang itu tidak betul, orang ini tidak Islamik dan sebagainya. Akibatnya, syaitan makin selesa berternakkan dalam hati sendiri. Bila ada orang menasihati kita dengan Quran, mulalah merasa panas hati, walhal sebelum ini kitalah yang kononnya megah dengan laungan menegakkan Al-Quran dan Sunnah. Hilang segala akuan selama ini, gara-gara hati sudah sempit dengan syaitan dan otak sudah terhimpit tidak boleh berfikir secara waras. Kemudian membuat alasan-alasan bahawa Quran tidak boleh difahami guna rasional akal. Kalau tak guna rasional akal, kita nak guna nafsu ke? Sebab menolak rasional akal inilah kita umat Islam sekarang menjadi golongan yang menurut membuta-tuli sahaja dalam beragama sehingga kita menjadi umat yang lemah.
Marilah kita kobarkan semangat untuk memerangi syaitan-syaitan yang suka melalaikan kita memikirkan Keagungan Allah. Syaitan itu suka membisikan kata-kata supaya kita tidak bergantung harap kepada Allah, tetapi kepada selainNya. Bila hati kita bergantung harap kepada selainNya, pegangan kita jadi lemah. Kita mudah jadi lemah semangat bila apa yang kita harapkan tidak kunjung tiba. Tetapi jika kita letakkan segala harapan dengan bertawakal kepadaNya, kita jadi sentiasa bersemangat. Kita harungi hidup dengan berserah diri dan merendah diri kepada Tuhan Yang Memiliki alam semesta ini. Dialah Yang Maha Agung lagi Maha Pemurah. Segala puji-pujian bagi Tuhan Yang Memiliki setiap jiwa.
Setelah hati kita berkobar dengan semangat, mudah-mudahan Allah akan menolak serangan syaitan-syaitan itu kerana siapa yang boleh lawan Kekuasaan Allah setelah kita bersabar dalam semangat perjuangan harmoni? Bukankah Allah sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang sabar? Dan syaitan-syaitan itu akan lari bila kita sentiasa bersemangat. Semangat yang sekeras waja dan seteguh tembok itulah seumpama tembok besi binaan Raja Zulkarnain untuk menghalangi kaum Yakjuj dan Makjuj. Namun bila kita leka sehingga semangat tersebut turun, runtuhlah tembok waja sehingga syaitan berjaya menembusinya semula. Kenalah kita berperang dengan syaitan yang telah memasuki hati kita. Setelah syaitan ini dihalau, binalah semula tembok yang runtuh itu dan sentiasalah berhati-hati. Tingkatkan mentaliti agar menjadi insan kelas pertama.
Jangan cepat berputus asa biarpun kita tertewas pada syaitan beberapa kali. Yang penting kita teruskan mengobar semangat perjuangan dalam diri untuk memerangi syaitan, kerana makhluk ini tidak pernah mengibarkan bendera putih untuk menyesatkan kita sehingga kita mati. Oleh itu sentiasalah mengibarkan panji hitam perjuangan. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar diantaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. (Al Anfaal: 65)
Marilah kita perangi syaitan dalam diri kita sendiri. Sebenarnya diri kita ini seperti sebuah medan peperangan. Tentera kita adalah akal manakala tentera syaitan adalah nafsu. Jika akal kita ada dua puluh idea-idea yang logik, ia mampu mengalahkan dua ratus tipu-daya nafsu yang melemahkan diri. Jika ada seratus idea yang logik setelah kita bersabar untuk berfikir, kita akan dapat mengalahkan seribu bisikan-bisikan syaitan kerana syaitan itu adalah kaum yang tidak mengerti. Sebabnya jika syaitan ini kaum yang mengerti dan lagi bijak, tidaklah mereka menjadi syaitan, sebaliknya mereka akan tunduk berserah diri kepada Tuhan. Bak kata perpatah semakin tunduk semakin berisi.
Pertingkatkanlah akal untuk berfikir secara logik bukannya dengan membayangkan sesuatu yang kosong dan tiada bukti-bukti yang nyata. Logik menjelaskan sesuatu yang tiada sandarannya. Diutuskan para rasul hanya untuk menjelaskan sesuatu yang tiada sandaran. Banyak perkara-perkara dalam agama ditokok-tambah sehingga penganutnya jadi bodoh dan menurut membuta-tuli sahaja. Seperti ada manusia mengatakan belajar Quran tanpa guru itu sesat atau syaitan akan menjadi gurunya. Jika belajar sebutan Arab dan tajwidnya memanglah perlukan seorang guru boleh berbahasa Arab dan guru tajwid, kerana itu adalah logik. Tetapi untuk memahami pengajaran Quran yang sesuai untuk diri kita, hanya Allah sahaja yang layak mengajar kita kerana Dia mengetahui apa yang sesuai untuk kita. Minat manusia berbeza-beza. Jalan hidup manusia berbeza-beza. Perspektif manusia juga berbeza-beza. Yang sama adalah imbangan logik akal sahaja. Seperti adanya bukti 1+1=2, semua manusia mudah menerimanya. Ada sesiapa manusia yang kafir dengan hukum ini?
Yang mana sesuatu perkara itu terbukti baik dengan bukti-bukti yang nyata, ia adalah baik kepada semua. Contohnya makan adalah suatu keperluan untuk hidup, semua manusia mengakui logik bahawa makan ini keperluan. Tetapi hendak makan apa, itu yang berbeza-beza. Ada orang suka makan nasi, ada suka makan buah-buahan, ada yang makan daging dan macam-macam lagi. Islam tidak sempitkan citarasa manusia selagi ia tidak membawa kemudaratan kepada manusia. Begitulah mudah dan indahnya Islam. Sesuatu larangan Allah itu pasti ada logik yang semua manusia mudah menerimanya. Umpamanya larangan minum arak yang memabukkan. Bila manusia itu dalam berkeadaan mabuk, bagaimana dia hendak berfikir secara waras? Rosaknya kehidupan manusia ini bila akalnya tidak mampu berfikir secara waras.
Ada juga manusia yang tidak mabuk, tetapi akibat hidup secara menurut membuta-tuli, maka dia juga melakukan kerosakan, iaitu kerosakan hatinya sendiri. Maknanya bukan setakat arak sahaja haram, tetapi sikap malas berfikir sehingga tidak mampu menilai dengan waras juga sama seperti orang yang mabuk. Orang seperti ini, hidupnya hanya mahu mencari keburukan dan kesalahan orang lain atas alasannya mencegah kemungkaran. Sudahkah dia mencegah kemungkaran dalam hatinya sendiri sebelum sibuk hendak menghukum orang lain tidak betul? Mencegah kemungkaran perlu dimulakan dengan menunjukkan akhlak yang mulia agar orang yang membuat kemungkaran itu ada kesedaran untuk melakukan kebaikan. Jika mengajak orang kepada Islam tetapi dengan menggunakan cara perpecahan dan permusuhan, bukankah itu semua hanya tipu-daya syaitan?

























Posted
on
Tuesday, May 13th, 2008 at 10:09 am under

