Melakukan perubahan diri
Manusia menjadi lalai dalam hidupnya apabila mata hatinya tertutup. Dengan kata yang lain, akalnya tidak ditingkatkan agar mampu berfikir secara waras. Kerana itu jika kita kaji pengajaran Quran dari mula Nabi Muhammad mendapat wahyu, ia berkait rapat dengan pembangunan minda.
Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai. (Ar Ruum: 7)
Bila minda manusia itu rendah dan tertutup, manusia itu hanya melihat secara zahir sahaja. Apa yang Allah tunjuk buruk, manusia itu anggap ia buruk. Begitu juga sebaliknya. Sedangkan tidak semestinya sesuatu keburukan yang kita terima ini membawa natijah yang buruk. Mungkin bila kita berfikir panjang mengikut logik yang nyata, ia mengandungi hikmah dan kebaikan untuk kita. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Untuk mengasah ketajaman minda agar tidak memandang secara zahir, kita kena selalu berfikir secara logik di sebalik perkara zahir tersebut. Seperti kita bermain catur, kita perlu berfikir beberapa langkah kehadapan yang logik untuk kita menguasai permainan. Dan lawan yang lemah daya fikirnya, pasti akan terperangkap dengan umpanan-umpanan yang kita lakukan.
Lemahnya kita umat Islam sekarang kerana kita mudah terperangkap dengan umpanan-umpanan syaitan. Syaitan sengaja meragu-ragukan kita terhadap sesuatu perkara yang kita sendiri yakini benar. Bila orang Barat membuat provokasi seolah-olah menghina Islam dan Nabi Muhammad, kita jadi marah dan melenting, sedangkan pada amarah itu adanya syaitan. Nampak macam kita bagus nak membersihkan nama Islam dengan cara marah-marah itu, tetapi cara kita itu hanya mengundang ke arah hidup yang panas hati lagi tertekan. Seterusnya kita jadi membenci orang-orang Barat itu walhal Nabi Muhammad sendiri boleh bersabar ketika diejek-ejek dan dihina oleh golongan yang menentang baginda. Baginda tidak membenci mana-mana manusia, sebaliknya orang-orang kafir itulah membenci baginda dan sengaja membuat perancangan untuk mengalahkan Islam. Mampukah orang-orang kafir itu mengalah baginda dan orang-orang yang beriman kerana Allah bersama-sama orang-oang yang sabar?
Kelemahan kita juga ada kaitan dengan lemahnya tahap kesabaran kita menghadapi sesuatu dugaan Allah, kerana semakin manusia itu rendah akalnya, semakin tinggi tahap bangga diri dan semakin tinggi tahap kebaranannya. Bila kita rasa tertekan akibat perbuatan orang lain, kita suka menyalahkan orang itu daripada menyalahkan diri sendiri. Sedangkan segala keburukan yang kita terima itu akan daripada perbuatan kita sendiri, walaupun keburukan itu Allah sampaikan melalui orang lain.
Kita nampak orang Yahudi di Palestin itu jahat dan zalim, tetapi apakah kita sanggup mengaku yang dalam diri kita ada kejahatan dan kezaliman? Kita lalai meletakkan akal kita pada tempatnya, bukankah itu zalim namanya? Akal yang Allah beri ini untuk diletakkan pada manusia, bukannya pada binatang ternak. Oleh kerana akal manusia boleh berkembang, adakah patut kita menghentikan pengkajian dan penerokaan Quran atas alasan ia sudah dikaji oleh imam-imam terdahulu? Anggapan-anggapan sebeginilah menyebabkan kita umat Islam jadi malas hendak kaji Quran. Bila kitab pegangan pun tidak dikaji mengikut keupayaan akal sendiri agar kita tahu berfikir secara hikmah dan nyata (logik), maka jadilah kita umat Islam yang sekadar tahu menurut membuta-tuli. Segala perkataan atas nama Nabi atau imam-imam terdahulu hanya difahami secara zahir tanpa memerhati dari segi pengajarannya.
Kerana itulah kita kena perbetulkan semula cara kita belajar Quran. Bukan belajar Quran dengan hanya menekankan bacaan Arab dan tajwidnya sahaja, seolah-olah Quran itu adalah bahasa Arabnya, tanpa berfikir pengertian maksudnya. Sedangkan berapa ramai Rasul-rasul telah Allah bangkitkan dari kalangan berbagai bangsa manusia yang mempunyai bahasa yang berlainan? Tidakkah kita mahu berfikir secara logik?
Kajilah dan berfikirlah memahami pengajaran Quran dengan niat untuk melakukan perubahan diri ke arah kebaikan, bukannya untuk mencari hukum-hukum untuk menyalahkan orang lain. InsyaAllah, Dia akan memandu kita secara beransur-ansur ke jalanNya seperti mana Nabi Muhammad mendapat wahyu ini secara beransur-ansur.
Bagaimana hendak mulakan perubahan diri? Apakah kita perlu tunggu saat hendak mati baru ada kesedaran ke arah keinsafan? Tidak cukupkah masa yang Allah telah beri dengan dikurniakan pelbagai kenikmatan hidup untuk kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur? Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali jika kita bersegera melakukan perubahan ke arah kebaikan. Jadilah kita orang-orang yang beruntung.
Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya. (Ar Ruum: 8 )
Untuk mula lakukan perubahan diri, renungkanlah bagaimana asal kejadikan kita (kembali kepada fitrah). Ketika kita diciptakan, di dalam perut ibu, kita berseorang diri. Begitu juga bila kita dikuburkan nanti. Seperti mana kita dihidupkan dengan berseorangan itu, begitulah juga kita perlukan masa bersendirian bagi menghidupkan hati yang telah lama lalai mengingati Allah. Banyakkan masa bersendirian agar kita mudah menumpu untuk berfikir pasal Allah. Bila kita selalu sendirian, segala anasir-anasir yang kita nampak logik boleh membawa kita kembali kepada keburukan akan mudah kita jauhi.
Bergantunglah hidup sepenuhnya kepada Allah dengan berfikir mencari ilham-ilham ke arah kesempurnaan diri. Sesungguhnya Allah mengilhamkan kita kepada jalan kebaikan atau jalan kefasikan. Dengan berfikir panjang dan waras, kita akan mudah memahami beza kebaikan dan kefasikan dan akhirnya kita berjaya menjauhi kefasikan. Begitulah cara yang para Rasul-rasul dan anbiya’ terdahulu lakukan. Mereka tidak dilahirkan terus jadi baik (kecuali Nabi Isa yang diajar hikmah dan kitabNya sejak dalam perut ibunya). Nabi Ibrahim sendiri tercari-cari siapa Allah ketika mula-mula memperbaiki diri.
Seperti ketika di dalam alam janin, kita hanya bergantung kepada tali pusat untuk melangsungkan kehidupan kita, begitulah di alam dunia ini kita kena bergantung kepada tali Allah. Tali Allah ini adalah pertimbangan akal yang waras dan kukuh. Sebab itulah hujah para Rasul itu bernas, jelas dan kukuh sehingga orang-orang kafir tidak mampu menidakkannya. Bila orang-orang kafir itu sedar kebenaran Rasul-Nya tetapi sengaja menolaknya, hati mereka menjadi resah dan gelisah seterusnya panas hati. Bagi melepaskan kemarahan mereka terhadap para Rasul, orang-oang kafir itu hanya mampu mengejek-ejek. Itulah ketinggian akal yang boleh orang-orang kafir tersebut capai akibat lalai membangunkan pemikiran.
Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri. (Ar Ruum: 9)
Sejarah yang terjadi pada orang-orang terdahulu sebenarnya banyak memberikan pengajaran berguna untuk kita melakukan perubahan. Kerana dengan membandingkan sejarah dan apa yang berlaku pada masa kini, kita akan nampak bahawa janji-janji Allah adalah benar.
Contohnya, jika umat terdahulu yang lalai membangunkan minda sehingga jadi taksub dan tidak boleh berfikir dengan sendiri walhal pada mulanya mereka begitu bijak memakmurkan bumi, mereka tidak boleh lari daripada azab Allah. Dan bila kita lihat nasib kita umat Islam sekarang, biarpun pahit untuk diakui, hakikatnya kita umat yang diazab dengan pelbagai kelemahan. Tekanan ekonomi dirasai oleh kita kerana kita tidak bijak menggunakan sumber-sumber alam untuk kemudahan hidup kita sendiri. Kita terpaksa bergantung banyak dengan teknologi luar.
Semua kelemahan ini kerana kita sendiri membuat-buat dakwaan yang menyebabkan umat jadi malas berfikir seperti, “belajar Quran tanpa guru itu sesat” atau “Quran tidak perlu dikaji lagi kerana imam-imam terdahulu sudah mengkajinya” sedangkan kalau kita fikir ikut logik yang ada disebut dalam Quran, Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan Nabi Isa sendiri diajar oleh Allah melalui malaikat-malaikat yang taat menyampaikan ilham berupaya wahyu ketika mereka berfikir. Sesungguhnya Allah Maha Menguasai kerajaan yang luas.
Jadi, sudah sampai masanya kita melakukan perubahan diri agar ia akan mendorong kepada perubahan umat Islam. Itulah cara halus untuk kita membantu umat-umat Islam yang tertindas. Biarpun cara ini nampak seperti tidak zahir, tetapi seperti yang pernah dicapai oleh Nabi Muhammad, perubahan seperti inilah yang berjaya memperbetulkan umat manusia. Bukan dengan cara berebut kekuasaan duniawi atas alasan Islam hanya boleh ditegakkan jika dapat kuasa. Berapa ramai manusia telah ditipu syaitan sehingga kini kita menjadi umat Islam yang berpecah-belah.
Tambahan pula di zaman internet yang komunikasi antara manusia adalah mudah, seruan-seruan ke arah memperbetulkan diri sendiri ini mudah disebarkan. Terpulanglah kepada manusia itu mahu berubah atau terus lalai. Dan orang-orang yang zalim itu tidak akan tenang hatinya.

























Posted
on
Tuesday, May 6th, 2008 at 2:42 pm under


Melakukan perubahan.
Perubahan yang paling penting adalah perubahan dalam diri sendiri.
Melakukan perubahan dalam diri sendiri perlukan keikhlasan dan kesungguhan. Tiada ertinya kalau kita berubah secara terpaksa atau sekadar mengikut orang lain jika keikhlasan ditinggal di belakang. Kerana suatu masa kelak kita akan rasa terkongkong dengan perubahan yang secara terpaksa itu.
Melakukan perubahan ke arah kebaikan, tidak perlu tunggu orang lain mulakan. Kita boleh mulakan dari dalam diri kita sendiri. Mennggu orang lain, sedangkan masa terus berputar dan meninggalkan kita.
Mulakan dari diri sendiri. itulah cara dan jalan yang paling baik.
May 7th, 2008 at 8:48 am