Melatih keupayaan akal

Apa yang bermain dibenak kita bila melihat gambar di atas?
Jika kita melihat secara zahir, kita nampak seekor kerbau dan seekor burung yang bertenggek di atas kerbau itu. Tetapi cuba kita renungkan gambar tersebut, kenapa Allah takdirkan kejadian yang sedemikian rupa?
Pernah atau tidak kita lihat seekor kerbau yang bertenggek di atas burung? Sudah pasti secara logiknya burung tersebut akan mati kepenyekan dihempap kerbau yang berat itu. Tetapi Allah tidak menakdirkan sunnah (perkara yang biasa terjadi) sedemikian rupa.
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak, benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu, Kami memberi minum kamu dari air susu yang ada dalam perutnya, dan (juga) pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, dan sebagian daripadanya kamu makan, (Al Mu’minuun: 21)
Mari kita ambil pelajaran berdasarkan gambar tersebut supaya kita memahami apa yang telah diperingatkan oleh Allah melalui Quran. Kerbau adalah binatang ternak yang biasa digunakan untuk membajak sawah. Kehidupannya hanya untuk diperkulikan sahaja dan tidak mampu bergerak bebas. Pergerakkannya juga perlahan sahaja. Biasa ia akan ditambat kerana jika tidak ditambat, habis kerosakan berlaku pada kebun-kebun manusia umpamanya. Adakalanya kerbau ini akan mengamuk sehingga boleh membahayakan nyawa manusia.
Berbeza dengan burung, ia hidup dengan terbang bebas ke mana arah yang ditunjuki oleh Allah. Tidak seperti kerbau yang secara logiknya tidak mampu terbang tinggi, pandangan burung-burung ini sudah pastinya lebih luas berbanding kerbau. Burung lebih banyak mengetahui berbanding kerbau kerana melihat alam dengan lebih luas. Dan sesuatu yang sukar untuk kita temui burung akan diperkulikan seperti kerbau.
Dengan melihat perbezaan di antara kerbau dan burung tersebut, mari kita lihat dalam diri kita (terutama akal kita), ada atau tidak ciri-ciri kerbau atau burung tersebut? Adakah akal kita lembab dan berat seperti kerbau atau laju dan ringan seperti burung? Adakah akal kita terbelenggu seperti kerbau yang ditambat atau bebas seperti burung yang menerokai angkasaraya?
Sudah menjadi sunnah, bangsa yang akalnya lembab seperti kerbau biarpun mempunyai majoriti yang ramai akan berada di bawah dari bangsa yang cerdas akal biarpun mereka itu kaum minoriti. Tidakkah pelajaran ini cukup berguna untuk kita setelah melihat kita menjadi bangsa yang lemah di atas tanahair sendiri?
Sampai bila bangsa kita yang suka bermegah-megah atas nama Islam hendak hidup di awangan sehingga kita tidak sedar Allah telah meletakkan taraf kita seperti kerbau dalam gambar di atas? Kita hanya tahu berbalah dan bertelagah atas nama Islam sedangkan Islam adalah agama yang mengajak penganutnya membebaskan akal, bukannya beragama secara taksub membuta-tuli bagaikan akal tidak diberi. Tidaklah manusia itu bertelagah melainkan kerana akalnya sendiri ditolak sehingga dia tidak tahu menilai dengan rasional lagi. Atas rasa bangga diri kononnya dirinya tahu banyak pasal agama, satu puak menghukum puak lain sebagai kafir atau tidak Islamik, walhal kerosakan dalam hati sendiri, Allah sahaja Maha Mengetahui.
Jika kita masih tidak sedar diri, tunggulah azab Allah seperti yang pernah terjadi kepada golongan manusia terdahulu yang sibuk bertelagah sesama sendiri menunjukkan ego masing-masing. Atas laungan memperjuangkan Islam, ada yang sanggup memfitnah dan mencari keburukan orang lain, kononnya hendak mencegah kemungkaran, sedangkan kemungkaran diri melembabkan keupayaan otak sendiri tidak pun diperbaiki.
Lihat bangsa kita yang jauh ketinggalan dari segi kekuatan ekonomi, ilmu dan sains teknologi gara-gara pembangunan akal tidak diutamakan sejak kecil. Akidah tidak diajar dengan cara bermuzakarah, tetapi dengan pendidikan satu hala sehingga jadilah penganut yang menurut sahaja kerjanya. Jika akidah pun sudah lemah, bagaimana anak bangsa hendak yakin dengan diri sendiri? Bagaimana anak bangsa hendak kenal potensi diri? Bila yang tua-tua sibuk bercakaran berpolitik, bagaimana yang muda-muda hendak dapat pelajaran yang berguna? Kemudian tahu menyalahkan anak-anak muda tidak berakhlak. Salahkanlah diri kita sendiri, kerana kita adalah sebahagian dari umat Islam. Jika kita ego hendak akui kesalahan diri, bagaimana masyarakat nak diperbetulkan?
Sudah-sudahlah kita berpecah atas nama agama atau apa juga alasan sekali pun. Islam adalah agama yang mengajak kepada kedamaian bukannya perpecahan. Berendah dirilah dari perasaan bahawa kita sahaja pihak yang benar yang dipilih Allah, sehingga tidak boleh menerima pendapat orang lain. Ada manusia yang sibuk mengatakan pemerintah tidak memberikan kebebasan bersuara, tetapi bila dia mendapat kuasa, dia sendiri tidak memberi peluang kepada orang lain menyampaikan pendapat. Begitulah berapa ramai manusia berdusta kerana berebut kekuasaan duniawi. Dan orang yang berdusta itu pasti hidupnya sentiasa tertekan sehingga wajah menjadi cepat tua.
Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agamanya dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya (urusan) mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat. (Al An’aam:159)
Ajaran Al-Quran mempunyai erti yang tersirat bila kita rajin berfikir. Bukan membacanya secara zahir sahaja. Bila kita fahami maksud tersirat ajaran Allah, kita makin mudah mengharungi hidup. Segala tekanan dan keresahan akan hilang sehingga kita rasa ketenangan diri biar berapa ramai yang tidak menyukai kita. SesungguhNya Allah sahaja pemilik hati kita.
Quran bukannya kitab hukum sehingga maksud mengikut Quran itu hanya sekadar membuat hukum hudud. Nabi Muhammad mendapat wahyu pun bukan dimulakan untuk menghukum itu dan ini malah turunnya Adam dan Hawa ke bumi pun bukannya membawa kitab hukum. Hidup manusia dikawal oleh akal yang bijak, bukannya hukum. Hukum-hukum yang digariskan dalam Quran itu adalah penanda aras bagi keupayaan otak manusia. Jika manusia itu terpaksa menggunakan hukum itu dan ini untuk memperbetulkan masyarakat, itu menunjukkan tahap akal masyarakat itu sudah rendah seperti binatang ternak. Seperti kerbau di dalam kandang, jika tiada pagar yang menghalang, bertempiaran lari kerbau membuat kerosakan. Tetapi jika umat itu bijak, mereka secara sendirinya akan mencegah dirinya dari kemungkaran seperti burung yang bebas berterbangan menjalankan urusan masing-masing dengan aman dan harmoni.

























Posted
on
Tuesday, May 20th, 2008 at 6:22 pm under

