Persiapan untuk menemuiNya
Suatu ketika dahulu, apabila mendengar perkataan mati, terasa suatu kengerian dan menakutkan. Kerana ketika itu diri ini masih jauh dariNya. Ketika itu, kalau boleh tidak mahu bertembung dengan perkara-perkara yang berkaitan mati. Namun setelah menghadapi peristiwa kehilangan orang yang disayangi, barulah hati ini terpaksa berhadapan juga dengan panggilan kubur. Setiap jiwa pasti akan merasai mati. Adalah tidak patut diri ini menolak kebenaran tersebut?
Jadi bagaimanakah aku perlu bersedia saat-saat yang semua manusia tidak tahu akan waktunya (kecuali banduan “akhir” yang menunggu hukuman matinya - itu pun atas Kekuasaan Allah). Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia mahu semua manusia masuk syurgaNya yang tenang dan damai. Namun Allah telah membuat ketetapan bahawa atas pilihan manusia itu sendirilah yang menentukan kelak setelah mati, dia akan ke syurga atau ke neraka. Ketika di alam sana, penyesalan sudah tiada gunanya.

Oleh kerana itu, agar tidak menyesal di kemudian hari, aku berusaha mengorak langkah ke arah perubahan diri. Yakin dengan janji Allah kepada orang-orang yang percaya kepada hari akhirat. Hari akhirat ini tidak nampak gambaran kasarnya. Sebab itu manusia yang hanya guna mata zahir sahaja, susah hendak percaya. Mungkin dia sekadar tahu wujud negeri akhirat itu, tetapi imannya tidak mantap sebab ia belum bersedia untuk diuji oleh Allah. Sebab itu manusia itu membuat sikap acuh tidak acuh berkenaan negeri akhirat ini. Tetapi jika kita menggunakan mata hati, kita akan bertambah yakin dengan kelogikan wujudnya negeri akhirat ini. Ia akan difahami apabila kita sedar diri bahawa kita ini hanyalah jiwa yang diberikan pilihan sahaja sedangkan jasad dan segala kekayaan harta adalah pinjaman Allah.
Untuk membuka mata hati, kita kena tingkatkan akal agar sentiasa berfikir secara waras dan seimbang. Selagi kita tidak tahu membezakan di antara benar atau buruk, selagi itu kita tidak layak untuk menilai. Jadi kita kena bangunkan akal kita setinggi yang mungkin agar pertimbangan kita menggunakan neraca yang adil. Umpamanya sebagai rakyat, adalah tidak patut kita mengutuk dan mengatakan pemimpin kita membuat kezaliman (tidak adil) sedangkan kita belum lagi merasai tugas sebagai seorang pemimpin. Layakkah seorang anak mengutuk bapanya (pemimpin) atas alasan dari segi penilaian anak itu bapanya seorang yang tidak betul? Walhal hakikatnya bapanya itu lebih dahulu berpengalaman dalam hidup.
Jika kita nampak orang yang lebih tinggi kekuasaannya daripada kita membuat sesuatu yang tidak betul, tegurlah mereka dengan cara berhikmah iaitu dengan bermula dengan memperbaiki diri kita sendiri, bukannya dengan cara mengutuk dan mencaci orang tersebut. Tunjukkan contoh yang baik pada diri kita dahulu sebelum nak suruh orang lain buat baik. Itulah sunnah yang digunakan oleh Rasulullah yang diabaikan oleh umat Islam sekarang. Ajaklah manusia itu berfikir dengan waras dengan memberikan hujah-hujah yang masuk akal. Jika dia berfikir, pasti dia akan menerima teguran halus kita itu. Tapi jika dia engkar, tinggalkan dia agar Allah uruskan kerana urusan kita untuk menyampaikan itu telah selesai. Kerana apabila manusia itu nampak sesuatu kelogikan setelah berfikir, tetapi dia sengaja menolaknya, pasti hatinya tidak akan tenteram sehingga dia mati melainkan dia sempat berubah untuk tunduk berserah diri kepada Allah. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar walaupun ramai manusia mengengkarinya.
Semakin akal kita dipertingkatkan, semakin mudah kita membezakan sesuatu perkara itu baik atau buruk. Kita akan merasakan bahawa hidup ini sebenarnya mudah, kerana Allah yang melakukan semuaNya dalam hidup kita. Allah kurniakan rezeki yang terbaik untuk kita agar hidup dengan penuh ketenangan. Dia yang tentukan jodoh yang baik untuk kita walaupun dari segi pandangan kasar mungkin calon yang Allah berikan itu tidak memenuhi insan “perfect” yang kita cari. Sebab kita menilai mengikut pandangan cetek dan jangka masa pendek, tetapi Allah Maha Mengetahui perkara yang nyata mahupun yang ghaib (masa akan datang).
Bila kita bijak dan berhikmah dalam hidup, hati kita akan menjadi semakin tenang dan sabar. Tiada lagi debaran kerana ilmuNya telah menjadi seperti gunung-gunung sebagai pasak bumi agar tidak bergoncang. Seperti Allah selamatkan Malaysia daripada bahaya gempa bumi kerana kita memiliki banjaran-banjaran gunung yang panjang dan tinggi. Oleh kerana itu gunakan kurnia Allah yang melindungi kita daripada bahaya gempa bumi untuk mempertingkatkan keupayaan akal bukannya hidup bertelagah berebut kekuasaan duniawi.
Setelah hati yang dibukiti ilmu yang tinggi, semakin teguh dan kukuh pendirian kita. Lemahnya umat Islam kerana belajar Quran bukan untuk jadi orang berilmu, tetapi sekadar tahu. Sudahlah yang kita tahu itu sekadar bacaan Arab dan tajwidnya sahaja, bukannya intipati atau pengajarannya, maka makin bertambah ragu-ragu kita terhadap agama dan kitab sendiri.
Jadi sudah sampai masanya kita sama-sama melakukan perubahan bermula pada diri kita sendiri. Bereksperimenlah untuk mengkaji dan memahami Quran sehingga hati kita menjadi tenang dan tenteram. Kelak kita semakin berani menghadapi hari kematian kita. Benar seperti yang dikatakan bahawa lemahnya umat Islam akhir zaman ini kerana penyakit cinta dunia (akibat guna mata zahir sahaja) dan takut mati (akibat tertutup mata hati).

























Posted
on
Thursday, May 1st, 2008 at 9:50 am under


Tiap jiwa yang bernyawa pasti merasai mati. Tiada yang terlepas dan tiada yang terkecuali. Janji Allah tak pernah mungkir.
Allah beri kita pilih dua jalan.
Allah kurniakan dua mata.
Allah bekalkan akal dan nafsu.
Kita ada panduan Al-Quran dan hadith…
Di mana dan ke mana kita….
May 5th, 2008 at 11:15 pm