11 May

UMNO dan ulang tahun ke-62nya

Tidak dapat dinafikan baik yang menyukai atau yang membencinya, UMNO adalah tunjang kepada kesatuan rakyat di negara kita. Ini kerana UMNO adalah parti yang disertai sebahagian besar kaum majoriti di Malaysia iaitu kaum Melayu. Parti ini jugalah yang menjadi kekuatan dalam menyatukan rakyat di Tanah Melayu untuk negara kita mencapai kemerdekaan daripada tangan British apda tahun 1957 dahulu.

Survival orang Melayu banyak dikaitkan dengan parti ini. Namun sejak kebelakangan ini, karisma UMNO bagaikan sudah pudar warnanya. Apakah disebabkan kesilapan para pemimpinnya atau ada di kalangan generasi baru yang sudah hilang jati dirinya? Yang penting untuk kita fikir-fikirkan bagi mencapai kegemilangan bangsa kita adalah apakah kita sanggup mengakui kesilapan diri sendiri daripada sibuk mencari kesalahan orang lain.

Ada manusia yang mencintai Islam mengatakan parti UMNO ini bersifat perkauman dan perkauman ini dilarang dalam agama. Apakah betul persepsi begini? Jika kita berfikiran cetek, mungkin kita nampak parti yang menggunakan atas nama “Kesatuan Melayu” itu seperti mewujudkan perkauman. Tetapi jika renungkan, UMNO tidaklah berdiri atas rasa bangga diri dengan bangsa Melayunya, tetapi tetap bertoleransi dengan parti-parti kaum lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan banyak parti yang mewakili suku kaum dan etnik di serata Malaysia. Toleransi ini diterjemahkan atas semangat permuafakatan dalam gabungan yang dinamakan Barisan Nasional. UMNO sekadar mewakili salah satu etnik agar kita dapat saling kenal-mengenali di antara pelbagai etnik di negara kita.

Jika kita mengkaji Al-Quran dengan memahami apakah matlamat dakwah Nabi Muhammad dan para rasul terdahulu, Islam adalah agama yang mengajak permuafakat sesama manusia agar sentiasa bantu-membantu membangunkan diri masing-masing supaya menjadi manusia yang bijak dan pandai berfikir secara waras. Semangat inilah yang telah dihayati oleh BN walaupun mungkin ada manusia yang sukar menerimanya bahawa BN telah pun lama mencontohi semangat Islam yang sebenar. Mana-mana manusia yang mengajak ke arah kesatuan manusia, itulah Islam. Kerana hanya iblis sahaja yang suka manusia hidup berpecah-belah. Bukankah perihal iblis telah diperingatkan dalam Al-Quran secara berulang-ulang? Kerana iblis, Adam dan Hawa terpisah. Bercerai-berainya hati-hati orang Melayu sekarang ini kerana dalam diri kita adanya syaitan. Kita tidak mengenali diri lagi sehingga pandangan mata zahir kita hanya mahu mencari musuh di kalangan manusia.

Jika betul kita berpaksikan Islam, tunjukkanlah atas ruh Islam kita mampu menyatu-padukan bangsa Melayu dahulu. Jika ini pun gagal, tak usahlah bermegah-megahan melaung-laungkan yang kononnya kita memperjuangkan Islam dan Sunnah. Islam adalah agama kedamaian di mana segala penyakit hasad dengki dan iri hati perlu dicuci dalam setiap jiwa manusia yang mengakui kebenaran agama yang suci ini. Selagi penyakit ini tidak dicuci, jadilah kita orang Islam sekadar manis di bibir sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati kita.

Kejayaan kita menyatukan bangsa kita sendiri akan membuka mata bangsa-bangsa lain untuk melihat keindahan Islam. Bukankah Nabi Muhammad sendiri memperindahkan Islam dengan mula menyatu-padukan suku kaum Arab? Jika kita kata kita perjuangkan Islam, tetapi kita memecah-belahkan perpaduan bangsa Melayu, apakah betul kita mengikut ajaran Islam? Atau kita hanya melepaskan amarah kita terhadap pemimpin sendiri sedangkan pada amarah itu adanya syaitan? Manusia boleh menipu manusia, tetapi dengan Allah, siapa boleh lawan? Dan orang-orang yang berdusta atas nama agama akan merasa azab siksaNya yang tidak terperi.

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah dengan membuktikan semangat perpaduan orang-orang Melayu. Perkukuhkan perpaduan ini atas nama parti yang relevan. Allah bukan pandang pada nama parti itu apa, sama ada berbunyi mat saleh atau berbunyi Arab. Yang penting nilai-nilai mulia yang diterapkan di hati kita. Sudah sampai masanya kita perbetulkan definasi Islam yang telah disempitkan. Jika kita sempitkan hidup atas nama Islam, hati kita tidak bahagia dan tenang, sedangkan syurga itu tempat untuk orang-orang yang bahagia dan tenang hatinya. Jika di atas dunia pun kita sudah gagal mempraktikkan diri untuk menjadi manusia yang bahagia dan tenang serta penuh sifat kesabaran, bagaimana kita hendak mengharapkan jaminan syurga setelah kita mati kelak? Apakah syurga boleh dicapai dengan sekadar mengaku beragama Islam dan percaya pada ajaran Muhammad walhal kita tidak pun mempraktik kebenaran agamaNya ini, sehingga jadilah kita orang yang berpenyakit hatinya?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply