07 Jul

Freethinkers Vs Ateis

Semalam masa balik kampung, saya tengok ada majalah kecil dalam bilik. Mastika. Dan sememangnya adik ipar saya tu suka sangat baca zine kecil ni. Tiap bulan pasti ada. Dan saya pun, tumpang baca la. Tertarik dengan artikel pasal freethinkers. Pasal ateis.

Kekadang alasan yang mereka berikan kenapa mereka tak percayakan Tuhan ni, boleh diterima jugak oleh akal yang pendek. Kalau kita tak berfikir panjang atau tak mempunyai pegangan akidah yang kuat, secara tak langsung kita akan termakan dengan kata-kata mereka ini. Sedikit demi sedikit dan akhirnya sarat dalam kepala. Ditambah pula dengan nasib hidup kita yang pada pandangan kita selalu bertembung dengan kedukaan dan kesusahan, lagi-lagila kata-kata tentang tidak wujudnya Tuhan itu atau ketidak adilan Tuhan bersarang dalam minda kita.

Melalui bacaan saya, kebanyakan mereka yang freethinkers ini bermula dengan kesusahan dalam hidup mereka. Pada asalnya mereka mempercayai kewujudan Tuhan sebagai pencipta dan penguasa alam ini. Tapi kerana berlaku sesuatu yang tidak dapat mereka terima dalam hidup mereka, mereka mula memandang serong pada kewujudan Allah. menganggap Allah tidak adil dan pilih kasih terhadap umatNya. Mulalah mereka meragui takdir Allah. Kenapa hanya mereka sahaja yang ditimba bala dan bencana berturut-turut? Kenapa tidak orang lain? Kenapa orang lain boleh bersenang lenang dan tidak ditimpa masalah seperti mereka?

Persoalan demi persoalan yang mengasak minda, tanpa berfikir panjang dan tanpa mencapai logik, mereka hanya nampak satu perkara, Tuhan tidak adil. Dan lebih baik tidak bertuhan kalau begini jadinya. Dan sedikit demi sedikit mereka mula menolak kewujudan Tuhan dalam hidup mereka. Dengan logik yang tidak sampai dan akal yang singkat, mereka mula bertindak mengikut nafsu. Kerana dalam situasi ini, nafsu telah merajai hatinya. Akalnya hanya sebagai perhiasan di kepala, hanya sebagai boneka. Penggunaan yang tidak memenuhi fungsinya, adalah seperti boneka layaknya. Bukankah begitu?

Kebanyakan mereka berlagak seperti golongan intelek dengan mengusung buku tulisan beberapa tokoh falsafah barat seperti Friedrich Nietzsche, Søren Kierkegaard, Lord Byron dan Karl Marx yang terkenal dengan ideologi antiketuhanan dan komunisme sebagai ‘kitab’ ajaran mereka menggantikan kitab sebenar.

Mereka mula merasakan setiap yang berlaku dalam diri mereka adalah kerana diri mereka semata-mata. Mereka berjaya kerana mereka  berusaha dan mereka gagal kerana mereka malas. Tiada kaitan dengan Tuhan. Tetapi mereka tidak sedar, siapa yang memberi kuasa untuk tangan dan kaki mereka bergerak?

Bila berbahas atau berbicara tentang fahaman mereka ini, mereka lebih senang menggunakan pendekatan luah dan lari. Bila merasakan goyah atau mula ketandusan hujjah, mereka lebih senang angkat punggung dan berlalu dari perbualan. Berharap dengan cara ini pegangan mereka tidak dipengaruhi oleh orang lain yang berpegangan tentang agama.

Bila tidak percaya dengan agama, bermakna mereka bebas melakukan apa sahaja. Tiada istilah halal dan haram dalam kehidupan. Yang ada hanyalah “semua boleh”. Sepanjang pembacaan saya, saya tak pernah lagi baca artikel pasal freethinkers yang kehidupannya mengarah kepada kebaikan. Sebab bila situasi ini berlaku, bermakna mereka itu telah mula mendapat hidayahNya dan kembali ke pangkal jalan.

Persoalannya, apakah erti ketenangan dalam kehidupan mereka? Apakah erti kehidupan? Apakah erti masa hadapan? Apakah erti kematian?

Sedang dalam kehidupan kita ini, dipenuhi dengan pelbagai penciptaan. Kereta ada penciptanya, rumah ada pembinanya, baju ada tukang yang menjahitnya. Semua benda yang mengelilingi kita ada yang mencipta dan merekanya. Tapi bagaimana alam yang ada dengan sebegitu luas dan teratur percaturannya ini boleh tercipta dan terurus dengan sendiri? bagaimana peredaran sistem cakerawala kita yang terurus dan teratur? Sedangkan kereta di jalan raya ada yang berlanggar dan terbabas? Rumah, ada yang runtuh.

Merenung kepada sekeliling kita sambil berfikir, bukankah kita dapat merasai ada satu Kuasa Yang Maha Besar sedang mengatur dan menguruskan segalaNya?

Bila kita dapat merasai Kuasa itu, hidup dan mati kita adalah keranaNya. Dia yang mengawal degup jantung dan tiap darah yang mengalir. Mana mungkin semua itu dapat berfungsi dengan sendirinya tanpa kawalan satu kuasa. Kalau nak dikatakan itu adalah semulajadi, dari mana datangnya semulajadi itu?Bila kita timbulkan persoalan demi persoalan, tiada lagi istilah tiada kuasa yang mengawal alam ini. Tiada lagi yang mengatakan perihal kesemulajadian alam ini. Bila akal mendahului nafsu, jalan kebenaran terbentang luas untuk kita terokai dan nikmati bersama.

“Iman manusia sekejap naik, sekejap turun…Iman itu perlu dibaja dan dipelihara, macam anak pokok. Untuk menjadi pokok yang teguh berdiri, anak pokok harus disiram, dan dicahayai, juga dibajai. Memupuk iman bukan kerja sehari dua..macam semai dan tanam pokok. Lama…tapi kalau ada buahnya, lebih bermaknalah pokok tu!”

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

One Response to “Freethinkers Vs Ateis”

  1. Ujang Says:

    Pokok iman dibaja dengan ilmu dan dicahayai dengan akal. Bila manusia tolak logik akal, pasti dia tidak menemui Tuhan. Last-last jadi freethinker.

    Pernah baca tak kisah imam Abu Hanifah mengalahkan seorang atheis? Beliau guna hujah akal sahaja. Malang sekali ada umat Islam sendiri tolak akal dalam memahami Al Quran. Dah ditolak akal, bermakna mereka kaji Al Quran guna nafsulah? Itu yang umat jadi berpecah-belah sebab masing-masing ego menurut nafsu sendiri.

Leave a Reply