23 Jul

Memujuk Hati Sendiri

Hidup adalah satu perjuangan. Perjuangan mengenali siapa diri kita yang sebenar. Dengan mengenali dirilah, manusia akan kenal siapa Tuhannya. Dan bila telah kenal Tuhan, jalan hidup akan mula teratur dan hati akan sentiasa ditenangkan, kerana Allah sendiri mengawal alam semesta ini dengan teratur dan sentiasa tenang biarpun berapa ramai manusia engkar kepadaNya.

Dalam mengharungi perjalanan hidup, macam-macam perkara kita impi dan cita-citakan. Tetapi tidak semua yang kita impikan mampu direalisasikan. Ada yang sekadar berada di alam fantasi semata-mata. Kegagalan mencapai apa yang diharapkan sudah pasti menghadirkan rasa kecewa. Tetapi perlukah kita berputus asa dengan kegagalan tersebut?

Ambil kata-kata azimat yang dikhabarkan oleh Al Quran sebagai penawar kegagalan.
Ibrahim berkata: “Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat.” (Al Hijr: 56)

Daripada ayat tersebut juga kita mampu untuk muhasabah diri kita sendiri adakah selama ini kita telah tersesat dalam hidup atau tidak. Jika kita termasuk dalam orang-orang sesat, pasti kegagalan yang berlaku menyebabkan kita berputus asa dengan rahmat Allah. Dengan kata lain, setiap kali kita gagal, semakin kita menjauhi Tuhan dan menyalahkan Tuhan yang menyebabkan kita jadi gagal. Kita mula berprasangka yang Tuhan tidak menyayangi kita sedang berapa banyak rahmat Allah masih Dia berikan di sebalik satu kegagalan itu? Namun jika kita termasuk dalam golongan yang berfikir panjang, pasti kita akan nampak di sebalik satu kegagalan itu mengandungi 1001 macam hikmah yang akan menguja diri kita untuk bangkit ke tahap yang lebih baik dari yang sebelumnya.

Cuba kita pelajari dari nasib bangsa Israil. Walaupun dalam Al Quran banyak mengisahkan perihal buruk bangsa yang bersifat Yahudi, tetapi itu bukan alasannya untuk kita membenci mereka. Bangsa Yahudi ini dalam sejarah mereka sering ditimpa musibah. Dan tidaklah mereka mendapat nasib begitu melainkan daripada hasil usaha sendiri. Namun di sebalik kegagalan dan musibah yang menimpa mereka itu, mereka kini menjadi bangsa yang kuat biar pun mereka tidak ramai.

Tidak seperti kita umat Islam, walaupun mempunyai kuantiti yang ramai, memiliki banyak negara-negara, tetapi kita berada dalam kelemahan. Syaitan telah menipu-dayakan kita sehingga kita hidup bermusuh-musuhan sesama sendiri atas alasan kononnya kita lebih Islamik daripada orang lain. Jadilah kita manusia yang hidup berpecah-belah. Ada tanahair, tidak sedar bangsa lain yang menguasai sumber ekonomi dan kekayaan. Umat Islam sekarang jadi cepat putus asa. Bila ditimpa dengan tekanan, mula mencari-cari kesalahan orang lain daripada mencari kesalahan diri sendiri.

Dari kisah bangsa Yahudi itu, kita nampak mereka menjadi kuat sekarang kerana kuatnya daya fikir mereka. Seorang Yahudi bernama Bill Gates kini telah menjadi manusia terkaya di dunia kerana kebijaksanaannya memanupulasi keupayaan akal manusia. Malangnya kita umat Islam ada yang mengatakan akal manusia terhad sehingga kita jadi bangsa yang tidak tahu mencipta, walaupun kononnya kita mengaku bertuhankan Allah Yang Mencipta. Dengan kebijaksanaan akal yang diberi, terciptalah komputer dan internet yang mampu menyambung silaturrahim manusia dengan ikhlas biarpun saling tidak mengenali wajah masing-masing. Tidakkah kita mahu memikirkan?

Begitulah besarnya nikmat akal yang Allah beri yang sudah tidak dihargai oleh umat Islam sekarang sehingga kita menjadi bangsa yang tidak ada kerja lain selain berpecah-belah dan bertelagah sesama sendiri. Baik yang berserban atau pun tidak, dalam hati penuh hasad dengki dan berbangga diri yang dia lebih mulia di sisi Allah berbanding orang lain. Atas rasa bangga diri ini, dikutuk dan dicaci makilah orang lain, sehingga tidak sedar apa yang pernah dikatakan itu terpalit kembali ke muka sendiri. Sedar atau tidak, perangai bangsa Yahudi yang diperingatkan di dalam Al Quran telah pun kita amalkan selama ini. Inilah bahananya bila beragama secara menurut membuta-tuli mengikut amalan nenek-moyang tanpa mengkaji secara logik di sebalik sesuatu ajaran atas nama agama.

Kembali semula kepada bagaimana hendak memujuk hati bila menghadapi kegagalan, caranya hanya dengan membangunkan pemikiran. Pemikiran akan terbangun bila kita kaji alam dan diri kita sendiri dan mengaitkan ia dengan Kekuasaan Allah, kerana tanpa mengaitkan dengan Tuhan yang mencipta alam ini, akan timbul rasa bangga diri bila kita berilmu. Perasaan bangga diri ini akan menyebabkan ilmu itu hilang bagaikan gunung yang dihamburkan seperti bulu-bulu berterbangan. Kaum Firaun suatu ketika adalah bangsa yang berilmu dan berteknologi tinggi. Tetapi kerana perasaan bangga diri, Firaun sampai mengaku dirinya tuhan. Dan lihatlah nasib orang yang sombong lagi berbangga diri itu.

Memanglah bila patah hati, pasti kita terasa sakitnya. Tetapi lupakan kesakitan itu dengan memperbanyakkan masa mengkaji pasal Allah kerana ilmu Allah itu tidak terbatas. Sebab itu Allah tidak meletakkan di mana batasan akal manusia. Yang menyebabkan ilmu kita terbatas kerana kita belum mengkajinya lagi. Bila kita sudah kaji dan memahami kelogikannya, ia sudah tidak terbatas lagi. Ilmu ini berlapis-lapis seperti mana Allah cipta langit dan bumi ada lapisannya sendiri. Setiap kali kita berjaya memahami logik pasal Kehebatan Allah, kita akan rasa puas, sebab kita sudah guna akal kita sendiri, tanpa bergantung atas nama orang lain.

Nabi Muhammad sendiri mengkaji pasal Allah dengan akal sendiri. Begitu juga Nabi Ibrahim dan para mukmin terdahulu. Hanya manusia yang malas mengkaji yang membuat alasan akal manusia terbatas sehingga wujudnya generasi manusia yang beragama secara menurut dan taksub sahaja serta tidak nampak kepentingan pembangunan akal fikiran. Mereka kata buat apa kaji Al Quran lagi sebab ulama-ulama terdahulu sudah habis mengkajinya. Apakah ilmu Allah itu terbatas sampai boleh habis dikaji manusia yang lemah ini?

Keseronokan mengkaji pasal Tuhan sendiri inilah yang mampu memberikan semangat dan kekuasan untuk kita bangkit dari kegagalan. Jika gagal bercinta, carilah cinta Allah sebab Dia tidak pernah meninggalkan kita. Biarlah orang yang kita cintai itu meninggalkan kita, kerana itu hak dia. Hak kita adalah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi.

Apa erti khalifah? Adakah binatang ternak itu layak digelar kahlifah? Bagaimana manusia yang menolak logik akalnya sendiri untuk beragama secara menurut membuta-tuli bagai binatang ternak yang dicucuk hidungnya, layakkah digelar khalifah? Kenapa Allah cabutkan kekuasan umat Islam di muka bumi sekarang? Adakah kerana kita telah seumpama binatang ternak yang ada diperingatkan di dalam Al Quran sendiri, yang kononnya kita membacanya tetapi tidak mahu memahaminya pun? Kita sekadar gunakan Al Quran untuk mencari-cari dalil bertelagah sesama sendiri.

Sebenarnya terlalu banyak kata-kata azimat boleh kita cari dalam Al Quran yang menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan akal kita. Manusia akan jadi lembab otak bila hidupnya sekadar untuk bersenang-lenang dan bermewah-mewahan. Bila manusia lembab otaknya dan hilang kewarasan, jika diberikan kekayaan, dia menjadi tamak dengan kekayaan, dan jika diberikan kemiskinan, dia akan berputus asa dan menyalahkan orang lain yang menyebabkan hidupnya jadi susah.

Begitulah peranan akal dalam mengawal hidup kita. Semakin tinggi tahap pemikiran kita, semakin mudah kita mengawal diri kita sendiri. Kita bantu diri kita sendiri untuk menjadi manusia yang terkawal, samalah kita membantu agama Allah, kerana peribadi kita itu akan menjadi contoh untuk memperlihatkan siapa Allah itu. Jika kita sekadar mengaku Islam, tetapi berakhlak buruk kerana suka berpecah-belah, bukankah itu telah mencemarkan nama Islam dan nama Allah? Kita marah bila pihak Kristian guna perkataa “Allah” dalam kitab Bible terjemahan Melayu mereka. Tetapi kita tidak marah pada diri sendiri kerana sikap pemalas kita mengkaji ilmu Allah telah menyebabkan imej Islam kini tercemar.

Bangkitlah untuk kembali mengkaji Al Quran. Terlalu banyak kebaikan yang bakal kita perolehi. Bila kita menemui kekecewaan, Allah akan ubat hati kita dengan menyediakan teman-teman yang ikhlas dan menyediakan ruang-ruang yang memenuhi minat kita. Umpamanya jika kita minat bermain muzik dan mencipta lagu, bila kita membantu agama Allah, jika diuji dengan kehampaan, Allah pujuk dengan menghadirkan rakan-rakan untuk kita jamming bersama, biarpun suatu ketika dahulu terlalu sukar untuk mencari rakan yang sama minatnya. Itulah di antara rahmat Allah yang boleh kita alaminya sendiri jika kita termasuk dalam golongan yang berfikir pasal Allah setiap masa.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

2 Responses to “Memujuk Hati Sendiri”

  1. Adila Says:

    Menjadi kebiasaan hidup kita, kita hanya akan tersedar dari kelekaan bila ada sesuatu yang tak dijangka menimpa kita.

    Bila ada sesuatu masalah, barulah kita mula memaksimakan penggunaan akal. Teringat saya pada perumpamaan yang digunakan oleh salah seorang komentar kat blog ni pasal beza antara ada kereta dan berkereta. Bukankah ada beza antara kedua itu. Begitu juga dengan ada akal dan berakal. Apalah gunanya ada ada kereta tapi tak guna? Ada akal tapi tak guna…

    Biasanya bila gagal kita akan berhadapan dengan dua kondisi. Allah selalu hadirkan dua kondisi. Untuk kita semua berfikir.

    kondisi pertama, gagal dan terus jatuh. Menyalahkan takdir dan sekeliling. Sebenarnya bila kita salahkan takdir, kita salahkan siapa sebenarnya? Qada’ dan Qadar adalah daripadaNya. Adakah kita salahkan Allah? Siapa kita untuk salahkanNya? Layakkah? Sedangkan untuk kelip mata pun kita perlukanNya.

    Kondisi kedua, gagal tapi bangkit bersama kegagalan itu. Mereka menjadikan kegagalan sebagai satu platform untuk belajar dan terus maju. Mereka akan memandang kegagalan dalam konteks bertatih. Bertatih dari gagal.

    Orang yang bangkit dan berjaya selepas gagal akan lebih menghargai apa yang dia ada berbanding dengan mereka yang berjaya dengan senang tanpa merasai perit jerih berjuang untuk berjaya.

    Orang yang merasai 2 situasi iaitu gagal dan berjaya, akan lebih memahami erti hidup ini dan hukum alam. Dia akan sedar dari kuasa apa dia dapat bangkit semula.

  2. Kerasma Says:

    Semakin kita menyedari Kuasa Allah, semakin kita bersemangat untuk bangkit semula. Kerana itulah jangan menghadkan akal untuk malas berfikir pasal Allah. Selagi ada nyawa ini, gunakanlah ia untuk kita mengenaliNya. Bila kita kenal KehebatanNya, kita akan puji dia dengan penuh perasaan dan semangat. Kita akan rasa perubahan diri kita untuk hidup dengan mencipta sesuatu yang lebih bermakna untuk melupakan segala kegagalan yang memedihkan jiwa….

Leave a Reply