08 Aug

Aku dan Muzik (part 5)

Aku menamatkan tahun pertama ku di universiti dengan kenangan manis dapat membuat persembahan band secara formal buat julung-julung kalinya dalam hidupku. Gambar ketika saat indah itu aku kongsikan dengan awekku yang kejauhan di matrikulasi. Ketika itu internet belum lagi popular dan meluas. Handset bukan suatu yang mudah untuk dimiliki seperti sekarang. Jadi pondok telefon dan surat-menyurat sahajalah menjadi pengutus khabar dan pengubat rindu. Inginku buktikan padanya biarpun aku melangkah dahulu ke menara gading, tetapi aku tetap setia menantinya dalam perhubungan yang masih mentah ini dan diuji dengan kejauhan. Namun bagiku, sekali aku meletakkan harapan, aku akan berusaha setia pada perhubungan. Itulah prisip hidupku dalam perhubungan fitrah Adam dan Hawa ini.

Allah anugerahkan bakat dan minat bermain muzik untuk aku gunakan sebagai pemangkin semangat perjuangan hidupku. Biar apa orang nak kata pasal bermain muzik, namun bagiku, aku bermain muzik bukan untuk mengajak orang berpecah-belah dan bermusuh-musuhan. Allah telah menunjukkan dengan jelas padaku bahawa muzik boleh menyatukan manusia bila manusia itu bijak dan tahu menilainya. Mana ada negara berperangan kerana berebut hendak bermain muzik? Manusia hanya berperang sebab hendak berebut kuasa politik dan harta kekayaan. Manusia bermusuh-musuhan kerana hendak tunjuk ego dan bermegah-megahan. Sedangkan dengan bermain band, aku bersama rakan-rakanku boleh belajar menghargai bakat masing-masing dan bertoleransi. Dapat merasai perasaan harmoni dan muhibah kerana kami berpadu bakat dan idea masing-masing untuk menjayakan matlamat yang sama. Sebab itu bagi yang bermain band dengan ikhlas dan jujur, pasti akan merasai nikmat ini. Kalau tidak masakan otai-otai rock kita sanggup reunion kembali walaupun suatu ketika dahulu ada yang pernah terpisah akibat terbuai dengan nafsu mengejar glamer.

Naik ke tahun kedua pengajian, aku mula menyewa rumah dengan rakan-rakan yang sama jurusan. Memang menjadi kebiasaan, pelajar yang mengambil jurusan seperti ku akan lebih suka tinggal di luar kampus untuk tinggal bersama kerana kami mudah untuk berbincang, berbanding hidup di dalam kampus yang menyebabkan kami terpisah mengikut kamsis-kamsis yang ditetapkan. Bersama empat orang lagi rakanku, kami menyewa rumah yang agak jauh dari universiti, semata-mata ingin mencari rumah sewa yang murah. Ketika ini aku mula membeli gitar kapuk untuk menemani hidupku dalam perjuangan sebagai seorang pelajar.

Wan, band mate aku masih setia tinggal di kamsis yang sama. Kamsis yang menemuikan kami atas nama muzik. Tambahan pula aweknya juga adalah penghuni kamsis yang sama, lagi-lagilah dia setia di sana. Penyanyi band kami pula telah mengambil keputusan menarik diri. Mungkin dia tidak mampu memberikan komitmen. Memang, bermain muzik ini memerlukan komitmen yang tinggi dan saling ikhlas di antara satu sama lain. Kerana kita bergabung atas minat yang sama, sedangkan cara hidup kita berbeza-beza. Persefahaman yang kukuh sahaja akan memastikan sesebuah band itu akan terus kekal dan teguh. Itulah cabaran dalam bermain band muzik ini.

Ketiadaan vokalis telah mengurangkan kekerapan kami berlatih bersama. Tambahan kursus-kursus untuk tahun kedua semakin mencabar dan assignment juga semakin bertambah, menyebabkan keterbatasan masa untuk memenuhi minat. Jadi untuk semesta pertama tahun kedua ini aku lebih banyak menumpukan pada belajar dan aktiviti silat untuk memenuhi point kursus kokurikulum ku. Di samping berawek kerana awekku itu telah pun menjejakkan kaki ke tahun pertama. Cuma agak sedihnya, kerana dia tidak layak masuk ke universiti induk, tetapi pergi ke kolej yang mengadakan program usahasama dengan universiti aku belajar ini, sama seperti rakan-rakan matrikulasi yang rapat dengan ku dahulu. Namun awekku akan datang seminggu sekali ke kampus induk untuk kursus yang melibatkan latihan di makmal. Jadi, ada juga peluang untuk kami berjumpa bagi mengukuhkan tali perhubungan yang masih terjalin kerana kejujuran masing-masing.

Awekku ini amat memahami minatku dalam muzik. Sebab itu aku selalu berkongsi apa jua yang menggembirakan hidupku berkaitan muzik dengannya. Dan kerana sifat memahaminya itu, aku pun buatkan sebuah album unplugged hasil permainan gitarku. Tetapi album ni tanpa vokal, sebab suaraku tidak sesedap mana. Memang sejak aku belajar jamming dahulu, aku tidak bercita-cita pun hendak menyanyi. Sebab aku tahu bukan senang hendak menyanyi lagu-lagu rock yang memerlukan kekuatan semangat untuk menarik nada yang tinggi. Kaset yang ku hadiah pada awek ku itu menjadi penemannya setiap kali datang ke kampus pusat ini. Itu yang dia katakan padaku.

Walaupun jarang jamming dengan band aku, tapi ada juga aku singgah jenguk Wan di biliknya terutama pada tengahari Jumaat, kerana kalau aku hendak balik ke rumah, agak jauh, sebab petang itu ada kuliah lagi. Jadi bilik Wan tempat aku singgah berehat sebelum dan selepas solat Jumaat. Sambil kami praktis lagu-lagu terkini.

Setiap usaha akan diberikan balasan. Berkat kami praktis secara kosisten biar pun tiada persembahan, Allah hadirkan peluang untuk membuat persembahan lagi. Kali ini kamsis yang pernah aku duduki itu mengadakan satu program minggu kesenian. Band kami dijemput untuk membuat persembahan, kerana Wan masih lagi penghuni kamsis tersebut dan mengenali komiti yang mengadakan program tersebut. Band kami diberikan peluang untuk membuat persembahan terbuka di sebuah pusat beraneka fungsi yang menjadi tumpuan para pelajar universiti di sana. Satu peluang untuk kami menonjolkan bakat di khalayak yang lebih ramai dan terbuka. Oleh kerana band kami sudah tiada penyanyi, maka Sahrul selaku pemain drum kami mengambil tugas sebagai penyanyi untuk persembahan itu. Jadi kami buat persembahan semi unplugged tanpa drum.

Sahrul memiliki mutu suara yang agak baik juga dan sesuai dengan lagu-lagu akuistik yang kami cadang untuk dipersembahkan iaitu antaranya adalah lagu-lagu yang aku dan Wan tak sempat persembahkan pada malam yang menyedihkan seperti yang dicoretkan sebelum ini. Dan kebetulan Sahrul mengenali seorang cewek Indon yang belajar di universiti kami yang mempunyai bakat menyanyi. Dia menjemput cewek itu menyanyi lagu Pergilah Sayang (Ella & Korie) untuk berduet bersama. Persembahan bermula dalam pukul 11 pagi. Dan kebetulan hari itu adalah hari Sabtu di mana hari awekku datang dari kolejnya ke makmal di fakulti tempat aku belajar. Dan Allah memudahkan rancanganku, kerana awekku itu dapat habiskan latihan makmalnya dengan cepat maka dapatlah aku bawanya melihat persembahan ku nanti. Itulah hadiah aku untuknya demi mengharga perhubungan ini. Mungkin kerana itu dia tidak sabar-sabar melihat persembahanku itu.

Sebagai manusia, kewujudan yang tersayang memangkinkan semangat untuk aku buat yang terbaik untuk persembahan itu nanti. Dan memang persembahan itu dapat kami adakan dengan bersemangat. Kena pula vokalis kami bijak berbicara dengan penonton setiap kali lepas habis sesuatu lagu. Jadi kami memang enjoy ketika itu. Itulah persembahan yang paling enjoy aku rasakan setakat ini biarpun bermain secara unplugged sahaja. Sempat aku jeling kepada awek ku yang memerhatikan dengan penuh minat untuk ku dapatkan semangat supaya aku dapat bermain dengan penuh keyakinan. Ramai juga mengikuti persembahan kami sehingga akhir. Kejayaan membuat persembahan itu biarpun bukannya dibayar pun, tetapi cukup untuk kami merasakan satu kepuasan sejak aktif dalam bidang muzik secara sampingan ini.

Selepas tamat persembahan, aku pergi mendapatkan komen daripada awekku itu. Komen itu menambahkan perasaanku yang berbunga dan indah pada waktu itu selepas lega membuat persembahan yang aku rasa terlalu cepat berlalu. Tak puas pula untuk membuat persembahan lagi. Rakan-rakan bandku yang lain pergi makan tengahari bersama dan mengajak kami menyertai mereka. Tetapi aku tidak dapat menyertai mereka kerana perlu menghantar awek ku pulang ke fakulti kerana petang itu bas yang membawanya datang, akan pulang semula ke kolejnya yang jauh di tengah bandar.

Bila sebut pasal bandar ini, aku bersyukur kerana masuk ke universiti yang bersuasana kampung kerana mengingati asal diriku yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana kampung. Memang terasa damai belajar di sini. Kepala tidak serabut dengan hiruk pikuk bandar. Sesuai untuk orang yang suka mencari ketenangan dan sedang berkasih-sayang (chewah!).

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

2 Responses to “Aku dan Muzik (part 5)”

  1. AtanAryan Says:

    hmmmm…semakin menarik ni….teruskan….

  2. Kerasma Says:

    Terima kasih bro kerana sudi mengikuti posting ini sejak bahagian pertama. Jika panjang umur, akan wa teruskan kisah ini sampai saat kewujudan bro dalam perjuangan muzik ini… :)

Leave a Reply