03 Sep

Fadhilat Tarawikh

Hari ni saya nak sebut sikit berkaitan dengan sebuah hadith yang menngaitkan tentang Fadhilat Solat Tarawikh yang popular di bulan Ramadhan ini.

Di riwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat tarawih pada bulan Ramadan:

Malam 1:

Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti  ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2:

Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam 3:

Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy’ supaya kami meneruskan sembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

 Sesuatu hadith itu, perlu kita kaji dan kita fikirkan kebenarannya. Sebab, fenomena kita sekarang ni, kalau dikatakan hadith nabi, semua akan terima dan ikut. Tanpa mendahulukan akal pemberian Allah. Dari sini ada yang tak bertanggungjawab mengambil kesempatan.Maka muncullah hadis-hadis dhaif dan palsu.

Allah dah kurniakan kita akal. jangan kita kesampingkan fungsi akal ini. Gunakan akal kita untuk melihat sejauh mana kebenaran hadis yang diperkatakan itu. Bukan hanya main turut  macam pak turut tanpa memikirkan kebenaran tentang sesuatu itu.

Pada kita, kalau digunakan ’sighat tamridh’ (diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. begini…” )rata-rata dari kita akan terus anggap itu adalah dari Rasulullah.

3 neraca yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia selamat dari penyelewengan hadis dan takwilan secara jahil:

Pertama: mempastikan kesahihan sesebuah hadith berdasarkan timbangan ilmiah oleh para muhaddithin (ulamak hadith)

Kedua: memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadith

Ketiga: memastikan sesebuah hadith tidak bercanggah dengan nas yang lebih kuat darinya yaitu dari Al-Qur’an dan hadith-hadith lain yang lebih kuat kedudukannya.

Dan kita juga boleh menggunakan imbangan akal kita yang waras ini. Bukan hanya terima sahaja bila disebut ia adalah sebuah hadis.

Berbalik kepada hadis popular di bulan Ramadhan ini, ia tidak disahihkan dan tidak terdapat dalam Kutub As-Sittah (hadith 6) iaitu Bukhari, Muslim, atTurmudzi, Abu Daud, anNasa’iy dan Sunan Ibn Majah, ini tidak menepati neraca 2 di atas.

Puasa dalam Islam adalah satu jalan kepada ketakwaan. ia adalah objektif puasa dan ia juga adalah kejayaan umat Islam di dunia dan akhirat.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (Al Baqarah, 183)

Terjaminnya kita di sana adalah melalui keredhaanNya. Sebanyak mana ibadat, tapi kalau hati dipenuhi riak dan berpenyakit, kita akan dapat penat dan dapat dosa lagi.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan sesuatu yang tak pasti.Dengan tersebarnya hadis-hadis seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik sejak dahulu.

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya. Dan bukan hanya dengan bertarawikh dapat menghidupkan malam Ramadhan ini. Selain itu, mereka juga akan bangun qiamullail , berzikir dan berfikir tentang kehebatan dan kekuasaan Allah.

Tidak cukupkah bagi kita dengan janji-janji dari Allah tentang puasa dan ibadat di malam harinya ini?

Takut andai kita terlalu terpengaruh dengan hadis ini, kita bersolat terawikh kerana hanya mengharapkan ganjaran yang dijanjikan ini. Sedangkan keredhaan Allah adalah segalanya untuk kita.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

3 Responses to “Fadhilat Tarawikh”

  1. Kerasma Says:

    Itulah antara contoh-contoh penyelewengan atas nama Nabi. Jika kita fikirkan, kenapa umat Islam sekarang mudah ditipu atas nama Nabi atau ulama terdahulu? Ya, sebab kita beragama tanpa menggunakan akal. Hanya menurut membuta-tuli. Bila dikatakan bertarawikh malam pertama akan diampunkan dosa, maka dia pakat turut. Sedangkan dalam hatinya masih lagi penuh penyakit. Masih lagi panas hati dengan kelebihan orang lain. Masih lagi berbangga diri dengan kemewahan. Masih lagi hidup secara malas berfikir, sehingga tidak sedar umat sudah ragu2 untuk pakai akal sendiri. Manusia itu nampak pada ibadah ritual itulah yang memberikan ganjaran padanya. Sedangkan Allah melihat pada hati. Buruk dalam hati kita, buruklah tempat kita di akhirat. Jika kita suka bersangka buruk dengan orang lain, bukankah itu bermakna kita telah menempah tempat buruk di akhirat kelak, walaupun sebanyak mana tarawikh yang dilakukan.

    Melihat situasi umat Islam yang lemah, berpecah-belah dan suka berpuak-puak bila berselisih pendapat, walhal selama ini sudah berapa banyak solat terawikh dilakukan, kita dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan amalan atas nama agama. Kita hanya memandang agama dari sudut ibadah ritual, bukan pada akal dan ilmu, sedangkan Al Quran itu adalah untuk orang yang menggunakan akal. Jika kita kata kita memperjuangkan Al Quran dan Sunnah, sedangkan kita adalah umat yang pemalas berfikir dan mengkaji, apakah betul amalan kita selama ini?

    Segala ibadah ritual ajaran Al Quran untuk menjadikan kita insan yang kuat berfikir. Bukannya manusia yang hidup bermalas-malasan dan mengharapkan ibadah tersebut membawa kita kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Macam mana orang yang tuli dan tidak guna akal boleh bahagia?

    Akal dibangunkan bila kita berfikir secara logik, bukannya berfantasi dalam beragama. Bila kita lakukan secara realiti, kita dapat rasainya sendiri. Sedangkan jika kita berfantasi, kita hanyalah berangan sahaja.

    Jika hidup kita ini untuk buat ibadah ritual, tidak perlulah dikurniakan akal yang berkembang dan mampu mencipta. Seluruh alam semesta ini pun beribadah kepada Allah. Tetapi makhluk-makhluk ini tidak dikurniakan akal yang membolehkan mereka mencipta. Hanya manusia sahaja yang dikurniakan kebolehan tersebut. Sebab itu kita dijadikan khalifah di muka bumi.

    Hidup dengan mencipta akan memberikan kepuasan, sebab kita mampu membuktikan keupayaan kita sendiri. Kita hidup secara realiti, bukannya berfantasi.

  2. Adila Says:

    Kalau tak ada yang mengambil kesempatan atas nama hadith dari nabi ini, dari mana timbulnya hadith palsu? Dari mana datangnya hadith yang dhaif?

    Teringat saya satu kisah seorang ulamak yang menghafal hadith. Sampai satu tahap, dia membaling segala kitab-kitabnya kerana menyedari hadith yang dihafalnya selama bertahun-tahun itu adalah hadith palsu.

    Dari sini dapat kita jadikan pengajaran, iringilah akal kita bersama semasa menerima sesuatu.

  3. Kerasma Says:

    Ya…pernah dengar juga perkara itu. Sekadar menghafal hadis untuk dituruti membuta tuli, tidak menjadikan manusia itu bijak berfikir.

    Bijak berfikir apabila kita melihat alam secara logik mudah. Macam komputer boleh menjadi alat yang pintar dengan hanya kenal logik 1 dan 0 sahaja. 1 lawannya 0, 0 lawannya 1. Baik lawannya buruk, buruk lawannnya baik.

    Kemudian gunakan teknik perbandingan, perkaitan dan mantik, untuk menyusun aturan fikir kita sehingga membentuk jalan yang lurus. Ketika itu kita akan rasa hidup kita mudah.

    Umpamanya, akal = cahaya = terang = luas pandangan = saujana mata = tenang. Dengan kata lain, orang yang menggunakan akal akan membawa kepada hidup yang tenang.

Leave a Reply