Kekasih Yang Sejati
Dalam pencarian hidup ini, kita sering mengaitkan dengan kesempurnaan hidup apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang dekat di hati kita. Seseorang yang menenangkan apabila kita bersamanya. Seseorang yang mengembirakan apabila kita di sisinya.
Dari kecil, seorang bayi sentiasa rasa selamat bila bersama ke dua ibu bapanya. Seorang adik akan sentiasa rasa dijaga dan selamat bila bersama abang atau kakaknya. Seorang dara akan tersenyum riang dan rasa disayangi apabila ada si teruna yang menyintai dan menyayanginya sepanjang masa. Seorang isteri akan aman dan selamat bila di samping suaminya, bila berada dalam pelukan suaminya.
Lantas, setiap seseorang itu, siapa sebenarnya pergantungannya supaya selamat dan sentiasa aman damai dari dunia sampai akhirat?
Mari kita lihat…
Seorang bayi, bila-bila masa sahaja akan kehilangan ibu dan bapanya apabila masa yang Allah janjikan itu datang. Dan ketika saat itu, bayi tersebut terpaksa beralih kasih kepada mereka yang sudi menyayanginya dan menjaganya. Biasanya kasih sayang yang diberi akan melupakan kita kepada sesuatu kesedihan. Mungkin dalam masa yang tak lama, bayi tersebut dapat melupakan ke dua orang tuanya yang telah pergi menyambut seruan Ilahi. Tidak mustahil dia akan menganggap orang yang membesarkan nya itu adalah ibu bapanya kalau tidak diberitahu kisah yang sebenarnya. kerana manusia itu, ingatannya terhadap sesuatu adalah terbatas dan ada hadnya.
Seorang adik, sampai bila akan bergantung pada abang atau kakaknya. Sampai satu masa mereka akan berpisah dan mengambil arah dan haluan masing-masing. Memilih jalan hidup yang sesuai dengan mereka. Cuma yang tak memisahkan mereka adalah darah yang sama yang mengalir dalam diri mereka. Sekarang ni, adik beradik pun boleh berparang dan bertetak kalau ada rasa tak puas hati, lebih-lebih lagi kalau bab berebut harta. Semakin ramai yang menganiaya sesama sendiri kerana kabur dan rambang mata dengan harta.
Seorang dara, apakah yang menjanjikan pasangannya adalah pemimpinnya untuk menemui Allah? Siapa yang menjamin yang mereka akan berkekalan dan ke jinjang pelamin. Ini kerana soal hati adalah urusan Allah. Siapa tau, dalam hari ni bercinta sayang, tapi hari besoknya berpisah. Siapa yang kita harapkan?
Seorang isteri, walau berjanji untuk sehidup semati dengan si suami, urusan siapa untuk menunaikan harapan kita itu? Bila si isteri meninggal, si suami mula berasa kesunyian dan mencari ganti, begitu juga sebaliknya. Walau tak semua yang begitu…walau tak bercerai mati, ramai juga yang bercerai hidup. Anak-anak jadi mangsa…(walau bukan semuanya begitu…)
Habis tu, kalau semua yang kita sayang dan kita namakan sebagai kekasih itu berpotensi untuk meninggalkan kita, apa gunanya kekasih? Kekasih ni adalah seseorang yang akan sentiasa menemani kita selama-lamanya. Dalam susah, dalam senang…semasa hidup dan selepas mati…
Siapakan yang sentiasa bersama kita? Semasa kita jaga dan semasa kita lena. Yang tak pernah meninggalkan kita barang sedetik. Sentiasa bersama kita dalam susah dan senang. Tempat kita meminta dan mengadu. Tempat kita bergantung dan mengharap…Tempat yang kita rasa selamat bila bersamanya…
Yang sentiasa mengawasi kita. Sentiasa membantu kita dalam hidup ini. Yang sentiasa membenarkan dan memberi izin kita untuk bergerak. Yang sentiasa memujuk kita ketika berduka…
Bolehkan seorang ibu bapa, seorang abang atau kakak, seorang kekasih dan seorang suami sentiasa bersama kita dalam lena dan dalam jaga? Setiap detik bersama kita? Tidak pernah meninggalkan kita. Adakah yang begitu?
Dan sesungguhnya kekasih kita adalah yang menciptakan kita. Yang terlalu dekat dengan kita. Yang mengetahui rahsia hati dan luaran kita. Yang mengetahui tiap urat yang ada dalam badan kita. Yang menguasai tiap degupan jantung kita. Yang mengetahui dan mendengar tiap denyutan nadi kita. Yang mengawal urusan masa lampau dan masa depan kita.
Yang dalam jaga dan tidur, Dia tetap bersama kita. Dalam hidup dan mati kita. Ketika di dalam alam kubur, apakah yang ditanya? Adakah berkenaan dengan insan yang bersama kita? Tidak…Itu bukan soalannya. Tetapi berkenaan dengan kekasih sejati kita, yang Maha Mencipta itu.
Sesungguhnya insan yang bersama kita akan meninggalkan kita, lambat atau cepat. Tapi Allah, iaitu kekasih sejati kita, tak pernah meninggalakn kita walau sesaat. Dialah yang sentiasa membantu dan menolong kita. Yang tak pernah jemu untuk memberi kepada kita. BersamaNya, kita akan rasa tenang. Cinta dariNya adalah cinta yang pasti. BersamaNya kita rasa damai. Bersama cintaNya kita akan kekal aman dan damai selamanya…Insya Allah.
Dan hanya cinta kepada insan yang keranaNya sahaja akan kekal bersama kita walau pun insan itu telah pergi kepadaNya, kerana cinta dan sayang yang keranaNya tidak akan hilang atau pupus kerana Dia bersifat Maha Kekal dan Maha Hidup selamanya.

























Posted
on
Monday, September 8th, 2008 at 9:21 am under

