Sketsa Ramadhan Dan Syawal
Dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, rata-rata antara kita berlumba-lumba untuk menggandakan amal ibadah. Berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amalan seharian kita. Menambah yang sunat dan berusaha meninggalkan yang dilarang. Al-Hamdulillah…
Dan tak kurang juga yang berlumba-lumba untuk membuat persiapan untuk raya. Puasa baru sehari, tapi persiapan raya dah mula dilakukan. Baju raya dah beli, langsir baru dah tempah, tinggal masa nak ambil jer. Kedai perabot dah dijenguk untuk sebagai persediaan perabot baru untuk raya nanti. Nanti, tak ada la malu dengan jiran-jiran yang bertandang. Apa kelas pakai sofa lama…meja makan kena berganti…kena la ikut trend.
Rumah dah luntur catnya. Kena cat ni…kalau boleh cat sendir, jimat la jugak. Tapi baik upah orang jer la…tak penat sangat nanti. Lagi pun leceh la kalau buat sendiri.
Hm…banyak juga tu nak pakai duit. belum masuk budget untuk balik kampung lagi. Kampung sendiri dan kampung mertua. Tak kan nak balik tangan kosong. Paling tidak baju raya untuk adik beradik dan mak ayah kena la beli. Duit raya lagi…Mak oi….boleh botak kepala ni. Kepala yang berkelumumur yang dah sure gatal tu, digaru-garu. Daki kepala ditenyeh ke kain.
Dah la duit dah banyak habis untuk persiapan raya rumah sendiri, rumah mak ayah dan mertua tak masuk lagi…Tu diorang dah berpesan nak sarung kusyen baru. Nak beli yang harga RM60-70, malu la pulak. Paling tidak yang ada brand. Biar adik beradik yang lain tengok terbeliak biji matanya. Sudah tu, rumah mertua kena beli juga, baru adil. Kalau tak, mau taknya ada yang tarik muka 14.
Mana la nak cekau duit ni. Tak kan nak pinjam dengan Along…Huh, tak mau cari pasal. Pinjam dengan kengkawan? Huh diorang pun sibuk dok meminjam. Pinjam dengan mak ayah, ala…buat malu jer la. Kata kerja besar….gaji besar, rumah besar…hehe, bini pun besar. Ops…diri sendiri pun besar jugak. Apa taknya, ayam yang penuh lemak dan kolesterol tu jugak yang jadi santapan harian. Bukan tak pernah dengar pasal bahaya kolesterol, tapi sedap punya pasal…hentam saja la.
Tiba-tiba kepala teringatkan replika cek yang dihantar oleh Maybank. Ala-ala pinjaman gitu. Guna dulu baru bayar. Dan senyuman mula terukir indah di bidir. Selamat aku….Lagipun pinjaman dengan Maybank ni, terjamin. Takder la sampai nak simbah-simbah cat kat rumah, nak kacau anak bini…huh, kalau yang tu, tak sanggup aku! Paling gerun, berparang dan berasid. Minta jauh.
Syukurlah…dalam kepala dok pening mikirkan mana nak cekau duit, sempat lagi berfikir tentang kesan buruk kalau pinjam dari Along. Tapi kalau yang dah terdesak dan tak sempat nak fikir panjang tu…kegembiraan sebentar menjadi hiburan dan sengsara yang panjang menjadi derita.
*********
Inilah sebahagian daripada agenda raya yang menjadi keutamaan sesetengah daripada kita. Kita seakan lupa objektif dan matlamat sebenar kedatangan Ramadhan dan kehadiran indah pagi Syawal. Kehadiran bulan puasa yang merupakan salah satu jalan menuju kepada ketakwaan telah berubah objektifnya. Rata-rata kita lebih menekankan menu masakan untuk berbuka dan sahur. Nak makan apa, nak beli kuih apa, nak pergi pasar Ramadhan yang mana pulak hari ini….
Seterusnya, nak beli baju raya jenis apa, kalau boleh nak pilih yang terbaru la. Baru up to date. Kasut dan beg kena sedondon dengan warna baju. Belum masuk bab tudung lagi. Sudahnya, malam dihabiskan dengan menjelajah pasaraya. Bila dah balik, penat terus tertidur. Tak per la, bangun jap lagi untuk solat Isyak dan tarawikh. Sedapkan hati sendiri…
Sudahnya, bangun pun ngam-ngam untuk bersahur. Lauk pun tak sempat nak panaskan. Untuk sedapkan hati lagi, qada’ solat Isyak dalam Subuh jap lagi la…mata ngantuk ni. Lelap dalam 5,6 minit.
Alamak, terbabas lagi. Dah nak pukul 7 pagi. Bergegas bersiap sebab nak pergi kerja. Baju tak iron lagi, nak mandi lagi…sudahnya terlupa janji nak qada’ Isyak tadi, dengan Subuh pun melayang…
Inilah sketsa hidup kita. Bukan semua. Tapi segelintir pasti ada.
*****
Salah satu kehebatan dan kebesaran Ramadhan ialah pada malam Lailatul Qadarnya. Bila ketikanya Allah sahaja yang tahu. Tak perlulah kita menunggu sepuluh malam terakhir untuk menanti Lailatul Qadar. Amalan yang berterusan dari awal Ramadhan dan bulan sebelumnya akan membawa kita kepada amalan yang konsisten. Kelebihan Lailatul Qadar ini ada Allah nyatakan dalam KalamNya dalam Surah Al-Qadr.
Untuk kita yang menghayati Ramadhan, besederhana adalah jalan yang terbaik. Allah tidak suka kepada sesuatu yang melampau dan memudaratkan. Begitu juga dengan pembaziran.
Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya (Al Israa’, 27)
Sebelum kita lakukan sesuatu, fikirkan dulu baik buruknya. itulah gunanya akal. Itulah fungsinya nikmat Allah yang membezakan kita dengan binatang ternak ini. Lapangkan fikiran dan luaskan pandangan kita, jangan hanya berada di bawah tempurung yang kita cipta bertahun-tahun lamanya itu. Sepak terajanglah tempurung yang menutup kepala kita itu. Gantikan dengan sebuah alas yang indah dan menawan. Setinggi dan secerah langit…seceria sinar mentari.
Ramadhan untuk kita sama-sama menginsafi dan muhasabah diri. Jadikan Ramadhan satu titik mula untuk kita beralih ke sesuatu yang baru, dan berazamlah untuk mempertahankannya sehinggalah ke Ramadhan yang seterusnya dan seterusnya… insya Allah.

























Posted
on
Saturday, September 6th, 2008 at 8:25 am under

