Puasa = Kurus @ Gemuk?
Ramadhan dan Syawal, ia umpama isi dan kuku. Selepas Ramadhan pagi Syawal akan muncul dengan indah. Tanda kegembiraan kerana telah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan.
Selain Syawal, bila sebut Ramadhan juga, akan tergambarlah bazar Ramadhan yang penuh dengan gerai yang dikerumuni manusia. Di gerai itu terdapat pelbagai jenis makanan yang kekadang kita sendiri tak peernah tengok dan tak pernah tau namanya.
Bagaikan sudah satu adat, bila saja Ramadhan menjelma, bazar Ramadhan ada di mana-mana. Peniaga pula tersenyum riang mengenangkan pasar sebulan itu. Dan yang tak pernah berniaga pun, teruja untuk berniaga bila melihat sambutan yang begitu menggalakkan. Sedap tak sedap belakang kira. Yang penting dapat duit.
Harga makanan pula, semakin hari semakin naik. Kalau dulu kuih RM1 dapat 3 biji. Tapi sekarang dah jadi 50sen sebiji. Nasi ayam pula dah menjangkau RM3.5, malah ada yang dah naik RM4. Mahal ke tak mahal, kalau dah nak makan tu, beli juga kan?
Ramadhan juga dikaitkan dengan berat badan. Semakin kurang atau semakin naik. Biasa yang kita dengar ialah semakin kurus. Tapi ada juga yang menjadi semakin naik berat badannya selepas sebulan berpuasa. Kenapa agaknya?
Fenomena pertambahan berat badan selepas berpuasa mungkin dipengaruhi oleh cara pemakanan dan sikap tuan punya diri. Salah satunya mungkin dikaitkan dengan kemunculan pelbagai jenis aneka ragam juadah untuk berbuka puasa yang jarang ditemui di bulan lain.
Selain itu, juadah lauk pauk yang membuka selera dan kena dengan selera kita menambahkan selera kita untuk makan. Apa taknya, ayam pusing, ayam percik, daging bakar, itu belum masuk senarai kuih muih dan air lagi.
Kekadang bila berkunjung ke pasar Ramadhan tu, semua benda kita nak beli. Seakan terlupa bahawa kita berpuasa selama 30 hari, bukannya untuk hari itu sahaja. Beli kuih, 5,6 jenis. Belum masuk bab air lagi. Air kelapa, air tebu, macam-macam jenis air lagi.
Berbuka puasa dengan sajian ringan terlebih dahulu adalah cara yang terbaik. Atau kalau nak makan sajian berat pun, jangan terlalu banyak sangat. Berpada-pada untuk menghilangkan lapar dan dahaga, bukan makan sampai kenyang dan susah nak bangun tu. Bukan sampai bersandar dan akhirnya Maghrib entah ke mana.
Memandangkan puasa mengambil tempoh hampir 14 jam untuk kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, kita disarankan mengambil makanan yang susah hadam semasa bersahur. Makanan yang lambat hadam boleh bertahan selama 8 jam, manakala yang sebaliknya hanya 4 jam sahaja.
Antara contoh makanan lambat hadam mengandungi bijirin dan bijian seperti barli, gandum, kekacang, tepung mil, beras dan lain-lain (dari kategori karbohidrat kompleks).
Kalau nak turunkan berat badan, elakkan makanan berlemak, berminyak dan bersantan. Ini termasuklah kuih muih yang tinggi kandungan kalorinya. Dan kurangkan juga makanan bergoreng, kerana ia boleh meningkatkan selera makan dan sudahnya berat badan akan bertambah. Sebaiknya, banyakkan makanan berasaaskan sup. Banyakkan minum air kosong.
Kekadang tertanya masa mana nak minum untuk cukupkan 8 gelas. Sedangkan masa makan sudah dilimitkan. Cara yang terbaik ialah minumlah air masak. Sebelum makan masa berbuka dan selepas berbuka. Sebelaum dan selepas solat sunat tarawikh, sebelum tidur dan sebelum makan sahur dan sesudahnya.
Dari segi makan pula, kita digalakkan makanlah perlahan-lahan dan kunyah makanan sehingga hancur baru telan. Jika kita makan dan minum terlalu cepat, kita sebenarnya memasukkan banyak udara ke dalam badan yang menyebabkan perut masuk angin. Sebab itu menjadi ikutan kita amalan para Nabi yang mengunyah makanan sehingga hancur baru telah (dalam 40 kali). Selain dari mengenyangkan, kaedah ini juga boleh mengelakkan kita daripada makan berlebih. Ada logiknya dari perbuatan para nabi itu.
Selain dari itu, makanan yang cepat ditelan juga memberi kesan kepada sistem penghadaman kita. Sistem itu terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk menghadam makanan yang tidak dikunyah dengan betul. Tapi kita sekarang ni, tak sempat 40 kali kunyah, 4 kali kunyah dan telan. Apa taknya, banyak lagi makanan lain yang terhidang di depan. lambat-lambat nanti, habis dikebas orang pulak.
Dalam bulan puasa ni, adalah baik kita amalkan pemakanan yang antikolesterol. Selain baik untuk kesihatan, ia juga boleh membantu kita dalam menurunkan berat badan kita. Antaranya ialah bubur gandum dan oat. Mungkin kita beralasan dalam bulan puasa ni tak lalu nak makan bubur gandum atau oat ni kan…ok lah, gantikan dengan pemakanan walnut atau badam. Sambil-sambil lepak selepas solat tarawikh tu, makanlah kacang atau badam.
Kacang ada banyak asid lemak tak tepu yang membantu pembuluh darah menjadi sihat dan elastik. Segenggam kacang dah cukup. Jangan berlebihan pula. Sebab ia boleh menggemukkan dan meningkatkan risiko sakit jantung. Sebenarnya, apa-apa makanan pun, kalau ambil berlebihan tetap akan membawa kesan juga.
Ikan dan asid lemak Omega-3 juga makanan antikolesterol. Omega-3 berupaya menurunkan kolesterol dalam badan, menurunkan tekanan darah dan menekan risiko pembekuan darah. Ikan sardin dan tuna adalah sumber yang kaya dengan Omega-3. Cara terbaik untuk masak ikan adalah bakar atau panggang. Menggoreng ikan akan menyebabkan khasiatnya semakin hilang. Selain itu, ikan adalah sumber protein yang penting untuk pembentukan sel-sel baru.
Jelasnya, cara dan pemakanan kita semasa bulan puasa atau tidak tetap membawa kita kepada dua situasi sama ada semakin kurus atau semakin gemuk. Bergantung kepada kita. Apa yang kita nak…Kita adalah apa yang kita makan.

























Posted
on
Friday, September 12th, 2008 at 2:26 pm under


Sukar Untuk Menguruskan Badan Pada Bulan Puasa Ini..
September 13th, 2008 at 4:15 pmKalau ada keazaman yang kuat dan bulan Ramadhan ini kita hayati sepenuhnya, Insya Allah ia bukanlah suatu yang sukar.
Sebenarnya, bulan puasa ni kita boleh jadikan sebagai permulaan untuk kita mengawal cara pemakanan dan cara hidup kita dan diteruskan sampai ke bulan yang selepasnya. Bukan hanya sekadar di bulan puasa sahaja.
Kalau turun berat badan di bulan puasa sahaja, then selepas tu, naik makin bertambah tak menjadi juga kan…sebaiknya kita teruskan apa yang kita amalkan di bulan Ramadhan ini walaupun bulan itu sudah berganti…
September 14th, 2008 at 8:44 amYa…berusahalah melawan kegemukan. Kegemukan adalah ciri kemalasan. Kemalasan menyebabkan manusia tidak berfikir. Bila tidak berfikir, manusia tidak ada idea untuk mencipta. Bila tidak ada idea mencipta, apa beza hidup kita dengan haiwan?
Mungkin kita tidak sedar kegemukan adalah penyakit. Apatah lagi bila tengok masyarakat Melayu kita sekarang ramai yang sudah gemuk-gemuk, jadi kita anggap itu suatu perkara yang normal. Tetapi bila kita nampak sebenarnya ajaran Al Quran adalah untuk melawan kegemukan, maka tidak dapat tidak, kita kena berusaha menguruskan badan. Makanlah kerana Allah, bukan kerana nafsu selera.
September 14th, 2008 at 11:23 amLama betul tak singgah sini..
September 14th, 2008 at 4:26 pmHarapnya kita berpuasa dan mendapat hidayah dariNya..