Perjuangan Amanah Allah
Malam tadi isteriku mengajak aku berbincang perihal perjuangan yang sedang kami harungi ketika ini. Memang sejak Allah amanahkan perjuangan ini, kami sering berbincang dalam merancang dan bermuhasabah diri. Rasa seronok bertukar-tukar pendapat kerana Allah ini. Idea tidak putus-putus.
Isteriku meluahkan rasa bersalahnya seolah-olah ketidakupayaan dirinya untuk menanggung beban perjuangan ini yang menyebabkan calon-calon srikandi yang Allah pilih itu tidak sanggup lagi berjuang bersama. Tersenyum aku mendengar luahan hati isteriku itu. Di sebalik ketabahan dan kecekalannya berjuang, terselit rasa ragu-ragu lagi. Nyatalah syaitan tidak berputus asa melemahkan manusia.
Aku katakan kepadanya bahawa tugas kita hanyalah penyampai. Selagi isteriku membantu usahaku mencari srikandi perjuangan dan menyampaikan amanah Allah, dia telah pun melakukan tugas dengan baik. Jika tidak, masakan dia merasakan kebahagiaan yang dia sendiri alami setelah berjuang ini. Nikmat Allah yang mana lagi harus didustai?
Sebagai penyampai amanah Allah, beban amanah itu dipikul selagi ia tidak tersampai. Setelah disampaikan, bolehlah kita berlepas diri, kerana ketika itu, beban amanah tersebut telah diterima oleh orang yang disampaikan. Itu urusan mereka dengan Allah sama ada hendak menerima atau menolak. Yang menyebabkan Allah sampaikan amanah itu kepada mereka, sebab mereka sendiri sanggup menerima amanah itu. Jika tidak pasti Allah halang amanah itu disampaikan kepada mereka.
Setelah aku memahami konsep tugas penyampai ini, barulah aku lega dengan tugas ini. Dahulu aku fikirkan yang aku kena memastikan orang yang aku sampaikan amanah itu menerimanya, namun setelah mendalami tugas Nabi Muhammad (dalam Quran), barulah aku sedar aku cuma penyampai mesej sahaja. Kini, setiap kali aku berjaya menyampaikan amanah Allah ini, hati ku merasa tenang dan bahagia, kerana tugas yang Allah berikan telah disempurnakan. Dan aku harus bersedia dengan tugas-tugas seterusnya kerana misi mencari srikandi yang berani belum menemui realiti. Tapi aku optimis terhadap Penciptaku sendiri berdasarkan pengalaman para rasul terdahulu.
Baru aku perasan, setiap kali lepas aku berjuang menyampaikan amanah Allah (mengajak manusia berfikir secara logik dalam beragama) melalui forum-forum internet, Allah akan hadirkan calon-calon srikandi untuk aku mengajak berjuang sama. Ketika pertama kali aku “berperang” di internet, selepas hujah-hujahku dipadamkan, Allah menghiburkan aku dengan kehadiran cinta terhadap seorang gadis yang Allah perlihatkan dalam mimpi dan berada jelas depan mataku. Allah mahu memujukku setelah kesedihan melihat orang yang mengaku Islam tetapi tolak pengajaran Quran bila aku sampaikan secara logik. Mereka tidak sanggup mengakui kelemahan umat Islam, dan masih berbangga diri beragama secara benar. Apakah mereka tidak melihat nasib umat Islam yang lemah dan berpecah-belah?
Kehadiran cinta yang indah itu terus tersemat dan mekar dalam hatiku walaupun dia tidak sudi menerima lamaranku melalui pintu perjuangan yang aku persiapkan. Hati siapa tidak sedih bila harapan tidak kesampaian. Namun demi kerana Allah, aku teruskan perjuangan bersama isteriku yang masih setia menyokongku. Apa pun ujian Allah, kami seharusnya redha dan tabah menghadapinya. Tugas menyampaikan amanah Allah perlu diteruskan sebanyak mana dugaan dan cabaran yang dihadapi. Semangat yang kental perlu dikumpulkan agar terus istiqomah dalam berjuang.
Di penghujung Ramadhan tempohari, Allah sekali lagi membuka medan “peperangan” untuk menyedarkan manusia agar beragama guna akal, bukan main turut membuta-tuli atas nama ulamak atau tok guru. Kali ini Allah memperkuatkanku dengan logik-logik dengan lebih hebat lagi setelah aku belajar mengawal kepanasan hati apabila hujah-hujahku cuba dipatahkan tanpa membawa alasan yang logik. Aku bertambahan yakin dengan pengajaran surah Al Fiil, bahawa semakin kita ditinggikan akal, semakin padu dan keras hujah yang kita sampaikan, yang menyebabkan orang-orang yang masih tidak percaya kepada akal mereka sendiri terkedu tanpa berkata-kata lagi. Allah tunjukkan Keperkasaan dan KehebatanNya kepada manusia, agar kelak mereka tidak membuat alasan tidak pernah mendengar nasihat seperti yang pernah diucapkan oleh rasul-rasul terdahulu.
Setelah “peperangan” itu reda, seperti yang terjadi sebelum ini, Allah pertemukanku dengan Gadis Musallah pula. Walaupun dia bukan satu ofis denganku yang menyebabkan seolah-olah usaha untuk menyampaikan amanah Allah itu tampak sukar, demi keranaNya, jika itu Yang Dia mahukan, sebagai hambaNya, aku akan usahakan sedaya-upayaku. Semoga ada jalan yang Allah tunjuki untuk aku mendekatinya. Seolah-olah Allah hendak memujukku supaya tidak patah hati dengan kegagalan melamar calon-calon srikandi sebelum ini.
Seperti yang Nabi Muhammad pernah alami, biarpun masyarakat Mekkah yang terlalu dekat baginda tidak sanggup menerima dakwah baginda, masih ada masyarakat luar (penduduk Yathrib/Madinah) yang sanggup mereka baginda. Biarpun yang dekat di sekelilingku tidak sanggup menerima amanah Allah ini, tidak mustahil ada srikandi yang luar dari kehidupan biasaku yang sanggup berjuang sehidup semati denganku.
Berdasarkan pengalaman yang telah aku lalui ini, jika aku berjaya menyampaikan amanah kepada Gadis Musallah itu, tidak mustahil selepas itu Allah akan tunjukkan untuk aku sampaikan amanah kepada calon-calon srikandi yang seterusnya. Sebab Allah Maha Mengetahui setiap dalam hati manusia. Sudah pasti Allah memilih calon-calon itu kerana mereka sebelum ini berdoa agar ditemui lelaki yang akan membawa mereka berjuang untuk Allah. Dan setelah diperlihatkan siapa lelaki itu, maka kenalah tuan punya diri memikirkan apakah mereka sanggup menyahut doa mereka sendiri atau pun tidak. Sesiapa yang berani, pasti menyahut kehendak mereka sendiri, sedangkan yang pengecut, pasti mendustai diri mereka sendiri.
Macam kisah orang kafir terdahulu. Sebelum kedatangan rasul, mereka kata akan beriman kepada Allah jika ada seorang pemberi peringatan yang membaca lembaran-lembaran yang disucikan. Dengan kata lain, mereka akan berjuang untuk Allah bila didatangkan pemimpin untuk mereka. Namun bila Allah bangkitkan rasul dari kalangan mereka sendiri, oleh kerana ajarannya tidak memenuhi nafsu mereka, orang-orang kafir itu pun berpaling lari. Inilah sunnah yang terjadi sejak zaman berzaman tidak kira di daerah mana sekali pun kerana Allah-lah yang menetapkan segala sesuatu.
Aku berterus-terang kepada isteriku, selain Allah tunjukkan Gadis Musallah dengan pertemuan yang pelik itu, Allah juga ada menemukan aku dengan seorang gadis yang pada pengamatanku mempunyai ciri-ciri keberanian yang aku cari. Namun, gadis tersebut bukan pekerja di tempat aku bekerja itu. Namun dia sesekali datang ke area tempat aku mencari nafkah dan mengenali erti hidup ini. Dari kejadian itu, aku lihat seperti Allah hendak mengujiku berperingkat-peringat. Bermula dengan calon srikandi yang sama ofis, kemudian dengan yang lain department seterusnya yang lain company. Terlihat seolah penyebaran amanah itu berkembang seperti mana akal manusia mampu berkembang. Allah suruh aku “berfikir di luar kotak”.
Apa jua yang Allah amanahkan, aku perlu menyahutnya. Sebab jika aku menolak amanah Allah, apa bezanya aku dengan gunung yang harapkan besar, tapi penakut? Sebelum Allah hendak menciptaku sebagai manusia, Allah sudah bertanya kepadaku apakah aku sanggup pikul amanahNya. Jika ketika itu aku tidak sanggup, sudah pasti aku dijadikan sebagai makhluk-makhluk selain manusia, sebab aku takut pikul amanah Allah sebagai manusia. Namun kejadian aku sudah sebagai manusia ini menunjukkan aku sanggup memikul amanah Allah. Takkan aku hendak jadi pengecut yang berpaling lari itu? Kerana syaitan sahaja bersama-sama dengan si pengecut, sedangkan Allah bersama-sama orang yang berani.
Semoga isteriku memahami erti amanah Allah ini dan tugas kita sebagai penyampai sesama manusia. Dia tidak bersalah bila orang lain itu tidak menerima lamaran yang telah diberikan, sebab itu urusan orang yang menerima amanah itu dengan Allah. Dia hendak terima atau tolak, bukan disebabkan kesalahan orang lain. Tuan punya diri itulah bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri, sebab sebelum dilahirkan sebagai manusia, manusia itu telah berjanji dengan Allah untuk memikul amanah ini. Namun berapa ramai yang jadi pengecut setelah lalai dengan kenikmatan duniawi sehingga terlupa menjadi manusia, sebaliknya menjadi haiwan yang bercakaran sesama sendiri berebut kuasa dan nikmat dunia.
Oh ya, isteriku itu mencadangkan agar panggilan Gadis Musallah itu diringkaskan menjadi GM sahaja. Ok, selepas ini aku akan guna codename sahaja untuk menceritakan kisah calon-calon srikandi yang Allah pertemukan itu. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu secara main-main dan sia-sia. Seperti itulah segala usaha yang kulakukan kini yang mempunyai makna untuk menyedarkan manusia mengenai amanah Allah ini.

























Posted
on
Wednesday, November 5th, 2008 at 8:44 am under


[…] Originally posted here: Perjuangan Amanah Allah […]
November 5th, 2008 at 4:46 pmTelah ku fahami amanah ini
Telah ku sedari ia bukan mudah
Telah ku mengerti ia bukan mainan
Dugaan mendatang ku rempuh jua
Biar apa kata mereka
Biar apa bisikan mendatang
Ku mohon padaMu
Kentalkan hatiku seperti hatinya
Kekadang hati bertingkah
Diri tertanya mengapa bercanggah
Sedang pejuang perlu tabah
Memerangi syaitan yang datang menyergah
Kata srikandiku…
Mungkin aku tidak bersedia untuk semua ini
Aku tidak menolak atau mengiyakan
Mungkin betul dan mungkin tidak
Dalam hati Allah yang tahu
Untuk pejuangku…
Walau beribu srikandi yang melekat dalam hatimu
Walau berganti srikandi yang kau khabarkan
Tapi keyakinan Allah pahatkan…
Bahawa aku dan anak-anak tak kau siakan…
Yakin dengan janji Allah
November 5th, 2008 at 8:11 pmYakin dengan ketetapan Allah…
Minta dikuatkan tabahkan hati
Kerana perjuangan bertunjang di sini