18 Nov

Menghidupkan Planet

Sejak Allah memperlihatkan perjuangan Islam yang diamanahkan kepadaku, baru aku nampak erti hidup yang semakin meluas. Dulu aku fikir sebagai orang Islam, aku kena memastikan Islam ditegakkan di muka bumi, biarpun sampai ke tahap mengutuk pemimpin sendiri yang aku kira mereka tidak Islamik. Syaitan dalam diriku telah menipu-daya aku selama ini. Namun kini, perjuangan Islam yang ingin ku bawa bukan sesempit di atas muka bumi lagi setelah merenung kejadian semesta alam ini.

Kejayaan manusia menemui planet-planet selain bumi serta kelogikan manusia menembusi angkasa telah pun membuktikan sebahagian kebenaran Quran yang disampaikan melalui Nabi Muhammad. Jadi sudah tiba masanya aku memikirkan kesinambungan perjuangan baginda untuk bersama-sama golongan beriman mencari planet-planet lain untuk kehidupan manusia. Andaikata Allah hendak memusnahkan bumi akibat rempuhan meteor atau komet yang semakin menghampiri, tidaklah aku atau generasiku termasuk dalam golongan yang tertinggal, seperti orang-orang kafir yang menolak ancaman para rasul terdahulu ketika mereka tertinggal seterunya diazab.

Beberapa website yang berkaitan yang aku baca ada mengisahkan penemuan planet yang seakan-akan bumi dari segi atmosferanya kerana memiliki air, yang dikatakan sesuai untuk manusia jika mahu berhijrah ke sana. Seperti yang kita tahu, di mana ada air, di situ ada kehidupan. Malah dalam Quran juga ada sebut pasal air yang menghidupkan alam. Namun planet ini agak jauh untuk dijejaki dan mengambil waktu perjalanan yang lama jika tahap teknologi manusia masih setakat ini. Dan aku terfikir, apa gunanya planet-planet yang sudah lama ditemui yang berhampiran dengan bumi yang dalam berada dalam sistem suria yang sama? Tidakkah planet-planet itu boleh dijadikan penempatan awal manusia selain di bumi dalam penerokaan planet-planet baru?

Hendak menjejaki Marikh pun manusia masih terkial-kial, apa lagi hendak mencari planet yang lebih jauh. Setakat yang dikhabarkan, manusia hanya mampu mencipta teknologi membawa pesawat tanpa manusia untuk menjejaki Marikh. Namun berdasarkan gambar-gambar yang dikirimkan oleh robot yang dihantar ke sana, menunjukkan Marikh tidak mempunyai atmosfera yang sesuai untuk kehidupan manusia. Atau dengan kata lain, mungkin kerana Marikh hanya dataran tanah yang tandus tanpa air sahaja.

Melihat konsep kehidupan manusia dan apa yang berlaku di bumi, bukankah tanah yang tandus boleh dihidupkan dengan dialirkan air? Sama seperti jiwa kita, kerana kita diciptakan daripada tanah. Aku teringat ketika aku belum dikurniakan pemahaman Quran, jiwaku terasa kosong dan tandus. Selalu panas dengan pemimpinku sendiri. Sebelum Allah kurniakan pemahaman logik Quran kepadaku, aku selalu alirkan nasihat yang aku dengar dari ceramah-ceramah agama, terutama yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Kamus.

Pada pendapatku, beliau aku kira memenuhi ciri-ciri pemberi nasihat yang baik kerana memasukkan unsur logik dan mantik dalam ceramah atau tazkirah beliau berbanding ustaz-ustaz lain yang aku dengar walaupun mereka lagi ada nama berbanding Ustaz Ismail Kamus itu. Dengan ada logik ini, hatiku mudah memahami pengajaran yang disampaikan. Sebab itu bila aku kaji Quran, Nabi Muhammad pun guna cara pendekatan nasihat yang disusuli dengan logik. Malangnya, ada orang yang mengaku ikut ajaran Quran, tetapi menolak logik akal sendiri atas alasan akal manusia terbatas.

Setiap hari aku alirkan kata-kata nasihat beliau yang menyenangkan hatiku sehingga tumbuh semangat dan cita-cita untuk mula mengkaji Quran secara logik. Apatah lagi melihat nasib bangsa dan umatku yang lemah dan berpecah-belah, lagi-lagi semangatku berkobar-kobar membuktikan bahawa Quran mempunyai rahsia yang besar, namun diabaikan oleh orang Islam sendiri kerana merasa selasa dengan status umat terbaik sehinggakan beragama secara menurut orang kebanyakan semata-mata (tak guna akal lagi).

Daripada kisah yang terjadi pada diriku sendiri itu, aku nampak jiwa yang mati, jika selalu dialirkan dengan nasihat, lama-lama akan hidup juga. Hidupnya hati manusia itu apabila dia semakin yakin untuk guna akal sendiri mencari ilham-ilham yang menumbuhkan lagi banyak cita-cita yang membawa kebaikan pada dirinya sendiri seterusnya keluarga dan masyarakat. Seperti kitaran air yang diwapkan menjadi awan seterusnya turun kembali kepada bumi dalam bentuk hujan untuk menjadi sungai-sungai mengalir yang menumbuhkan pokok-pokok dan buah-buahan yang enak dimakan.

Kini juga telah terbukti, dengan adanya sistem pengairan yang sempurna, sesuatu bumi yang asalnya padang pasir telah mampu dihidupkan dengan tumbuh-tumbuhan seperti yang banyak berlaku di negara-negara sekitar tanah Arab sekarang. Sebab itu ada dikhabarkan bahawa di akhir zaman nanti, padang pasir akan ditumbuhi pokok-pokok setelah manusia pandai membuat sistem pengairan yang berupaya membekalkan air secara berteruskan kepada tanah biarpun di kawasan yang jarang dilimpahi hujan.

Tidak mustahil juga Gurun Sahara di Afrika pun mampu menjadi hutan rimba bila manusia mampu membuat teknologi perpaipan untuk mengalirkan air secara berteruskan di kawasan-kawasan gurun itu, untuk menghidupkan tanah di sana. Sama konsep seperti hati manusia yang panas, tetapi bila dialirkan dengan nasihat-nasihat yang logik dan masuk akal, ia akan lembut dan hidup. Kerana itu dengan mengenali diri, makin mudah kita nampak perkaitan yang boleh kita lakukan terhadap alam. Dan dengan belajar memahami alam zahir, kita pun mudah memahami alam rohani kita sendiri. Itulah cermin diri kita. Tetapi sekadar belajar agama menurut kata tok guru tanpa berfikir, manusia itu tidak akan merasai kenikmatan berfikir seperti ini, malah hati mereka jadi panas bila mendengar nasihat yang benar yang menentang keras amalan beragama secara menurut itu.

Bumi mempunyai keluasan laut yang lebih besar berbanding tanah. Sepatutnya semua dataran yang kering kontang mudah dihidupkan asalkan manusia pandai menggunakan teknologi yang ada untuk mengalirkan air kepada kawasan-kawasan yang kurang dituruni hujan. Negara Israel kini sudah memiliki teknologi memproses air laut untuk dijadikan minuman rakyatnya. Kenapa tidak digunakan teknologi tersebut dan digabungkan dengan teknologi pengaliran air untuk menghidupkan kawasan-kawasan kering kontang di negara-negara Afrika yang kebuluran itu? Bila banyak tumbuh-tumbuhan mampu ditanam di sana, sudah pasti rakyat-rakyat negara Afrika itu mampu diselamatkan. Sekadar bagi bantuan makanan, itu hanya pendekatan jangka masa pendek. Fikirkanlah untuk generasi seterus mereka dengan cara kita pakat-pakat buat sistem pengairan yang berterusan untuk menghidupkan kawasan-kawasan gurun dan kemarau itu.

Apabila umat Islam makin sedar tanggungjawab mereka, perkara menghidupkan bumi-bumi yang kemarau tidak mustahil boleh dilakukan seperti kita menghidupkan jiwa dengan mengalirkan Quran. Namun selagi umat Islam asyik ego dengan status Islam serta sibuk berpecah-belah sesama sendiri, banyak perkara kebaikan di atas muka bumi yang memerlukan idea-idea yang bernas tidak mampu dilakukan. Ini kerana dengan hati yang sombong dan suka bermusuh-musuhan, manusia tidak akan ada masa hendak buat kerja-kerja kebaikan, sebaliknya hanya kerosakan di atas muka bumi. Sebab itu Allah tidak takut mengazab manusia seperti yang terjadi di Acheh akibat tsunami, bila masyarakatnya lalai berperang sesama sendiri atas alasan menegakkan Islam.

Kejayaan kita menghidupkan tanah-tanah yang mati dan kering kontang itu dengan mengalirkan air secara berterusan akan mungkinkan kita menghidupkan planet-planet yang mati di sekitar bumi. Bumi memiliki lebih air yang boleh dibawa ke planet-planet lain. Mungkin cara yang logik untuk membawa air ke planet lain adalah dengan memisahkan air dalam bentuk oksigen dan hidrogen (gas) agar ia ringan untuk dibawa. Bawa gas oksigen atau hidrogen secara berasingan kemudian cantumkan kembali di planet-planet yang berhampiran untuk membentuk air. Kemudian bawa pula pokok-pokok ke planet itu untuk melihat sistem kehidupan di planet yang berhampiran itu. Jika hati manusia pun mampu dihidupkan dengan Quran (nasihat yang logik), apa lagi planet-planet itu yang sudah pasti lagi tunduk kepada perintah manusia.

Sebenarnya nak hidupkan hati manusia yang kering kontang itu lagi susah jika tuan punya diri menolaknya. Sedangkan planet-planet itu tidak degil seperti manusia. Biarpun planet-planet itu seperti tiada mata, telinga dan hati, tetapi mereka sebenarnya lagi mudah dihidupkan berbanding manusia yang mata, telinga dan hati, tetapi menolak akalnya sendiri untuk memahami pengajaran Quran. Sebab itu yang akan ditempatkan di neraka Jahannam kelak adalah jin dan manusia. Mereka sama-sama menolak kebenaran dengan cara menolak akal mereka sendiri sehingga jiwa mereka mati dalam kepanasan. Planet-planet yang mati tidak akan masuk neraka sebab mereka dahulu takut memegang amanah Allah. Sebaliknya manusia yang berbangga diri nak pegang amanah Allah, ramai yang jadi pengecut dan berpaling lari kerana ragu-ragu setelah hidup dalam keadaan bermewah-mewahan dan lalai memahami erti mereka dijadikan manusia. Mereka telah jadi binatang ternak malah lebih hina lagi!

Sesungguhnya orang yang pengecut setelah diberikan amanah adalah musuh Allah, RasulNya dan golongan beriman. Sebab itu Allah tidak teragak-agak mengazab mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya. Dan tidaklah sama golongan berani dengan golongan pengecut itu.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

6 Responses to “Menghidupkan Planet”

  1. Adila Says:

    Yer..
    Hati manusia yang keras tu, kalau tiap hari dialirkan dengan nasihat dan kata-kata semangat untuk melakukan sesuatu perubahan, kata-kata itu akan melekat juga di hatinya. Walaupun pada luaran kita nampak dia keras dan susah menerima teguran, tapi hati di dalam siapa tau.

    Bila kita semua dah faham untuk apa kehidupan ini, proses kehidupan akan menjadi semakin senang untuk kita. Ini kerana dengan logik akal yang waras kita akan tahu dan dapat kenal pasti mana yang baik dan mana yang sebaliknya.

    Sebenarnya dah lama para saintis claim pasal penerokaaan planeet lain untuk kehidupan ini. Tetapi ia seakan dipandang sepi oleh kita semua. Kerana kita sangka alam semesta ini hanya merangkumi langit dan bumi sahaja. Tapi kita tak sedar di antara langit dan bumi tu, hanya segelintir kecil sahaja yang dapat kita kaji. Rahsia yang lainnya, masih terlalu banyak untuk kita terokai.

    Sebab itulah, saban hari kita dengar ada-ada saje penemuan baru. Ini kerana para saintis tak pernah berhenti mengkaji. Mereka menggunakan sepenuhnya nikmat akal yang Allah berikan itu. Dan bila kita berusaha, Allah itu Maha Adil dan Maha Pemurah. Sudah pasti sedikit demi sedikit Allah bukakan rahsia alam ini untuk manusia itu semakin berfikir dan untuk menunjukkan Maha hebat kekuasaanNya.

    Terfikir pila, kenapa sebelum ini kita tak memandang berat pada fenomena kahidupan di planet lain ini. Adakah kita sudah terlalu selesa untuk berada di bumi ini atau kerana kita terlalu sibuk dengan urusan duniawi.

    Penerokaan ke planet lain… :)
    Wah macam ada maksud tersirat jer Kerasma. ;)
    Macam penerokaan mencari srikandi la kan…

  2. Kerasma Says:

    Maha Agung Allah! Benar kata-katamu wahai cik Adila. Sebenarnya selepas saya menulis posting ini dan menunaikan solat subuh tadi, Allah ilhamkan kepada saya perkaitan penerokaan planet yang saya tulis ini dengan penerokaan mencari srikandi yang sedang saya lalui sekarang ini termasuk pertemuan dengan GM dan GV itu.

    Isteri yang Allah telah amanahkan kepada saya sekarang ini umpama bumi yang sedang didiami. Saya selesa tinggal di “bumi” itu. Tetapi keselesaan itu tidak menjadikan saya lalai untuk menunaikan amanah Allah.

    Dia ilhamkan kepada saya untuk mencari “planet-planet” lain untuk dihidupkan agar boleh didiami. Allah ilhamkan agar saya alirkan Quran dan cinta yang suci kepada calon-calon srikandi itu.

    Sebelum dipertemukan dengan GM dan GV, Allah temukan dengan calon yang paling dekat dgn kehidupan saya yang senang saya melihatnya. Setelah dialirkan Quran dan cinta yang suci itu, Allah ilhamkan kepada calon yang agak jauh sedikit yang sekali-sekala saya ternampak dia walaupun masih dalam “sistem suria” yang sama.

    Setelah disampaikan amanah Allah kepada kedua-dua calon itu, barulah Allah hadirkan pertemuan yang tidak disangka-sangka seperti saintis sekarang tak sangka jumpa planet baru seperti bumi itu.

    GM dan GV itu umpama planet baru yang Allah temukan dalam penerokaan mencari srikandi ini. Walaupun mereka berada dalam “sistem suria” yang berlainan dan jauh serta susah untuk saya melihatnya, tetapi kemungkinan saya mampu menjejaki mereka itu ada.

    Saya tidak tahu 2 “planet” yang telah saya jejaki dan alirkan cinta kepada mereka mampu atau tidak untuk “dihidupkan” dengan semangat perjuangan ini. Itu terpulang kepada diri mereka masing-masing untuk menghargai amanah Allah untuk menjadi srikandi saya.

    Jika mereka mampu “dihidupkan” dengan aliran Quran dan cinta ini, secara logiknya, planet2 yang berdekatan bumi mampu dihidupkan oleh manusia setelah air dialirkan kepada planet-planet itu.

    Jika tidak mampu dihidupkan, maka logiklah saya mencari calon-calon srikandi yang jauh dari “sistem suria” ini seperti yang Allah perlihatkan dengan pertemuan GM dan GV itu.

    Barulah saya mengerti sebab apa Allah tidak temukan saya dengan GM dan GV ketika awal-awal Dia ilhamkan kepada saya untuk mencari srikandi-srikandi perjuangan. Rupa-rupanya ada kaitan dengan penerokaan manusia mencari planet-planet lain iaitu supaya manusia cuba hidupkan planet-planet berdekatan dahulu dengan bawakan air ke sana. Kemudian lihat hasilnya.

    Begitulah HebatNya Allah. Pada diri kita sendiri, kita boleh nampak perkaitan dengan alam semesta ini. Kejayaan saya meneroka srikandi-srikandi itu sebelum saya mati nanti, akan menandakan kelogikan manusia mampu meneroka planet-planet lain sebelum bumi dimusnahkan.

    Sebenarnya dengan mewujudkan jiran-jiran kepada bumi kita ini, secara tidak langsung boleh menyelamatkan bumi. Bayangkan kita mampu bina sistem pertahanan untuk mencegah meteor atau komet dari sampai ke bumi dengan melancarkan peluru perpandu dari planet-planet lain itu lagi sebelum ia sampai ke bumi. Jika dah dekat kat bumi baru nak musnah meteor itu, pasti serpihan masih boleh sampai ke bumi kerana momentum hasil gerakan meteor itu.

    Jadi demi menyelamatkan bumi, seharusnya golongan beriman perkuatkan daya fikiran untuk memahami sunnah alam ini. Dan saya makin nampak apakah rahsia di sebalik pencarian srikandi-srikandi itu. Bukan setakat berkahwin dan beranak-pinak, sebab itu haiwan pun boleh buat. Semuanya untuk menunjukkan Kehebatan Allah bahawa manusia dikurniakan akal yang tidak terbatas dan mampu mencipta untuk membuat sesuatu yang memberi manfaat kepada alam semesta. Seluas alam semesta ini, seluas itulah akal manusia mampu capai. Hanya orang yang pengecut nak guna akal sendiri dalam beragama sahaja yang tidak nampak rahsia alam ini.

    Semakin rindu terasa untuk menanti kehadiran srikandi-srikandi yang dijanjikan. Semua ini akan terjadi jika ada keberanian, kerana hanya si pengecut sahaja yang berpaling lari. Dan pengecut itulah musuh Allah.

  3. Adila Says:

    Bukankah kita nak berhijrah ke planet lain atas sebab kemungkinan suatu hari nanti bumi itu akan musnah dirempuh meteor atau objek lain?

    Bila planet lain dah berjaya dijadikan penempatan, maksudnya ketika itu apa yang tinggal di bumi hanyalah menunggu hari untuk dirempuh sahaja…sebab kat sini kita tekankan tentang pengajaran dari kisah Nabi Nuh. Bila semua orang yang beriman dan setiap pasangan haiwan dimasukkan ke dalam bahtera, barulah banjir besar berlaku…

    Kalau isteri yang sudah ada itu ibarat bumi, apa yang akan jadi padanya kalau satu masa nanti dia hanya menunggu masa untuk dirempuh oleh objek besar? Sedang si penerokanya dah berlalu meninggalkan bumi kerana sudah berjaya mendiami planet lain.

    :)

  4. Kerasma Says:

    Setiap makhluk Allah akan menemui mati. Planet2 pun akan musnah juga. Namun biarlah kita mati dalam berjuang. Sama ada bumi akan musnah atau kita akan mati, Allah Maha Mengetahui bila akan terjadi.

    Jangan sempitkan pemikiran bahawa penjelajahan ke planet lain itu bermakna si penerokanya nak lupakan bumi. Jika bumi masih selamat didiami, kenapa perlu lupakan bumi? :)

    Macam si nakhoda pergi belayar menjelajahi benua, tetap balik juga ke negara asal unless dia mati dalam perjalanan.

  5. Adila Says:

    :)
    Kalau nakhoda tu dah mati kat tempat pelayaran dia…baik dikuburkan saja di mana tempat dia meninggal tu.

    Selagi ada manusia yang berusaha untuk menyelamatkan bumi, selagi itu Allah akan peliharanya. Sampailah tiba masa manusia dah tak kenal erti dan dah tak tahu menghargai kehidupan, mungkin saat itu terjadinya janji Allah itu

  6. Kerasma Says:

    Hakikatnya orang yang mati ketika berjuang, mereka sebenarnya tidak mati, malah sentiasa hidup dan mendapat rezeki.

    Semangat atau ruh atau tenaga tidak boleh dimusnahkan. Ia hanya boleh berubah daripada satu bentuk ke bentuk yang lain.

    Untuk menjadi manusia yang bersemangat, kenalah kenal Allah guna akal sendiri. Ketika itu kita sudah tidak anggap diri kita sebagai jasad, tetapi sebagai semangat atau tenaga. Apabila dipisahkan daripada jasad kelak, tetaplah tenaga itu wujud meneruskan kehidupannya.

    Tetapi orang yang tidak kenal diri, mereka anggap diri mereka jasad semata-mata. Mereka hidup secara lemah semangat sebab tak kenal Allah. Kelak apabila mati, matilah mereka bersama-sama jasad yang dikandung tanah.

    Kerana itu Allah ilhamkan juga untuk mencari srikandi yang berani, ada semangat juang yang akan kekal hidup bersama-samaku walaupun jasad sudah dikebumikan. Sebab jasad itu milik bumi, sedangkan semangat atau tenaga itu milik alam semesta (kekal).

    Cuba lihat alam semesta ini, macam-macam tenaga wujud. Dan tenaga yang terlaju sekali adalah tenaga cahaya. Kita nak sampai tahap berubah bentuk kepada tenaga cahaya. Selagi alam ini ada cahaya, selagi itu kita wujud.

    Jika kita tak kenal diri, kita banyak tenaga haba. Hati selalu panas membara. Tetapi semakin kita suka berfikir, kita bertukar kepada tenaga cahaya. Sebab itu wajah orang beriman (yang suka berfikir) itu berseri-seri (yang mampu dilihat oleh orang yang berfikir juga).

    Jadi kita nampak logik kenapa Nabi Muhammad beritahu yang orang yang berjuang dengan semangat tidak akan mati, bila kita fahami konsep tenaga pada semesta alam ini.

Leave a Reply