Hidup Secara Nyata
Alam semesta ini terikat dengan hukum yang logik. Kita tidak boleh berjalan ke hadapan dan dalam masa yang sama kita ke belakang. Kita tidak boleh bergerak ke kanan dan dalam masa yang sama kita bergerak ke kiri. Kita tidak boleh hidup dan dalam masa yang sama kita mati. Ada batasan-batasan yang menghalang kita daripada berada dalam dua keadaan yang berbeza.
Tidak logik manusia itu mengaku menyembah Allah tetapi dalam masa yang sama dia menyembah manusia-manusia lain. Tidak logik manusia itu mengaku tunduk merendah diri tetapi dalam masa yang sama dia hidup berbangga diri dengan amalan ritualnya. Tidak logik manusia mahukan hidup yang aman dan sejahtera (Islam) tetapi dalam masa yang sama dia menghasut manusia berpecah-belah kerana berbangga diri atas nama sesuatu agama.
Alam semesta ini memang secara azalinya mempunyai batasan-batasan. Pencipta mana mungkin sama dengan yang dicipta. Langit mana mungkin sama dengan bumi. Syurga mana mungkin sama dengan neraka. Baik mana mungkin sama dengan jahat. Rajin mana mungkin sama dengan malas. Bijak mana mungkin sama dengan bodoh.
Untuk maju ke hadapan, tidak mungkin kita hidup berundur ke belakang. Kita kena ada wawasan untuk memperbaiki keadaan lebih baik daripada keadaan yang sebelumnya. Kita kena berevolusi dan berinnovasi.
Allah tidak menjadikan alam semesta ini statik. Sains membuktikan alam semesta ini berkembang. Al Quran juga menyebut bahawa langit dan bumi asalnya berpadu dan dikembangkan. Jadi, kehidupan manusia sepatutnya berkembang bukannya statik.
Untuk hidup yang berkembang, minda kena dikembangkan. Kena berfikir secara global atau lebih lagi. Kena lihat kehidupan manusia bukan setakat terhad di atas muka bumi. Al Quran sendiri menyatakan jin dan manusia boleh tembusi batasan-batasan langit dengan adanya kekuatan.
Manusia akan menjadi kuat bila setiap individunya bersemangat tinggi. Jika masyarakat hidup secara malas, macam mana nak membentuk masyarakat yang kuat? Sejauh mana attitude manusia itu dapat diubah daripada hidup dalam keadaan malas kepada rajin, akan berubahlah keadaan sesuatu masyarakat.
Semangat yang tinggi akan diperolehi apabila manusia hidup bergantung pada keupayaan dirinya sendiri. Untuk yakin pada potensi diri, manusia itu kena mentaati Allah semata-mata. Hidup mentaati Allah adalah dengan mengikut apa yang ada bukti-bukti logik, bukannya hidup menurut membuta-tuli cakap-cakap manusia sehingga tidak kenal keupayaan diri sendiri.
Viewed 4023 times by 814 viewers

























Posted
on
Tuesday, January 26th, 2010 at 1:54 pm under

