Hamba Abdi
Artis: XPDC

Akhir zaman tiba kini
Semua insan punya hak asasi
Ku dengarkan engkau dengari
Jeritan keluhan hamba abdi
Humban ke sana campak ke mari
Seksa hidup langkah hari-hari
Nak ubah nasib tipis sekali
Laksana kerbau di cucuk tali
Lepaskan dari belenggu ini
Simpati dariku tak terperi
Tenaga diperah tanpa bayar gaji
Bukan kuli itu hamba abdi
Maki hamun sudah sebati
Sepak terajang itu sudah lali
Paksa kerah buat itu ini
Bak anjing kurap buat macam babi
Siang malam belenggu rantai kaki
Lagak banduan dalam kandang besi
Nikmat dunia masih dalam mimpi
Mogakan nyata realiti pasti
(Dari dia hidup dia biar mati
(Agar hidup aman di sana nanti)
Mental Bondage
Walau kita sudah sampai ke akhir zaman di mana teknologi semakin canggih, tetapi di satu sudut, kita masih temui orang-orang yang hidup terbelenggu mindanya. Mereka tidak sedar yang hak asasi setiap manusia yang paling utama sekali adalah kebebasan berfikir. Mereka melarang manusia berfikir dengan mengatakan “dalam agama tidak boleh guna akal”. Bila ada manusia yang berfikir di luar ajaran tradisi, mereka akan ambil tindakan menjauhi atau memisahkan. Macam mana di zaman berteknologi tinggi masih ada lagi manusia yang berperangai seperti kaum musyrik terdahulu yang tidak terbuka fikiran bila Rasul mereka tidak menurut ajaran tradisi kaumnya?
Minda mereka telah diperhamba-abdikan oleh golongan tertentu yang mencipta amalan-amalan ritual yang tidak ditetapkan dalam Kitab Allah. Bila ditanya daripada mana datangnya ketetapan ritual mereka ada-adakan itu? Alasan biasa adalah “sebab ada nenek moyang kami nampak Nabi buat seperti itu”. Tidakkah mereka sedar, jawapan mereka itu persis kaum musyrik terdahulu menjawab bila Nabi mereka bertanya tentang sesuatu amalan tradisi mereka lakukan itu?
Akibat hidup dalam pembelengguan minda, mereka dipergunakan oleh orang-orang yang membawa ajaran itu untuk mencari pengikut dan kemegahan nama. Mereka dipergunakan untuk berpecah-belah berebut kuasa atas nama menegakkan negara Islam. Mereka dihumban ke sana ke mari kerana taksub dengan ajaran yang ekstrim dan membenci manusia lain yang tidak sama amalan sembahan seperti mereka. Mereka kata kaum yang sembah patung binaan manusia adalah sesat, tetapi mereka sembah bangunan yang dibina oleh tangan manusia, tidak pula mereka rasa itu satu kesesatan.
Biarpun Allah sudah tunjukkan keadaan nasib mereka yang lemah, ketinggalan dalam bidang ilmu dan penyelidikan, tidak tahu mencipta teknologi dan hidup hanya setakat mengguna dan membeli, tetapi nak ubah nasib mereka bagaikan tipis sekali. Ini kerana mereka rasa ego kononnya mereka umat yang mulia dan memandang kaum-kaum lain kafir dan hina. Padahal Kitab Allah yang mereka pegang sering mengingatkan yang Allah tidak menyukai manusia yang sombong dan berbangga diri. Mereka membiarkan diri mereka menurut ajaran golongan ortodoks mereka laksana kerbau yang dicucuk hidungnya dengan tali. Mereka tidak tahu berkreativiti, berinnovasi dan ada inisiatif sendiri untuk mengubah nasib mereka sedangkan Al Quran sebut, Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.
Bila berebut kuasa, mereka suka memaki-hamun sesama mereka. Ada yang dah sampai fanatik tak tahu berfikir, sanggup mengebom sana dan sini atas alasan menegakkan hukum Allah. Tetapi bila Allah suruh jangan menyekutukan Allah dan berfikir, tak nak pula mereka tegakkan apa yang Allah hukumkan itu. Nampak sangat mereka selektif dalam perkara menegakkan hukum Allah. Allah larang menyembah binaan-binaan manusia, tetapi itulah yang mereka buat secara ritual. Macam mana Allah nak tolong mereka jika mereka sendiri tidak tolong diri mereka sendiri?
Siang malam mereka belenggu minda mereka. Tidak pernah mereka nak berfikir pasal erti hidup mereka sebagai manusia. Yang mereka tahu hanya menurut ajaran tradisi yang diterima daripada nenek moyang mereka biarpun bangsa yang mempromosikan amalan tradisi itu hidup secara lemah dan berpecah-belah di tanah air mereka masing-masing. Dengan bangsa Israel yang kecil itu pun mereka tak mampu nak kalahkan walaupun bilangan mereka ramai.
Mereka tidak mampu merealisasi nikmat-nikmat dunia kerana mereka hidup tidak menggunakan logik. Perumpamaan mereka seperti orang yang menghulurkan tangan ke dalam air, dan berharap air itu akan melompat masuk ke dalam mulutnya. Walhal ikut hukum Allah, untuk minum, kenalah tangan itu bawakan air masuk ke dalam mulut. Hidup kena berusaha ke arah yang layak impian itu dicapai.
Mereka kata mereka nak masuk syurga, tetapi mereka pergi hidup seperti golongan musyrik terdahulu yang membelenggu minda. Jika usaha mereka tak sama macam usaha para Nabi terdahulu sebaliknya sama macam usaha kaum musyrik terdahulu, apakah mereka akan masuk ke dalam syurga?
Allah beri mereka kehidupan di atas muka bumi agar berfungsi hidup sebagai manusia, tetapi mereka sendiri mematikan keupayaan diri mereka sehingga hidup laksana kerbau. Mereka tiada keupayaan diri mereka sendiri. Semuanya nak disubsidikan sahaja.
Bagi mereka, hidup secara malas belajar, bebal dan menurut membuta-tuli itu adalah ajaran Allah agar aman di akhirat nanti. Jika di dunia lagi mereka sudah hidup berpecah-belah dan berpuak-puak kerana berebut-rebut kononnya puak mereka sahaja layak masuk syurga, macam manalah di akhirat nanti mereka nak hidup aman?
Apakah mereka tidak memikirkan itu semua atau minda mereka telah dihamba-abdikan oleh manusia yang menurut hawa nafsu itu?
Viewed 5626 times by 1322 viewers

























Posted
on
Tuesday, February 9th, 2010 at 8:48 am under

