Persaingan Positif
Katakan syarikat A menghasilkan satu produk yang berkualiti +3. Kemudian, untuk menyaingi syarikat A, syarikat B menghasilkan produk berkualiti +5. Melihat sambutan yang tinggi pada produk syarikat B, syarikat A memperbaiki mutu produk sehingga berkualiti +7. Syarikat B tidak mengalah dengan menambahbaik produknya menjadi berkualiti +9. Inilah contoh persaingan positif yang mana pada akhirnya, pengguna yang untung kerana produk semakin berkualiti.
Katakan pula kedai makan Makcik Limah menjual makanan berkualiti +5. Pesaing terapatnya adalah kedai Makcik Bedah yang menjual makan berkualiti +1. Melihat sambutan ramai pada kedai Makcik Limah, maka Makcik Bedah pun memburuk-burukkan pesaingnya itu dengan fitnah bernilai -2 sehingga orang ramai nampak kualiti kedai Makcik Limah adalah +3 (turun daripada yang sebelumnya). Berjaya dengan taktik tersebut, Makcik Bedah meneruskan agenda jahatnya dengan melemparkan fitnah bernilai -3 sehingga orang ramai merasakan kedai Makcik Limah berkualiti 0. Inilah contoh persaingan negatif yang mana pada akhirnya pengguna mendapat rugi kerana mendapat produk berkualiti +1 (setelah mereka termakan dengan hasutan fitnah Makcik Bedah untuk tidak pergi ke kedai Makcik Limah lagi).
Contoh persaingan positif berlaku dalam industri barangan elektronik. Contohnya syarikat Sony dan Samsung saling bersaing dengan cara positif iaitu menawarkan produk yang menggunakan teknologi terkini dengan harga yang semakin rendah. Kedua-dua syarikat ini tidak perlu membuat kempen fitnah memburuk-burukkan sesama mereka, tetapi cukuplah dengan meningkatkan kualiti produk masing-masing. Persaingan sebegini akhirnya memberi keuntungan kepada para pengguna kerana mendapat hasil yang lebih positif.
Contoh persaingan negatif pula berlaku dalam senario politik negara kita. Akhirnya yang rugi adalah rakyat kerana mendapat sesuatu yang tidak berkualiti. Kalaulah pengamal politik negara kita menggunakan cara persaingan positif seperti syarikat-syarikat elektronik tersebut dengan masing-masing berlumba-lumba memberi khidmat yang berkualiti (bukan menggunakan cara memburuk-burukkan pesaing mereka), sudah tentu yang mendapat manfaat besar adalah rakyat. Namun nak buat macam mana, kita hidup dalam masyarakat mentaliti kelas ketiga. Too bad!
Viewed 27161 times by 2223 viewers
























Posted
on
Saturday, July 2nd, 2011 at 7:36 pm under

