Al ´Aadiyaat (Kuda Berlari Kencang)

1. Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah,

Melatih diri untuk rajin berfikir juga memenatkan. Faedah rajin berfikir ini adalah ia mampu membakar lemak-lemak dalam badan. Ini kerana darah manusia paling banyak dialirkan kepada otak. Lemak dalam darah (kolestrol) akan digunakan untuk membakar ketika proses berfikir.

Ada dikabarkan bahawa ketika Nabi Muhammad menerima wahyu, dahi baginda berpeluh-peluh. Secara logiknya menunjukkan baginda seorang yang kuat daya fikirannya. Hidup baginda ditumpukan untuk berfikir memerah dan mencari idea agar kelemahan umat Arab pada waktu itu yang suka hidup berpecah-belah dapat disatukan semula.

Kini kita sudah kembali kepada zaman perpecahan umat. Adalah sepatutnya kita membangunkan akal fikiran, kerana kelemahan sesuatu umat itu tidak lain tidak bukan kerana lembabnya otak kita berfikir. Kita terasa sesuatu beban untuk berfikir. Tetapi jika bab mengata dan mencari keburukan orang lain, tidak pula rasa suatu beban. Laju sahaja mulut mengutuk dan mencaci-maki orang.

2. dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),

Kalajuan kita berfikir akan mencetuskan semangat membara untuk merealisasikan apa yang kita fikirkan, yang kita nampak logik setelah berfikir dengan waras. Kerana manusia nampak logik boleh menembusi angkasa, terciptalah roket. Tercipta bermacam-macam teknologi yang suatu ketika dahulu adalah mustahil, kerana adanya manusia rajin berfikir. Ilmu Allah semuanya datang daripada berfikir. Setelah berjaya dibuktikan, barulah dibukukan.

Samalah macam Quran. Turunnya kitab Allah ini adalah kerana Rasulullah seorang ulul albab, bukannya manusia yang berotak lembab. Malang sekali kita umat Islam sudah jadi manusia yang berotak lembab sehingga tidak mampu meneroka ilmu baru dan mencipta teknologi yang menyenangkan manusia. Hayat kita hanya digunakan untuk memecah-belahkan kesatuan manusia. Berpolitik sampai terputus silaturrahim adik-beradik.

3. dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,

Daya fikiran yang kuat mampu menyerang kemalasan kita untuk bangun di waktu pagi. Kita semakin seronok bangun pagi sebab kita rasa ada kebaikan terhadap tubuh badan kita sendiri. Tubuh badan kita semakin sihat dan segar, kerana pada waktu pagi udara adalah bersih dan segar. Banyaknya oksigen dalam darah akan menumbuhkan idea-idea segar.

Syaitan-syaitan yang selama ini membisikkan malas bangun subuh, akan mudah sahaja diserang. Bila kita faham tujuan apa kita bangun subuh, bukan setakat bersolat tanpa memahami nilai di sebalik solat, secara mudahnya kita akan bangun pagi. Waktu jaga kita dipanjangkan, dan waktu tidur sekadar merehatkan badan.

Melatih diri untuk bangun awal pagi memang telah menjadi sunnah para Nabi. Malahan Rasulullah mempraktikkan amalan bangun tahajjud biarpun baginda sudah dijamin syurga. Kerana baginda hanya ingin menjadi manusia yang tahu bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah. Nikmat terbesar adalah nikmat rajin berfikir ini, kerana daripada rajin berfikir inilah ramai manusia mendapat nikmat-nikmat hidup yang lain.

Bila kita rajin berfikir sehingga terbit idea-idea yang mencurah-curah, kejayaan kita merealisasikan idea-idea ini akan memberi kepuasan dalam diri. Ciptalah hidup yang mempunyai idea-idea yang indah dan menarik, bukannya hanya tahu mencari permusuhan.

4. maka ia menerbangkan debu,

Idea-idea yang indah itu akan menerbitkan jiwa yang tenang dan damai. Segala debu dan kekotoran hati akan diterbangkan oleh akal fikiran kita. Sebab ketika itu kita sudah mampu menilai dengan waras yang mana baik dan tidak baik untuk diri kita sendiri.

Orang yang tinggi akal fikiran, perasaan bangga diri akan rendah sebab dia mula tahu bahawa segala yang jadi itu atas keizinan Allah. Jika Allah tidak izinkan, sekuat mana keinginan dan cita-citanya pasti dia tidak mampu mencapainya. Dia mula sedar dirinya hanya sekelumit jiwa yang lemah yang memerlukan pertolongan Allah setiap masa. Rasa bergantung hanya kepada Yang Maha Kuasa yang memegang sistem alam semesta ini.

5. dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,

Musuh bagi akal adalah nafsu. Nafsu adalah keinginan yang dikawal oleh syaitan. Makhluk jahat ini akan mengawal hidup manusia bila manusia itu menolak logik akalnya sendiri. Jika akal itu ditolak, sah-sah manusia itu tidak berpegang kepada kebenaran. Bagaimana sesuatu yang benar itu hendak dibuktikan benar jika rasional ditolak? Adakah hidup kita ini sekadar menurut membuta-tuli? Tidaklah Quran ini diajar melainkan untuk menjadikan manusia itu bijak berfikir dan yakin pada keupayaan diri.

Jika sekadar membaca Quran, tetapi tidak dipergunakan akal untuk berfikir pengajaran Quran, tidaklah manusia itu akan mampu melawan tipu-daya syaitan. Tipu-daya syaitan ini lemah sahaja. Dimulakan dengan meragu-ragukan manusia. Bila terbit rasa ragu-ragu, manusia yang malas berfikir akan dibayangi dengan ketakutan demi ketakutan sehingga hati jadi berdebar-debar.

Tetapi jika kita pertingkatkan kuasa kuda akal, kita mampu menyerbu tipu-daya syaitan itu untuk menjadikan kita seorang yang yakin pada keupayaan diri sendiri. Sebab kita sudah nampak logik-logik terhadap sesuatu perkara yang kita fikirkan itu. Dalam alam semesta ini, Allah ciptakan dua pilihan sahaja. Baik atau buruk. Buat baik, hati jadi tenang. Buat jahat hati jadi tidak tenteram. Bila kita rasa tidak tenteram itu, cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah agar hati kita didamaikan kembali.

6. sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,

Manusia jadi tidak berterima kasih kepada Tuhannya bila dia tidak sedar diri bahawa setiap apa yang berlaku dalam hidupnya adalah kerana keizinan Allah. Bila manusia itu tidak memahami erti Kekuasaan Allah, dia merasakan segala kudrat yang ada itu miliknya. Maka jadilah manusia itu sombong.

Bila manusia itu jadi sombong dan berbangga diri, maka tahap pemikirannya akan jadi rendah. Mudah rasa tercabar bila ada orang lain lebih daripadanya. Jika ada pendapat orang lain yang lebih baik daripadanya, dia pun menolak dengan angkuh walhal jika mengikut rasional (akal yang waras), pendapat orang lain itu juga ada logiknya. Untuk mempertahankan keegoannya, mula orang itu menolak akalnya sendiri. Jadilah manusia itu seorang yang engkar walhal ada yang sibuk melaung-laungkan memperjuangkan Islam. Islam sepatutnya diperjuangkan dengan ketinggian akal fikiran. Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Macam mana kita hendak tunjukkan Kebijaksanaan Allah kepada orang yang bukan Islam, kita hanya tahu bertelagah pasal perbezaan hukum sahaja?

Umat Islam jadi berpecah-belah kerana ego mempertahankan pendapat masing-masing. Cepat berselisih pendapat. Maka dibuatnya puak demi puak sehingga lemah umat jadinya. Walhal perbezaan pendapat itulah menyatukan manusia kerana masing-masing ada rasional tersendiri. Itu menunjukkan uniknya makhluk ciptaan Allah ini yang berbagai ragam.

Bukankah jika Dia hendak jadikan kita satu umat itu senang sahaja? Tetapi Allah mempelbagaikan ilham-ilham kepada manusia supaya masing-masing berlumba-lumba membangunkan fikiran dengan berani memberikan pendapat. Kepelbagaian pendapat itu melapangkan agama sebenarnya. Terpulang untuk kita menilai mengikut sesuatu situasi. Barulah kita jadi manusia yang bijak, bukannya jumud dan sempit pemikiran.

Islam itu mudah. Asalkan kita menggunakan akal yang waras, hidup kita akan dilapangkan dan dimudahkan. Semua ini akan dirasai oleh orang-orang yang membangunkan kematangan fikirannya.

7. dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya,

Manusia itu dikira engkar bila dia sengaja menolak logik akalnya sendiri. Daripada kewarasan otaknya berfikir, hatinya mengakui apa yang dia dengar dan lihat itu adalah benar, tetapi kerana ada penyakit dalam hatinya, maka ditolak apa yang disampaikan itu. Maknanya memang manusia itu benar-benar menyaksikan keengkaran dirinya sendiri. Orang-orang sebeginilah yang dikatakan kafir, kerana nikmat akalnya sendiri pun ditolaknya. Jika akal sendiri pun sudah ditolak, apa lagi yang harus digunakan oleh hati untuk berpegang kepada tali Allah? Tidak mungkin dengan menggunakan nafsu, sebab nafsu suka menipu.

Kerana menurut nafsu atas perasaan memperjuangkan Islam, berapa ramai manusia tertipu dengan mengajak manusia ke arah perbalahan dan perpecahan. Bukankah Allah sudah peringatkan kita dengan iblis yang suka menipu itu? Kenapa kita tidak sanggup mengakui dalam diri ada iblis yang tersembunyi yang suka membisik-bisikkan rasa ragu-ragu dan malas berfikir? Kenapa kita tidak sanggup mengakui dalam diri kita ada iblis yang suka menumbuhkan penyakit-penyakit hati sehingga banyaknya kedengkian, pengumpatan, fitnah-memfitnah dan mengutuk mencaci kerana berebut kerusi dan kekuasaan duniawi?

Ada yang berdusta dengan mengatakan Islam ditegakkan melalui kuasa. Jika benar kata-kata itu, sudah pasti Nabi Muhammad mendapat wahyu pertama dengan menyuruh baginda berebut kuasa biarpun dengan cara yang keji. Tapi cuba kita kaji wahyu-wahyu Allah yang turun ketika baginda masih berdakwah di Mekkah? Semuanya  menekankan tentang pembangunan akal fikiran dan menjaga kesucian hati. Bila dua perkara ini lengkap dalam hidup insan, maka jadilah mereka sebagai khalifah. Selepas baginda mempunyai ciri-ciri inilah baginda baru mendapat kuasa memerintah negara Madinah dan seterusnya diperluaskan Islam hampir separuh daripada dunia. Begitulah hebatnya Islam itu apabila diterjemahkan dalam diri sendiri, bukannya sibuk mengutuk pemimpin tak laksanakan Islam dan sebagainya.

Bila Pak Lah cuba perbaiki Islam dengan konsep Hadharinya, ramai pula yang mendengki. Bukannya konsep itu mengajak kita bermusuh-musuhan pun. Konsep yang dibawa itu adalah sebahagian dari ajaran Quran biar walau apa nama konsepnya pun. Allah bukan lihat nama konsep itu, tetapi sejauh mana kita mengamalkan konsep itu sehingga membentuk keperibadian yang mulia. Tidak kisahlah siapa pun yang mengutarakan konsep itu, selagi ia baik untuk pembangunan insan, itulah Islam. Janganlah disempitkan lagi maksud Islam hanya dengan budaya Arab sahaja. Allah tidak pernah menganak-tirikan mana-mana bangsa. Bukankah kita berasal daripada zuriat Adam dan Hawa?

8. dan sesungguhnya dia sangat bakhil karena cintanya kepada harta.

Manusia selalu lalai dengan harta yang dipinjamkan. Terutama masa dan nyawa kita sendiri. Kerana merasakan kita dihidupkan untuk melakukan apa yang kita kehendaki, kita lalai bahawa hidup kita sebenarnya bekerja untuk Allah. Seperti mana kita bekerja untuk mana-mana syarikat yang wujud di atas muka bumi Allah ini, syarikat Allah yang kita tumpangi inilah yang lebih utama dan lebih besar. Kejayaan kita membantu syarikat Allah akan membantu kejayaan syarikat yang kita bekerja juga supaya rezeki kita terus terjaga. Bukankah khazanah semesta alam ini milikNya?

Janganlah bakhil dengan masa yang Allah peruntukan sehingga kita tidak nampak matlamat sebenar hidup kita. Kerana tertipu mengejar duniawi, masa hanya digunakan untuk bermegah-megahan dan berbangga diri. Kejayaan kita melawan syaitan yang memalaskan hidup kita yang menyebabkan selama ini kita malas berfikir akan membuka jalan ke arah kebaikan. Sebab itulah Nabi Muhammad memperbaiki diri dengan bermula daripada berfikir. Daripada amalan berfikir itu manusia akan dimuliakan.

Hilangnya sifat-sifat mulia kita umat Islam sekarang kerana berfikir bukan lagi amalan sehingga masa dihabiskan untuk bertelagah dan berpecah-belah. Sampai bila kita harus hidup dalam kelalaian begini sehingga tidak sedar bangsa-bangsa lain sudah maju dan tinggi mentaliti? Di negara sendiri pun kita sudah kalah dari segi ekonomi dan pelajaran. Mujur kuasa Kesultanan Melayu masih wujud untuk memberi ruang kita memerintah. Tetapi jika bangsa Melayu semakin lalai dan berpecah-belah, tidak mustahil Allah akan datangkan kaum yang lebih bijak, biarpun bukan beragama Islam untuk memusnahkan orang-orang Melayu? Nak salahkan bangsa itu atau diri kita sendiri yang beragama Islam ini? Janganlah kesucian agama Islam dicemari dengan perangai pemalas berfikir kita itu.

9. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur,

10. dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada,

11. sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka.

Kelogikan manusia akan dibangkitkan dari kubur dan diperlihatkan segala amalan mereka ketika hidup adalah seperti Allah melahirkan segala yang tersembunyi di dalam dada. Apabila kedatangan utusanNya sebagai  tanda bermulalah kebangkitan umat, segala yang tersembunyi dalam hati manusia akan diperlihatkan. Yang mana sebelum ini berkata-kata dengan bangganya bahawa dia memperjuangkan Islam, akan diperlihat betulkah dia berkata itu kerana Allah atau kerana mengejar kekuasaan duniawi. SesungguhNya Allah Maha Mengetahui siapakah yang selama ini mendustai agama sehingga agama dijadikan alat pemecah-belah ummah.

Kerana dengki melihat kekuasaan yang diberikan kepada seseorang pemimpin, wujudnya pelbagai puak-puak yang mendakwa untuk memperjuangkan agama, walhal semua itu membawa kepada perpecahan ummah. Sudahlah puak itu hanya mengajak kepada perasaan marah dan panas hati, bukannya menasihat dengan berhikmah lagi berkasih-sayang seperti yang dilakukan oleh para Rasul Allah.

Bagaimana manusia itu mahu lari daripada azab Allah apabila Dia perlihatkan kebenaran yang rasional akal manusia itu menerimanya tetapi kerana hatinya terikut dengan nafsu yang berbisik kedengkian, hatinya jadi panas. Bila panas hati, hanya tahu menghamburkan kata-kata kejian, makian dan kutukan. Bukankah kutukan Allah lebih hebat kesannya jika manusia itu mahu memikirkan?

Sudah tiba sinar dari Yang Mengetahui untuk memperlihatkan kepada manusia yang selama ini kegelapan dalam beragama dan apa yang tersembunyi dalam hati. Kerana rasa ego dan bangga diri, umat jadi lemah. Dan tidak manusia itu jadi lemah, melainkan bila akalnya sendiri ditolak. Tiada keinginan untuk menjadi generasi yang bijak dan berhikmah, yang suka memerhati makna-makna terhadap sesuatu yang berlaku dalam hidupnya. Manusia yang tertutup mata hatinya itu hanya suka menyalahkan orang lain daripada menyalahkan dirinya sendiri di atas rasa tertekan dan keresahan yang menimpa. Siapakah Tuhan selain Allah yang boleh menghalang rasa tertekan itu?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Viewed 192 times by 123 viewers

3 Responses to “Al ´Aadiyaat (Kuda Berlari Kencang)”

  1. Adila Says:

    Bila kita sedar hidup hanya di bawah kuasaNYA, rasa keberserahan diri akan bertambah.

    Yakin tiada kuasa lain yang dapat menggerakkan dan mengawal alam ini kecuali Allah…alam yang luas ini tiada memberi kesan atau mudarat sedikit pun bagiNYA.

    MendekatiNYA dengan rasa rendah diri dan rasa kehambaan membuatkan kita rasa tenang dan damai. Biarpun DIA datangkan ujian yang berat, tapi bila kita berserah, kita akan tau ujian itu daripadNYA dan hanya padaNYA lah perlu kit meminta dan berserah diri.

    Ujian ini tidak akan berakhir sampailah kita kembali padaNYA. Selagi ada hayat, selagi itu kita akan diuji. Untuk meihat ketabahan, kecekalan dan kesabaran kita. Untuk melihat sifat kehambaan yang ada dalam diri kita.

  2. Melayu Boleh Says:

    you did a great job . i really appreciated that . i’ll come back later.

  3. Kerasma Says:

    Welcome. :)

Leave a Reply