Al A’laa (Yang Paling Tinggi)

1. Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi,

Bagaimana hendak sucikan nama Allah?
Kita kena tinggikan pemikiran kita sebab Dia Maha Tinggi. Bila kita tinggi mentaliti, orang bukan Islam terpersona melihat kita seterusnya kagum dengan akhlak kita. Jadi mereka akan yakin dengan Tuhan yang umat Islam sembah.

Tetapi jika kita tunjukkan perangai berpecah-belah akibat kekotoran hati yang suka berhasad dengki, bagaimana mereka hendak percaya dengan ajaran Islam dan Quran walaupun kita kata Quran itu benar? Secara tidak langsung kita sudah memburukkan nama Allah dengan perangai buruk kita selaku orang yang percaya kepada Allah. Begitu juga nama Rasulullah juga telah diburuk-burukkan oleh orang Barat disebabkan perbuatan kita sendiri yang bertelagah dan suka berperang.

Orang yang menggunakan akal akan menilai sesuatu perkara bukan pada kata-kata sahaja, tetapi dengan perbuatan yang konsisten. Sekarang ni orang bukan Islam ramai yang bermentaliti tinggi, sudah pasti mereka tidak percaya dengan kebenaran Islam jika kita tunjukkan tahap mentaliti kita setaraf binatang ternak.

2. yang menciptakan, dan menyempurnakan (penciptaan-Nya),

3. dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk,

Allah mencipta alam semesta ini dan menyempurnakannya. Kerana itu kita kena sempurnakan akhlak kita sebagai insan dengan meningkatkan tahap pemikiran. Adam diciptakan sempurna sebagai fitrah seorang manusia. Baginda memiliki ilmu sehingga tahu apa kegunaan setiap yang ada di muka bumi. Itulah standard manusia yang Allah ciptakan ketika mula-mula dahulu. Namun apabila generasi manusia itu lalai membangunkan akal, maka sampai suatu masa otaknya jadi mengecil setaraf haiwan.

Oleh kerana itu, kita umat Islam kena memikirkan pembangunan minda daripada sibuk bertelagah sesama sendiri berebut kerusi dan berpolitik. Jangan buat-buat alasan kita kena kejar kuasa politik dahulu untuk tegakkan Islam. Itu hanya kedustaan untuk memuaskan nafsu duniawi. Sedangkan kalau kita kaji, Rasulullah mengejar hikmah dan kebijaksanaan dahulu sehingga boleh berlaku adil kepada semua manusia. Setelah keadilan ini dicapai, barulah Allah bagi kekuasaan untuk memerintah negara. Namun ada umat Islam yang lembab otaknya nampak Islam itu kena ditegakkan dengan berebut kuasa. Akibatnya kita terus bertelagah dan bercakaran sesama sendiri seperti anjing dan kucing.

Ada baiknya kita bertoleransi untuk sama-sama membangunkan akal. Akal fikiran boleh dipertingkatkan bila otak kita mampu menimbang dengan waras. Setiap kewarasan yang dicapai setelah berfikir akan menenangkan jiwa. Ketenangan jiwa itu adalah nikmat syurga yang Allah perlihatkan sejak di dunia ini agar kita yang dengan nikmat syurga yang kekal ketika di akhirat. Kalau hati kita merana dan sengsara lagi suka asyik berdengki sesama sendiri, macam mana nak dijamin syurga? Bukankah kesengsaraan hati itu menunjukkan kita bakal menjadi penghuni neraka?

Al-Quran adalah manual yang Allah sediakan untuk kita bangunkan akal. Belajarlah Quran dengan bergantung harap kepada Allah, bukannya kepada mana-mana tok guru. Tidak salah hendak bertanya kepada seseorang yang lebih tahu, tetapi jangan mempercayainya bulat-bulat tanpa berfikir secara waras kata-katanya. Janganlah atas rasa mengikut kata-kata imam-imam terdahulu menunjukkan kita di pihak yang benar. Kebenaran untuk diri kita adalah bila akal kita menimbang dengan waras setelah kita berfikir panjang dalam sesuatu situasi. Tetapi bila akal kita waras menerima kebenaran itu tetapi hati kita sengaja menolaknya, Allah akan azab kita dengan perasaan berdebar dan gelisah. Itulah yang dirasai oleh manusia yang mendustai kebenaran. Bukankah kebenaran itu milik Allah? Kenapa kita sanggup mendustainya?

Apabila akal kita memiliki kewarasan tahap tinggi, kita mudah hendak mengkaji dan meneroka ilmu-ilmu baru. Allah akan permudahkan kita menuruti jalan yang Dia tetapkan. Allah akan ajar kita mengikut kadar tertentu supaya mudah otak kita menerimanya. Allah tidak paksa kita belajar sekali gus sesuatu ilmu, tetapi secara beransur-ansur mengikut keupayaan tahap akal kita. Semakin tinggi akal kita, semakin tinggi ilmu kita dapat. Macam-macam perkara kita nampak yang orang lain tak nampak sebab matahari hidayah Allah terang dalam hati orang yang berfikiran tinggi. Dan Allah akan memberi petunjuk untuk kita mencipta sesuatu teknologi untuk kemudahan sesama kita.

Namun bila rasional akal ditolak, manusia mudah hendak mengkeji dan mencelaka orang lain. Dicari-carinya keburukan orang lain untuk berbangga diri bahawa dirinya lebih baik dari orang tersebut. Walhal darjat manusia itu dalam Kekuasaan Allah. Apakah dengan cara memaki dan mengutuk itu adalah jalan yang dituntut oleh Islam? Sedangkan Rasulullah mengubah masyarakat baginda dengan mengkaji diri sendiri agar kesucian hati terpelihara. Bila hati suci, akan dekatlah hati manusia itu kepada Allah Maha Suci. Tetapi jika hati mula berdengki, manusia itu akan merasai debaran bisikan syaitan yang meragu-ragukan. Jadilah manusia itu tidak tenteram dan tidak damai jiwanya. Hilanglah keserian wajahnya. Muka jadi cepat tua. Siapa kita ini hendak menghalang azab Allah yang memberikan debaran-debaran berpanjangan? Tunduklah berserah diri sebelum masa yang diberikan rugi begitu sahaja. Apakah yang kita cari sebenarnya dalam hidup ini?

4. dan yang menumbuhkan rumput-rumputan,

5. lalu dijadikan-Nya rumput-rumput itu kering kehitam-hitaman.

Gambaran hati manusia yang damai seperti hamparan padang rumput yang menghijau. Lapang dan tenang jiwa dalam kesegaran. Segar dalam ingatan. Ketenangan hati akan menyebabkan manusia itu semakin rajin berfikir untuk mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan akal yang boleh berkembang. Hanya binatang ternak sahaja yang terhad akalnya. Adakah patut manusia itu menolak mengkaji Quran dengan akal atas alasan akal manusia terhad? Adakah manusia itu mengaku dirinya binatang ternak?

Bila manusia itu menolak akalnya, ilham-ilham laksana hujan pun tidak Allah turunkan. Bila hati itu kekeringan air ilham, rumput-rumput akan mati. Bila rumput-rumput mati dek kepanasan matahari (kemarau), padang rumput pun mudah terbakar. Akhirnya padang rumput tadi menjadi kehitaman. Begitulah hitamnya hati manusia yang malas berfikir. Hatinya penuh hasad dengki dan dendam khianat. Panas membara hatinya. Hanya tahu bermusuhan dan bertelagah sahaja.

Itulah gambaran hati kita umat Islam hari ini yang suka hidup berpuak-puak. Jika ada perbezaan pendapat sahaja terus bertelagah. Tidak berlapang dada untuk mewujudkan kesatuan. Mata zahirnya tajam mencari musuh sahaja akibat mata hati yang tertutup kegelapan. Selagi dalam hati kita ada perasaan dendam dan memusuhi terhadap satu jiwa manusia, selagi itulah jiwa kita kotor dan tidak tenteram. Oleh itu banyak-banyaklah memaafkan orang lain agar Allah mengampuni segala dosa-dosa kita. Barulah kita merasai ketenangan dan ketenteraman hidup.

6. Kami akan membacakan (Al Quran) kepadamu (Muhammad) maka kamu tidak akan lupa,

7. kecuali kalau Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.

Sesungguhnya Quran ini diajarkan oleh Allah Maha Bijaksana melalui ilham-ilham yang dicapai bila manusia itu berfikir secara waras. Sebab itu orang yang bijak berfikir akan memahami pengajaran sebenar Quran ini. Tetapi yang mengada-adakan alasan bahawa Quran tidak boleh difahami dengan rasional akal pasti akan menjadi taksub dan pak turut. Akibatnya mereka merasai tekanan jiwa akibat berdusta atas nama agama. Bila dicabar dengan logik akal, mereka tidak mampu berkata-kata mempertahankan kebenaran yang mereka dakwa. Semakin diasak, hati mereka terdesak dan sesak sehingga terkeluarlah kata-kata makian dan celaan. Sama seperti perangai orang kafir di zaman Rasulullah yang hanya mampu mengkeji sahaja. Itu ketinggian akal yang mereka boleh capai.

Apabila manusia itu berfikir dan hinggap pada logik yang menenangkan hati, sudah pasti manusia itu tidak akan melupakan Quran kerana Quran umpama pintu ke syurga. Tenang dan damai sahaja jiwa bila menerokainya. Macam-macam perkara yang sebelum ini tidak nampak, Allah telah suluhkan cahaya dalam hatinya untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda Kekuasaan Tuhan. Terasa Kehebatan kerajaan Allah Yang Maha Luas. Kagum dirinya melihat tanda-tanda Kekuasaan Allah sehingga dia semakin merasa kerdil dan merendah diri.

Namun ada juga manusia yang Allah kehendaki dia lupa akan pengajaran Quran walaupun sebelum ini dia mempelajarinya. Iaitu manusia yang leka dan berbangga diri bahawa dia memiliki ketinggian ilmu Quran untuk mencari kesalahan-kesalahan orang lain dan mewujudkan puak yang mereka sahaja menurut Quran dan Sunnah. Dengan rasa bangga ketinggian ilmu itu dengan mendakwa puak dia sahaja Islamik dan mengkafirkan orang yang berbeza pendapat dengannya. Akibat dirasuk syaitan atas perbuatan dirinya sendiri, gunung-gunung ilmu yang wujudkan dalam hatinya selama ini telah Allah hancurkan. Itulah hari Kiamat kepada manusia yang lalai dengan peringatan Allah.

Sedangkan dakwah Rasulullah adalah mewujudkan persaudaraan sesama manusia, kerana musuh kita hanyalah syaitan. Apabila manusia itu lebih mementingkan syaitan daripada Tuhan, sebenarnya dia telah memusuhi Tuhan. Akibatnya hatinya sendiri yang dipenuhi debaran. Bagaimana manusia itu hendak mengawal debaran jantungnya sendiri jika mendustai agama?

8. dan Kami akan memberi kamu taufik ke jalan yang mudah,

9. oleh sebab itu berikanlah peringatan karena peringatan itu bermanfaat,

10. orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran,

Oleh itu marilah kita sama-sama bangunkan mentaliti dengan berfikir secara mudah diterima akal (waras). Pada akal ada neraca untuk membezakan di antara betul atau salah. Selagi kita tidak gila, selagi itu kita semua ada logik akal. Bila kita mahu dan ikhlas hendak bangunkan akal, akan capailah kita taufik dan hidayah Allah ini.

Apa yang disampaikan ini sekadar peringatan, bukannya paksaan. Peringatan ini memberi manfaat kepada manusia yang takut kepada Kekuasaan Allah yang mampu memutuskan urat jantungnya. Berapa ramai umat Islam mati akibat sakit jantung kerana lemahnya pegangan akidah akibat berpegang pada bisikan keraguan syaitan? Dan yang menyebabkan kita merasa terpaksa untuk berubah setelah akal kita nampak kebenaran adalah kerana bisikan keraguan syaitan. Syaitan yang mahu kita rasa susah untuk berubah agar terus leka dan jauh daripada Tuhan. Tidakkah kita mahu mengambil pelajaran?

11. dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya.

12. (Yaitu) orang yang akan memasuki api yang besar (neraka).

13. Kemudian dia tidak akan mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.

Kecelakaanlah kepada manusia yang menjauhi kebenaran yang telah Allah tawarkan. Bagaimana manusia yang menolak amanah Allah akan merasai nikmat ketenangan jiwa? Akibat tiada lagi ketenangan jiwa, rasa panas hati dan gelisah mula menyelubungi bagai memasuki api yang besar. Tiada tempat hendak lari kerana sejauh mana dia lari, tetaplah perasaan resah itu mengekori. Bukankah semesta alam ini milik Allah? Kenapa harus sombong dan bongkak kepada Pencipta sendiri?

Beranikah manusia itu untuk mati sedangkan perkataan mati itu telah menjadi mimpi ngeri dan menakutkan bagi manusia yang jauh daripada Tuhan? Dan apakah erti hidupnya jika keresahan dan debaran itu terus menyelubungi? Bukankah hidup kita untuk mencapai ketenteraman jiwa? Oleh itu tunduk berserah dirilah kita kepada Allah jika kita mahu jiwa yang tenang. Gunakan kesempatan masa yang diberikan untuk bersama-sama berjuang untuk agamaNya.

14. Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman),

15. dan dia ingat nama Tuhannya, lalu dia sembahyang.

Bersihkanlah diri kita dari segala penyakit hati. Untuk bersihkan hati, kita kena kenali diri. Apa yang tersembunyi dalam hati hingga terbongkar segala perangai-perangai jahat? Kenapa kita suka hidup mengutuk dan mencari kesalahan orang lain? Adakah kita ini malaikat yang dijamin bersih daripada sebarang dosa?

Untuk bersihkan hati, ketinggian akal adalah seiring. Sebab itu bila kita kaji Quran bermula dari surah-surah asas, kita nampak pembangunan minda berkaitan dengan kesucian hati. Seseorang itu belum lagi dikira beriman sebelum diuji oleh Allah. Jika Allah uji kita, kemudian kita rasa marah dan melenting, bukankah itu menunjukkan kita masih lemah imannya?

Sebab itu Allah ada menguji seorang bekas TPM kita untuk menilai tahap keimanannya. Tetapi setelah diuji, beliau telah gagal melepasi ujian kerana melepaskan amarahnya padahal amarah itu adalah syaitan. Walaupun sebelum ini nampak kewarakannya, tetapi itu belum menjamin beliau boleh melepasi ujian Allah. Kerana itu kita kena pertingkatkan mentaliti supaya kita boleh memahami ujian Allah. Kita tidak cepat tertipu dengan pandangan zahir.

Semakin tinggi akal manusia itu, dia semakin bersabar. Itulah jiwa yang tenang. Setiap saat akalnya berfikir dan mengingati Allah. Sentiasa mencari jalan mencari logik-logik di serata alam ini agar tanda-tanda Kekuasaan Allah dapat dirasai. Bila kita rasa KekuasaanNya, hati kita jadi tenang dan tenteram. Kita makin ikhlas memujiNya kerana Keagungan Allah terasa menjalar di dalam badan. Semakin ingat kepada Allah, semakin tunduk dan berserah diri kepada Allah. Solatnya semakin dirasakan bernilai kerana dia dapat merasakan waktu itulah dia mengadap Penciptanya. Jika diuji dengan perkara-perkara yang nampak zahirnya buruk, dia tetap bertenang dengan mengerjakan solat kerana ketika solat itu Allah akan berikan hint-hint kepada ujian yang diberikan.

16. Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.

17. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

18. Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu,

19. (yaitu) Kitab-kitab Ibrahim dan Musa

Tetapi umat Islam sekarang sudah tidak percaya kepada akalnya sendiri kerana mata zahirnya nampak kehidupan duniawinya sahaja. Mencari kemegahan dan sanjungan manusia. Apa guna kemegahan di mata manusia sedangkan di sisi Allah rendah nilainya? Bagaimana hendak mencapai ketenangan dalam hidup jika akalnya rendah sampai tidak mengerti dan memahami petunjuk Allah?

Bukankah tawaran kehidupan di akhirat adalah lebih baik dan abadi? Untuk mencapai kebahagian di akhirat, praktislah untuk hidup bahagia di dunia dulu. Jalan mencapai kebahagian di dunia akan dicapai bila kita mendekati diri kepada Allah dengan jalan membangunkan akal. Ini kerana Allah adalah Tuhan Maha Bijaksana. Hanya manusia yang berlumba-lumba memajukan pemikiran akan merasa dekat dengan Tuhan iaitu ketika mereka berfikir mencari ilham-ilham.

Bukankah ilham-ilham itu disampaikan oleh Allah untuk manusia memilih jalan kebenaran atau jalan kesesatan? Pilihlah sama ada untuk hidup bahagia di sisiNya atau hidup sengsara bersama-sama syaitan. Dan orang yang menolak amanah Allah pasti akan merasai debarannya kerana syaitan telah meragu-ragukannya untuk menjauhi perjuangan agama Allah ini.

Sesungguhnya apa yang disampaikan ini memang pernah juga terjadi kepada orang-orang terdahulu dan disampaikan juga dalam kitab-kitab terdahulu. Itulah ketetapan yang Allah tentukan secara berulang-ulang. Bila sampai suatu masa umat menjadi lembab berfikir setaraf binatang ternak dan suka hidup bercakaran, Allah akan bangkitkan utusan-utusanNya untuk mengajak manusia yang terapung di awangan itu berfikir melalui kejutan-kejutan yang Allah berikan. Hanya manusia yang menggunakan mata hati akan memahami. Yang engkar pasti akan merasai kesesakan dalam dadanya. Bagaimana manusia itu mahu lari daripada Allah yang sentiasa melihat mereka?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

One Response to “Al A’laa (Yang Paling Tinggi)”

  1. Adila Says:

    Adakah kita masih perlu mempertahankan sesuatu yang tak pasti bila di depan mata kita terhidang satu peluang emas untuk kita mendekatiNYA.

    Kenapa kita seakan meluapakan doa sendiri. Kalau sebelum ini kita memanjat doa agar Allah kuatkanlah iman kita, tunjukkanlah jalan yang lurus….

    Tetapi kenapa bila Allah kabulkan doa itu, kita seakan takut untuk meninggalkan keindahan dan kesukaan kita kepada kehidupan sekarang. Kita meminta dan Allah telah mengabulkan. Bukankah itu tandanya Allah sentiasa sayang dan kasih pada kita?

    Untuk mendekatiNYA, segeralah buang segala keraguan yang menjarakkan kita denganNYA. Keraguan ini adalah dari yaitan semata-mata. Laknatullah ini tidak pernah senang kalau ada keturunan Adam yang telah mendapat cintaNYA. Akan diusahakan agar terpesong sama sepertinya.

    Ilham Allah…semakin kita mendekati dan banyak berfikir, kita akan dapat rasa ilham itu semakin mencurah-curah. Itu tanda DIA redha dengan kita.

    Pada orang berfikir, kita boleh nampak banyak kesannya. Cara mereka melontarkan idea, lain dari yang lain. Bernas. Kita akan mengagumi mereka…

    Tertanya-tanya macam mana mereka boleh dapat idea sehebat itu…sedangkan pertanyaan itu telah terjawab dari dulu sampai sekarang…hanya kita yang tidak mahu memanfaatkannya.

Leave a Reply