Al Balad (Negeri)
1. Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah),
2. dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Mekah ini,
3. dan demi bapak dan anaknya.
Kota adalah hati yang menghidupkannya sesebuah negara. Dan manusia pula adalah hati yang menghidupkan sesebuah kota. Dan hati itu adalah jiwa yang menghidupkan manusia itu. Manusia yang rosak hatinya seumpama mayat yang bergerak. Sebab itu bila tiba ketentuan Allah, mayat yang bergerak ini akan di azab oleh Allah seperti yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu.
Setiap nyawa berlainan jasad. Masing-masing ada kebun tersendiri untuk bercucuk tanam ketika hidup di dunia. Jagalah kebun sendiri baik-baik. Jangan sibuk mengutuk kebun orang lain sedangkan kebun sendiri bersemak bagai belukar.
Bapa dan anak berlainan cara pemikirannya walaupun dari keturunan yang sama. Kerana zaman telah membezakan. Perspektif hidup berbeza-beza. Gabungan pandangan lama dan baru akan membawa kegemilangan umat manusia.
4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.
5. Apakah manusia itu menyangka bahwa sekali-kali tiada seorangpun yang berkuasa atasnya?
Jika kita renung permulaan hidup kita dari setitis mani menjadi segumpal darah. Kemudiannya menjadi daging yang membalut tulang-tulang sehingga siap kita disempurnakan kejadian, menunjukkan kehidupan kita bermula penuh kepayahan. Siapakah yang berkuasa menjadikan kita dan menentukan kadar-kadar yang sepatut untuk kejadian kita ini?
Begitu juga yang terjadi dalam hidup kita setelah kita dewasa, semuanya atas Kekuasaan Allah. Kenapa hidup kita tertekan dan sesak nafas dibuatnya? Jika kita muhasabah diri mengenal apa yang tersembunyi dalam diri, kita akan temui jawapannya. Semuanya disebabkan pilihan-pilihan yang telah kita ambil selama kita hidup dan disebabkan pilihan itu Allah tentukan balasan untuk kita. Buat baik dibalas baik. Buat jahat jangan sekali mahupun banyak kali, kelak akan merana diri.
Dalam memahami Quran, kita juga bermula dalam keadaan susah payah. Banyak ayat-ayat yang tidak kita fahami maksud pengajarannya pada mulanya. Yang kita tidak fahami maksud intipati sesuatu ayat bukan kerana akal kita terhad, tetapi kerana tingkatan akal kita belum mencapai piawaian untuk memahami pengajaran ayat itu. Jadi mulakan mengkaji Quran dengan surah-surah yang pendek dan mudah difahami serta diamalkan. Semakin kita mengkaji dan terus mengkaji, Allah yang berkuasa menjadikan kita memahami Quran. Kerana Quran itu datang daripada Allah, bukan daripada mana-mana tok guru untuk kita taksub telunjuk kata-kata secara membuta tuli, gunakan pertimbangan akal yang waras untuk memahami ajarannya. Akal manusia ini memang Allah sudah cipta untuk fahami Quran. Setelah akal kita meningkat, jika ada tok guru kata boleh mengumpat atau mencaci maki, sedangkan kita tahu itu semua akan menyebabkan permusuhan sesama manusia, apakah patut kita ikut?
Kerana sikap orang kita yang suka taksub atas pandangan zahir sahaja, terus ikut kata-kata seseorang itu. Asal pakai macam tok Arab, berserban dan berjanggut, terus disangka tinggi ilmu agamanya. Maka wujudlah bermacam-macam kumpulan ajaran sesat akibat lemahnya pemikiran manusia itu untuk menilai. Bebaskan diri dari belenggu pemikiran. Jika ada manusia kata Quran tidak boleh difahami guna akal, itu menunjukkan manusia itu berniat untuk memesong manusia lain agar taksub kepada dirinya sahaja. Sebab akalnya sendiri tidak cukup tinggi untuk memahami apa sebenarnya ajaran Quran yang utama iaitu menyuruh manusia membebaskan minda dari segala belenggu yang menyebabkan hidup manusia itu jadi jumud, sempit, lembab berfikir dan tidak mampu mencetuskan idea-idea baru. Keadaan ini berlaku kerana hilang pergantungan manusia itu kepada Allah, tetapi bergantung kepada manusia atau makhluk-makhluk Allah yang lain.
6. Dan mengatakan: “Aku telah menghabiskan harta yang banyak.”
7. Apakah dia menyangka bahwa tiada seorangpun yang melihatnya?
Harta yang paling bernilai bagi manusia adalah masa. Sebab itu disebut masa itu emas. Manusia yang mengabaikan pembangunan minda menganggap dia telah menghabiskan umurnya untuk berbuat baik, sedangkan akalnya semakin hari semakin mundur. Umat jadi semakin sempit berfikir, tidak berlapang dada, tidak berpandangan luas. Hanya terbatas berebut kekuasaan dan harta duniawi. Adakah mereka menyangka Islam itu sekadar berbalah-balah dengan berkata “Aku ikut Quran, engkau tidak Islamik”? Sedangkan bila dilihat secara global, bangsanya terus ketinggalan dari segenap segi akibat hidup berpecah-belah. Bangsanya diperbudak-budakkan di bumi sendiri. Mereka tidak menyangka bahawa Allah akan bukakan mata hati hamba-hambaNya untuk melihat apa yang manusia itu telah perbuat terhadap agamanya sendiri sehingga agama menjadi bahan ejek-ejekan.
8. Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua buah mata,
9. lidah dan dua buah bibir.
Setiap manusia diberikan dua buah mata. Mata zahir yang mempunyai dua biji mata dan satu lagi mata hati. Manusia akan jadi rosak bila mata hatinya tertutup. Mata hati tertutup jika akalnya pendek. Kerana itu, bangunkanlah pemikiran kita agar berfikiran jauh. Akal hanya mampu meningkat bila kita berfikir dengan logik dan nyata. Jika membayangkan gambaran-gambaran yang tiada asasnya, itulah bisikan syaitan yang menyesatkan. Selagi kita berfikir mengikut neraca yang seimbang di dalam otak kita ini, selagi itulah kita berada di jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang diberikan nikmat.
Sebab itu orang yang rajin berfikir sehingga mengeluarkan bermacam-macam idea, merasai kenikmatan hidup ini biarpun dia bukanlah seorang yang berada dan kaya raya. Gunakanlah kedua-dua mata zahir dan batin kita untuk mengharungi hidup dengan penuh kebahagian biarpun diuji dengan pelbagai dugaan. Kelak kita akan menjadi seorang yang sabar. Kepada Allah kita berserah diri kerana kita tidak mampu memiliki apa yang dihajati tanpa KeizinanNya. Dan Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengampun.
Seperti mata untuk memandang, lidah dan bibir untuk bersuara juga ada zahir dan batin. Suara hati hanya mampu difahami oleh orang yang celik mata hatinya juga. Adakalanya mereka mampu mendengar suara hati orang lain. Seperti Rasulullah mampu mendengar suara mayat-mayat di dalam kubur. Itu menunjukkan tingginya akal baginda. Di mana tahap akal kita umat Islam yang suka hidup berpecah-belah dan taksub bagai binatang ternak?
10. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan,
11. Tetapi dia tiada menempuh jalan yang mendaki lagi sukar.
Dalam perjalanan hidup kita, Allah menguji kita dengan memberi dua jalan sahaja. Jalan baik atau jalan buruk. Jalan ke syurga yang tenang dan damai, atau jalan ke neraka yang memanaskan hati penuh permusuhan. Fikir-fikirkanlah jalan hidup mana yang telah kita pilih sekarang.
Jalan menuju ke syurga penuh cabaran. Memerlukan ketinggian akal, ketabahan dan kesabaran. Jika cepat give-up, memang akan terlepas. Oleh itu kita hanya mampu berusaha menuju ke syurga. Berusahalah sehingga mati memisahkan kita kerana masa terus berputaran sedangkan capai atau tidak adalah urusan Tuhan. Sesungguhnya rahmat Allah adalah luas. Bila akal dibangunkan, ilmu akan setinggi gunung. Gunung ilmu akan memasakkan hati kita agar tidak ragu-ragu. Ketenangan mula terpancar di wajah orang-orang yang berfikir.
Tetapi bagi manusia yang menurut nafsu dengan menolak akal untuk memahami Quran, sudah pasti ilmu Quran tidak menjadi gunung di dalam hatinya. Bila diasak dengan hujah logik, dia mula ragu-ragu. Keraguan hati itu akan menyalakan api kedengkian dan amarah. Akhirnya untuk mematah hujah kebenaran, mereka hanya mampu mengejek. Itulah gambaran orang kafir yang ada disebut di dalam Quran.
12. Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu?
13. (yaitu) melepaskan budak dari perbudakan,
Inilah jalan yang sukar iaitu melepaskan umat yang diperbudak-budakkan oleh syaitan dalam diri kita sendiri. Syaitan ini telah menyebabkan daya fikiran kita menjadi lembab setaraf binatang ternak. Quran diajar dengan cara taksub dan menurut bagai akal tiada mengerti untuk mengimbang. Akibat taksub pada sesuatu pendapat golongan terdahulu, umat menjadi berpecah-belah dan berpuak-puak. Kesannya seperti yang jelas kita nampak depan mata, umat Islam diperbudakkan di bumi sendiri. Salah siapa ini? Tidak apa yang terjadi ini boleh menginsafkan kita untuk sama-sama berlapang dada dengan perbezaan pendapat sesama kita? Kenapa ada yang mengutuk, mencaci dan mencela atas rasa dirinya sahaja yang menurut Quran dan Sunnah. Adakah Quran dan Sunnah mengajar kita menjadi orang yang suka mengutuk dan mencela?
14. atau memberi makan pada hari kelaparan,
Apakah hari kelaparan itu? Hari yang pada ketika itu umat Islam sudah tidak fahami pengajaran Quran yang sebenar. Hati terasa lapar untuk menyantap ilmu Allah ini. Walaupun ada yang kononnya belajar agama tinggi-tinggi, tetapi kerana belajar secara menurut telunjuk orang lain dan mempergunakan nama-nama orang terdahulu sebagai sandaran untuk menunjukkan dia berkata benar, agama dan Quran dijadikan bahan ejek-ejekan. Imej Nabi Muhammad diperlihatkan sebagai seorang yang suka berperang dan berbalah sedangkan hakikatnya para Rasul Allah itu memiliki jiwa yang suci dan cintakan kedamaian sesama manusia. Musuh para Rasul adalah syaitan di kalangan jin dan manusia. Manusia akan menjadi syaitan bila otaknya cetek, berfikiran sempit, jumud, perasan dirinya sahaja betul, tidak boleh menerima pendapat baru yang terbukti rasional dan akhirnya lahirlah penyakit-penyakit hati seperti dengki dan iri hati. Itulah penyakit hati yang ada pada golongan Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah dahulu, dan penyakit ini telah hinggap di dalam jiwa umat Islam sekarang.
15. (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat,
Jiwa kita adalah anak yatim di dalam jasad kita sendiri. Rasa kesunyian akan menyebabkan kita semakin dekat kepada Allah. Sebab itu ramai yang mendapat ilmu Allah ini di kalangan orang yatim seperti Nabi Muhammad kerana setelah kehilangan ibu atau bapa (mereka yang menjadi tempat bergantung kasih), jiwa manusia itu akan menjadi lembut dan rasa penyayang itu mula menebal. Mula berfikiran panjang terhadap sesuatu perkara dalam hidup kerana dia terpaksa bergantung kepada dirinya sendiri (independent).
Kejayaan kita untuk merasakan kita berseorang di atas muka bumi ini tanpa bergantung harap kepada sesiapa selain Allah akan memantapkan keimanan kita kepadaNya. Mulalah kita yakin kepada diri kita sendiri. Kita jadi semakin mengasihi sesama manusia tak kira agama ataupun bangsa.
16. atau kepada orang miskin yang sangat fakir.
Kita hakikatnya miskin dan fakir. Allah yang anugerahkan rezeki sehingga ada yang disenangkan hidup dengan kemewahan harta-benda dan ada yang disempitkan rezeki. Berlumba-lumbalah kita merebut bahagian akhirat kerana itu yang lebih penting di sisiNya. Merebut bahagian akhirat bukan dengan cara berangan gambaran-gambaran syurga, tetapi dengan melatih hidup kita agar tenang bagai di syurga. Hidup hanya menghambakan diri kepada Allah dengan memikirkan KehebatanNya. Setiasa memuji-mujiNya setiap kali Dia sampaikan ilham-ilham yang menyebabkan kita nampak kelogikan sesuatu perkara. Bila kita semakin berfikir dan memahami, hati kita semakin berilmu.
Ilmu itulah kekayaan yang terpenting bagi kita untuk dibawa ke akhirat kelak. Sudah pastinya ilmu itu adalah sesuatu yang membawa kita mengenali diri dan mengenali Pencipta kita sendiri. Jika kita belajar sesuatu perkara termasuk Quran, tetapi kita tidak mampu mengenali diri dan Tuhan kita, kita belum dikira berilmu. Kita hanya dikira orang tahu sahaja. Orang yang tahu dan berilmu ini jauh bezanya. Orang yang sekadar tahu, bila dia diuji dengan sesuatu di luar apa yang ditahunya, dia sudah goncang pendiriannya. Tetapi orang yang berilmu jika dia diuji, akalnya cepat berjalan untuk mencari idea-idea yang membawa kepada rasa ketenangan diri. Dia akan tetap sabar dan tenang walau apa keadaan pun kerana dia yakin Allah amat dekat kepadanya dan akan mengajar ilmu yang diperlukan. Sudah pasti kita mahu hidup sebagai orang yang berilmu.
17. Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.
18. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan.
Orang-orang yang beriman itu adalah orang yang percaya dengan pertimbangan akal yang waras. Kerana dia yakin neraca yang Allah letakkan pada akal itu akan menjadikan dia mengenali beza di antara benar atau bathil.
Bila akal waras menimbang, hati penuh kesabaran. Kerana itulah pentingnya kita membangunkan akal agar semakin tinggi tahap kesabaran. Biarpun hati terasa sesak diuji oleh Allah, tetap kita tenang dan berharap-harap kepada Allah. Tetapi mengasihi dan menyayangi kerana Allah sendiri Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kejayaan kita mengawal emosi ini akan melayakkan kita menjadi golongan kanan. Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan kanan ini.
19. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri.
20. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.
Dan mereka yang menolak imbangan akal sudah pasti tidak memahami pengajaran Quran. Bila tidak faham pengajaran Quran, hati cepat beremosi kerana tidak kenal syaitan dalam diri sendiri. Marah dan panas hati sehingga hilang pertimbangan akal. Akhirnya membawa kepada kekafiran akibat lemah dalam memahami Kekuasaan Tuhan. Bila diseru menggunakan akal dan tidak taksub dalam beragama, tertutup rapat hati mereka untuk mendengar seruan. Tetaplah mereka dalam berkeadaan begitu.



























Mengikuti jalan yang berliku dan mendaki bukit untuk sampai padaNYA. Berperang melawan nafsu dan hasutan syaitan. Sentiasa berusaha untuk tetap atau istiqamah pada pegangan dan tidak mudah goyah apabila diuji. Sentiasa meletakkan akal di tempat teratas. Setiap pertimbangan adalah waras dan mempunyi logik yang kuat untuk menyokongnya.
Itulah dia orang yang beriman. Hidupnya sentiasa tenang dan damai walau dilanda gelora. Kerana dia yakin dan hanya bergantung pada Yang Esa. Dia sentiasa sabar dan tabah dalam apa jua keadaan.
Di bibirnya sentiasa terukir senyum, di wajahnya terpancar rasa kasih sayang dan kata-kata yang lahir darinya adalah penuh hikmah dan sedap didengar. Tiada yang sia-sia. Sehingga ada yang terpesona dengannya. Begitulah akhlak Al-Quran bila terpancar pada kita semua.
Tapi sebaliknya terjadi pada golongan kiri iaitu yang menolak ayat-ayat Allah. Tidak yakin dengan janji di dalam Al-Quran. Hidup mereka sentiasa panas dengan amarah dan segala macam penyakit hati. Ini kerana hati mereka telah dijajah oleh syaitan.
Ayat-ayat Allah ditolak kerana berasa diri lebih. Megah dan berjaya. Walhal segalanya daripada Allah semata. Malah meletakkan anugerah akal di tempat yang paling bawah kerana terlalu mengikut hawa nafsu. Sudahnya, hidup mereka terumbang ambing dengan resah gelisah dan tanpa ketenangan.
Hati mereka sentiasa panas dengan amarah. Itu baru kepanasan yang hanya di dalam diri semasa di dunia. Belum lagi di akhirat kelak. Kalau di dunia dah hidup dalam keadaan hati yang panas dan tak senang duduk kerana penyakit hati, di akhirat sana kepanasan yang lebih hebat lagi menunggu golongan kiri ini.
April 29th, 2008 at 12:55 pm