Al Buruuj (Gugusan Bintang)
1. Demi langit yang mempunyai gugusan bintang,
2. dan hari yang dijanjikan,
3. dan yang menyaksikan dan yang disaksikan.
Seperti yang telah terjadi pada umat-umat terdahulu, apabila tiba akhir zaman iaitu zaman di mana umat menghadapi kemunduran dan kesempitan akal fikiran, Allah akan memberikan petunjuk-petunjuk ke arah kesedaran. Petunjuk yang seperti gugusan bintang di langit fikiran hanya mampu difahami oleh manusia yang berfikir. Manusia ini akan menyaksikan kebenaran di ufuk yang terang melalui imbangan akal fikiran yang mampu membezakan di antara benar dan bathil. Seterusnya kebenaran yang disampaikan setelah melihat kebenaran itu akan disaksikan oleh sekelian alam. Dan janji Allah itu adalah benar biar pun ramai manusai yang cuai dan lalai.
4. Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit,
5. yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar,
6. ketika mereka duduk di sekitarnya,
7. sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman.
Seperti juga yang pernah terjadi dahulu, manusia yang membuat jurang permusuhan akan dibinasakan dan dilaknat oleh Allah. Mereka hanya suka mewujudkan pecah-belah dan berpuak-puak sesama manusia. Bertelagah berebut kekuasaan atas alasan hendak perjuangan Islam sedangkan akhlak mereka jauh daripada tuntutan Quran yang mengajak ke arah kesatuan manusia dan keharmonian alam semesta.
Mereka sanggup memutuskan silaturrahim yang dibina kerana mengikut rasa api permusuhan. Mereka menjadi kayu bakar dengan mengutuk dan menyebarkan fitnah sebagai budaya harian. Mencaci dan mencela menjadi santapan jiwa. Akibatnya mereka sendiri yang hidup tertekan dan panas hati. Mereka duduk bersenang-lenang di sekitar api permusuhan tersebut tanpa rasa keinginan untuk memadamkannya. Berasa bangga yang hanya puak mereka benar mengikut Quran. Apabila datang orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk menasihati mereka supaya bersatu, mereka mengejek-mengejeknya seolah-olah mereka tidak pernah membaca Quran. Apakah kata-kata mereka hendak perjuangkan Quran dan Sunnah itu sekadar hanya manis dibibir sahaja? Dan Allah Maha Mengetahui apa yang manusia sembunyikan.
Dan tidaklah yang memisahkan rasa kasih dan sayang di antara dua jiwa melainkan ada api (syaitan) di tengah-tengahnya. Seperti mana akibat hasutan iblis, Adam dan Hawa terpisah setelah bersalah memakan buah larangan, begitu juga dengan yang berlaku kepada generasi manusia seterusnya.
8. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin itu melainkan karena orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,
9. Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
10. Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.
Orang-orang yang mengadakan jurang api itu sengaja menyakitkan hati orang-orang beriman itu disebabkan orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Menguasai alam semesta seluas langit dan bumi. Ke mana perginya iman orang itu walhal mereka sebelum diuji begitu berbangga diri bahawa merekalah yang betul-betul menegakkan Islam di muka bumi?
Dan orang yang sengaja menyakitkan hati orang mukmin itu pasti akan merasai kesakitan hatinya sendiri. Kerana mereka lupa bahawa Allah lebih menyayang orang-orang yang beriman kepadaNya lagi bersifat sabar. Sudah pasti segala percubaan untuk menyakiti hati orang beriman itu akan dikembalikan kepada orang-orang yang lalai dengan kenikmatan dunia itu. Akibatnya mereka merasai sendiri rasa kepanasan hati dan debaran yang kencang. Sehingga tiada ketenteraman jiwa dan suasana hidupnya menjadi muram. Itulah balasan kepada orang yang lalai dengan amanah Allah. Di anugerahkan akal, tetapi tidak digunakan untuk menilai dengan saksama. Tetapi menggunakan syaitan yang dijadikan daripada api itu sebagai teman karibnya.
11. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar.
12. Sesungguhnya azab Tuhanmu benar-benar keras.
Syurga adalah tempat yang tenang dan damai. Untuk memiliki syurga di akhirat, secara logiknya sejak di atas dunia inilah kita kena praktis hidup dengan tenang dan damai. Hati tidak akan tenang selagi ada sifat dengki dan dendam. Lakukan amal-amal soleh yang boleh mengikis segala sifat-sifat syaitan yang tebal dalam diri dengan membangunkan minda dahulu. Sebab itu jika kita fikir, kenapa surah-surah yang awal turun kepada Rasulullah (ketika baginda masih di Mekkah) kebanyakannya menekankan tentang peningkatan akal fikiran. Bila keupayaan akal kita tinggi, otak mudah mengimbang dengan waras. Kita boleh membezakan di antara perbuatan baik dan buruk. Tindakan kita pun tidak melulu sebelum berfikir. Semakin berfikir, semakin teguh ilmu dan pendirian. Kita yakin pada diri sendiri dan meningkatkan rasa takut hanya kepada Allah.
Semakin kita yakin pada diri sendiri, semakin mudah kita menerokai hidup kita tanpa bergantung kepada orang lain. Hendak kaji Quran, guna akal sendiri pun kita boleh mendapat ilham. Yang penting kita ikhlas nak fahami Quran untuk membentuk jiwa yang mulia. Jika kita belajar Quran atas rasa nak berbangga, nak menghukum orang lain dan tidak boleh berlapang dada berbeza pendapat, tunggulah azab Allah yang benar-benar keras. Azab ini sudah boleh dirasakan sejak di dunia lagi iaitu kita rasa pedih hati dan tidak senang duduk mendengar pendapat orang lain pasal Quran, kerana selama ini kita perasan kita sahaja yang Islamik dan orang lain tidak.
13. Sesungguhnya Dia-lah Yang menciptakan (makhluk) dari permulaan dan menghidupkannya (kembali).
14. Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih,
15. yang mempunyai ‘Arsy, lagi Maha Mulia,
16. Maha Kuasa berbuat apa yang dikehendaki-Nya.
Dan bagi Allah adalah mudah menciptakan dan menghidupkan sesuatu. Seperti itu juga hati yang dihidupkan dengan ruh Quran walaupun manusia itu tidak pernah menuntut di sekolah Arab atau ke peringkat tinggi pengaji Quran. Ini kerana yang menentukan sesuatu jiwa itu memahami Quran adalah Allah. Bila seseorang itu belajar Quran dengan menggunakan pertimbangan akal yang waras, akan dapatlah dia memahami intipati pengajaran Quran. Semua ilmu di dunia ini pun perlu dipelajari dengan rasional akal. Jadi bagaimana ada manusia sanggup mengatakan wahyu perlu dituruti tanpa guna rasional akal? Bukankah untuk memahami dan menimbang sesuatu, rasional akal yang waras diperlukan? Nampak tak bagaimana ada manusia yang tidak sedar kata-katanya itu menyebabkan umat Islam menjadi umat yang malas berfikir dan hanya menurut membuta-tuli.
Bereksperimenlah dengan diri sendiri dahulu untuk memahami Quran. Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Janganlah rasa takut tersalah dan berdosa kerana nak belajar Quran. Sudah namanya kita belajar, tentulah kita tidak boleh elak dari melakukan kesalahan kerana ketika itu akal kita tidak cukup tinggi untuk menimbang dengan waras. Samalah macam masa kita kanak-kanak, ketika otak kita banyak tidak boleh menilai dengan waras, kita tidak berdosa walaupun melakukan kesalahan. Yang dikira berdosa apabila manusia itu tahu batas-batas baik atau buruk, tetapi sengaja memilih buruk demi memuaskan nafsu serakahnya. Itulah manusia yang dilalaikan syaitan. Apabila sampai petunjuk kebenaran, dia sengaja menentangnya.
Oleh kerana Allah memiliki ‘Arsy yang tinggi dan Maha Mulia sifatNya, untuk mendekatiNya, kita perlu memiliki akal yang tinggi dan berhati mulia. Apabila manusia itu memiliki sifat-sifat pinjaman seperti Allah itu, maka barulah manusia itu mendapat kekuasaan untuk melakukan apa yang dia kehendaki. Sebab ketika hati kita mulia, apa yang kita lakukan dan kehendaki sudah pasti sesuatu yang baik dan bermanafaat juga hasilnya. Kerana itu yang memegang jawatan khalifah di muka bumi di kalangan manusia yang tinggi akalnya dan berhati mulia. Jika pemerintah itu di kalangan orang yang bodoh dan busuk hati, pasti dia tidak kekal lama seperti mana Allah menjatuhkan Firaun dan Namrud dengan sekelip mata sahaja. Tetapi berapa ramai yang mahu memikirkannya?
17. Sudahkah datang kepadamu berita kaum-kaum penentang,
18. (yaitu kaum) Fir’aun dan (kaum) Tsamud?
Tidak pernahkah kita mendengar nasib-nasib orang yang menentang seruan ke arah kesatuan manusia? Ketika manusia hidup berpecah-belah, pasti Allah akan turunkan utusanNya untuk memberikan peringatan kepada mereka yang lalai mengejar kemegahan dan kemewahan duniawi sebelum azabNya ditentukan terhadap mereka. Tragedi tsunami yang berlaku di Acheh beberapa tahun lalu patut menjadi pengajaran kepada orang-orang yang suka hidup berpecah-belah atas alasan hendak tegakkan Quran dan Sunnah. Quran dan Sunnah ditegakkan melalui kesatuan. Buatlah seberapa banyak puak pun yang kononnya hendak perjuangkan Islam, pasti semua usaha itu tidak lain dan tidak bukan akan menyebabkan kehancuran umat. Cuba buka mata kita luas-luas melihat nasib bangsa dan umat sendiri. Berapa ramai yang murtad dan cabut lari dari Islam selagi kita tonjolkan Islam yang sempit, jumud dan kuno?
Lihat nasib Firaun yang mewarisi takhta kerajaan yang berteknologi tinggi pada waktu itu. Akibat hidup dalam kemewahan dan kemegahan, dia tidak sedar urat jantung sendiri dikuasai Allah. Otaknya mula menjadi senteng kerana sudah tidak berfikir secara waras lagi. Bila dikhabarkan ada datang penyelamat Bani Israel (Musa), dia mula resah dan gelisah. Habis bayi-bayi lelaki Bani Isreal (kaum yang diperhambakan) itu dibunuhnya. Namun Allah Maha Hebat perancangannya. Orang yang bergantung kepada syaitan pasti akan menerima kekalahan. Hidupnya tidak tenang dan sentiasa dihambat dengan bayang-bayang hitam ciptaannya sendiri. Akibat resah dan gelisah, otaknya tidak boleh berfikir dengan waras lagi. Mulalah berkata mengikut emosi. Akhirnya, lautan terbelah pun diredahnya kerana tidak berfikir sama ada itu adalah perangkap untuknya.
Sama juga dengan nasib kaum Tsamud yang tidak berfikir dengan waras untuk menilai mana yang haq dan mana yang hbathil. Walaupun mewarisi teknologi memotong batu untuk dibuatkan rumah-rumah, namun akibat kelalaian generasi seterusnya sehingga mereka jadi lembab berfikir setaraf dengan unta betina, Allah azab mereka setelah mereka mendustai utusanNya. Balasan Allah kepada orang-orang yang lembab berfikir dan hanya hidup membuta-tuli adalah sama dari dahulu sampai sekarang. Pasti mereka akan di azab sejak di dunia lagi. Lihatlah dengan luas nasib umat Islam sekarang kerana kelekaan kita sendiri untuk membangunkan akal. Masih terbuai dengan gelaran umat terbaik.
19. Sesungguhnya orang-orang kafir selalu mendustakan,
20. padahal Allah mengepung mereka dari belakang mereka.
Tidaklah menolak orang yang diseru ke arah kebenaran melainkan mereka menolak dengan alasan-alasan dusta. Bila berdusta, pasti manusia itu dikepung dengan rasa bersalah. Debaran mula melanda, dan ketakutan mula menjelma. Biar ke mana ceruk dunia ini mereka melarikan diri, pasti bayangan ketakutan terpahat di hati. Ini kerana bagaimana manusia itu boleh menghilangkan memorinya sendiri terhadap apa yang diniatkan oleh hati? Allah mengepung mereka dengan memori-memori silam mereka sendiri. Dan kelak, setiap manusia akan dipertanggungjawab terhadap apa yang mereka perbuat.
21. Bahkan yang didustakan mereka itu ialah Al Quran yang mulia,
22. yang (tersimpan) dalam Lauh Mahfuzh.
Bila akal ditolak dalam mengkaji Quran, pasti manusia itu akan mendustai Quran itu sendiri. Kerana pada akal ada neraca (rasional) untuk membezakan pasangan-pasangan logik seperti baik atau buruk, benar atau salah, taat atau engkar dan lain-lain. Menolak rasional akal menyebabkan Quran tidak difahami dengan logik sebaliknya secara menurut membuta-tuli. Bila manusia itu jadi pak turut, mudahlah syaitan menipu-daya manusia itu. Bila tok gurunya suruh mengumpat, menyebarkan fitnah, memburuk-burukkan orang lain atas alasan merebut kekuasaan duniawi, mereka menurut membuta-tuli tanpa pertimbangan yang waras. Itulah manusia yang hidup dalam kepanasan hati. Kononnya pejuang Quran dan Sunnah, tapi hati mereka penuh dengan nanah. Bukannya ingin mencari jalan ke arah kesatuan, tetapi suka hidup berpuak-puak. Kenapa tidak dicontohi Rasulullah yang menyatukan kaum Aus dan Khazraj?
Sesungguhnya Quran ini adalah lautan ilmu yang luas yang datang dari Lauh Mahfuz. Tidak patut kita mengatakan akal manusia terhad atas alasan malas hendak kaji Quran lagi. Mana ada ayat Quran tulis akal manusia terhad? Akal kita berkembang, sebab itulah teknologi yang tidak wujud zaman dahulu boleh wujud zaman sekarang. Jika akal manusia terhad, bagaimana boleh tercipta roket sedangkan tidak dicatatkan dari kitab2 terdahulu mahupun Quran bagaimana hendak cipta roket? Allah tidak bagitahu cara-cara bina roket dalam kitab-kitabNya supaya manusia itu rajin mengkaji, meneroka dan bereksperimen guna otak sendiri. Lemahnya umat Islam sekarang kerana tidak yakin dengan otak yang diberi. Lebih suka hidup dengki-mendengki. Lebih suka mengikut nafsu daripada turut sama berjuang memperindahkan Islam. Jika begini sikap kita, sampai generasi ke berapa kita masih hidup dibuli di sana-sini?
Kenangilah nikmat-nikmat Allah beri agar kita bersama-sama memperjuangkan agama Allah dengan cara yang aman dan harmoni, bukan dengan cara syaitan yang berapi.


























