Al Fajr (Fajar)
1. Demi fajar,
2. dan malam yang sepuluh,
3. dan yang genap dan yang ganjil,
4. dan malam bila berlalu.
5. Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.
Waktu fajar adalah perubahan dari keadaan gelap (malam) kepada terangĀ (siang). Begitu juga dalam diri kita ada berlakunya waktu fajar iaitu ketika mula berubah dari hati yang gelap (malas berfikir) kepada hati yang terang (rajin berfikir). Quran ini hanya mampu difahami oleh hati-hati yang ingin berubah untuk membangunkan pemikiran agar lebih tinggi dari hari-hari sebelumnya.
Quran diturunkan ketika bulan Ramadhan iaitu ketika umat Islam berpuasa. Jika tidak mampu melakukan perubahan diri untuk mengkaji Quran sejak awal berpuasa di bulan tersebut, mulakan dengan 10 malam terakhir. Kerana ketika di akhir bulan puasa itu, semangat berpuasa sudah berkurangan kerana duk fikir beraya. Jika masih rasa susah dan malas, pilihlah di antara malam genap atau malam ganjil untuk mengkaji Quran itu. Sebab untuk memahami Quran memerlukan keikhlasan hati untuk melakukan perubahan diri.
Kejayaan kita melawan semangat malas mengkaji Quran terutama di malam-malam akhir itu suatu petanda kemenangan yang besar untuk kita mendekati Allah dengan lebih akrab lagi.
Selain malam di bulan Ramadhan itu, malam-malam lain juga mempunyai nilai-nilai yang tinggi untuk kita mengkaji Quran. Oleh itu janganlah tunggu bulan puasa sahaja untuk menggerakkan otak berfikir mengenai ajaran Quran, tetapi jadikan ia amalan harian setiap saat dan setiap waktu. Kelak di akhirat tidaklah kita menyesal kerana tidak menggunakan masa yang Allah berikan untuk perkara yang sebaik-baiknya.
Kerana pada masa-masa yang Allah sebutkan itu mempunyi janjiNya bagi manusia yang mahu menggunakan akal fikiran dalam beragama. Manusia yang mengatakan Quran tidak boleh difahami oleh akal kerana akal itu terbatas, memang tidak akan faham. Sebab syaitan telah bisikkan keraguan bahawa akal manusia itu terbatas. Maka realiti yang kita nampak sekarang akal umat Islam sekarang memang terbatas dan sempit kerana tidak mampu mencipta bermacam-macam teknologi yang menyenangkan hidup manusia.
Umat Islam yang terbatas pemikiran ini hanya suka berpuak-puak dan berpecah-belah. Suka hidup mengikut telunjuk orang bagaikan binatang ternak malah lebih hina lagi. Sebab apa hina? Sebab binatang ternak memang Allah sudah set otaknya terbatas, tetapi umat Islam sekarang sengaja membataskan akal sendiri sedangkan tiada disebutkan pun dalam Quran yang akal manusia itu terbatas.
6. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad?
7. (yaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi,
8. yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,
9. dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah,
Lihat sunnah Allah yang pernah terjadi kepada umat-umat terdahulu. Asalnya umatĀ tersebut memiliki ketinggian akal sehingga mampu mencipta pelbagai teknologi. Keupayaan mencipta itu menunjukkan mereka sebenarnya dekat dengan Allah Yang Maha Mencipta. Tetapi apabila generasi berganti generasi, mereka lalai dengan kelebihan yang Allah bagi, sehingga mereka tidak berfikir secara rasional dan akal yang waras. Mula mengikut telunjuk manusia bagai hidup seperti binatang ternak.
Begitulah dengan umat Islam sekarang yang suatu ketika dahulu ditinggikan darjatnya, tetapi telah lemah akibat lalai membangunkan akal fikiran. Hidup hanya bermegah-megah menunjuk puak mana yang benar mengikut Islam, walhal perangai buruk begitulah yang telah merosakkan imej Islam itu sendiri.
10. dan kaum Fir’aun yang mempunyai pasak-pasak (tentara yang banyak),
11. yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,
12. lalu mereka berbuat banyak kerusakan dalam negeri itu,
Dan kaum Fir’aun (Mesir purba) memiliki teknologi untuk menahan gempa bumi dengan membuat piramid-piramid sebagai pasak bumi seperti konsep sebuah bukit atau gunung.
Samalah dalam hati kita, goncangan keraguan akan dihapuskan bila hati kita berilmu. Bukankah ilmu itu seumpama bukit atau gunung juga konsepnya? Lemahnya umat Islam sekarang ini kerana kita lebih ramai yang tahu pasal agama tetapi tidak berilmu agama. Berilmu ini bermakna manusia itu bijak menggunakan apa yang dia tahu untuk sesuatu keadaan. Orang berilmu, otaknya sentiasa berkembang, sedangkan orang yang sekadar tahu, otaknya setakat yang dia tahu. Orang berilmu akan berusaha mengkaji dan menerokai ilmu-ilmu baru sedangkan orang yang tahu cepat rasa berpuas hati dengan apa yang dia tahu. Dengan pengetahuan yang dia ada sudah rasa megah sehingga menggunakan pengetahuannya untuk musuh-memusuhi sesama manusia.
Bila umat Islam hanya tahu, tetapi tidak bijak, ia tidak pandai mengunakan pengetahuan yang ada untuk menghadapi situasi yang tidak pernah dilalui. Akibatnya kerana rasa diri di pihak yang berilmu Quran sedangkan tidak bijak, maka Quran digunakan sewenang-wenang untuk mewujudkan puak-puak dan berpecah-belah. Akibat umat berpecah-belah dan saling bermusuhan di antara satu sama lain, maka banyak kerosakan dalam umat. Satu puak menuduh puak yang lagi satu yang menyebabkan kerosakan, dan begitu juga sebaliknya. Walhal kita sama-sama bersalah dalam kerosakan yang terjadi dalam umat kita sendiri. Inilah realiti umat Islam sekarang.
Oleh itu perbetulkanlah kerosakan bermula dari dalam hati sendiri. Kenali diri dan carilah perangai-perangai buruk yang ada dalam hati. Masih wujudkah rasa hasad dengki dan dendam?
13. karena itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab,
14. sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.
Kerana suka hidup bermusuh-musuhan di antara satu sama lain, maka Allah azab umat Islam dengan pukulan dan libasan maut dari bangsa-bangsa yang lebih maju teknologinya. Umat Islam terus hidup tersepit dan terhimpit. Menjadi kuli di negara sendiri sedangkan bangsa lain mudah dan bersenang-lenang mengaut keuntungan akibat kelemahan dan kelekaan umat.
15. Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku.”
16. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rizkinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”,
Ujian Allah bukan untuk kita merasa bangga atau terseksa, tetapi untuk kita mendekatkan diri kepadaNya. Baik diuji dengan kesenangan dan kesusahan, janganlah ujian itu menyebabkan menjauhi dari berfikir mengenai KehebatanNya. Ingatlah nikmat-nikmat Allah yang banyak selama ini kepada kita, nanti hidup akan terasa tenang dan nikmat. Bila kita memahami beza kesusahan dan kesenangan, kita jadi menghargai kesenangan sehingga setiap kesenangan kita gunakan untuk menerokai ilmu Allah.
17. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,
18. dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,
19. dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil),
20. dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.
Kita semua adalah anak yatim kerana asal kejadian Adam tanpa ibubapa. Malah dalam diri sendiri, kita sebenarnya kesunyian kerana dalam jasad yang ditumpangi hanya ada diri kita sendiri. Manusia itu tidak memuliakan diri sendiri apabila lalai membangunkan akal fikiran sehingga membiarkan diri menjadi kuli dan hamba abdi. Sedangkan kita adalah jiwa yang merdeka. Bukankah hanya binatang ternak sahaja layak diperhambakan oleh manusia?
Akal menjadi lembab kerana hati tidak diberi makan dengan ilmu. Semua ilmu yang benar adalah milik Allah. Setiap ilmu Allah ada logiknya. Sains, matematik, fizik dan kimia semuanya ada fakta yang jelas berdasarkan kajian dan ukuran tertentu. Allah tidak cipta alam semesta ini secara main-main, tetapi dengan logik yang nyata yang mudah diterima akal yang waras. Cuma tahap ilmu itu berbeza-beza mengikut ketinggian akal. Ilmu-ilmu yang mudah difahami, tidak perlu daya akal yang tinggi begitu juga sebaliknya. Kerana itu hanya dengan pertimbangan akal sahaja manusia akan faham intipati sebenar Quran kerana ia adalah kitab untuk orang-orang yang menggunakan akal. Jangan biarkan hati kita miskin ilmu Quran.
Ada pula yang menggunakan Quran yang dipusakai ini dengan mencampur-baurkan dengan di antara yang benar mengikut logik akal dengan sesuatu bayangan yang tidak nyata. Mereka hanya pergunakan nama imam-imam terdahulu untuk menunjukkan hujah mereka benar mengikut Islam sedangkan bila dikaji, mereka sebenarnya mempergunakan agama untuk kepentingan duniawi. Pergunakan alasan menegakkan Quran dan Sunnah untuk berbangga-bangga yang mereka sahaja di pihak yang benar sedangkan perangai-perangai yang menyebabkan penyakit hati itu menjadi santapan jiwa.
Harta yang paling bernilai iaitu masa, tidak mereka pergunakan untuk meningkatkan keupayaan akal fikiran. Masa hanya digunakan untuk menyebar-nyebarkan keburukan orang lain dan mengutuk, mengkeji, mencela dan macam-macam perangai yang jelas jauh daripada ajaran Quran. Meraka mencinta diri mereka sehingga malas berfikir. Hidup hanya tahu makan dan tidur. Kemudian apabila Allah berikan tekanan dengan kenaikan harga barangan, mereka marah dan melenting.
21. Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut,
22. dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.
Janganlah lalai begitu sekali. Seperti sunnah umat terdahulu, Allah akan berikan kejutan demi kejutan sehingga kebenaran akan diperlihatkan. Ketika itu malaikat yang menyampaikan ilham untuk manusia yang berfikir akan datang berbaris-baris. Kerana bila ada sesuatu kejutan dalam diri, barulah manusia itu tersentak dan berfikir kenapa itu semua berlaku. Ketika itu barulah manusia itu akan sedar apa amalan yang telah mereka lakukan selama ini. Adakah mereka dari kalangan orang yang rajin berfikir sehingga tenang hidupnya dalam kesabaran, ataupun orang yang malas berfikir sehingga resah gelisah hidupnya. Setiap kali hati mereka tidak tenteram, mereka menyalahkan pemimpin sendiri tidak menyediakan kemudahan hidupnya sendiri. Betapa pemalasnya manusia itu.
23. Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya.
24. Dia mengatakan: “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini.”
Ketika tiba hari Kiamat, iaitu hari yang disediakan untuk mengejutkan hati yang sedang lalai dan leka untuk diperlihatkan apa yang tersembunyi dalam hati, manusia yang selama ini ada dengki dan khianat akan terseksa dengan azab panas hati. Kerana mereka tidak mempergunakan akal untuk menilai dengan waras, tetapi hidup dengan cara menurut dan taksub. Atas rasa menurut sesuatu puak atau kelompok manusia, mereka sudah rasa bagai di dalam syurga sehingga sanggup berpecah-belah sesama sendiri. Ketika sedang dalam api kemarahan itu dan kedengkian itu sudah tiada nilai untuk berfikir lagi. Syaitan telah menutup mata hati mereka sehingga terus menerus hidup dalam penuh kedengkian.
25. Maka pada hari itu tiada seorangpun yang menyiksa seperti siksa-Nya.
26. dan tiada seorangpun yang mengikat seperti ikatan-Nya.
Yang panas hati dan sakit hati, tidak seorang pun boleh lepas dari seksaan itu. Itulah seksaan sementara bernyawa di dunia, kelak di akhirat azab yang tidak terperi akan menanti. Akal mereka telah terbelenggu sehingga tidak mampu berfikiran jauh kerana selama ini beragama secara taksub dan mengikut telunjuk orang lain seolah-olah mereka terikat di tiang yang kaku. Siapakah yang boleh membuka ikatan atau belenggu akal ini jika Allah tidak izinkan?
27. Hai jiwa yang tenang.
28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.
29. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku,
30. masuklah ke dalam syurga-Ku.
Oleh itu sudah sampai masanya kita kembali kepada Allah dengan membawa jiwa yang tenang. Bila jiwa kita tenang, akal boleh berfikir panjang dan waras. Tidaklah melenting dan panas hati.
Kembalilah kita berfikir mengkaji dan menerokai ilmu-ilmu Allah yang luas tidak bersempadan ini. Kelak kekreatifan kita berfikir akan memberi rasa kepuasan. Sebab itu masyarakat Barat umpamanya boleh membuat bermacam-macam teknologi kerana kreatif berfikir. Sentiasa segar dengan idea-idea baru.
Jemaah hamba-hamba Allah bukannya manusia yang hanya sekadar berjemaah bersolat dalam keadaan lalai menjaga diri daripada penyakit hati dan leka untuk membangunkan pemikiran, tetapi jemaah yang rajin bermuzakarah memikirkan ilmu-ilmu Allah yang belum habis diterokai dan sentiasa berlapang dada bertukar-tukar pendapat. Terpulang masing-masing hendak guna pendapat yang dirasakan bernas. Mereka berfikir bukan hendak mencari-cari hukum yang menyusahkan hidup manusia, tetapi mencari penyelesaian terhadap permasalahan semasa.
Kerana ketenangan diri berfikir dan mengkaji Quran, jiwa yang tenang itu akan masuk ke dalam syurga Allah. Janji Allah adalah benar kepada insan yang berkorban masa mengkaji ilmu semata-mata takut akan azabNya di akhirat kelak.


























