Al Falaq (Waktu Subuh)

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh,

Subuh adalah perantaraan waktu dari malam (gelap) kepada siang (terang). Sama seperti orang yang baru berkesedaran untuk melakukan perubahan diri ke arah kebaikan. Ketika mula melakukan perubahan diri ke arah kebaikan, kita akan melalui pelbagai pertarungan dari syaitan yang suka membisikan keraguan. Syaitan ini suruh kita jangan berfikir agar kita tidak tahu menilai di antara baik atau buruk. Dengan itu kita mudah tertipu untuk memilih keburukan.

Untuk melawan syaitan ini, berlindunglah kepada Allah dengan cara membangunkan akal. Sekadar ucapan mulut sahaja memohon perlindunganNya sedangkan akal tidak dibangunkan, tidaklah kita akan ditolong. Allah tidak akan tolong kita, jika kita sendiri tidak menolong diri kita sendiri. Lihatlah nasib kita umat Islam sekarang walaupun mulut berbuih-buih berdoa, tetapi di sana-sini umat Islam diperkotak-katikkan. Di atas tanahair sendiri pun bangsa asing yang kita anggap kafir itu lebih berkuasa berbanding kita. Doa tanpa usaha untuk membijakkan generasi Islam, tidaklah Islam itu mampu digemilangkan dan disegani bangsa lain.

2. dari kejahatan makhluk-Nya,

Kita adalah makhluk Allah. Berlindunglah dengan Allah daripada kejahatan diri kita sendiri. Manusia itu akan mula berbuat jahat bila ada akal, tetapi tidak digunakan untuk berfikir secara waras dan rasional. Semua manusia bila akalnya sudah sempurna untuk menimbang dengan waras, dia secara fitrahnya akan memilih kebaikan. Namun bila akalnya memperlihatkan rasional untuk memilih kebaikan, ditolaknya akalnya sendiri, maka bermulalah episod kejahatan manusia itu. Ini kerana manusia itu tidak sedar yang menyebabkan dirinya sedar untuk membezakan di antara baik dan buruk adalah daripada hidayah Allah. Cahaya Allah inilah yang menyebabkan hati kita disinari sehingga kita tahu berfikir secara seimbang.
 
3. dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita,

Manusia yang merendahkan keupayaan akalnya akan gelap hatinya. Ini kerana jarak penglihatan mata hatinya tidak boleh pergi jauh (tidak berfikiran jauh) seperti mana kita berada dalam bilik yang gelap gelita. Lemahnya kita umat Islam kerana pembangunan minda tidak ditekankan sejak kecil lagi sehingga kita jadi manusia yang tidak berfikiran jauh. Maksud berfikiran jauh adalah berimaginasi sesuatu yang tidak terbayang tetapi logik untuk dilaksanakan. Akidah hanya diajar secara menurut membuta-tuli, bukannya dengan cara bereksperimen dan menerokai agar setiap individu Islam rasai sendiri Kekuasaan Allah. Kesannya, umat Islam jadi pemalas meneroka ilmu-ilmu baru. Hanya mengaharapkan subsidi dari ulama dan tok guru, kononnya dengan ikut cakap mereka sahaja, sudah layak kita masuk syurga.

Bila hati manusia itu buta, titian hidupnya hanya menggunakan pandangan zahir sahaja sehingga tidak kenal matlamat kenapa dia diciptakan sebagai manusia. Apa sahaja yang Allah tunjukkan buruk melalui mata zahirnya, baginya itu adalah suatu keburukan. Contohnya jika pemerintah terpaksa menaikkan harga barangan atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, maka manusia yang buta hatinya hanya tahu melepaskan kemarahannya kepada pemimpin sendiri. Mulalah mereka mengutuk dan mencaci-maki seolah-olah dirinya itu baik dan mulia.

Cuba kita renungkan, jika kita marah kepada sesuatu yang telah Allah takdirkan, tidakkah itu bermakna kita memarahi Allah? Layakkah kita sebagai manusia hendak marah Pencipta sendiri? Sedangkan dengan ibubapa pun kita tidak boleh mengherdik mereka, apakah patut kita memarahi Tuhan Maha Pemurah itu?

Setiap apa yang berlaku itu semua atas keizinan Allah. Sejahat mana orang lain, dia tidak mampu berbuat jahat kepada kita jika Allah tidak izinkan. Yang menyebabkan kita rasa sakit hati atau panas hati di atas perbuatan orang lain, kerana ada kezaliman dalam diri kita sendiri. Buat jahat dibalas jahat. Oleh itu berbanyakkan bertaubat agar dosa-dosa yang kita tidak sedari akan diampunkan. Tunduk merendah dirilah kepada Allah, agar hati kita ditenangkan. Sesungguhnya Allah Amat Baik kepada manusia yang berbuat baik. Semakin merendah diri, semakin jiwa kita ditenangkan. Sesungguhnya Dia Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

4. dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul,

Hiduplah dalam dunia yang nyata dan realistik. Bukannya terbuai-buai dalam kegemilangan Islam terdahulu. Kerana rasa terapung di awangan sebagai umat pilihan inilah kita menjadi umat yang lemah. Atas rasa diri sudah betul dan sudah layak masuk syurga kerana kad pengenalan kita tertera perkataan “Islam”, kita menjadi umat yang leka dan berbangga diri, sehingga tidak sedar bangsa-bangsa lain lebih maju tahap pemikirannya berbanding kita. Umat Islam sekarang hanya tahu hidup berpecah-belah atas perbezaan pendapat. Tidak boleh berbeza pendapat sikit, mulalah hendak bertelagah sesama sendiri. Bagaikan budak yang belum baligh lagi.

Berfikirlah secara logik dan nyata, seperti mana bila cahaya matahari memperlihatkan objek-objek yang kita lihat dengan nyata. Cahaya matahari bukan mewujudkan ilusi yang kosong, tetapi objek yang kita nampak itu boleh dirasai oleh sentuhan tangan kita. Seperti itu juga cahaya dalam hati kita akan memperlihatkan perkara-perkara ghaib pada mata zahir supaya mampu dilihat oleh mata hati kita. Sebagai contoh, kewujudan Allah itu biarpun mata kasar kita tidak melihatNya, namun Dia mampu kita rasai dengan sentuhan hati kita iaitu dengan melihat tanda-tanda KekuasaanNya di serata alam. Sentuhan hati ini dapat dirasai bila kita berfikir secara waras sebab tanda-tanda KekuasaanNya itu nyata dan mudah masuk akal sahaja. Tanda-tanda KekuasaanNya ini tidak mampu dirasai bila kita berfikiran cetek sehingga mata hati tertutup.

Begitu juga, berfikirlah secara logik dan nyata dalam beragama. Bukannya bergantung bayangan-bayangan kosong yang kita sendiri tidak memahaminya seperti mana tukang-tukang sihir bermain-main di hadapan buhul-buhulnya. Berekperimenlah mengkaji Quran agar kita merealisasikan ajarannya pada akhlak kita. Barulah kita faham apa erti syurga dan neraka. Barulah kita nampak logik kenapa Allah menyuruh atau melarang sesuatu perkara. Contohnya, pada ibadah solat sahaja ada macam-macam logik boleh kita fikirkan bila kita tahu bahawa ibadah ini sebenarnya untuk mempercepatkan pembangunan akal. Bila akal itu terbangun tinggi sehingga tahu membeza di antara baik atau buruk, mudahlah kita mencegah kemungkaran. Sebab itu dikatakan solat itu mampu mencegah kemungkaran. Tetapi jika bersolat seribu kali pun, tanpa dipertingkatkan keupayaan akal, tetaplah manusia itu akan mendapat kehidupan yang menghinakan.

Orang yang hatinya hina hanya suka menghina orang lain biarpun sealim mana pun perlakuan zahirnya. Kerana itu Allah tidak melihat zahir kita, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati. Berapa ramai manusia yang tertipu dengan pandangan zahir?

5. dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki.”

Kejahatan wujud di alam semesta ini apabila si iblis dengki melihat Adam diangkat sebagai khalifah dunia. Dia tidak mahu tunduk kepada manusia seperti mana sekelian yang ada pada alam ini sanggup tunduk kepada manusia. Manusia boleh menembusi angkasa sebab angkasa tunduk kepada manusia setelah Allah perintahkan mereka tunduk bila manusia itu mencapai logik yang ditentukan untuk naik ke angkasa.

Sebenarnya alam semesta ini mampu kita tundukkan apabila kita menjadi manusia yang betul-betul merendah-diri kepada Allah. Banyak perkara yang kita tidak mampu lakukan atas sebab dalam diri kita ada rasa ego. Baru Allah berikan secebis ilmu, sudah rasa bangga diri yang ilmu itu milik kita. Kita lalai bahawa segala kebijaksanaan yang kita perolehi datangnya daripada Allah. Jika bukannya Allah ilhamkan sesuatu kepada kita, kita ini tidak tahu apa-apa pun tentang dunia dan seisi alam ini. Bukankah Allah Maha Bijaksana yang mencipta semesta alam ini? Siapa kita hendak ego di hadapan Allah? Merendah dirilah kepadaNya biarpun seramai mana manusia membenci kita. Yang penting dalam hidup ini, jangan Allah membenci kita.

Jika Allah membenci kita (setelah kita membenciNya), hidup jadi resah dan tiada keceriaan lagi. Bukankah Allah yang memiliki segala nikmat dan kekayaan dalam dunia ini? Hendak hidup tenang atas dunia ini, janganlah dengki dengan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada orang lain. Kita pun ada bahagian nikmat daripadaNya asalkan kita menjadi orang-orang yang bersabar. Bersabarlah atas segala yang Allah tentukan dalam hidup kita. Jika kita miskin, tidak semestinya disebabkan kemiskinan itu kita tidak boleh hidup dalam keadaan damai dan bahagia.

Bangunkan akal dengan sentiasa mencari idea-idea agar kejayaan kita merealisasikan idea-idea memberikan kepuasan dalam hidup kita. Setiap idea itu ada logiknya tersendiri. Idea yang memberikan kebaikan kepada manusia sejagat itu akan menenangkan jiwa, sedangkan idea yang mencetuskan permusuhan sesama manusia akan merosakkan jiwa.

Bila akal terbangun, mata kita tidak kisah dengan nikmat yang Allah berikan kepada orang lain. Tiada dengki melihat pemimpin sendiri kaya-raya. Itu rezeki mereka. Kita kata tak pentingkan duniawi, tetapi bila tengok orang lain kaya, kita pula yang kuat berdengkinya.

Kita ada akal, gunakanlah ia untuk menggilap potensi diri. Perindahkanlah hidup kita dengan minat dan bakat yang Allah sediakan. Mana tahu dengan minat dan bakat itu Dia akan memurahkan rezeki. Ada orang nampak rezeki itu hanya pada duit dan pangkat semata-mata, tetapi jika kita menggunakan mata hati, ada lagi rezeki yang lebih hebat daripada duit itu, iaitu kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat sesuatu yang kita minat sehingga hati rasa puas. Itulah nikmat yang dicari oleh orang-orang yang beriman. Sampai kita rasa tidak cukup masa untuk membuat sesuatu yang menenangkan hidup.

Duit yang pergi boleh dicari, masa yang berlalu pergi tidak akan kembali. Jika kita sia-siakan masa hidup kita di dunia untuk hidup dalam keadaan hati yang gelap gulita, tidak berfikir logik seperti tukang sihir (sehingga hati jadi ragu-ragu) dan kuat berdengki, kelak kitalah yang akan menyesal. Sesal dahulu (di dunia) pendapatan, sesal kemudian (akhirat) tiada gunanya. Biarlah ketika di dunia ini kita akui keburukan diri kita sendiri supaya ada rasa untuk memperbaiki diri sendiri dengan membangunkan akal. Jangan di akhirat sana mula rasa diri itu hina kerana ada otak tidak mahu pakai. Tidaklah sama manusia yang membangunkan akal dengan manusia yang menurut membuta-tuli sehingga akalnya setaraf binatang ternak.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply