Al Ghaasyiyah (Peristiwa Yang Dahsyat)

1. Sudah datangkah kepadamu berita (tentang) hari pembalasan?

Apakah yang disebutkan hari pembalasan itu?
Ia adalah suatu hari di mana segala amalan manusia selama ini akan dibongkarkan. Sesungguhnya Allah Maha Menguasai hari pembalasan.

Bilakah kedatangan hari pembalasan ini?
Allah Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Kedatangan hari pembalasan ini setelah umat lalai membangunkan mentaliti sehingga setaraf binatang ternak atau lebih hina lagi. Umat sibuk bercakaran dan berpuak-puak sesama sendiri.

2. Banyak muka pada hari itu tunduk terhina,

3. bekerja keras lagi kepayahan,

4. memasuki api yang sangat panas (neraka),

5. diberi minum (dengan air) dari sumber yang sangat panas.

Banyak muka pada hari itu akan tunduk terhina akibat kedustaan-kedustaan yang mereka lakukan atas nama agama sehingga agama menjadi bahan ejek-ejekan. Mereka lalai menjaga agama dari yang sepatutnya kerana bermegah-megah kononnya mereka pejuang Islam dan penegak sunnah. Walhal mereka menjadikan agama untuk berpecah-belah. Akibatnya di atas dunia Allah membalas kelalaian umat Islam sekarang sehingga dihina oleh bangsa-bangsa yang lebih maju akal fikirannya.

Itulah balasan Allah kepada orang yang masih terapung di awangan dengan gelaran umat terbaik. Kita umat Islam lalai bahawa gelaran umat terbaik itu adalah ujian Allah terhadap setiap umat seperti yang berlaku kepada umat Yahudi yang perasan mereka juga umat terbaik ketika zaman Nabi Muhammad. Akibatnya Allah seksa mereka dengan azab yang tidak terperi. Dan janji Allah itu adalah benar. Kita sudah meniru perangai umat Yahudi dengan menjadikan agama untuk berpecah-belah. Padahal Islam mengajar kita ke arah kedamaian dan kasih-sayang.

Umat Islam bekerja keras dengan kepayahan. Diperhambakan di bumi sendiri oleh bangsa asing yang maju otaknya. Dan janji Allah ini adalah benar seperti yang kita alami sekarang dan kita boleh lihat depan mata kita.

Akibat berkerja dalam kepayahan, hidup kita penuh tertekan. Harga barangan naik kerana umat hanya mahu hidup bersenang-lenang dalam kemalasan. Tidak tahu mencipta teknologi, tetapi hanya mampu membeli. Akibat wang negara banyak keluar, rakyat sendiri yang rasa tertekan. Sedangkan bangsa-bangsa lain setiap hari mengkaji dan meneroka ilmu-ilmu Allah untuk mencipta pelbagai teknologi untuk kesenangan sesama manusia dan menjual teknologi tersebut untuk kesenangan mereka sendiri. Setiap yang berusaha, Allah akan balas usaha tersebut.

Apabila hidup dalam tertekan, umat Islam sekarang menjadi manusia yang kuat melenting, marah, memaki-hamun pemimpin sendiri, mengutuk orang, menyebar-nyebarkan fitnah dan segala perlakuan yang menyebabkan kerosakan hati. Itulah azab kepanasan hati seperti kita meminum air yang panas bagi orang yang hidup dengan melembabkan otaknya sendiri. Quran tidak dikaji atas alasan imam-imam terdahulu sudah tamat menerokanya. Betapa lemah dan menunjukkan kemalasan punya alasan yang diberikan. Ada pula yang kata Quran tidak boleh dikaji guna rasional akal kerana akal manusia terhad. Sedangkan hanya binatang ternak sahaja yang terhad akalnya. Adakah mereka mengakui diri mereka setaraf binatang ternak?

Manusia diberikan akal yang berkembang seperti penciptaan diri kita sendiri yang berkembang daripada segumpal darah menjadi tubuh yang sempurna. Kenapa semua ini tidak mahu difikir-fikirkan?

6. Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri,

7. yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.

Hati manusia yang melembabkan otaknya sendiri itu tidak merasai santapan Quran yang menenangkan hati, tetapi seruan Quran dirasakan bagai memakan pohon berduri. Pedih jiwa mereka bila mendengar seruan Quran ini. Bila hati mereka pedih, mulalah syaitan membakar mereka supaya melontarkan kata-kata amarah dan ejek-ejekan. Hilang pertimbangan akal yang waras. Hilang pengetahuan Quran yang dipelajari sebelum ini bagai hancurnya gunung-gunung berterbangan. Inilah yang kita boleh nampak depan mata kita, mereka yang diharap-harapkan menjaga kesucian agama lebih suka mewujudkan puak-puak yang kononnya puak dia sahaja ikut Quran dan Sunnah, walhal bila dilihat dengan mata hati, puak-puak ini hanya mewujudkan suku-suku di kalangan manusia. Sampai sesama adik-beradik boleh bermusuh-musuhan akibat perbezaan wadah politik.

Seruan Quran yang memedihkan hati mereka itu tidak menggemukkan hati dan tidak menghilang rasa lapar untuk menikmati keindahan Quran. Ini kerana walaupun sebelum ini mereka pernah belajar Quran, tetapi tidaklah mereka belajar, melainkan untuk perasan bangga diri yang dia memiliki ilmu agama yang tinggi sehingga sanggup menghukum orang itu tidak betul dan orang ini tidak Islamik. Kerja mereka belajar agama tinggi-tinggi hanya untuk menghukum orang sahaja kerjanya. Apakah mereka membuat penilaian menggunakan akal yang waras atau atas rasa sombong dan bangga diri? Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi berbangga diri.

8. Banyak muka pada hari itu berseri-seri,

9. merasa senang karena usahanya,

10. dalam syurga yang tinggi,

11. tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna.

Dan bagi orang-orang yang berusaha menjaga kesucian hati selama ini, kedatangan berita hari pembalasan itu suatu yang ditunggu-tunggu. Kerana kedatangan berita itulah yang akan menggembirakan hatinya bagi membuktikan apa yang mereka lakukan selama ini adalah benar walaupun selalu di pandang serong oleh masyarakat yang tertutup mata hatinya.

Mereka merasa senang atas usahanya sendiri selama ini dengan hidup tidak mengharapkan ehsan dan subsidi orang lain. Biarpun hidupnya sesusah mana, akal fikiran tetap digunakan untuk mencari-cari ilham membawa hidupnya ke arah kesempurnaan. Mereka bukannya hidup mengharapkan subsidi kerajaan. Mereka tidak melenting bila kerajaan tidak berikan subsidi, kerana pertolongan dan rahmat Allah adalah luas serata alam.

Hiduplah mereka dengan rasa tenang hati bagai di dalam syurga yang tinggi. Itulah kenikmatan syurga yang dapat dirasai sejak berada di atas dunia lagi. Di akhirat nanti, nikmat ini akan berkekalan bagi orang-orang yang berusaha membangunkan otaknya agar tidak setaraf binatang ternak yang tidak mampu mengkaji, meneroka, mencipta dan membuat teknologi-teknologi maju. Sama seperti umat Islam sekarang ini. Masih tidak sedar-sedar diri untuk bersama-sama berjuang melawan perasaan malas berfikir?

Dan kerana golongan beriman itu hidup dengan selalu berfikir untuk memajukan akal sendiri, kata-katanya bukan sesuatu yang kosong dan sia-sia. Tetapi memiliki makna dan hikmah tersendiri kerana kesucian hati mereka melayakkan ucapan mereka mengandungi Quran yang suci juga. Mereka membawa mesej dari Allah untuk menyeru umat manusia supaya kembali bersatu walaupun berbeza dari segi agama, bangsa, bahasa dan tempat tinggal. Kita adalah insan yang berasal dari Adam dan Hawa. Kenapa kita perlu hidup berpecah-belah? Bukankah syaitan sahaja yang suka manusia berpecah-belah?

12. Di dalamnya ada mata air yang mengalir.

13. Di dalamnya ada takhta-takhta yang ditinggikan,

14. dan gelas-gelas yang terletak (di dekatnya),

15. dan bantal-bantal sandaran yang tersusun,

16. dan permadani-permadani yang terhampar.

Insan yang berfikir dengan Quran mampu mensucikan hati kerana ilham-ilham yang Allah sampaikan serta dapat dirasakan kelogikan, bagai terasa seperti meminum air yang menyegarkan. Terasa sejuk dan damai dalam jiwa. Berbeza dengan orang yang celaka (yang menolak akalnya sendiri), bila diseru dengan Quran, mereka rasa seperti minum air panas. Menggelegak jiwanya.

Kerana berfikir dan meningkatkan keupayaan akal, hatinya jadi yakin dan tenteram. Kata-katanya mempersonakan manusia yang menggunakan akal. Allah akan angkat darjat atau takhta dirinya sehingga dipandang tinggi oleh masyarakat setelah masyarakat terbuka mata hatinya. Keadaan inilah yang berlaku kepada para Rasul terdahulu walaupun pada mulanya dihina dan dikeji, tetapi akhirnya disanjung tinggi, sampai ada yang mendewa-dewakan pula. Begitulah syaitan sentiasa menyesatkan manusia, bila manusia itu leka membangunkan akalnya.

Orang-orang yang berfikir sentiasa berlumba-lumba memajukan pemikiran untuk mencari idea-idea baru dan segar. Supaya hidupnya terasa sentiasa muda dan riang. Kerana itulah imam terdahulu yang sudah berusia sanggup merendah diri belajar agama dengan imam yang muda-muda supaya jiwanya sentiasa segar dengan idea-idea baru. Kesegaran jiwa akan menyebabkan wajah sentiasa muda. Mereka sentiasa berlapang dada dan tersenyum mendengar idea-idea baru dari generasi muda yang ada kelogikannya. Itulah jiwa yang tenang dan jauh dari penyakit berbangga diri. Mungkin sikap ini yang Pak Lah cuba hayati dengan menerima idea-idea menantunya walaupun ramai yang tidak menyukai. Mulalah mereka kata Pak Lah lemah kerana ikut cakap menantu. Sedangkan Rasulullah juga menerima-pakai idea-idea Ali (menantu & sahabat baginda) dalam perjuangan Islam. Begitulah Allah tunjukkan ada manusia cetek berfikir. Matanya hanya mencari kesalahan orang lain sahaja.

Tetapi tidak bagi orang yang rajin berfikir. Hidup mereka bukan untuk mengutuk dan mengkeji orang lain, tetapi untuk mencari kesenangan dan ketenangan diri. Hidup yang tenang akan dipermudahkan oleh Allah. Terasa seperti berehat di bantal-bantal sandaran walaupun hakikatnya teruk membanting tulang. Kerana ketika jasad bekerja, akalnya bergerak memikir Kehebatan Allah di segenap penjuru alam. Kelekaan berfikir akibat terasa nikmat menyebabkan jasad tidak terasa terbeban. Begitulah hebatnya kawalan psikologi yang Allah berikan kepada orang yang berfikir. Biarpun apa jua dugaan yang melanda, senyuman tetap tersedia, kerana balasan Allah itu lebih bernilai dari perhiasan dunia. Perhiasan dunia hanyalah fana. Sekaya mana manusia itu atau secantik mana wajahnya, sampai suatu masa akan hancur juga. Tetapi jiwa yang tenang dan damai membawa ke syurga yang kekal abadi. Itulah idaman jiwa yang merdeka. Merdeka dari kongkongan manusia yang mengada-adakan dusta atas nama agama.

Jiwa yang merdeka terasa Allah dekat padanya. Setiap kesusahan dan dugaan yang tiba, kepada Allah dia mengadu. Kerana Allah sentiasa menyediakan permaidani merah menyambut kedatangan hamba-hambaNya yang ikhlas berjuang. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia tidak akan persia-siakan usaha manusia yang berjuang keranaNya. Berjuang membangunkan minda sehingga terasa ketenangan diri dan menyeru manusia lain turut bereksperimen seperti yang dia rasai. Dan hanya orang-orang yang beriman kepada pertemuan dengan Allah sahaja akan mempercayai apa yang disampaikan oleh orang yang berjuang itu.

17. Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan,

Cuba kita lihat unta yang dijadikan tunggangan. Ditarik dengan tali yang diikat di kepalanya mengikut ke mana agar tujuan tuannya. Begitulah perumpamaan manusia yang merendahkan keupayaan akalnya sendiri sehingga setaraf binatang ternak atau lebih hina lagi.

Cuba kita buka mata luas-luas melihat nasib umat Islam yang diperuntakan di sana-sini. Kita ditarik ke mana suka oleh manusia yang Allah bagi tahap kebijaksanaannya lebih dari kita. Masih lagi mahu perasan sebagai umat terbaik?

18. Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?

Langit umpama akal kita. Allah meninggikan langit dengan pengembangan yang tiada henti selagi hari kehancuran tidak tiba. Begitulah kita perlu tinggikan mentaliti tanpa batas kerana ilmu Allah luas. Mengatakan akal manusia adalah terhad menunjukkan kita seorang yang memperkecil-kecilkan ciptaan Allah yang menciptakan kita sebaik-baik kejadian. Tiada disebutkan di dalam Quran yang akal manusia ini terbatas. Manusia yang malas berfikir itu sahaja yang sengaja membuat alasan dan tipu-daya. Dan tipu-daya syaitan adalah lemah.

Orang yang berdusta dan membelakangi Allah, kelak akan diazab dengan tekanan hidup. Allah akan sempitkan hidupnya setelah amanah Allah diabaikan. Dan janji Allah adalah benar. Siapa tuhan selain Allah yang mampu melindungi kita daripada azabNya yang keras? Kelak setiap jiwa akan tahu apa yang diperbuatnya.

19. Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan?

Gunung-gunung adalah pasak kepada bumi. Gunung ilmu akan menjadi pasak bagi hati agar kita semakin yakin pada diri. Hati kita tidak bergoncang dengan keraguan. Rasa hidup semakin lapang, tenang dan dipermudahkan.

Dan manusia yang berilmu, Allah akan tegakkan kekuasaan diri sebagai khalifah bumi. Amerika Syarikat telah Allah berikan kekuasaan pada bumi sekarang ini kerana mereka adalah umat yang memahami kepentingan membangunkan akal fikiran. Mereka telah menjadi tuan kepada manusia yang membodohkan diri sendiri dengan beragama secara taksub dan menurut sahaja.

Sama seperti orang-orang Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah yang berbangga dia mereka adalah umat pilihan Tuhan, dan memperkecil-kecilkan kerasulan Muhammad dari keturunan Arab jahiliyah. Serupa seperti perangai umat Islam sekarang yang perasan sebagai umat pilihan yang nyatanya sekarang kita setaraf binatang ternak. Ada sumber minyak pun tidak tahu hendak digunakan. Tetapi diperebut-rebut untuk kepentingan sendiri.

20. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Bumi yang terhampar mewujudkan suasana yang lapang. Begitulah juga dengan hati yang Allah hampar luas, akan terasa tenang dan berlapang dada. Sebab itu orang yang tinggi akalnya mudah berlapang dada mendengar pendapat-pendapat yang bernas dari orang lain tanpa rasa dengki dan iri hati.

Tetapi bagi orang-orang yang malas berfikir, biarpun dia diberikan seruan yang mengandungi logik yang waras, tetap dia tidak memahami pengajarannya malah akan diejek-ejeknya penyeru tersebut. Ini kerana dia tidak beragama mengikut logik, tetapi secara menurut. Bila menurut membuta-tuli, dia tidak terbuka dengan perbezaan pendapat. Maka dilabel-labelkan golongan yang berbeza pendapat dengan dia sebagai tidak Islamik dan sebagainya. Betapa sombongnya manusia yang suka hidup berpuak-puak itu.

21. Maka berilah peringatan, karena sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.

22. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka,

Sesungguhnya apa yang disampaikan ini adalah penyambung peringatan rasul-rasul terdahulu setelah melihat anak bangsa dan umat menjadi mangsa tipu daya syaitan. Syaitan yang tersembunyi dalam hati masing-masing. Syaitan yang membisikkan keraguan agar perjuangan Allah dijauhkan atas dasar mengejar kenikmatan duniawi.

Perjuangan Allah adalah perjuangan membangunkan akal fikiran. Bila akal tinggi tahapnya, mudahlah kita untuk menimbang dengan rasional. Bila sesuatu mudah diterima akal yang waras, hati jadi tenang. Ketenangan akan meningkatkan kesabaran. Kesabaran menjauhkan diri dari hidup yang tertekan. Bila hidup tidak tertekan, tiada perasaan marah, mengutuk, mencaci-maki, menyebarkan fitnah seterusnya bermusuh-musuhan. Hiduplah manusia dengan harmoni dan kedamaian.

Namun tawaran Allah untuk kita sama-sama berjuang menyebarkan kedamaian bukanlah paksaan. Ia disampaikan kepada yang ada keikhlasan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dengan meninggalkan hidup yang penuh tekanan. Kerana manusia tidak boleh lari daripada Tuhan. Sejauh mana dia lari, sekuat itulah hatinya akan tertekan. Dunia yang luas dirasakan sempit. Hatinya akan resah dan gelisah.

Sesungguhnya Allah-lah Yang Berkuasa terhadap semua jiwa manusia. Apakah kita mampu mendustai Allah? Adakah sanggup kita mengabaikan amanah yang ditawarkan kerana mengikut bisikan syaitan? Bukankah Allah yang telah menjadikan kita ini dari selemah-lemah kejadian sehingga diperkuatkan seperti sekarang dengan rahmat dan kasih-sayangNya. Bagaimana manusia itu begitu sekali melupakan Tuhannya sendiri?

24. maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang besar.

Apabila tawaran Allah berikan untuk menjaga amanahNya agar akal dibangunkan telah ditolak, tunggulah janji Allah untuk mengazab manusia yang lebih rela hidup bersama syaitan dalam hatinya sendiri. Bukankah seruan terdahulu yang didustai akan disusuli dengan azab Allah? Berapa ramai kaum yang lebih kuat daripada kita telah Allah hancurkan dengan sekelip mata? Bukankah tsunami telah melanda di sebuah tempat yang masyarakatnya berbunuh-bunuh berebut kuasa atas alasan menegahkan hukum Allah di atas muka bumi? Tegakkan hukum Allah pada diri sendiri dahulu iaitu menjauhi segala penyakit hati. Hati boleh jauh daripada penyakit apabila keupayaan akal dipertingkatkan dengan tahu membeza pasangan-pasangan logik seperti baik atau buruk.

Gunakanlah masa dan akal untuk berfikir panjang sebelum tawaran Allah ini ditolak. Kelak, kita akan dihumban ke neraka yang bergejolak. Apakah kerana dunia yang sementara ini kita sanggup jual kenikmatan syurga yang berkekalan? Bagaimana manusia itu boleh dipalingkan?

25. Sesungguhnya kepada Kami-lah kembali mereka,

26. kemudian sesungguhnya kewajiban Kami-lah menghisab mereka.

Sejauh manapun manusia itu berpaling, mereka tidak mungkin boleh lari daripada pemerhatian Allah. Mereka boleh menipu pandangan manusia, tetapi apakah yang tersembunyi dalam hati itu tidak Allah lihat? Bagaimana mereka boleh menipu Allah sedangkan urat jantungnya sendiri dalam genggamanNya? Bukankah debaran dan tekanan yang dirasai kerana mendustai Allah?

Sampai bila masa harus diabaikan dengan mengejar dunia yang selalu menipu manusia yang tertutup mata hatinya? Kelak kita semua akan kembali kepada Allah dan akan dihisab apa yang telah kita kerjakan. Amalan-amalan yang menenangkan jiwa membawa berkat sehingga ke syurga. Dan segala tipu-daya syaitan akan menyebabkan kita merasai hidup yang sengsara sejak di dunia. Kelak di akhirat amat berat lagi azabNya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

One Response to “Al Ghaasyiyah (Peristiwa Yang Dahsyat)”

  1. Adila Says:

    Allah telah berikan 2 jalan kepada kita. Kitalah yang memilih jalan mana yang kita mahu.

    Setiap jalan yang dipilih akan melalui hari pembalasan dengan berbeza.

    Digambarkan dengan jelas bagi mereka yang mendapat keredhaan Allah dan sebaliknya .

    Seperti di dunia ini kita sukakan suasana segar di tepi sungai. Melihat air yang mengalir tenang. Di situ ada kedamaian dan ketenangan.

    Kita juga sukakan keempukan bantal. Makin lembut makin seronok dipeluk. Lena sampai ke pagi…dan permaidani yang bulunya lembut dan gebu. Lembut je bila berpijak…

    Begitu kita sukakan semua ini di dunia, di sana Allah bagi yang lebih indah dari yang kita rasai di dunia ini.

    Surah ni banyak memperkatakan tentang alam ini. Tentang langit, bumi, gunung dan unta. Segalanya ada kaitan yang dekat dengan diri kita. Lihat ke dalam diri setelah merenung alam sekeliling, kita akan rasa betapa kaitan kita dengan alam ini terlalu dekat.

Leave a Reply