Al Ikhlas (Memurnikan Keesaan Allah)
1. Katakanlah: “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
Sejauh manakah kita mengakui sepenuh hati Keesaan Allah? Adakah setakat kita tahu yang Allah itu Masa Esa, tetapi kehidupan kita tidak pun diterjemahkan untuk menunjukkan bahawa kita benar-benar merasai sifat KeesaanNya? Umpamanya bila diajak mengkaji Quran dengan menggunakan keupayaan akal sendiri, ada manusia yang mengaku Islam tetapi menolak ajakan ini. Mereka mengatakan Quran hanya mampu difahami jika berguru dengan tok guru atau guna riwayat hadith. Jika tidak guna riwayat hadith, maka mereka labelkan sebagai anti-hadith. Mereka tidak yakin bahawa yang benar-benar mengetahui pasal Quran adalah Allah bukan dengan bergantung kepada selainNya.
Jika kita berfikir secara logik, Nabi Muhammad sendiri pun dapat Quran hanya bergantung harap kepada Allah, bukan mana-mana tok guru ajaran kitab terdahulu, atau pun menggunakan riwayat atas nama orang terdahulu untuk menunjukkan kata-kata baginda adalah benar.
Nabi Muhammad menyampaikan Quran dengan nyata dan tegas tanpa rasa ragu-ragu kerana baginda bergantung kepada logik yang telah baginda nampak dan rasai sendiri. Sebab itu baginda berupaya mempraktikkan kebenaran Quran sebelum menyampaikannya. Bukan dengan cara menyuruh orang itu dan ini buat hukum-hukum Islam, sedangkan dalam diri sendiri hati penuh penyakit. Selagi kita sendiri tidak mengamalkan apa yang kita cakap, adalah lebih baik kita senyap sahaja, kerana Allah tidak menyukai orang yang cakap tak serupa bikin.
Lemahnya kita umat Islam sekarang kerana banyak bercakap dari melaksanakan Islam. Cakap berapi-api pasal Islam, tetapi ajak manusia berpecah-belah, ajak manusia ke arah ketaksuban sehingga penganut Islam tidak dilihat seperti insan, sebaliknya seperti haiwan yang suka bercakaran. Atas kesalahan kita sendirilah imej Islam tercalar teruk dan Nabi Muhammad dihina. Malangnya bila orang Barat membuat provokasi perihal Nabi Muhammad, kita pula yang lebih-lebih melenting dan mengamuk. Kononnya dengan amukan itu kita sudah membersihkan nama baginda.
Nabi Muhammad sendiri boleh bersabar biar pun diejek dan dicela ketika menyampaikan dakwah, kenapa pula kita yang melenting lebih-lebih? Bukankah ada baiknya kita sama-sama perindahkan akhlak diri agar keindahan Islam dapat direalisasikan? Kita cakap Islam itu indah, tetapi kita sendiri menunjukkan contoh perangai yang buruk, malas berfikir, kekeringan idea, suka percaya kepada berita fitnah, suka memburuk-buruk peribadi orang lain, suka menghukum orang lain dan bermacam-macam lagilah perangai buruk kita umat Islam.
Apa bukti kita mengakui Keesaan Allah jika hendak menerokai Quran pun terpaksa bergantung nama orang lain?
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
Kita adalah makhluk Allah. KepadaNya sahaja kita bergantung hidup. Allah sediakan akal sebagai tali untuk kita bergantung kepadaNya. Kerana itu manusia ada otak yang keupayaannya bertaraf super komputer dan mampu berkembang tanpa had. Penemuan pelbagai ilmu-ilmu baru membuktikan otak manusia ini mampu berkembang sesuai mengikut peredaran zaman. Yang menyedihkan kebanyakan ilmu-ilmu baru sekarang hanya diterokai oleh orang bukan Islam, kerana umat Islam sekarang beragama secara taksub dan menurut sahaja. Tidak suka mengkaji dan meneroka. Beragama sekadar berpegang pada pendapat lama sahaja sampai sering sahaja nama-nama imam terdahulu digunakan untuk membuktikan kata-katanya benar. Jika Quran sebagai kitab pegangan pun tidak diterokai mengikut perspektif semasa, bagaimanalah hendak melahirkan generasi Islam yang suka mengkaji dan meneroka ilmu Allah yang tujuh lautan di dunia ini pun belum cukup menulis keseluruhan ilmuNya.
Adakalanya kita menjadi hairan bagaimana boleh ada manusia yang sebelum ini bercakap-cakap pasal agama berdentam-dentum, kutuk orang sana tak betul, orang sini tidak Islamik, alih-alih bila dikatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak mengajar kita untuk memahami Quran, mereka jadi tidak percaya Kekuasaan Allah. Bagi mereka Quran itu perlulah dikaji di pusat-pusat pengajian sahaja. Quran hanya dalam bahasa Arab sahaja, jika bukan bahasa Arab, itu bukannya Quran. Adakah mereka sudah menjadi seperti orang-orang Yahudi yang menganggap Rasul hanya perlu dari kalangan keturunan mereka sahaja?
Atas Kekuasaan Allah sahajalah Dia hendak memberi petunjuk dan hidayah. Bila manusia itu ada keinginan memperbaiki dirinya sendiri dengan membangunkan mentaliti, maka sampailah hidayah Allah itu. Cukup mudah sahaja manusia itu hendak menerima hidayahNya. Antara mahu atau tidak mahu sahaja yang membezakannya. Orang yang tidak mahu, dia akan membuat seribu satu macam dalih untuk menolaknya. Tetapi jika hati itu ada kemahuan, tidak payah disuruh, dia akan tahu apa yang harus dilakukan untuk mengejar cinta Allah.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
Seperti yang pernah terjadi kepada umat-umat terdahulu, kerana taksubnya mereka kepada seseorang hamba Allah, mereka mendewa-dewakan hamba-hamba Allah ini sebagai seseorang yang harus dijadikan pergantungan selain Allah. Mereka seolah-olah anggap hamba-hamba soleh itu seperti “anak” kepada Allah. Ada antara mereka menganggap riwayat-riwayat hadith Bukhari dan Muslim itu boleh menyebabkan manusia itu fahami Quran, bukannya Kekuasaan Allah yang menyampaikan ilham-ilhamNya melalui akal manusia. Bila begitu sekali tahap taksub manusia itu, mereka jadi tidak boleh berfikir lagi. Bagi mereka cukuplah sekadar menuruti pendapat-pendapat atas nama imam-imam terdahulu yang mereka sendiri tidak berani hendak bertanggungjawab benarkah kata-kata itu diucapkan oleh imam terdahulu. Kesannya, umat Islam jadi lembab berfikir dan malas mengkaji ilmu-ilmu baru.
Ada pula yang memperkecilkan Kekuasaan Allah untuk memberikan petunjuk seolah-olah Allah itu anak kepada manusia yang mereka dewa-dewakan itu. Mereka kata Quran tidak perlu dikaji lagi kerana ulama-ulama terdahulu sudah habis mengkajinya. Mereka hanya suruh menurut sahaja membuta-tuli. Adakah Kekuasaan Allah yang menggerakkan bumi ini terhad dengan kata-kata ulama tersebut? Sedangkan Nabi Muhammad sendiri tidak tahu perkara-perkara ghaib bila akan terjadinya hari Kiamat. Baginda boleh predict perihal Kiamat pun berdasarkan sunnah dan logik. Tetapi bila akan terjadi hari Kiamat itu tetap dalam Kekuasaan Allah.
4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”
Oleh itu marilah kita kembali mentauhidkan Allah. Pengertian tauhid adalah kita meletakkan pergantungan yang teratas hanya kepada Allah dalam seluruh hidup kita. Hendak fahami Quran, letakkan pergantungan kita kepada Allah iaitu dengan yakin pada keupayaan akal sendiri. Barulah kita rasa rajin hendak mengkaji Quran dan bermuzakarah dengan manusia yang satu fikiran, seperti mana Rasulullah juga bermuzakarah dengan para sahabatnya. Masalahnya sekarang orang kita suka bermuzakarah dalam perihal memburuk-burukkan perihal orang lain, bersembang berjam-jam pasal politik di kedai-kedai kopi, menyebarkan fitnah dan gossip liar. Tetapi bila diajak bermuzakarah untuk memberi idea masing-masing pasal Quran, macam-macam pula alasannya.
Adakah kita hendak membayar segala kenikmatan hidup yang Allah berikan dengan alasan-alasan itu? Sedangkan Allah Maha Pemurah tidak beralasan pun hendak memberikan kenikmatan itu. Dia memberikan nikmat tersebut tanpa kita sedari. Betapa manusia itu suka lalai mensyukuri nikmatNya.
Janganlah beragama dengan bergantung pada nama orang-orang tertentu untuk menunjukkan kita berkata benar. Kebenaran itu dinilai oleh akal yang waras. Cukup bukti yang logik dan masuk akal, benarlah kata-kata manusia itu. Sekadar menggunakan nama-nama imam terdahulu belum tentu lagi kita berkata benar. Apatah lagi kata-kata imam terdahulu itu digunakan bukan pada tempat yang dimaksudkan sehingga umat menjadi berpecah-belah dan bertelagah sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kita kerjakan. Dan adakah hidup kita akan tenang jika kita bergantung kepada selainNya?


























