Al Infithaar (Terbelah)
1. Apabila langit terbelah,
2. dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan,
3. dan apabila lautan menjadikan meluap,
4. dan apabila kuburan-kuburan dibongkar,
5. maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikannya.
Apabila sampai suatu masa di mana umat sudah malas berfikir bagaikan otak sudah terbelah, sudah tidak ada idea baru untuk kebaikan sesama manusia bagaikan bintang-bintang berguguran, suka meluapkan darah sendiri kerana suka hidup dalam amarah, akan tibalah suatu hari di mana segala yang tersembunyi dalam hati akan dibongkarkan. Pada waktu itu, yang zahir nampak baik rupa-rupanya pembelit sedangkan yang sengkek rupanya punyai jiwa yang baik. Setiap jiwa mengetahui apa yang telah dikerjakan selama ini dan apa yang dilalaikan. Umat sudah lalai membangunkan pemikiran sehingga jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Hidup hanya tahu berpecah-belah berebut kerusi pemerintahan. Quran bukan digunakan untuk mewujudkan keharmonian, tetapi mewujudkan permusuhan.
6. Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Apakah yang menyebabkan umat Islam jadi lemah sedemikian rupa? Apakah yang telah memperdayakan kita sehingga tidak kenal Kekuasaan Allah? Kenapa Quran tidak dikaji dan diterokai agar minda umat sentiasa dibangunkan dan berpijak pada realiti? Bukan dengan bergantung harap pada pandangan-pandangan silam yang sudah tidak nampak kelogikannya. Kenapa tidak difahami Quran ini mengikut apa yang nyata wujud depan mata?
Ada pula yang mengatakan Quran kena difahami guna riwayat-riwayat hadith atau pendapat imam-imam terdahulu. Ada pula mengatakan Quran perlu dipelajari dengan guru semata-mata. Di ada-adakan alasan bahawa mengkaji Quran tanpa guru akan sesat sedangkan bila disebut “mengkaji” itu kita menggunakan imbangan akal yang waras. Adakah orang yang menggunakan akal itu sesat atau orang yang menggunakan nafsu itu sesat?
7. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang,
8. dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.
Bukankah diri kita sendiri disempurnakan kejadian oleh Allah Maha Bijaksana. Di seimbangkan tubuh kita ini agar otak kita boleh menilai dengan neraca yang adil. Jadi adakah suatu yang tidak logik jika Allah sendiri ajar kita Quran iaitu dengan cara kita berfikir mencari ilham-ilham yang jelas dan benar untuk diterima oleh akal yang waras. Kalau ditolaknya mengkaji Quran dengan rasional akal yang waras, bukankah bermakna orang itu mengkaji Quran secara membuta-tuli mengikut nafsu? Bagaikan binatang ternak yang menyondol sahaja. Sebab itu hidup umat Islam sekarang dibuli bagaikan binatang yang tidak memahami.
9. Bukan hanya durhaka saja, bahkan kamu mendustakan hari pembalasan.
10. Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),
11. yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),
12. mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Mereka yang menolak akal mereka sendiri untuk memahami Quran bukan sahaja durhaka dengan suruhan Allah agar manusia itu membangun pemikiran agar tidak setaraf binatang ternak, malah mereka mendustai hari pembalasan. Mereka tidak percaya bahawa dengan cara menyebarkan fitnah, memaki-hamun, caci-mencela, kutuk-mengeji itu semua akan dibalas dengan rasa kepanasan hati sehingga manusia akan hidup bermusuh-musuhan.
Bukankah perkara-perkara itu semua akan diingati oleh otak kita sendiri untuk mencatat segala perlakuan dan apa yang dikerjakan? Otak manusia ini umpama kotak hitam yang ada dalam pesawat penerbangan. Segala data pergerakan tubuh badan kita dirakam dalam otak yang mulia ini. Bukankah otak manusia ini sebaik-baik kejadian untuk membezakan kita dengan haiwan?
13. Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan,
Lihat bangsa-bangsa yang berbakti pada diri sendiri dengan membangunkan pemikiran sehingga mampu mendapat idea-idea baru untuk kesenangan hidup manusia. Mereka diberikan kenikmatan hidup dengan aman dan makmur. Tenang mereka cipta pelbagai teknologi yang sebelum ini pelik dan ghaib dari pandangan. Lihat bangsa mana yang mencipta teknologi komputer ini? Di mana kedudukan umat Islam yang perasan terbaik ini dalam penciptaan-penciptaan baru?
14. dan sesungguhnya orang-orang yang durhaka benar-benar berada dalam neraka.
Umat Islam sekarang rata-rata sudah menjadi umat yang durhaka dengan suruhan Allah agar minda dibangunkan supaya hati menjadi mulia. Kerana perasan sebagai umat pilihan Tuhan, kita hidup bagai di neraka. Hati panas membara suka berpecah-belah. Fitnah disebarkan di sana-sini bagaikan tidak percaya ancaman neraka yang disediakan. Semuanya gara-gara berebut kerusi pemerintahan. Bukalah mata kita luas-luas dengan membandingkan nasib umat Islam dengan bangsa-bangsa lain yang sedar kepentingan membangunkan pemikiran. Tiada lagi golongan ulul albab di kalangan umat kerana rata-rata kita berotak lembab. Tidak mampu mencipta teknologi-teknologi baru sedangkan Allah sendiri Maha Pencipta.
15. Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan.
16. Dan mereka sekali-kali tidak dapat keluar dari neraka itu.
Orang yang menolak otaknya sehingga jadi lembab berfikir, mereka akan hidup dengan perasaan panas hati bila hidup mereka tersepit. Pandangan matanya hanya tahu menyalahkan orang lain atas kesusahan sendiri. Sedangkan balasan kesusahan itu atas kelalaian sendiri membangunkan pemikiran.
Selagi mereka tidak berubah untuk sedar diri dengan membangunkan akal fikiran, selagi itulah mereka tidak boleh keluar daripada kehidupan yang panas hati lagi suka keji-mengkeji. Jika di atas dunia pun sudah hidup dengan amarah syaitan itu, bukankah bermakna di akhirat kelak ke neraka jawapnya?
17. Tahukah kamu apakah hari pembalasan itu?
18. Sekali lagi, tahukah kamu apakah hari pembalasan itu?
19. (Yaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah.
Apakah sudah tiba hari pembalasan ini bila setiap manusia tidak mampu menolong menasihat orang lain untuk mengubah nasib mereka? Umat Islam tidak mampu mengeluarkan dari kehidupan yang terhimpit melainkan kita yang menolong diri kita sendiri. Sesungguhnya Allah sahaja yang boleh membantukan bila kita membangunkan pemikiran agar petunjuk-petunjuk Allah mudah dikenali. Tetapi bagi yang terus memilih untuk lalai dan leka kerana terpesona dengan kemewahan dunia dan mengejar kuasa pemerintahan, siapakah yang boleh mengubah hati mereka?


























