Al Insyiqaaq (Terbelah)
1. Apabila langit terbelah,
2. dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya langit itu patuh,
Langit terbelah umpama keadaan seseorang mendapat sesuatu kejutan dalam hidupnya sehingga ia berfikir panjang. Terbuka minda untuk memikirkan sesuatu. Tidak pernah Allah berikan kejutan sedemikan rupa sebelum ini kerana selama ini manusia itu hidup dalam keadaan lalai. Sudah pasti kejutan itu akan menyebabkan manusia itu berfikir seperti mana langit yang terbelah itu patuh kepada Allah. Ketika hari terjadinya kejutan itu, amanah Allah disampaikan kepada manusia tersebut. Terpulanglah untuk dia berfikir dengan waras untuk menerima amanah Allah, atas mengabaikannya seperti yang telah diabaikan sebelum ini. Terlepaslah peluang begitu sahaja.
Kelak setiap manusia akan dipertanggungjawab terhadap apa yang telah dia pilih. Menolak kebenaran, pasti menjadikan sesuatu jiwa itu gelisah. Kerana kebenaran itu milik Allah. Bagaimana manusia itu sanggup menolak amanah Allah?
3. dan apabila bumi diratakan,
4. dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong,
5. dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya bumi itu patuh, (pada waktu itu manusia akan mengetahui akibat perbuatannya).
Keadaan bumi diratakan dan dilemparkan di dalamnya adalah perumpamaan bagi manusia yang ada ilmu tetapi ilmu itu tidak digunakan untuk mengajak manusia ke arah mentauhidkan Allah. Ilmu itu digunakan untuk berpecah-belah sesama manusia. Akan dilemparkan apa di dalam hati sehingga terbongkar segala penyakit hati selama ini. Ada yang zahirnya nampak warak, tetapi dalam hati penuh gejolak. Sesungguhnya bila Allah tetapkan terjadi sesuatu, akan terjadilah apa yang Allah tentukan.
6. Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.
Sebenarnya kehidupan kita ini adalah menuju kepada Allah. Sama ada kita sedar atau tidak, memang telah ditakdirkan kita akan menemui Allah. Namun ia bergantung atas keikhlasan manusia itu sendiri untuk memikirkan hari-hari yang mendatang. Jika menolak amanah Allah, pasti dia akan takut menghadapi mati walau hakikatnya kita tidak boleh menolak mati. Tetapi bagi yang redha dan berserah diri kepadaNya, perjalanan menuju kepadaNya bukan dirasakan sebagai beban, tetapi sebagai harapan. Hidupnya penuh berharap-harap kepada Tuhan agar sentiasa dipermudahkan dan diberikan ketenangan jiwa. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
7. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya,
8. maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,
9. dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.
Manusia yang menggunakan akalnya sebagai orang kanannya (pembantu) pasti akan melepasi ujian Allah dengan mudah. Kerana otak yang waras akan memudahkan manusia mengharungi hidup dengan selamat. Kelak di akhirat akal ini yang menjadi kitab yang sentiasa berada di kanannya.
Cuba kita fikir kesan kepada manusia yang menolak akalnya atau orang yang tidak waras akalnya. Bagaimana mereka hendak mentadbir diri dengan adil? Bagaimana mereka hendak mentadbir bumi ini sebagai khalifah yang adil? Jadi patutkah manusia itu membuat-buat alasan mengatakan Quran tidak boleh difahami dengan menggunakan akal. Kena turut membuta tuli sahaja dalam mempelajari Quran.
Kita semakin nampak kenapa hidup umat Islam menjadi tertekan dan sempit kerana agama diajar tanpa mengambil kira pembangunan minda. Tidak diasuh generasi muda untuk meneroka dan mengkaji Quran dengan bereksperimen guna logik akal sendiri atas alasan nanti sesat, sedangkan di dalam Quran sendiri mengajar kita yakin kepada Allah tempat kita bergantung harap. Mungkin kerana itulah generasi muda hilang keyakinan diri terhadap agama sendiri.
Keyakinan yang jitu datang bila otak kita nampak logik sesuatu ajaran Quran. Bukan dipaksa percaya dengan buat-buat. Nak bagi kita yakin, kita kena berfikir agar otak kita mencapai kewarasan berdasarkan bukti-bukti yang nyata. Bukan dibayang-bayangkan sesuatu yang tidak nampak dalam kepala otak kita. Bila akal kita nampak logik itu, mata hati kita akan terbuka. Orang yang terbuka mata hati lebih yakin harungi hidup berbanding orang yang buta hati yang teraba-raba mencari jalan.
Bila kita menggunakan logik akal, Allah akan berikan kegembiraan dalam hidup kita. Setiap saat berfikir mencari idea untuk menghibur jiwa. Terasa tenang dan damai sahaja kehidupan ini. Tidak gentar menghadapi mati kerana amanahNya telah disambut dengan penuh redha. Sentiasa pasrah terhadap ketentuan Ilahi. Dia Tuhan Yang Agung lagi Maha Mulia.
10. Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang,
11. maka dia akan berteriak: “Celakalah aku.”
12. Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).
13. Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir).
14. Sesungguhnya dia menyangka bahwa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).
15. (Bukan demikian), yang benar, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.
Sebaliknya bagi orang yang membelakangi kewarasan akalnya sendiri walaupun dia sendiri akui beza kebenaran dan kesesatan, akan merasa celaka dalam hidupnya. Seperti kita tahu kebenaran 1+1=2, tetapi sengaja memilih alasan kosong bahawa 1+1=5. Sudah pasti hati kita akan jadi ragu-ragu. Bila hati tidak yakin, rasa debaran dan resah akan menyelubungi. Itulah yang dirasai oleh manusia yang menolak amanah Allah yang telah tunjukkan kebenaran pada akalnya sendiri.
Akibat mahu hidup bergembira dalam kelalaian bersama kaumnya dan tidak yakin akan menemui Tuhannya, dia sanggup menolak amanah Allah. Kenapa begitu sekali sombong manusia itu menolak untuk membantu agama Allah? Apakah syaitan itu lebih bernilai daripada rahmat Allah? Bukankah Allah sentiasa melihat apa yang tersembunyi dalam hati? Allah yang memegang urat jantung kita yang menyebabkan debaran akan terus dirasai sehingga kita mati. Kelak di akhirat, apa yang kita praktis di dunia akan dirasakan dengan azab tidak terperi lagi.
16. Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja,
17. dan dengan malam dan apa yang diselubunginya,
Waktu senja adalah gambaran perumpamaan manusia yang mata hatinya hampir tertutup. Biarpun dirinya mengakui hakikat kebenaran, tetapi akibat menolak kebenaran yang dicapai oleh akalnya sendiri, Allah akan menarik manusia itu ke arah kegelapan hati secara beransur-ansur.
Wajahnya akan kehilangan seri dan nampak kemuraman seperti suasana muram di waktu senja. Sehingga suatu hari nanti hatinya akan diselubungi kegelapan. Ketika itu hilanglah kebahagiaan dalam hidup biarpun macam mana dia usahakan untuk memulihkan. Kerana hidup kita hanya perlu patuh dan tunduk kepada Allah. Bagaimana syaitan yang dituruti itu mampu membawa manusia hidup dalam ketenangan? Dan janji Allah adalah benar.
18. dan dengan bulan apabila jadi purnama,
19. sesungguhnya kamu melalui tingkat demi tingkat (dalam kehidupan),
Namun bagi manusia yang menjaga kesucian hati, wajahnya akan bercahaya seperti bulan pernama. Sebab itu Rasulullah dikhabarkan memiliki wajah lebih indah dari cahaya bulan purnama. Manusia yang seperti ini hatinya, memiliki kejernihan wajah yang sedap mata dipandang oleh golongan beriman.
Proses mensucikan hati itu perlu melalui peningkatan akal tingkat demi tingkat. Sebab itu Allah tidak turunkan Quran ini sekali gus, tetapi secara beransur-ansur agar mudah manusia memahaminya. Semakin tinggi akal menimbang dengan waras, semakin suci hati manusia itu kerana dia mudah mengenal beza kebaikan dan keburukan. Kerana redha dengan Tuhan, jalan hidupnya diserahkan kepada Allah dengan mengharapkan petunjukNya setiap masa. Petunjuk Allah ini hanya akan difahami oleh manusia yang rajin berfikir.
20. Mengapa mereka tidak mau beriman?
21. dan apabila Al Quran dibacakan kepada mereka, mereka tidak bersujud,
22. bahkan orang-orang kafir itu mendustakan(nya).
23. Padahal Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan (dalam hati mereka).
24. Maka beri kabar gembiralah mereka dengan azab yang pedih,
Mengapa ada manusia yang masih tidak beriman dengan kebenaran yang ditunjukkan oleh akalnya sendiri? Bila disampaikan pengajaran Quran berdasarkan logik yang mudah diterima akal, mereka tetap menyombong diri dengan Allah. Malah ada yang kufur dengan nikmat-nikmat Allah berikan selama ini untuk dia menolak akalnya sendiri yang membenarkan sesuatu yang haq.
Bagaimana manusia itu boleh berpaling dan berdusta sedang dia melihat kebenaran itu? Akibat berdusta, hati manusia itu tidak tenteram. Sesungguhnya Allah melihat apa yang disembunyikan disebalik hati. Rasa gelisah dan tidak tenteram itu sebahagian daripada azab pedih yang disediakan sejak di dunia lagi. Kelak di akhirat lagi tidak terperi.
25. tetapi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka pahala yang tidak putus-putusnya.
Tetapi kepada manusia yang membangun mindanya sehingga ia mampu berfikir dengan seimbang dan hatinya jadi bertambah yakin terhadap bukti-bukti yang logik dan masuk akal yang diperolehi setelah berfikir. Kepada mereka Allah kurniakan pahala yang tidak putus-putus. Sudah pasti pahala itu akan menjadikan hati manusia itu tenang, tenteram dan damai. Itulah kenikmatan yang dirasai sejak di dunia. Dan di akhirat manusia itu akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang diusahakan.


























