Al Kaafiruun (Orang-orang Kafir)

1. Katakanlah: “Hai orang-orang kafir,

Bagaimana manusia boleh jadi kafir?
Bila manusia itu menolak rasional akalnya sendiri. Biarpun Allah perlihatkan kebenaran yang akalnya sendiri mengakui, tetapi kerana menurut hawa nafsu, maka akalnya pun ditolak tepi. Bila hilang pertimbangan akal, manusia itu akan mula melakukan kerosakan, kerana dia bertindak bukan mengikut kewarasan tetapi hanya mengikut kata hati. Sebab itu ada pepatah mengatakan, ikut rasa badan binasa.

Untuk mengelakkan kita terjerumus ke lembah kekafiran, bangunkanlah akal supaya kita mudah berfikir secara waras. Cerdaskanlah akal agar kita pantas berfikir. Seperti komputer yang laju prosesornya, mudah membuat kiraan dengan cepat dan tepat. Perjalanan hidup memerlukan perhitungan, sama ada apa yang kita lakukan selama ini adalah baik atau sebaliknya.

2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

Akal akan mudah dibangunkan bila kita menyembah Allah secara logik dan nyata. Bukannya bayangan-bayangan kosong yang kita tidak fahami. Walaupun Tuhan itu tidak mampu kita cerapi melalui mata kasar, namun mata hati mampu menyentuhNya. Sentuhan hati kita itulah pancaindera untuk melihat Allah. Hati yang merasai getaran KeagunganNya setelah kita berfikir secara logik tanda-tanda Kekuasaan Allah pada semesta alam termasuk pada diri kita sendiri.

Cuba kita renung, berapa banyak apa yang kita cita-citakan tetapi tidak mampu dicapai? Kuasa siapakah itu yang menahan kita mencapai segala yang diimpikan? Siapakah yang menggerakkan urat nadi kita walaupun kita tengah tidur? Jika kita berfikir secara waras, mudah akal kita menerima bahawa mesti ada Satu Kekuasaan yang mengawal sistem-sistem yang wujud dalam alam semesta ini sehingga kehidupan kita teratur. Yang Berkuasa mengawal semua sistem inilah yang kita panggil Tuhan. Kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa inilah kita sembah sebab kita nampak logik untuk menyembah sesuatu yang Maha Berkuasa. Hanya manusia yang tidak waras sahaja sanggup menyembah sesuatu yang lemah atau bayangan-bayangan kosong.

Percaya kepada sesuatu yang lemah akan menyebabkan hati jadi ragu-ragu. Keraguan menyebabkan kita rasa berdebar-debar. Debaran akan menyebabkan jiwa menjadi resah. Keresahan akan menyebabkan hilang ketenangan dan mempercepatkan penuaan wajah. Akhirnya melemahkan jantung.

Kalau kita kaji, Islam sebenarnya mampu menjadi penawar kepada penyakit jantung yang banyak terjadi kebelakangan ini sebabnya para Nabi tidak dikhabarkan pun mendapat penyakit-penyakit seperti ini. Jika hati penuh rasa panas hati, hasad dengki, bangga diri dan membenci, macam mana jantung tidak tertekan?

Orang yang beriman tidak menyembah sesuatu yang lemah, kerana itu akan menyebabkan kita tidak yakin pada diri sendiri. Oleh kerana sifat Maha Bijaksana itu, sepatutnya kita menjadi umat yang bijaksana lagi berhikmah. Bukannya umat yang hidup bertelagah dan berpecah-belah.

3. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

Jika menyembah Allah itu dengan mempertingkatkan keupayaan akal sehingga menjadi manusia yang bijak, manusia itu tidaklah dikira menyembah Tuhan Maha Bijaksana jika tahap akalnya direndahkan setaraf binatang ternak atau lebih hina lagi. Lainlah sebelum diciptakan sebagai manusia, dia sudah lebih sanggup jadi haiwan. Tetapi setelah mengambil perjanjian dengan Allah untuk menjadi manusia, bila sudah dewasa mereka memilih syaitan sebagai pegangan hidup.

Syaitan itu adalah makhluk yang lemah tipu-dayanya. Tetapi jika manusia sengaja melemahkan tahap mentalitinya sendiri, maka dia mudah tertipu dengan bisikan-bisikan syaitan. Dan tidaklah syaitan ini menghasut, melainkan untuk membawa manusia ke arah kebinasaan.

Manusia yang akalnya sudah nampak logik kepada perlunya dia menyembah Tuhan yang nyata kewujudanNya, tetapi sengaja menolak akalnya sendiri, dia telah memilih syaitan berbanding kewarasan akalnya sendiri.

4. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,

Sembahlah Tuhan dengan keyakinan pada diri sendiri, bukan menyembah ikut-ikutan. Jika menyembah apa yang orang lain sembah, tidak akan terbit rasa keikhlasan kepada Allah. Bila ditanya kenapa menyembah Allah, maka dijawabnya sebab Rasul suruh. Atau pun sebab mak-bapak suruh sembah. Mungkin juga ada yang berkata sebab tok guru suruh sembah. Itu bukan ciri-ciri orang yang beriman.

Beriman itu bermaksud rasa kepercayaan kepada Satu Kekuasaan yang mencipta seluruh alam semesta ini. Rasa ini terbit setelah kita berfikir dengan waras melihat tanda-tanda Kehebatan Allah, bukannya sekadar ketaksuban. Rasa keimanan ini perlu ditambah setiap hari dengan bereksperimen sendiri menerokai Kehebatan Allah. Bukannya atas sebab kad pengenalan sudah tertera agama Islam, hidup hanya goyang kaki sekadar menuruti apa yang orang-orang terdahulu rasai.

Orang-orang terdahulu yang beriman telah pun merasai pada jiwa mereka masing-masing nikmat beriman kepada Allah. Kita yang hidup ini kenalah bereksperimen sendiri untuk rasai seperti yang mereka pernah kecapi. Bukan dengan cara bergantung atas nama-nama mereka sahaja. Barulah kita mampu melahirkan generasi Islam yang suka mengkaji, meneroka dan bereksperimen sendiri. Bukannya generasi yang hanya tahu mengharapkan subsidi dan hidup bermalas-malasan.

Kita nama sahaja ketuanan di negara sendiri, tetapi hakikatnya kita adalah kuli kepada bangsa-bangsa lain. Tidaklah sama tuan dan kuli. Tidaklah sama manusia dan binatang ternak.

5. dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.

Tidaklah sama orang yang menolak akalnya sendiri menyembah Tuhan, seperti mana orang-orang yang menggunakan kewarasan akal itu menyembah Tuhan. Orang yang tidak berakal itu menyembah ketaksuban sebenarnya. Akibat taksub kepada sesuatu yang didewa-dewakan selain Allah, kepada yang didewa-dewakan itulah mereka menyembah sehingga akalnya tidak mampu berfikir dengan waras lagi.

Sebab itu orang-orang yang kafir kepada logik akalnya sendiri pasti lemah hujahnya. Kerana dia tidak berpegang kepada fakta. Hanya bayangan-bayangan kosong sahaja. Walaupun ada yang mengaku menyembah Allah, tetapi akibat tidak memikirkan Kekuasaan Allah, maka banyak perkara yang mudah Allah lakukan, mereka tidak percaya. Umpamanya bila diajak mengkaji Quran tanpa bergantung kepada riwayat hadith, maka manusia yang tidak percaya Kekuasaan Allah ini pasti menolaknya. Direka-reka alasan-alasan yang jelas orang itu sebenarnya malas mengkaji Quran. Bagi mereka, cukuplah menurut sahaja apa tok-tok guru mereka cakap, tanpa menilai dengan waras. Akhirnya tidak sedar, akalnya direndahkan sehingga umat Islam sekarang mudah dilemahkan.

Bukankah Allah sudah sediakan akal masing-masing untuk kita bergantung harap kepadaNya? Rasulullah dapat wahyu pun setelah berfikir, bukannya duduk goyang kaki tiba-tiba turun lembaran Quran dari langit. Dan Rasulullah itu orang biasa macam kita juga yang makan dan berjalan-jalan di pasar. Namun kerana ada manusia yang beragama secara mendewa-dewakan manusia lain, maka bagi mereka cukuplah meniru pakaian Nabi sudah layak untuk mencaci-maki. Apakah mengutuk, mencela dan menyebarkan fitnah itu akhlak yang diajar oleh Quran? Duduk sibuk suruh pemimpin laksanakan Quran, tetapi pada diri sendiri jauh dari akhlak Quran.

6. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.”

Bagi yang sekadar mengaku Islam, tetapi beragama secara taksub dan menurut membuta-tuli, teruskanlah hidup dengan beragama seperti itu. Sudah menjadi sunnah, jika sesuatu umat itu sekadar beragama cara ikut-ikutan, pasti sampai suatu masa umat ini akan ditipu-daya syaitan. Dan realiti telah terbukti, yang kita umat Islam tidak lagi percaya kepada Kekuasaan Allah, tetapi kepada syaitan. Kalau tidak, masakan kita menjadi umat yang lemah?

Bagi orang-orang yang beriman, beragamalah dengan yakin pada diri sendiri. Bukannya kerana orang lain buat macam ni, kita pun main ikut. Ikutilah sesuatu ajaran agama setelah kita fahami hikmah di sebaliknya. Untuk menjadikan hati kita faham, kenalah guna akal. Mana ada orang yang tak guna akal boleh faham hukum matematik biarpun semudah 1+1=2?

Bagiku, agama Islam adalah agama yang membawa kepada ketinggian akal dan kesucian hati, bukannya agama yang menyebabkan manusia jadi malas berfikir. Bagaimana hati hendak suci jika kita mempermain-mainkan perasaan orang lain?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply