Al Kautsar (Nikmat Yang Banyak)
1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.
Kenangilah nikmat-nikmat Allah yang terlalu banyak. Walaupun kita bukan hartawan, tetapi nikmat Allah luas serata alam. Terpulang kepada manusia itu memikirkan nikmat-nikmat Allah yang tidak terhingga terhadap dirinya. Dan nikmat yang terpenting bagi manusia adalah kewarasan akal. Jika harta banyak tetapi menggunakannya secara tidak waras, tetap suatu masa nanti manusia itu akan papa kedana juga. Dulu umat Islam memiliki ilmu yang tinggi sehingga memiliki beribu-ribu buku kajian cendikiawann Islam. Namun setelah umat Islam lalai atas nama Islamnya, mana umat hanya beragama secara taksub dan menurut membuta-tuli. Akhirnya kita jadi umat yang lemah.
Oleh itu janganlah kita lalai mempertingkatkan keupayaan akal agar kita boleh berfikir secara waras dan pantas. Berfikirlah secara logik agar mudah kita mendapat idea-idea yang bernas dan logik. Jangan cepat berpuas hati dengan ilmu-ilmu yang telah kita ada. Sepatutnya semakin banyak ilmu, semakin banyak yang kita ingin tahu. Seperti masyarakat Eropah mempunyai semangat ingin tahu yang kuat. Semua benda-benda pelik mahu mereka kaji. Dengan mengetahui segala rahsia bumi dan alam semesta, semakin manusia itu menguasai alam.
Sebenarnya dengan memahami rahsia alam, kita mudah mengenali diri. Kerana alam yang luas ini mempunyai persamaan dalam diri kita. Alam semesta ini adalah seperti gambaran kepada alam rohani kita. Umpamanya langit adalah akal, bumi adalah hati, nafsu adalah magma dalam perut bumi. Gunung umpama ilmu, hujan umpama ilham, matahari umpama hidayah, bintang-bintang adalah petunjuk dan macam-macam lagi yang boleh kita fikirkan.
Dan setelah kita kenal perumpamaan-perumpamaan ini, semakin mudah kita mengawal diri. Kita sudah kenali diri. Seterus semakin mudah mengenali Pencipta kita sendiri. Tak kenal maka tak cinta. Bila kenal Allah, terbitlah rasa cinta kepadaNya. Setiap masa kita ingin mengkaji dan menerokai ilmuNya. Kerana bila kita fahami hikmah atau logik disebalik tanda-tanda KekuasaanNya, pasti hati kita rasa puas. Dan kita akan memujiNya dengan semangat yang penuh keikhlasan. Semangat bertasbih ini akan menyatukan manusia dengan Allah. Semangat tasbih ini juga mampu menyatukan manusia dengan kesatuan yang kukuh. Tenaga tasbih ini mampu menyatukan hati dua insan, jika sama-sama ikhlas kepada Allah. Begitulah luas rahmat dan nikmat Allah kepada manusia dan seluruh semesta. Cuma kita sahaja selalu lalai menghargai nikmat-nikmatNya. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang kufur nikmat.
2. Maka dirikanlah shalat karena Tuhanmu; dan berkorbanlah.
Solat yang bernilai di sisi Allah adalah solat yang dilaksanakan setelah hati kita mengenal KehebatanNya. Bukannya solat ikut-ikutan. Malahan semua rukun-rukun atau ibadah kita tidak bermakna jika sekadar melaksanakan atas kehendak zahir. Tengok orang itu baca Quran, kita pun baca supaya nampak kita ini Islamik. Tetapi hati kita tidak memahami hakikat apa yang kita baca. Kita tidak mendalami apa yang kita baca untuk bereksperimen terhadap diri kita sendiri. Kita baca Quran untuk menghukum orang lain tidak Islamik, tidak ikut Quran dan sebagainya, sedangkan kita lalai hendak merenung dalam diri berapa banyak kelalaian sehingga hati menjadi berpenyakit
Rasulullah sendiri mendapat wahyu solat ini setelah baginda mengenali Allah. Setelah memahami KekuasaanNya. Setelah kukuh akidahnya kepada Tuhan Yang Satu. Hati yang yakin dan ikhlas, kepada Pencipta itulah bergantungnya segala harapan dan cita-cita. Apa daya kita jika Allah tidak izinkan apa yang kita impikan. SesungguhNya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Maksud solat itu sendiri bukannya setakat tunduk dan sujud masa kita melaksanakan rukun-rukunnya, tetapi hati kita sentiasa tunduk dan sujud kepada Allah dalam kehidupan kita. Umpamanya bila Allah telah tunjukkan logik sesuatu perkara, tetapi hati kita sengaja menolaknya, ini bermakna kita telah sombong dengan Allah. Kita tidak tunduk kepadaNya. Bukankah Allah menciptakan alam semesta ini penuh kelogikan sehingga terhurainya pelbagai ilmu-ilmu sains? Jadi, bila otak kita mencapai logik (sesuatu yang mudah masuk akal), itu bermakna Allah telah ilhamkan jalan kebenaran yang lurus untuk kita turuti. Jadi kenapa ada manusia yang mengengkari dan beralasan-alasan biarpun mampu berfikir secara waras dan logik?
Korbankanlah kesombongan kita terhadap Allah. Berkorbanlah masa untuk berfikir dengan logik dan waras sehingga kita nampak Kekuasaan Allah dalam seluruh kehidupan kita. Masa yang Allah berikan adalah sama rata kepada semua manusia dalam satu hari. Jadi setiap manusia tiada alasan untuk mengatakan tidak cukup masa untuk berfikir mengenali Penciptanya sendiri. Tidaklah yang membisikkan alasan-alasan itu melainkan syaitan. Jika setiap masa jantung kita berdegup kerana itu adalah nikmat Allah, apakah layak kita hanya berfikir menerokai Allah sekadar waktu-waktu tertentu. Di situ sahaja sudah menunjukkan kita manusia yang tidak mensyukuri nikmatNya.
3. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.
Siapakah orang yang membenci diri kita? Manusia yang membenci manusia lain adalah manusia yang di dalam hatinya ada syaitan kerana syaitan itu kerjanya memisah dua jiwa manusia daripada bersatu. Syaitan inilah yang membisik-bisikan alasan agar kesatuan hati manusia tidak berlaku. Terpisahnya jiwa Adam dan Hawa juga kerana tipu daya iblis. Lemahnya kita umat Islam sehingga suka berpecah-belah dan bertelagah kerana dalam hati kita masing-masing ada syaitan. Kemampuan kita merendahkan keegoan untuk mengaku dalam diri ada syaitan, akan membawa ke arah umat yang gemilang. Selagi masih tegar mempertahankan keegoan masing-masing untuk bercakaran, selagi itu umat terus hidup terhimpit.
Hiduplah dengan perasaan rendah diri. Jauhilah perasaan bangga diri. Hidup akan tenang jika kita semakin merendah diri. Hidup akan tertekan jika kita berbangga diri. Jangan membenci orang lain, biarpun berjuta orang membenci kita. Jangan memusuhi orang lain, biarpun berjuta yang memusuhi kita. Biarkanlah orang yang menolak kita itu memilih jalan hidupnya sendiri, kerana kita tidak diberi tanggungjawab terhadap jiwa orang lain. Kita hanya diberikan kebun iaitu diri kita sendiri untuk menanam pokok-pokok cita dan impian yang akan membuahkan ilham dan idea. Pasti pokok-pokok ini akan memberikan keenakan dalam kehidupan sehingga hidup kita puas. Dan janji Allah adalah benar.


























