Al Lahab (Gejolak Api)
1. Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
Surah ini pada zahirnya berkaitan bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Abu Lahab, tetapi pengajaran Quran tetap dituju kepada kita sebenarnya, kerana Quran adalah peringatan seluruh alam semesta. Orang yang ada akal yang waras pasti akan menjadikan Quran sebagai pedoman hidup, dan barangsiapa yang kafir dengan pengajaran Quran, kekafiran itu hanya untuk dirinya sendiri.
Pengajaran terpenting kepada kita adalah perlu terbuka mendengar pendapat orang muda setelah kita berusia. Janganlah kerana atas rasa lebih dulu makan garam daripada orang muda (rasa ego), kita menolak pendapat orang muda. Selalunya pendapat orang muda lebih benar mengikut kehendak zaman. Sifat keterbukaan mendengar pendapat generasi muda, mampu merendahkan keegoan dalam diri di samping menjana idea-idea baru yang segar. Nabi Muhammad sendiri sanggup mengambil Saidina Ali yang jauh lebih muda baginda sebagai sahabat (juga menantu).
Sifat ini yang cuba Pak Lah contohi dengan memberi peluang kepada menantunya (KJ) untuk memberikan pandangan dan idea-idea yang mungkin beliau tidak terfikir mengikut perspektifnya sebagai orang yang sudah berusia. Gabungan pengalaman lama dan idea baru mampu menghasilkan impak yang maksima. Namun kerana mentaliti kelas ketiga rakyat Malaysia, sikap Pak Lah dikutuk dan dimaki. Dikatakan Pak Lah tiada berkarisma dan tidak tahu memerintah. Macamlah orang yang mengutuk itu tahu sangat memerintah. Yang nyatanya Allah melantik Pak Lah sebagai PM, bukannya orang yang sibuk mengutuk dan mencela itu. Jadi apa taraf si pengutuk itu di sisi Allah berbanding Pak Lah?
Janganlah kita jadi seperti Abu Lahab yang tebal keegoan sehingga menolak seruan anak saudaranya sendiri (Rasulullah) walaupun dia tahu Nabi berkata benar. Manusia ini bila sombongnya tebal, fikirannya jadi tidak waras. Hatinya sentiasa panas bila orang muda memberikan pendapat yang lebih baik daripadanya. Dia rasa dirinya tercabar kerana ada orang muda yang lebih baik fikirannya. Tetapi jika dia berfikiran matang, sepatutnya dia merasa bangga anak saudaranya mampu mengatakan sesuatu yang benar dan berguna untuk masyarakat Arab pada waktu itu. Binasalah manusia yang berperasaan ego sebegini biar setinggi mana pengetahuan agamanya kerana tidaklah pengetahuan agamanya membawa dirinya merendah diri, malahan bertambah-tambah kekafirannya.
2. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
Segala yang manusia itu usahakan selama ini biarpun dia seorang ustaz atau ulama, tetapi kerana ada sifat sombong sehingga tidak boleh menerima pendapat orang lain yang menyebabkan agama menjadi berpuak-puak, sia-sia apa yang dikerjakan. Bukankah Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi berbangga diri?
Berlapang dadalah mendengar perbezaan pendapat. Wujudnya pelbagai puak-puak dalam umat Islam sekarang kerana sikap taksub pada suatu pendapat imam terdahulu, sehingga tidak terbuka mendengar percanggahan pendapat. Bukankah pendapat sesama golongan beriman berbeza di antara benar dan lebih benar sahaja? Jadi kenapa mesti ada manusia yang berbangga diri yang puaknya sahaja yang betul menurut Islam. Jika kita fikir pendapat kita lebih baik berbanding pendapat lagi satu pihak, buktikanlah pada diri kita dahulu yang pendapat kita itu memang terbaik, bukannya menyuruh pihak yang lagi satu itu menerima pendapat kita. Ini tidak, kita hanya tahu suruh orang lain buat itu ini, tetapi kita tidak perlihatkan kebaikan dari apa yang kita perkatakan itu.
Rasulullah menyeru manusia selepas baginda membuktikan pada dirinya. Sebab itu akhlak baginda seperti Al Quran. Itu sunnah Nabi yang patut ditekankan. Tetapi kita lebih sibuk pentingkan sunnah-sunnah zahir sehingga orang Melayu bertukar jadi tok Arab.
3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
Sudah menjadi sunnah Allah, manusia yang tinggi egonya, bila mendengar pendapat yang berbeza biarpun pendapat itu benar, pasti akan bergejolak hati kepanasan. Itulah azab panas yang dirasai ketika di dunia. Apa yang disampaikan oleh Quran memang sesuatu yang logik yang boleh dilihat (dirasai) oleh hati kita sendiri walaupun mata kasar kita tidak melihat bagaimana rupa neraka Jahannam itu.
Bila hati itu kepanasan, akan terhamburlah lahar seperti gunung berapi apabila dia melepaskan amarahnya, cercaan dan caci-makinya. Sia-sia sahaja perjuangan atas nama Islam jika perangai buruk sebegitu yang dipertontonkan. Jadi bagaimana keindahan akhlak Quran hendak diperlihatkan kepada manusia lain untuk membuktikan keindahan Islam? Setakat cakap Islam itu agama yang benar dan indah, tetapi penganutnya berpecah-belah bila ada perbezaan pendapat, macam mana orang bukan Islam hendak percaya dengan kata-kata kita?
4. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.
Diciptakan isteri adalah untuk membakar semangat si suami. Namun, jika suami itu buruk akhlaknya sehingga isterinya juga berakhlak buruk, tidaklah si isteri itu menjadi pembakar semangat tetapi menjadi batu api untuk memecah-belahkan ummat.
Si isteri itu akan pergi membawa berita-berita keburukan orang lain untuk difitnah dan diumpati. Maka masyarakat pun menjadi berpecah-belah. Begitulah kesan tangan yang menghayun buaian mampu merosakkan umat jika yang suaminya rendah mentaliti dan busuk hati atas rasa bangga diri.
Semuanya bermula pada si suami yang gagal memperingati diri sendiri, tetapi sibuk mencari kesalahan orang lain. Sebelum mata itu liar melihat keburukan orang lain, sudahkan keburukan diri dan keluarga diubati? Kerana itu surah ini mendahului peringatan kepada para suami dahulu, kemudiannya barulah kepada isteri. Jika pemimpin adalah orang yang baik akhlaknya, insyaAllah isteri dan anak-anak akan baik juga.
5. Yang di lehernya ada tali dari sabut.
Apabila si isteri itu suka membawa khabar angin dan berita-berita fitnah, dia umpama menjerut dirinya sendiri. Tunggu masa sahaja Allah akan datangkan azab kepada manusia yang berperangai begini, biarpun mulut megah mengatakan memperjuangkan Islam. Tidaklah Islam itu boleh digemilangkan jika sekadar membawa berita-berita fitnah untuk menjatuhkan orang lain. Setiap manusia akan dipertanggungjawab terhadap berita yang disebarkan. Takutilah hari yang setiap diri tiada penolong selain dirinya sendiri.
Suami yang tinggi rasa bangga diri disokong oleh isteri yang penuh hasad dengki. Kedua-dua mereka hidup dalam rasa panas hati tidak senang melihat kelebihan orang lain.



























Suami+isteri+anak tonggak kejayaan sebuah institusi kekeluargaan.
pancaran akhlak yang indah dari suami akan membawa isteri ke gerbang yang sama. malah isteri akan kagum dan tersangatla bersyukur dengan anugerah Allah itu. itulah harapan dari seorang isteri. Punya suami dan ayah yang baik untuk diri dan anak-anaknya.
Ibu bapa adalah role model terhadap anak-anak.
Ibu bapa yang mempertontonkan conton teladan yang baik, itulah ikutan anak2. Dan sebaliknya.
Berlapang dada dan bersenang hati untuk mendengar percakapan anak-anak. Jadikan mereka kawan. Bergeak tawa dan berkongsi apa saja. baarulah jiwa mereka dekat dengan kita.
Pendekatan yang baik dan betul ibu bapa terhadap anak-anak dapat menyelamatkan kita semua dari masalah sosial dan jenayah yang semakin menjalar dalam masyarakat kita.
Bila si anak seronok bersama ibu bapa kat rumah, mereka tidak akan beralasan untuk merayap bersama kawan-kawan. Dan dari sini, banyak gejala sosial yang melibatkan remaja dapat dikurangkan.
Apa yang saya nampak dan pada pandangan saya, semuanya bermula dari dalam diri kita. Diri kita sebagai hambaNYA, sebagai anak, sebagai ibu bapa, sebagai sebahagian dalam masyarakat dan seterusnya….
memang kita tak berupaya dan tak berkuasa untuk mengubah masyarakat, tapi kalau kita semua sebagai individu dalam masyarakat berkesedaran yang sama, semua ini tidak mustahil akan berlaku.
Buang segala rasa yang memisahkan kita, Allah akan bantu kita untuk bersatu.
May 29th, 2008 at 10:32 am