Al Lail (Malam)

1. Demi malam apabila menutupi (cahaya siang),

2. dan siang apabila terang benderang,

Malam dan siang mempunyai nilai yang tinggi bagi manusia yang menggunakan akal. Malam adalah permulaan bagi manusia mula mengenali diri.

Kegelapan malam menutupi nafsu manusia untuk bermegah-megah memperlihatkan perhiasan duniawi. Kesunyian malam menyebabkan manusia yang sepi dan mula berfikir. Mula merenung dan muhasabah diri. Berfikir mengapa dia dihidupkan dan apakah matlamat hidupnya sekadar bersenang-lenang di atas muka bumi tanpa memahami erti perjuangan? Perjuangan mengagungkan Allah dan menyebarkan rasa kasih-sayang sesama manusia.

Kerana itu manusia yang ingin mengenali diri digalakkan untuk bangun malam kerana itulah saat yang paling sesuai kita rasa dekat dengan Allah kerana di waktu siangnya kita sibuk dengan urusan dunia. Namun, apabila kita semakin merasai nikmat cinta Ilahi, setiap masa terasa sayang untuk diabaikan daripada memikirkan tentang Kekuasaan Tuhan.

Waktu siang yang terang benderang berguna bagi insan yang berfikir untuk melihat tanda-tanda Kekuasaan Allah di segenap penjuru alam. Seperti tersebarnya cahaya mentari, begitulah rahmat Allah tersebar kepada setiap manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Cuma ada di kalangan manusia yang dilalaikan dari memikirkan kasih-sayang Tuhan ini kerana sibuk mengejar nikmat hidup yang diberikan ini.

Jangan biarkan hati kita gelap bagaikan kegelapan malam, tetapi sinarilah ia dengan cahaya hidayah. Cahaya ini akan sampai menerangi hati apabila kita mengikhlaskan diri mengenali Allah. Ikhlas untuk memuji-muji Allah. Keikhlasan ini akan tercapai bila kita berfikir secara waras sehingga kita nampak kelogikan kenapa Allah jadikan itu dan ini. Ketika itu bulu roma kita akan tegak terasa KehebatanNya sehingga kita rasa nikmat berfikir lebih manis dari madu.

Ilham-ilham akan disampaikan bagaikan hujan membasahi bumi. Hati yang dibasahi ilham Qurani itu akan menumbuhkan pelbagai cita-cita memperindahkan hidup kita dan alam semesta. Itulah jiwa insan yang bergelar khalifah muka bumi. Kita bukannya binatang ternak yang terhad akalnya, kita adalah manusia yang sebaik-baik kejadian.

Mengatakan akal manusia terbatas dan lalai membangunkannya telah meletakkan kita sebagai orang yang paling zalim. Sebab itu ktia lihat umat Islam sekarang menjadi lembab otaknya kerana agama yang menjadi pegangan diajar dengan mengatakan otak manusia terbatas. Jika langit pun Allah tidak tentukan batasannya bagi manusia, mengapa ada yang pandai-pandai mengatakan otak manusia terbatas daya fikirnya? Adakah manusia itu mahu dirinya setaraf binatang ternak. Adakah gelaran umat terbaik telah melalaikan umat Islam sekarang sehingga hidup berpecah-belah dan diperhambakan oleh bangsa-bangsa yang lebih maju pemikirannya?

3. dan penciptaan laki-laki dan perempuan,

4. sesungguhnya usaha kamu memang berbeda-beda.

Tidaklah Allah cipta laki-laki dan perempuan itu sekadar untuk diperhambakan. Tetapi setiap jiwa itu ada nilai yang tersendiri yang Allah tidak lalaikan. Cuma manusia itu yang lalai mengingati Tuhan. Mereka lalai dengan jalan berfikir secara logik itulah yang memegang tali Allah dengan kukuh. Tetapi ada manusia yang melembabkan otaknya sendiri dengan malas memikirkan logik dan hikmah kenapa Allah mencipta sesuatu. Akibat malas berfikir, banyak petunjuk Allah diabaikan dan akhirnya manusia itu hanya merempuh membuta-tuli dalam hidupnya. Akhirnya pelbagai hukum ditokok-tambah kononnya untuk menjaga umat, walhal semakin banyak hukum dibuat, semakin menunjukkan umat itu lembab berfikir dan tidak tahu menimbang dengan waras.

Ada yang sengaja melanggar batasan logik dalam otaknya kerana perasan dirinya umat terbaik yang dikasihi Allah. Sanggup mencaci maki, mengutuk-mengeji, memfitnah-mendengki demi berebut kerusi dan kekuasaan dunia. Dicari-carinya riwayat hadis yang mengatakan mencegah kemungkaran bermula dari tangan (kuasa), lidah (kata-kata) dan hati. Walhal jika dikaji dari sunnah Rasulullah membetulkan masyarakatnya, baginda memulakan dengan membetulkan dirinya sendiri. Kaji diri dan kenali syaitan-syaitan yang tersembunyi dalam diri. Sebab selagi syaitan-syaitan ini tidak dibuang, selagi itu manusia hidup dalam keadaan lemah. Lemahnya umat Islam sekarang ini kerana tidak sedar dalam hati kita ada syaitan. Sibuk mengutuk pemimpin sendiri tidak ikut Quran, walhal hati sendiri penuh penyakit hasad dan dengki.

Begitulah realiti yang berlaku hari ini. Di negara kita, orang Melayu yang majoritinya beragama Islam-lah yang kuat bermusuh-musuhan dan berpuak-puak sesama sendiri. Hasad dengki, dendam dan khianat menjadi santapan jiwa. Caci-maki, cela dan mengkeji menjadi “zikir” harian. Bagaimana kita hendak menjadi insan yang dikasihi Tuhan? Memang benar amalan kita berbeza-beza. Dan amalan berfikir itulah yang mendekatkan diri kita kepadaNya.

5. Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa,

6. dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga),

7. maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.

Semua manusia ada memiliki harta. Harta yang berharga adalah masa kerana kita semua diperuntukkan masa yang saksama. 24jam dalam sehari. Oleh itu, luangkan masa untuk berfikir mengenali diri. Daripada mengenali diri, kita akan mengenali Pencipta. Bila kita kenal Kekuasaan Allah yang memegang urat jantung kita, perasaan takut untuk berbuat dosa akan terasa. Kita membenarkan adanya pahala terbaik bila kita berfikir mencari ilham untuk kesenangan hidup kita. Perasaan tenang dan senang dalam hidup kita itulah pahala dan ganjaran yang besar bagi manusia yang memberikan masanya untuk berfikir kelogikan setiap penciptaan-penciptaan makhluk Tuhan termasuk dirinya sendiri.

Dan segala ilham-ilham yang Allah sampai itu akan memudahkan manusia ini mencari rezeki. Kerana bangsa-bangsa yang maju pemikirannya mampu mencipta pelbagai teknologi yang menyenangkan manusia. Dengan menjual hasil teknologi itu, mereka dipermudahkan hidup. Hidup mereka jadi indah dan tenang atas hasil titik peluh sendiri melahirkan generasi rajin meneroka, mengkaji dan menyelidik.

Lihat masyarakat Jepun yang diterangi matahari terbit. Mereka telah mencapai kemajuan teknologi terkini biarpun tiada hasil minyak yang banyak, tidak seperti negara-negara umat Islam. Malangnya bagi kita, hasil minyak yang diterokai oleh bangsa asing itu menyebabkan kita cepat naik minyak. Mungkin banyaknya hasil minyak di bawah perut bumi negara umat Islam sebagai petunjuk Allah bahawa dalam hati umat Islam ini hitam berkilat macam minyak mentah tersebut. Hidup penuh hasad dengki dan bermusuh-musuhan sesama sendiri. Perasan puak dia ikut Quran dan Sunnah, mencaci maki puak yang lain tidak ikut Quran. Itulah gambaran jelas dan terpampang di hadapan mata disebabkan kelekaan kita sendiri mengkaji Quran. Quran sekadar ditajwid dan dilagukan. Sedangkan pengajarannya untuk memajukan pemikiran dipandang sepi.

8. Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup,

9. serta mendustakan pahala terbaik,

10. maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.

11. Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa.

Kita umat Islam sudah jadi orang yang bakhil dengan masa untuk mengkaji dan menerokai Quran. Merasa Quran sudah cukup dikaji oleh ulama’-ulama’ terdahulu. Kerja kita sekarang menadah subsidi dan menuruti dengan taksub. Bagaikan binatang ternak yang dicucuk hidungnya. Kalau berbincang pasal agama, kita takut guna kewarasan otak sendiri, tetapi mencari riwayat-riwayat hadis dan guna nama imam-imam terdahulu untuk menunjukkan kita berkata benar. Walhal akal kita adalah neraca untuk membenarkan sesuatu perkara. Bukan bergantung atas nama-nama imam, ulama atau rasul-rasul terdahulu. Orang-orang terdahulu itu juga menggunakan akal mereka sendiri untuk terokai ilmu Allah yang Maha Luas ini, sebab itu Allah angkat nama mereka.

Tetapi disebabkan kita sudah dibiasakan dengan beragama secara subsidi dan menuruti, kita lalai dengan keupayaan akal sendiri. Mulalah hidup dalam keraguan. Tercari-cari hukum itu dan ini untuk memperbetulkan masyarakat. Kalau otak selembab binatang ternak, hukum-hukum itu bagaikan pagar kandang sahaja. Bila pagar itu patah, bertempiaran lagi binatang-binatang ternak itu.

Kerana itu bila agama kita jadi lemah, macam-macam kes keruntuhan akhlak remaja dan dewasa. Sudah tidak kenal usia, sama sahaja perangai busuk hatinya. Anak-anak diculik dan ditinggalkan merata-rata kerana ibubapa sibuk mengejar harta. Adakah harta-benda itu akan menyelamatkan mereka dari azab neraka? Jika hidup dengan hati yang berpenyakit, sekaya mana pun kita, tiada maknanya. Biarlah hidup sederhana asal bahagia. Ketenangan hati akan memudahkan otak berfikir panjang dan waras. Itulah jalan hidup yang selamat (Islam).

Lihatlah realiti umat Islam hari ini. Masih lagi kita mahu hidup berpecah-belah kerana berebut kuasa pemerintahan. Kuasa pemerintahan itu Allah beri kepada orang yang adil dan bijaksana. Sebab itu khalifah terdahulu di kalangan orang-orang yang adil dan bijak. Bukannya orang yang setaraf binatang ternak malah lebih hina lagi. Ada ke logik binatang ternak menjadi pemimpin? Lihatlah bangsa mana yang disembelih di sana-sini? Masih nak perasaan sebagai umat terbaik sepertimana orang-orang Yahudi di zaman Rasulullah rasa? Kita umat Islam sebenarnya sudah jadi macam orang Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah itu. Walaupun pahit untuk diakui, tetapi itulah hakikatnya. Hanya kesedaran diri yang mampu mengubahnya.

Sedar bangunlah pesatkan negerimu. Negeri kita masing-masing adalah diri kita sendiri. Jika diri sendiri pun tidak boleh dijaga sehingga berpenyakit hati dan berhasad dengki, tidak usahlah mengutuk pemimpin sendiri seolah-olah diorang itu zalim dan sebagainya. Renungilah kezaliman diri kita sendiri yang lalai membangunkan akal sehingga anak bangsa tidak tahu mencipta dan terpaksa membeli teknologi luar dengan harga mahal. Bila wang negara banyak mengalir keluar, harga barangan terpaksa dinaikkan. Akhirnya kita sendiri yang merasai tekanan ekonomi. Itulah balasan azab Allah ketika di dunia. Kelak di akhirat, manusia yang lalai ini akan merasa azab yang tidak terperi sakitnya. Membangunkan akal sehingga mampu mengenali apa yang tersembunyi dalam hati lebih tinggi nilainya di sisi Allah jika kita benar-benar beriman.

12. Sesungguhnya kewajiban Kamilah memberi petunjuk,

13. dan sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia.

Oleh itu, marilah sama-sama mengkaji Quran kembali untuk mengenali diri agar kita nampak kenapa umat Islam telah jadi lembab otaknya. Lihat kejayaan pemikiran bangsa-bangsa lain agar terbit kesedaran diri untuk kita melakukan perubahan. Jika bukan kita anak bangsa sendiri yang melakukannya, siapa lagi hendak diharapkan?

Jangan risau mengkaji Quran biarpun tidak taksub kepada mana-mana tok guru. Sebab yang berkewajiban mengajar dan memberi petunjuk sehingga kita fahami apa sebenarnya kehendak Quran adalah Allah. Bukankah Allah yang menguasai ilmu yang ada di dunia dan akhirat? Kenapa kepada manusia pula kita bergantung harap supaya diajarkan Quran? Allah yang mencipta diri kita ini. Dia tahu apa minat, citarasa, jalan hidup kita yang secocok dengan intipati Quran. Tok guru itu hanya mampu mengajar secara umum, tetapi untuk merasai apa yang dalam hati, tetap Allah-lah yang memberikannya. Belajarlah dengan Allah melalui pertimbangan akal yang waras sehingga kita memahami logik yang nyata kenapa ayat-ayat Allah disampaikan begitu. Allah akan sampai ajaranNya melalui ilham-ilham yang tenang hati kita menerimanya. Semua ini mempunyai maksud yang mendalam bagi manusia yang menggunakan akal.

Semakin kita mengkaji Quran dengan berfikir mengikut keupayaan kita sendiri, otak kita akan berkembang seperti langit yang mengembang dari asalnya padu. Otak kita jadi lembab sebab ia dalam keadaan beku (padu), kemudian ia mencair dan berkembang. Bila berkembang, ia menjadi luas. Kita akan berpandangan luas. Keluasan akan menyebabkan keselesaan. Hidup kita akan rasa selesa biarpun kita tidak berharta. Keselesaan hidup akan memudahkan kita mencari ilham-ilham baru. Hati akan jadi tenang dan jalan hidup akan jadi senang. Itulah nikmat-nikmat Allah berikan kepada orang yang rajin berfikir yang beriman bahawa dengan jalan akal yang seimbang dan waras itulah kita akan menuju kepada Tuhan. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Hanya manusia yang membijakkan diri akan memahami petunjukNya. Orang yang menolak logik akal samalah seperti binatang ternak yang tidak memahami seruan tuannya

14. Maka, kami memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala.

15. Tidak ada yang masuk ke dalamnya kecuali orang yang paling celaka,

16. yang mendustakan (kebenaran) dan berpaling (dari iman).

Ketika di dunia, gambaran azab neraka boleh dirasai oleh hati yang panas. Manusia yang panas baran. Segala kerosakan di muka bumi ini dilakukan oleh manusia yang tidak mampu mengawal emosi dari perasaan marah. Tekanan hidup dilepaskan dengan amarah padahal pada amarah itu adanya syaitan.

Perasaan marah ini akan meningkat bila manusia itu tidak berpegang pada sesuatu yang nyata. Sebab itu seruan para Rasul akan dibalas oleh orang yang panas hati dengan makian dan ejekan. Otak mereka tidak mampu mengawal emosi kerana rendahnya daya fikir. Semakin rendah daya fikir, semakin kurang tahap kesabaran.

Umat Islam sekarang menjadi kuat melenting dan bercakaran sesama sendiri ini kerana rendahnya daya fikir. Hilang hikmah dan kebijaksanaan. Tertutup mata hati untuk memahami petunjuk Allah. Hanya menggunakan mata zahir untuk menilai sesuatu perkara. Sebab itu apa yang pemerintah buat semua dikatakan tidak betul, macamlah dirinya pandai memerintah. Tidak tidak berfikir betapa besarnya amanah pemimpin untuk menjaga berapa ramai kepala rakyatnya. Setiap rakyatnya ada keinginan masing-masing. Takkanlah kerja pemimpin itu hanya untuk memuaskan nafsu rakyat yang pemalas mengkaji dan suka bersenang-lenang di atas muka bumi?

Lihatlah kecelakaan yang Allah berikan kepada kita umat Islam yang bermegah-megah atas nama Islam untuk bercakaran sesama sendiri dan merasakan Allah menyayangi kita. Walhal rahmat Allah itu luas untuk seluruh semesta alam. Semua manusia Allah sayang tidak kita apa bangsa mahupun agama. Sebab itu idea-idea milik Allah untuk cipta sesuatu teknologi pun Allah berikan kepada sesiapa manusia yang berusaha. Malangnya umat Islam yang malas meneroka ilmu baru kerana dikatakan Quran tidak perlu dikaji lagi kerana ulama-ulama terdahulu sudah habis mengkajinya. Jika Quran sudah habis dikaji, bagaimana kita hendak menjadikan Quran itu flexible sesuai mengikut kehendak zaman. Jika zaman sekarang berperang guna jet pejuang, takkan kita nak hantar pasukan berkuda, jika Quran itu hanya difahami secara zahir semata-mata?

Kajilah setiap lapisan ilmu Quran. Setiap ayat Quran itu jika kita fikirkan dalam sesuatu situasi dan masa, kita akan nampak makna yang berlainan yang sesuai dengan keadaan kita. Sebab itu kerja mengkaji Quran ini tidak putus-putus selagi nyawa dikandung badan. Ilmu Allah itu luas. Tidak cukup lautan di dunia untuk menampungnya.

17. Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu,

18. yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya,

19. padahal tidak ada seseorangpun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya,

20. tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keridhaan Tuhannya yang Maha Tinggi.

21. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan.

Bila manusia itu tinggi akalnya dan dalam ilmunya, kesabaran akan tebal dalam diri kerana ketinggian akal akan memudahkan ia berfikir panjang dan waras. Maka emosi panas hati akan dijauhkan. Itulah manusia bertakwa kepada Tuhannya. Menafkahkan masa untuk berfikir mengkaji Quran agar terasa Kehebatan Tuhan. Jasad yang menjadi harta pinjaman akan dibersihkan dari segala penyakit hati.

Semua yang dilakukannya bukan kerana mengharapkan balasan manusia, tetapi keredhaan Allah Yang Maha Agung. Dengan keredhaan Allah itulah jiwanya akan tenang. Ketenangan akan memudahkan dia berfikir mencari idea-idea yang memberikan kepuasan pada dirinya sendiri. Itulah janji Allah kepada orang yang mempergunakan akal pada tempatnya. Mereka yang tahu kepentingan ketinggian akal agar hikmah dan kebijaksaan makin terpancar. Pancaran hikmah itu mempersonakan hati-hati yang memandang.

Bila umat Islam menonjolkan akhlak yang mempersonakan, barulah bangsa-bangsa lain terpegun dengan Islam. Jika perangai berpecah-belah itu yang ditunjukkan, tunggulah suatu hari nanti Allah akan datangkan satu kaum yang mereka sayang kepada Allah, dan Allah menyayangi mereka untuk memberi keputusan kepada manusia yang lalai membangunkan minda sehingga mentaliti setaraf binatang ternak malah lebih hina lagi. Mereka lebih hina daripada binatang ternak kerana sanggup mengaku bahawa akal mereka sendiri terhad sedangkan binatang ternak itu memang Allah hadkan akalnya kerana ia tidak sanggup memikul amanah sebagai khalifah muka bumi.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply