Al Mulk (Kerajaan)
1. Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu,
2. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,
Jika kita berfikir secara logik dengan melihat kesempurnaan ciptaan-ciptaan Allah di semesta alam, kita dapat merasai getaran Kehebatan kerajaanNya. Bagaimana sistem solar boleh berfungsi dengan penuh keteraturan. Bukankah itu menunjukkan logik bahawa ada Satu Kekuasaan Yang Maha Agung?
Dan untuk menguji manusia, Dia hanya berikan dua nilai yang berbeza. Bukan tiga, empat, lima atau lebih. Hanya dua sahaja Allah suruh kita pilih. Sebab itu di dalam alam ini diciptakan berpasangan iaitu ada pasangan baik atau buruk, hidup atau mati, bijak atau bodoh, mulia atau keji dan sebagainya. Terpulanglah kita hendak berfikir secara waras memilih nilai-nilai mana yang kita fikirkan logik untuk mendapat hidup yang bahagia. Jika kita anggap dengan menjadi seorang yang keji, hati kita akan tenang dan bahagia, teruskanlah bersikap begitu. Kelak setiap perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan.
Hidupkanlah hati kita dengan membangunkan akal sehingga kita waras berfikir. Bukannya sekadar berfikir pendek. Orang yang tidak sabar sahaja suka berfikiran pendek. Bila berfikiran pendek, hati manusia itu akan mati. Hati yang mati hanya suka guna mata zahir untuk menilai orang lain sebab mata hatinya tertutup untuk menilai dirinya sendiri. Berlakulah keadaan suka mencari keburukan dan mencela keburukan orang lain.
3. Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?
Seperti mana langit yang terletak di bahagian atas bumi dan berlapis-lapis, begitu juga akal yang terletak di bahagian atas hati dan juga berlapis-lapis. Orang yang berfikir panjang, dia mampu mencapai sesuatu lapisan yang lebih tinggi. Pandangannya mula meluas dan jauh. Hidupnya bukan melihat setakat hidup di atas dunia, tetapi berfikir apakah akan berlaku kepada dirinya selepas mati. Adakah logik Allah ciptakan manusia yang mempunyai keupayaan memerintah dunia ini setakat hidup di atas dunia? Jika begitu, apa bezanya kita dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan?
Melihat kejadian diri kita sendiri, akal yang waras mampu memahami bahawa erti hidup kita ini amat bernilai. Bukan setakat makan-tidur, pergi kerja-balik kerja, berebut-rebut mencari harta dunia. Ada matlamat yang lebih tinggi nilainya dari itu semua. Lainlah kalau kita berebut-rebut cari harta, kita boleh hidup kekal di atas dunia. Bukankah suatu tindakan yang sia-sia jika kita membiarkan hayat yang diberi dengan mengejar sesuatu yang bakal kita tinggalkan? Kenapa kita tidak kejar sesuatu yang bakal kita dapat (syurga)?
Gunakanlah akal yang seimbang untuk memahami erti hidup kita. Renungkanlah berulang-ulang kali apa akan jadi jika sesuatu itu Allah tidak ciptakan ia seimbang. Contohnya, kenapa burung perlukan sayap yang seimbang? Apa akan jadi jika ia hanya ada sebelah sayap? Begitulah akal kita perlu ada imbangan. Kita kena kenal beza baik atau buruk dahulu, barulah kita boleh pilih kebaikan. Selagi kita tidak kenal beza ini, selagi itulah penilaian kita tidak waras.
Cuba renungkan nasib kita umat Islam sekarang yang berpecah-belah dan lemah. Adakah patut kita kata kita di pihak yang benar sedangkan akhlak kita tidak pun menunjukkan contoh apa yang kita cakapkan itu? Jadi bagaimana orang yang bukan Islam hendak percaya apa yang kita sampaikan sebab kita tidak perlihatkan keindahan Islam. Kita hanya tahu hendak hukum orang itu tidak betul dan tidak Islamik sahaja sedangkan akal kita tidak dibangunkan pun. Beragama pun secara menurut membuta-tuli, kemudian perasan diri mulia untuk mengutuk dan mencela orang lain.
4. Kemudian pandanglah sekali lagi niscaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah.
Bila kita merenung segala ciptaan Allah pada alam semesta ini, kita akan nampak segala ciptaan Allah yang luas ini adalah untuk kita kenali diri kita sendiri. Umpamanya Allah bangunkan langit tanpa perlukan sokongan tiang pun. Begitulah untuk kita bangunkan akal, kita tidak perlukan sokongan atas nama-nama orang terdahulu untuk membuktikan kita benar. Selagi apa yang kita fikir itu waras berdasarkan logik-logiknya, benarlah apa yang kita fikirkan itu. Kerana yang memperlihatkan sesuatu yang haq dan nyata itu datangnya dari Allah juga. Bukankah Dia telah menciptakan alam semesta ini dengan haq dan nyata?
Begitu juga bila kita lihat gunung-gunung yang menjadi pasak bumi agar tidak bergoncang, seperti itulah ilmu yang setinggi gunung akan menjadikan hati kita tenang dan tidak gementar. Kita tidak takut hendak berkata-kata perihal kitab yang kita jadikan pegangan. Bukankah Allah yang meneguhkan pendirian kita setelah kita berfikir secara logik dan nyata?
Lihat pula gunung berapi yang meletus, seperti itulah perumpamaan orang yang menyimpan dendam dan amarah sehingga terhamburnya kata-kata makian, carutan, kutukan, celaan dan fitnah-fitnah. Letusan gunung berapi menghasilkan kabus yang menyebabkan alam jadi gelap, begitulah orang yang sedang marah, menyebabkan hati berkabus dan gelap.
5. Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala.
6. Dan orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, memperoleh azab Jahannam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
7. Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak,
Seperti lapisan langit yang mudah dicapai oleh mata kita mampu melihat cahaya bintang-bintang yang menjadi penunjuk arah, begitu juga lapisan akal kita yang paling mudah dicapai mampu melihat petunjuk-petunjuk Allah asalkan kita berfikir secara logik dan nyata, seperti mana kewujudan bintang-bintang di angkasa itu adalah nyata dan bukannya bayangan-bayangan kosong.
Petunjuk-petunjuk Allah yang logik setelah kita berfikir akan menjadi alat pelempar syaitan yang suka meragu-ragukan hati kita. Kerana itu orang yang beragama secara menurut membuta-tuli sehingga dia ragu-ragu dengan agamanya sendiri akan rasa panas hati menyala-nyala bila diperingatkan dengan Quran. Kepanasan hati itu kerana syaitan yang tersembunyi dalam diri telah terbakar. Jika manusia ini menolak kebenaran Quran yang diakui oleh akalnya sendiri, maka hiduplah manusia ini dalam keadaan yang buruk. Samalah seperti orang yang sengaja menolak logik bahawa 1+1=2, tetapi dia memilih teorinya sendiri bahawa 1+1=5, mampu dan yakinkah dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian matematik?
Manusia yang kepanasan hati akan mengeluarkan kata-kata yang buruk juga. Adakalanya kata-katanya seperti tidak pernah membaca Al Quran sehingga sanggup kata Quran tidak boleh difahami guna akal. Adakah mereka mengada-adakan alasan dusta agar mereka hendak bermegah-megah bahawa puak mereka sahaja yang memperjuangkan Quran dan Sunnah? Maka terbitlah cacian dan makian daripada manusia yang sebegini. Bukankah telah diperingatkan di dalam Quran bahawa perangai orang-orang kafir apabila tidak mampu berhujah dengan waras pasti akan mengejek-ejek?
8. hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?”
9. Mereka menjawab: “Benar ada”, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: “Allah tidak menurunkan sesuatupun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar.”
Bila Allah bangkitkan utusanNya untuk memberikan peringatan, orang-orang yang rendah akalnya kerana selama ini beragama secara menurut membuta-tuli pasti akan mendustakan kerana mereka tidak boleh menerima bahawa Allah Maha Berkuasa membangkitkan hamba-hambaNya untuk menyampaikan kebenaranNya. Bagi mereka, pemberi peringatan itu hanyalah Rasul terdahulu dan tidak mungkin Allah akan turunkan sesuatu untuk memperbetulkan ajaran agama yang disampaikan oleh Rasul terdahulu yang telah diselewengkan atas niat mencari kemegahan dan kekuasaan dunia. Apakah mereka tidak memahami bahawa Allah Maha Berkuasa melakukan sesuatu? Adakah Kekuasaan Allah itu akan tunduk dengan nafsu mereka itu?
Oleh kerana para Rasul ini mendapat petunjuk melalui Allah, bukannya melalui tok guru-tok gutu, golongan pemarah itu menolak pemberi peringatan ini dengan alasan pemberi peringatan ini adalah golongan yang sesat kerana bagi mereka jika Quran tidak dipelajari daripada mana-mana institusi pengajian, apa yang dinasihati oleh pemberi peringatan itu tidak sah. Adakah urusan hidayah itu milik institusi pengajian atau milik Allah? Adakah apa yang pernah disampaikan oleh Rasul-rasul terdahulu tidak sah kerana mereka juga bukannya membawa ijazah dari mana-mana universiti? Bagaimana ada orang yang mengaku Islam boleh terpesong pemikirannya sebegitu sekali? Adakah telah hilang pertimbangan akal yang waras?
10. Dan mereka berkata: “Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.”
11. Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.
Kelak setelah mati, barulah golongan yang tidak menggunakan akal yang waras sehingga beragama secara menurut membuta-tuli ini tersedar dari lamunan mereka semasa hidup di dunia. Ketika itu barulah menyesal hidup yang indah ini dipersia-siakan kerana tertipu dengan hawa nafsu sendiri.
Setelah neraka dipertontonkan jelas di hadapan mereka, ketika itu mereka berputus asa. Keluarlah keluhan di hati mereka, sekiranya mereka mendengar dan memikirkan nasihat yang disampaikan dahulu, tidaklah mereka masuk ke dalam neraka. Ketika mereka dengar nasihat yang disampaikan dahulu, mereka sombong dan ego. Mereka panas hati bila diperingatkan dengan Quran. Mereka tidak sedar panas hati itulah sebahagian azab Allah untuk orang yang menolak nasihat ke arah mentauhidkan Allah.
Kerana panas hati diberikan nasihat, mereka berusaha memadamkan kebenaran yang disampaikan yang mereka sendiri tahu logiknya. Tetapi kerana mereka tiada hujah untuk melawan lagi, mereka bertempiaran lari dari nasihat Quran ini. Adakah mereka mampu melawan Kekuasaan Allah bila Dia mahu memakmurkan bumi dengan cahayaNya. Sesungguhnya Allah Maha Besar kerajaanNya.
Itulah logiknya wujud azab neraka di akhirat nanti kerana di atas dunia kita boleh merasakan kepanasan hati itu. Tetapi jika kita termasuk dalam golongan yang sabar dan tenang, kita sentiasa terbuka mendengar nasihat yang ada logiknya yang kita nampak ia boleh memberikan manfaat dalam hidup kita. Itulah orang-orang yang menggunakan akal lagi beruntung.
12. Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar.
Kerana menggunakan akal dengan memikirkan Kekuasaan dan Kehebatan Allah mencipta alam semesta seluas ini yang tidak tahu di nama sempadannya, orang-orang ini akan takut kepada Allah walaupun kita tidak mampu melihatNya. Akal sendiri kita tidak mampu melihatnya tetapi kita yakin ia ada. Begitulah juga dengan tenaga elektrik, dan gelombang yang banyak di sekeling kita yang tidak mampu dilihat tetapi dapat dibuktikan wujud jika kita termasuk dalam golongan yang berfikir.
Rasailah Keagungan Allah, kelak kita akan rasa seperti melihatNya. Segala yang berlaku pada diri kita baik yang menikmatkan dan yang menyusahkan, semua itu pemberian Allah untuk menguji kita sama ada kita termasuk dalam golongan yang lupa diri atau yang merendah diri. Hati akan tenang jika kita tunduk merendah diri. Kita tidak akan kerugian apa-apa sebab semua yang kita ada adalah pinjaman Allah. Kita hanya sekelumit jiwa yang lemah sahaja. Semakin kita merasa diri kita lemah dan memerlukan Allah, semakin Dia membantu memperkuatkan kita. Tetapi jika kita sombong dan bongkak terhadap apa yang Allah pinjamkan, kita sendirilah yang akan merasakan azabNya. Sesungguhnya Allah Amat Cepat azab seksaNya.
13. Dan rahsiakanlah perkataanmu atau lahirkanlah; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
14. Apakah Allah Yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahasiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?
Jadi ke mana arah tuju hidup kita? Ingin menjadi manusia yang merendah diri atau orang yang sombong dan bongkak? Jika kita sombong, Allah akan balas kesombongan itu kepada kita kembali yang menyebabkan jiwa kita jadi merana. Apa erti hidup jika tiada ketenteraman jiwa sehingga wajah jadi cepat tua?
Lihatlah wajah-wajah manusia kononnya mereka memperjuangkan Islam, tetapi mereka berjuang dengan cara yang sombong dan mewujudkan perpecahan, kita akan nampak wajah yang cepat tua. Sebab apa? Bukankah orang dahulu pernah mengatakan, kalau marah nanti cepat tua? Sedangkan ahli-ahli syurga itu muda-muda sahaja.
Manusia akan jadi cepat marah jika suka makan makanan berminyak. Bukankah minyak itu mengandungi tenaga untuk membakar? Orang Melayu suka sangat makan yang goreng-goreng berminyak. Akibatnya kita jadi manusia yang cepat marah. Minyak dalam darah menyebabkan oksigen sukar bergerak bebas untuk disampaikan kepada otak. Bila perjalanan darah dalam otak lembab, otak kita pun jadi lembab kerana kekurangan oksigen. Sebab itu rata-rata orang Melayu lembab otaknya. Malas berfikir jauh.
Bila malas berfikir jauh, penilaiannya hanyalah cetek. Apa yang zahir Allah tunjukkan, itulah anggapan mereka. Akibatnya kita menjadi mangsa tipu-daya syaitan. Hiduplah orang Melayu sekarang berpecah-belah kononnya nak perjuangkan Islam. Bukankah Islam itu agama kedamaian. Jika sesama Melayu pun tak mampu nak bersatu atas nama Islam, apa erti anutan Islam kita selama ini?
Allah Maha Mengetahui dalam diri manusia yang mana banyak berminyak sehingga hati jadi cepat panas dan akal jadi lembab. Hidup hanya mahu makan mengikut nafsu, bukannya menimbang permakanan mana yang sesuai untuk menghasilkan generasi yang cerdas otak dan rajin berfikir.
Sembunyikanlah segala perasaan setelah diperingatkan dengan Quran ini, sebab Allah Maha Melihat apa yang tersembunyi. Orang-orang yang berdusta atas nama agama, pasti akan merasai debaran jantungnya sendiri kerana selama ini mereka bukannya tunduk kepada Allah pun walaupun kononnya mengaku memperjuangkan Islam. Jika mereka tunduk kepada Allah, pasti mereka merendah diri bila mendengar nasihat.
15. Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.
Jauh perjalanan, luas pandangan. Sebab itu orang Eropah suka berjalan menjelajah dunia sehingga kita mereka menjadi bangsa yang bijak. Mereka berjalan bukan setakat hendak enjoy, tetapi mereka mengkaji alam ini sehingga macam-macam idea baru untuk kesenangan bangsa mereka. Tetapi apa bangsa kita lakukan di atas dunia? Hanya tahu berebut kekuasaan politik? Bertelagah atas nama jemaah Islam mana yang betul?
Dengan segala penciptaan teknologi kenderaan yang dimajukan, manusia mudah bergerak ke serata dunia. Siapa yang berusaha memajukan teknologi ini? Umat Islam yang perasan umat terbaik ini ke? Jika hidup hanya tahu bertelagah dan berpuak-puak, bila masa hendak mengkaji dan mencipta teknologi yang memakmurkan bumi?
Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Makanlah sesuatu yang baik untuk perkembangan otak. Bukan makan ikut nafsu. Pada makanan, ada sebahagiannya membawa kebaikan dan ada yang membawa keburukan. Perbanyakkan makan ikan, sayur-sayuran, ulam dan yang kurang berminyak agar kurang kandungan lemak dalam darah. Kalau hendak makan ayam pun, makanlah ayam kampung yang hidup lasak dan bebas, bukannya ayam ternakan yang lembab dan terkurung. Nanti pemikiran kita pun jadi lembab dan terbelenggu. Lemahnya sesuatu umat itu bila ia gagal membangunkan akal fikiran. Umat yang mentaliti kelas ketiga, hanya tahu bercakaran sesama sendiri bagaikan haiwan. Malah haiwan pun ada yang rasa kasih sayang juga.
Untuk bangkitkan umat Islam, kita kena kembali kepada Allah. Tunduk dan taat kepadaNya. Kembali kepada Allah adalah dengan cara membangunkan fikiran agar kita faham erti KekuasaanNya dan kelemahan diri kita. Sebab itu wahyu terawal dua ayatnya dimulai dengan memahami Kekuasaan Allah sebagai Pencipta alam semesta dan kelemahan kita yang diciptakan dari segumpal darah. Kenal beza Kuasa dan lemah, otak akan mudah mengimbang. Seperti komputer kenal beza logik 1 dan 0 untuk menjadi peralatan yang bijak berfikir. Hendak jadi manusia yang bijak, kita kena berfikir secara logik dan seimbang, sebab itu Allah cipta alam ini seimbang. Ada baik atau buruk, tinggi atau rendah, kuat atau lemah dan sebagainya. Berfikirlah secara mudah berdasarkan bukti-bukti yang nyata, bukannya pakai main turut sahaja pendapat manusia yang tiada rasionalnya.


























