Al Mulk (16 - 30)
16. Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?,
17. atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?
Orang yang berpaling daripada agama Allah menunjukkan hatinya telah diterbalikkan daripada memandang kebaikan kepada memandang keburukan. Gambaran hati ini diterbalikkan seperti tanah yang kita diami ini diterlangkupkan sehingga segala kehidupan tertanam dengan sekelip mata. Bukankah ini yang pernah terjadi kepada penduduk negeri Sodom (kaum Nabi Luth) setelah berpaling daripada seruan RasulNya?
Apabila peringatan Allah didustai dengan alasan-alasan yang dangkal semata-mata mahu menjaga kepentingan nafsu sendiri, bagaimana manusia itu mahu hidup dengan tenang hati? Bukankah yang mendebarkan jantung kita itu dari Kekuasaan Allah? Jika untuk menghilangkan rasa debaran dan tertekan itu pun kita tidak mampu, adakah kita merasa aman dengan ancaman-ancamanNya?
Dan orang-orang yang mendustai agama Allah, bila diperingatkan dengan Quran berdasarkan logik-logik yang nyata, mereka merasakan nasihat yang disampaikan ini seperti batu-batu yang dibaling ke arah mereka, sehingga mereka menjadi marah. Apabila mereka marah, keluarlah kata-kata ejekan dan makian kerana kepanasan hati mereka sendiri. Adakah ketinggian akal mereka setakat mampu mengejek sahaja? Di mana janji mereka sebagai orang-orang Islam yang Rasulullahnya terkenal dengan sifat sabar lagi berhikmah? Adakah kerana berebut kekuasaan duniawi selama ini, telah hilangnya sifat sabar itu?
18. Dan sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasul-Nya). Maka alangkah hebatnya kemurkaan-Ku.
Jika mereka megah mendustai agama Allah, bukankah orang-orang kafir terdahulu juga pernah megah seperti mereka? Dan lihatlah apakah azab Allah kepada kaum-kaum yang menentangNya? Jika kita hidup dalam keadaan pemarah sehingga umat jadi berpecah-belah, bukankah kemurkaan Allah lagi hebat? Buat buruk dibalaslah buruk. Lemahnya kita umat Islam kerana ada keburukan dalam diri sehingga terbit rasa bangga diri, bukannya kita mahu menjadi orang yang merendah diri kepadaNya. Tidakkah manusia itu mahu menggunakan akal?
19. Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.
Lihat bagaimana Allah menerbangkan burung-burung. Tanpa sayap yang seimbang, burung tidak mampu terbang tinggi. Burung-burung mampu terbang tinggi kerana bentuk sayapnya yang lebih panjang dan luas berbanding saiz badannya sehingga mampu menghasilkan daya apungan yang cukup untuk ia terbang. Bandingkan pula dengan ayam yang berkepak pendek dan lebih kecil daripada badannya. Ayam tidak mampu terbang tinggi seperti burung. Begitulah bezanya manusia yang berfikiran panjang dan luas sehingga mampu mendapat kedudukan yang tinggi dan dipermudahkan hidupnya, dengan manusia yang berfikiran pendek dan sempit yang rendah sahaja kedudukannya. Rendahnya kedudukan umat Islam berbanding bangsa-bangsa lain di dunia sekarang ini kerana tahap mentaliti kita yang rendah. Jika kita mampu menghasilkan generasi yang rajin berfikir, insyaAllah umat Islam akan disegani oleh bangsa-bangsa lain.
Berfikirlah dengan mengkaji Quran ini kerana ia adalah kitab yang mampu menjadikan kita rajin berfikir dan seterusnya menghasilkan akhlak yang mulia. Tidak dikhabarkan pun para Nabi itu dikalangan orang yang lembab berfikir. Mereka semua diperkuatkan dengan hikmah dan kebijaksanaan. Ini menunjukkan akhlak yang mulia mampu dicapai bila mentaliti manusia itu kelas pertama. Kalau mentaliti setaraf binatang ternak yang hanya terbelenggu dan sekadar menurut sahaja, bukankah kita sudah menzalimi diri sendiri kerana tidak meletakkan diri kita sebagai insan, sebaliknya sebagai haiwan.
Seperti mana tiada sesiapa yang boleh menghalang burung-burung terbang kecuali Allah, maka tiada siapa yang boleh menghalang kita mengkaji Quran kecuali Allah. Selagi kita berniat baik untuk jadikan Quran pemberi semangat dan penguat keyakinan diri, biarpun ramai yang mengejek dan menolak kita, tidaklah kita rugi dengan apa yang orang lain itu katakan. Sesungguhnya orang yang merendahkan keupayaan akalnya sendirilah yang rugi. Dia Maha Mengetahui apa yang kita kerjakan.
20. Atau siapakah dia yang menjadi tentara bagimu yang akan menolongmu selain daripada Allah Yang Maha Pemurah? Orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah dalam (keadaan) tertipu.
Bila kita rajin mengkaji Quran, Allah akan perkuatkan diri kita dan menolong perjalanan hidup kita. Hati kita jadi tenang dan yakin mengharungi dugaan hidup. Kita makin bersedia menghadapi hari kematian, kerana kita memang tidak boleh elak daripada mati. Mati memang kena dihadapi, cuma sejauh mana kita bersedia menghadapinya dengan tenang. Bukankah Allah sahaja yang boleh membantu kita menenangkan diri untuk mati?
Semakin kita mengingati mati, semakin kita bersemangat untuk memajukan pemikiran kita. Berusahalah untuk memajukan fikiran bagai hidup 1000 tahun lagi, dan berusahalah mensucikan jiwa bagai hendak mati di esok hari. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Tetapi bagi manusia yang menolak logik akalnya sendiri, pastilah hidup dalam keadaan tertipu. Seperti binatang ternak yang mudah ditipu-daya kerana rendah tahap pemikirannya. Umat Islam sekarang mudah tertipu kerana rendahnya mentaliti kita. Atas rasa umat pilihan, kita mengabaikan pembangunan minda kepada anak-anak. Agama diajar secara menurut sahaja, bukannya cara bermuzakarah bertukar-tukar pendapat seperti Rasulullah lakukan. Bila kita berbincang, gabungan idea-idea lama dan baru akan menghasilkan rencah yang terbaik untuk menggemilangkan umat. Ketika itu penganut Islam sering mencari-cari idea baru untuk mengajak manusia memuji-muji Allah.
Jika agama dipaksa menurut pendapat-pendapat ulama terdahulu semata-mata, bagaikan penganut Islam yang lain tidak layak bercakap pasal agama, maka jadilah Islam itu agama yang sempit. Bukankah Allah sahaja yang layak menentukan siapa manusia yang boleh menyampaikan seruanNya. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala isi hati.
21. Atau siapakah dia yang memberi kamu rezki jika Allah menahan rezki-Nya? Sebenarnya mereka terus menerus dalam kesombongan dan menjauhkan diri?
Siapakah yang berkuasa memurahkan atau menyempitkan rezeki kita? Ada tuhan selain Allah ke yang boleh menghalang KekuasaanNya jika Dia melaksanakan sesuatu perkara? Kerana itu, adakah sesuatu yang masuk akal kita sombong dan menjauhkan diri daripada Allah? Seluas mana dunia ini kita cuba menjauhiNya, bukankah nadi kita berdenyut atas keizinanNya? Mampukah kita menghidupkan denyutan itu jika Allah matikannya? Tidaklah persoalan-persoalan ini ditanya melainkan kepada manusia yang ada akal untuk memikirkan erti hidupnya di atas dunia yang fana ini.
22. Maka apakah orang yang berjalan terjungkal di atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?
Adakah Allah memberikan petunjuk kepada manusia yang sombong dan berjalan di atas muka bumi dengan berbangga-bangga di atas nikmat yang Allah pinjamkan? Tidak pernah dikhabarkan kepada kita para Rasul itu di kalangan manusia yang bongkak dan suka berbangga diri. Kerana itu adalah tidak patut kita merasa bangga bahawa kita penganut beragama Islam ini adalah di kalangan umat pilihan Allah. Cuba renung diri kita umat Islam sekarang berbanding bangsa-bangsa yang lebih maju fikirannya? Adakah layak umat pilihan Allah itu di kalangan manusia yang suka hidup berpecah-belah, lembab otaknya dan lagi kuat amarahnya?
Sekadar melaung-laungkan “Akulah pejuang Quran dan Sunnah” tetapi tiada kesabaran dan hanya tahu mengutuk peribadi orang lain, adakah itu ciri-ciri pejuang Islam? Manusia itu bila tinggi sombongnya, Allah akan cabut ilmu-ilmu biarpun setinggi gunung seperti mana berjalannya gunung-gunung pada hari yang dijanjikan. Bila ilmu tiada, hati jadi ragu-ragu. Mulalah dicari-carinya nama-nama imam terdahulu untuk menunjukkan kata-kata benar. Satu puak pegang nama seorang imam, satu puak lagi guna nama imam lain, dan masing-masing bertelagah menunjuk ego.
Sekadar menggunakan nama orang yang sudah tiada yang kita sendiri tidak berani bertanggungjawab menunjukkan kita sebenarnya tidak yakin pada apa yang kita katakan. Bagaimana perjalanan hidup kita hendak tegap dan diyakini oleh orang-orang yang mendengarnya? Perasan atau tidak betapa kita umat Islam begitu takut hendak berkata-kata pasal akidah sendiri. Bukankah Allah sudah bekalkan kita akal yang waras untuk menilai dengan seimbang? Tahu beza erti baik dan buruk, kemudian kita pilih kebaikan, bukankah itu suatu yang lurus sahaja lagi mudah?
Berfikirlah dengan logik yang mudah masuk akal, bukannya dibawa bayangan-bayangan yang tidak masuk akal atas nama riwayat hadith atau kata-kata imam terdahulu. Tidak takutkah kita telah memfitnah orang-orang terdahulu, jika mereka tidak maksudkan seperti yang kita sangkakan itu? Sudahlah kita guna nama mereka untuk hidup berpecah-belah dan bermusuh-musuhan sesama sendiri sehingga Islam menjadi tercemar gara-gara tangan kita sendiri.
23. Katakanlah: “Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati.” (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.
Bergantunglah kepada Allah dalam beragama, bukan kepada selainNya. Bukankah Allah yang mencipta kita ini adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui apa yang tersebunyi dalam hati kita? Bukannya tok guru-tok guru atau selainNya. Adakah mereka-mereka selain Allah itu yang menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati untuk kita sehingga begitu sekalinya kita taksub kepada orang-orang yang pada pandangan zahir kita mereka itu membawa imej Islam.
Mudahnya umat Islam tertipu dengan ajaran-ajaran sesat kerana suka melihat pada zahir. Nampak sahaja orang itu berjubah, berserban dan berjanggut, terus sahaja dikatakan alim ulama. Walhal belum tentu mereka itu termasuk dalam orang yang berkata-kata dengan bukti-bukti yang nyata dan waras serta belum tentu dia termasuk dalam golongan yang sabar bila diuji. Jika sekadar mengutuk, mencaci-maki dan memburuk-burukkan peribadi orang lain, adakah itu contoh manusia yang berakhlak mulia lagi kuat kesabarannya?
Dengar dulu kata-katanya dan lihat akhlaknya dan nilai guna mata hati, bukannya pandangan zahir. Jika menjurus kepada perangai bermusuh-musuhan, taksub, berfikiran sempit dan jumud, adakah itu contoh ikutan? Janganlah tertipu dengan slogan-slogan manis kononnya memperjuangkan Islam. Allah tidak melihat pada label, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati. Hati akan jadi kotor bila akal manusia itu rendah. Kita jadi umat yang lemah dan suka bertelagah kerana wujudnya budaya taksub dan menurut dalam beragama. Adakah kita sudah menuju seperti zaman Gelap Eropah di mana gereja berkuasa dalam urusan agama sehingga taksub dan sempit pemikiran penganutnya.
Bangunkanlah akal agar kita menjadi manusia yang bersyukur dengan nikmat akal ini. Akal manusia boleh berkembang, bukannya terhad. Binatang ternak sahaja terhad akalnya kerana itu mereka tidak mampu mencipta teknologi. Malangnya kita umat Islam jauh ketinggalan pelbagai teknologi-teknologi penting. Hendak buat kapal terbang pun tak lepas. Itu menunjukkan jauhnya kita ketinggalan dari bangsa-bangsa lain.
Ada pula manusia berbantah dengan bertanya jika umat Islam jadi pengkaji ilmu-ilmu moden, siapa pula hendak jadi penggali kubur? Apakah yang mereka fikirkan sebenarnya? Adakah tahap akal umat Islam ini hanya setakat mampu menggali kubur sahaja dan tidak boleh pergi lebih jauh daripada itu? Bangsa-bangsa yang maju itu pun ada juga penggali kubur mereka, tetapi kenapa mereka mampu mencipta teknologi-teknologi maju? Bukannya kita kisahkan dengan peralatan ciptaan mereka itu, tetapi semangat ingin tahu, mengkaji dan meneroka ilmu Allah yang luas itu yang kita mahukan. Adakah kita anggap ilmu Allah ini kecil dan sudah habis dikaji oleh ulama-ulama terdahulu? Begitulah manusia berbantah-bantah bila diajak kepada kebaikan.
24. Katakanlah: “Dia-lah Yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan hanya kepada-Nya-lah kamu kelak dikumpulkan.”
Bilangan kita umat Islam sekarang ramai, tetapi dengan bangsa Yahudi yang sedikit pun kita mudah ditipu-daya. Fikir-fikirkan betapa rendahnya keupayaan akal kita berbanding bangsa-bangsa yang menjadikan berfikir secara logik dengan bukti-bukti kukuh sebagai amalan.
Umat Islam suka bersangka-sangka kepada sesuatu yang tiada bukti, sehingga mudah berita-berita fitnah disebarkan. Atas alasan berebut kuasa, segala cerita buruk orang lain disebarkan di internet. Sepatutnya gunakanlah nikmat internet yang Allah beri untuk mengajak manusia ke arah kedamaian, bukannya permusuhan. Betapa manusia itu mudah ditipu syaitan kerana selama ini beragama secara taksub lagi berbangga diri.
Ingatlah, kelak kita semua akan dikumpulkan kepadaNya. Adakah manusia yang menyuruh kita mengutuk, mencaci-maki dan mencela itu akan membantu kita bila diperiksa segala amalan kita? Di mana akal kita letakkan ketika mendengar seruan-seruan ke arah permusuhan sesama manusia, sehingga kita termasuk dalam golongan yang suka bertelagah?
25. Dan mereka berkata: “Bilakah datangnya ancaman itu jika kamu adalah orang-orang yang benar?”
Dan seperti yang pernah terjadi kepada kaum terdahulu, untuk membantah seruan rasulNya, mereka mengharapkan ancaman-ancaman daripada Allah sebagai bukti rasulNya itu berkata benar. Adakah sesuatu kebenaran itu memerlukan ancaman sebagai bukti? Bukankah Allah sudah bagi kita akal untuk berfikir secara waras untuk menilai sama ada sesuatu perkara itu benar atau salah? Begitulah bila manusia itu tidak membangun akalnya sehingga berfikiran pendek akibat rasa marah bila diperingatkan dengan Quran.
Bukankah jika Allah hendak memusnahkan sesuatu kaum yang engkar, tanpa perlu dibangkitkan rasul pun Dia Maha Berkuasa melakukannya? Tetapi supaya manusia itu tidak beralasan-alasan bahawa mereka tidak pernah mendengar seruan ke arah kembali mentauhidkan Allah, maka Dia bangkitkan utusanNya dari kalangan kaum itu sendiri. Tetapi kebanyakan manusia itu tidak mahu berfikir.
26. Katakanlah: “Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) hanya pada sisi Allah. Dan sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.”
Kerana sikap suka mendewa-dewakan rasul terdahulu, ada manusia jadi sesat. Darjat rasul diagung-agungkan seolah-olah rasul itu bukan orang biasa sehingga akhlak rasul itu seperti suatu yang sukar dicapai. Bila diberikan logik bahawa Rasulullah mendapat kitabnya pun tanpa melalui mana-mana tok guru, manusia yang tidak berfikir itu menjawab “Itu Nabi, bolehlah”. Bukankah Nabi juga manusia biasa? Mereka mencapai darjat yang mulia di sisi Allah kerana mereka berusaha membangunkan akal dan mensucikan hati sahaja.
Sejauh mana manusia itu mendewa-dewakan rasul terdahulu, rasul-rasul itu tetap tidak mengetahui bila akan terjadi sesuatu perkara di masa akan datang. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
Para rasul tidak lain hanya manusia biasa yang memberi peringatan dengan jelas berdasarkan bukti-bukti yang logik dan mudah diterima akal. Umpama bila Nabi Muhammad sampaikan seruan supaya umat Islam kerahkan kuda-kuda dalam peperangan agar menggentarkan musuh, seruan itu adalah logik pada zaman baginda kerana kuda-kuda itulah antara jentera peperangan yang kuat pada waktu itu. Tetapi zaman sekarang ini, jika seruan itu hanya dituruti secara zahir tanpa pertimbangan akal yang waras, mampukah kuda-kuda itu menggentarkan musuh, jika pihak musuh mempunyai teknologi peperangan yang lebih canggih? Kerana itu kita kini jadi umat Islam yang lemah dan kalah. Malangnya kita sudahlah lemah, masih nak berbangga-bangga diri dan bertelagah sesama sendiri untuk menunjukkan puak mana betul ikut Quran.
Kerana itu, sudah sampai masanya kita bangunkanlah akal agar umat Islam kembali gemilang. Jangan anggap sekadar mengakui kerasulan Nabi Muhammad sudah melayakkan kita jadi umat pilihan. Sedangkan baginda dan para sahabat serta orang-orang yang beriman bertungkus-lumus memerangi syaitan-syaitan dalam hati masing-masing, kita hendak bersenang lenang tumpang usaha mereka?
Para rasul adalah contoh ikutan agar akhlak kita seperti mereka, bukannya sekadar untuk kita agung-agungkan. Sesungguhnya Allah Maha Agung lagi Maha Terpuji.
27. Ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, muka orang-orang kafir itu menjadi muram. Dan dikatakan (kepada mereka) inilah (azab) yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya.
Ketika di dunia, orang yang suka berdusta lagi rendah akalnya untuk berfikir secara logik pasti akan rasa debaran setiap kali berdusta. Debaran ini akan memuramkan muka. Akibatnya wajah jadi cepat tua.
Debaran yang menyesakkan jiwa menyebabkan hati jadi tidak tenteram dan hidup jadi tertekan. Terasa resah, gelisah dan kepanasan. Akhirnya untuk melepaskan emosi yang panas, terhamburlah kata-kata kutukan, celaan, keji-mengkeji, caci-maki, sumpah seranah seperti gunung berapi yang meletus. Bayangkan bagaimana keadaaan bumi yang menghijau tiba-tiba digenangi lahar gunung berapi? Habis segala kehidupan di bumi itu. Seperti itulah keadaan hati manusia yang kuat amarahnya. Hati jadi hitam lagi berpenyakit. Tiada kehidupan dalam hati itu. Mata zahirnya hanya tahu mencari permusuhan di kalangan manusia, sedangkan Islam itu adalah agama yang menyeru kepada kedamaian dan kasih-sayang sesama manusia.
Itulah balasan kepada manusia yang engkar lagi suka berdusta. Tidaklah mereka berdusta, melainkan mereka mendustai diri mereka sendiri. Ada akal yang boleh berfikir secara rasional, mereka tolak neraca yang Allah sediakan, semata-mata kerana memilih kehidupan bagaikan neraka. Kehidupan mereka di atas dunia namapak seperti hidup, tetapi hati mereka sebenarnya mati kerana busuk dengan hasad dengki. Sibuk mencari keburukan orang lain hanya kerana berebut kerusi. Kelak di akhirat, dengan kerusi-kerusi yang mereka jadikan pergantungan kekuasaan (berhala) itu mereka akan dihumban ke neraka. Sesungguhnya kepada Allah orang-orang berakal bergantung harapan.
28. Katakanlah: “Terangkanlah kepadaku jika Allah mematikan aku dan orang-orang yang bersama dengan aku atau memberi rahmat kepada kami, (maka kami akan masuk syurga), tetapi siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari siksa yang pedih?”
Tanya kepada diri kita sendiri, sudah bersediakah kita untuk menghadapi mati? Jika kita terasa berdebar bila mendengar perkataan mati, itu menunjukkan pergantungan kita kepada Allah masih jauh. Masih ada syaitan-syaitan yang suka membisikkan keraguan kepada hati kita sehingga kita sayang hendak tinggalkan dunia. Pada zahir mulut kita mengaku seorang Islam, tetapi hati masih kafir dan tidak kenal Kekuasaan Allah.
Bila hati tidak kenal Kekuasaan Allah, mata zahir kita mencari pergantungan yang kita nampak. Hendak kaji Quran, terpaksa cari tok guru. Kalau tidak ada tok guru, kita anggap kita akan sesat. Jika kita sudah beranggapan begitu, memanglah jadi sesat. Cuba kita perbetulkan hati kita bahawa Allah sahaja layak ajar kita memahami Quran kerana Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Adakah tok guru yang didewa-dewakan itu lebih bijak daripada Allah?
Allah akan ajar kita memahami Quran bila akal kita dibangunkan. Kita adalah insan, bukannya haiwan ternakan. Gunakan pertimbangan akal yang waras dan mudah diterima dengan melihat bukti-bukti yang ada di sekeliling kita. Bila ALlah tunjukkan sesuatu perkara secara zahir, jangan setakat faham zahir sahaja, kaji dan terokailah sehingga kita nampak maksud yang tersirat yang mempunyai logiknya. Setiap apa yang Allah ciptakan pada alam semesta ini ada maksud tersirat yang boleh membawa manusia mengenali dirinya sendiri.
Bila kita kenal diri yang kita hanyalah sekelumit jiwa, kelak kita tidak akan rasa takut mati, sebab kematian itu hanya memisahkan jiwa dari jasad, sedangkan jasad itu hanya pinjaman. Jiwa orang yang beriman tetap hidup biarpun telah terpisah daripada jasad. Tetapi manusia yang tidak sedar diri yang merasakan jasad itulah dirinya sehingga dia bermegah-megah dengan jasad yang dipinjamkan, pasti akan merasa takut mati. Ini kerana jiwanya sudah pun mati, biarpun jasadnya bergerak. Bila jasadnya tidak bergerak nanti, dia merasa seksa, kerana semasa di atas dunia, dia tidak pernah menghidupkan jiwanya.
Ketika di atas dunia, jiwanya terasa tertekan dan menyeksakan. Hanya tahu bermusuh-musuhan sesama manusia sehingga panas dalam kedengkian. Itulah kepedihan yang Allah rasakan kepada manusia yang menolak logik akalnya sendiri, sehingga tidak boleh berfikir dengan waras.
29. Katakanlah: “Dia-lah Allah Yang Maha Penyayang kami beriman kepada-Nya dan kepada-Nya-lah kami bertawakkal. Kelak kamu akan mengetahui siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata.”
Kenangilah segala nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita selama ini. Betapa Maha Pemurah dan Maha Penyayang Tuhan Yang Maha Agung ini. Bila kita dapat rasai sifat-sifatNya Yang Mulia itu setelah berfikir secara logik, jiwa kita akan rasa tenang dan damai. Kita akan bertawakkal dalam hidup kita. Kita jadi manusia yang sedar diri bahawa tanpa pertolonganNya, kita tidak akan mencapai apa yang kita cita-citakan. Tundukkanlah diri kita kepadaNya. Dia sahaja tempat kita bergantung harapan, kerana Dia Yang Memiliki kerajaan yang luas.
Oleh kerana rahmat Allah itu sendiri adalah luas, patutkah kita sempitkan agama Islam ikut citarasa kita sendiri dengan alasan-alasan yang diada-adakan? Islam itu bukan sekadar berjubah Arab, berjanggut dan berserban. Islam itu universal. Apa sahaja baju yang kita pakai yang menutupi aurat yang kita sendiri nampak logiknya, itulah Islam. Dan pakaian takwa itulah sebaik-baik pakaian di sisi Allah. Sudahkah kita merasa bertakwa, iaitu rasa takut kepada Allah bahawa segala usaha kita tidak mampu dilakukan tanpa keizinanNya? Apa sahaja yang kita inginkan tetapi tidak tercapai, tunduklah merendah diri kepadaNya. Semakin kita merendah diri kepadaNya, semakin darjat kita ditinggikan di sisiNya.
Perjuangan Islam bukannya untuk menunjukkan keegoan bahawa atas nama Islam, kita sahajalah yang benar sehingga hak-hak penganut agama lain kita perkecil-kecilkan. Islam yang Nabi Muhammad sampaikan bukannya Islam yang berimej kejam, ganas, tidak bertoleransi, sempit pemikiran dan tiada keindahan. Islam adalah agama yang membebaskan kesempitan akal dan melapangkan dada. Sesama umat Islam sepatutnya boleh berlapang dada biar pun berbeza pendapat kerana pendapat sesama golongan yang beriman kepada Allah berbeza di antara benar dan lebih benar. Sesuatu yang benar mestilah logik dan masuk akal. Bukannya bertelagah sesama sendiri mencaci maki. Kelak Allah akan perlihatkan siapakah golongan yang telah disesat. Tidaklah manusia itu tersesat, melainkan apabila dia membangkak logik akalnya sendiri. Dia sendiri tahu sesuatu perkara itu benar dan rasional, tetapi sengaja menolaknya kerana hendak menunjuk megah yang dia sahaja menurut Islam.
30. Katakanlah: “Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?.”
Jadi adakah patut manusia itu sengaja mengada-adakan alasan dusta sehingga penganut agama menjadi lembab berfikir kerana agama diajar secara menurut membuta-tuli? Adakah Islam itu mengikut kehendak nafsu sesetengah manusia yang mencari kemegahan atas nama agama? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala niat manusia.
Siramilah jiwa dengan Quran. Hendak fahami pengajaran Quran, kena baca dalam bahasa yang boleh difahami. Sudah tentulah Nabi Muhammad itu seorang yang berbangsa Arab, bahasa Quran itu yang disampaikan itu dalam bahasa yang baginda dan masyarakat baginda fahami. Logik ke seorang rasul itu sampaikan pengajaran dalam Jika khatam Quran dalam bahasa Arab seribu kali pun tetapi intipati Quran tidak difahami, tidakkah manusia itu seperti seekor keldai yang membawa kitab dibelakangnya? Akibat berperangai seperti binatang ternak, maka umat diperkulikan oleh bangsa-bangsa yang lebih maju pemikirannya. Di tanahair sendiri orang Islam jauh ketinggalan. Tetapi dalam bab menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan peribadi orang lain, pandai pula orang Islam menjadi jaguh.
Adakah jiwa kita sekarang sudah kekeringan air seperti bumi yang kemarau? Hati yang kemarau akan menjadi panas dan kuat marah. Pantang berbeza pendapat sikit, mulalah hendak mengutuk dan menghentam orang. Mungkinkah kepanasan dunia (global warming) sekarang akibat ramainya manusia yang hatinya panas? Oleh kerana umat Islam adalah antara penganut yang teramai di dunia, tetapi jika semuanya berhati panas, tidak mustahil kita menyumbang kepada kepanasan bumi.
Jadi sudah sampai masanya kita kembali menjadi umat yang sejuk hati seperti mengalir air ke dalam jiwa. Jiwa akan jadi sejuk jika tahap kesabaran kita tinggi. Kesabaran akan tinggi bila akal manusia itu tinggi. Orang yang berakal tinggi, hidupnya dalam keadaan harmoni dan damai, bukannya bertelagah dan bercakaran bagaikan haiwan ternakan. Kajilah Quran dengan keupayaan akal sendiri. Hanya Allah yang mampu mengalirkan ruh Quran dalam jiwa kita, bukan mana-mana tok guru atau institusi pengajian.


























